Kosmo Online
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online |
- Banjir di Pahang kian buruk, semakin ramai dipindahkan
- Tengku Abdullah minta semua pihak bantu mangsa banjir di Pahang
- Dua beranak maut kereta dirempuh van kilang
Banjir di Pahang kian buruk, semakin ramai dipindahkan Posted: Banjir di Pahang kian buruk, semakin ramai dipindahkan03/12/2013 10:23pm KUANTAN - Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam ini. Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah. "Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut. "Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan. "Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan. "Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu. Katanya, laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Kilometer (KM) 28 Kuantan-Sungai Lembing, KM36 Jalan Gambang-Kuantan, KM16 Jalan Nenasi-Pekan, KM145 Jalan Jerangau-Jabor, KM72 Jalan Kuantan-Segamat dan KM10 Jalan Kuantan-Pekan. Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir. Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu, Superintendan Azid Ismail berkata, lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik. Azid berkata, hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai. "Penduduk dinasihatkan supaya tidak turun ke Sungai Tembeling atau Sungai Pahang ketika air naik sebaliknya berpindah segera jika berlaku banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. Pengusaha bot penambang dan 50 pengusaha bot pelancong di Taman Negara juga dinasihatkan supaya menghentikan sementara perkhidmatan mereka. "Pengusaha bot perlu mengutamakan keselamatan penumpang," katanya. - Bernama |
Tengku Abdullah minta semua pihak bantu mangsa banjir di Pahang Posted: Tengku Abdullah minta semua pihak bantu mangsa banjir di Pahang03/12/2013 9:33pm KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak menghulurkan bantuan kepada penduduk yang mengalami banjir di negeri ini. Baginda bertitah hujan lebat sejak dua hari lepas telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air secara mendadak. "Saya tak menyalahkan sistem perparitan. Walaupun parit sebesar mana sekalipun, kalau hujan tak berhenti, saya rasa banjir juga. "Saya rasa elok kita terima hakikat kehendak Allah dan kita harus juga membantu satu sama lain. Satu kebimbangan ialah kalau hujan tak henti mungkin Kuantan akan ditenggelami air," titah baginda ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini hari ini. Tengku Abdullah berharap rakyat bersabar menghadapi bencana dan berharap kerajaan persekutuan turut dapat membantu. - Bernama |
Dua beranak maut kereta dirempuh van kilang Posted: Dua beranak maut kereta dirempuh van kilang03/12/2013 9:28pm GEORGE TOWN - Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki bersama lima anggota keluarga mereka dirempuh sebuah van kilang di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, Saodah Hashim, 48, dan Nazirul Hafis Muhammad Bakri, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh anggota badan. Beliau berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, sebuah van kilang dari arah bertentangan menghala ke Bayan Lepas hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kereta yang dipandu adik Saodah, Mohd Firdaus, 24. "Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada di tempat duduk penumpang dan rempuhan kuat itu menyebabkan Saodah tersepit manakala anak lelakinya dipercayai tercampak keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Difahamkan tujuh sekeluarga itu berasal dari Pantai Merdeka, Kedah datang bercuti ke negeri ini sempena musim cuti sekolah. Ismail berkata, Mohd Firdaus dan dua anak Saodah, Mohd Khairul Nizar, 22, dan Sazafiza, 16, serta pemandu van kilang Muhd Nurfaidhi Alias, 25, cedera parah manakala ibu Saodah, Salmah Hashim, 64, dan seorang lagi anak Saodah, Mohd Naufal, 4, cedera ringan. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Tarmizi Mohd Noor berkata pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit dari kedua-dua kenderaan yang remuk teruk itu. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |