{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Usahawan keropok lekor

Posted: 01 Dec 2013 11:50 PM PST

Proses pembungkusan dilakukan berhati-hati bagi menjamin kualiti keropok lekor berada dalam keadaan yang baik.

Biarpun kedengaran agak janggal bagi sesetengah daripada kita kerana kontraktor dan perusahaan makanan merupakan dua perkara yang berbeza. Namun, tidak bagi Zainal Abidin kerana bagi beliau, kedua-duanya membabitkan perniagaan.

Segalanya bermula apabila isterinya menyertai kursus membuat keropok lekor yang akhirnya menimbulkan minat mereka berdua untuk mengusahakan produk makanan tersebut.

Menurut Zainal Abidin yang juga merupakan pengarah, Keropok House dan Industry Sdn. Bhd., berbekalkan modal pendahuluan RM50,000 dia dan isteri membuka sebuah kilang kecil di kawasan perindustrian Glenmarie di Shah Alam, Selangor.

"Pada ketika itu (peringkat awal) saya masih meneruskan perniagaan sebagai seorang kontraktor sehinggalah perniagaan berkembang maju akhirnya saya mengambil keputusan untuk fokus dalam perusahaan keropok lekor sejuk beku ini.

"Semasa di peringkat awal perusahaan, saya banyak dibantu oleh agensi-agensi kerajaan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia" katanya ketika ditemui di kilang keropok lekor sejuk beku miliknya di Shah Alam, Selangor pada program Kembara Media Perikanan yang diadakan baru-baru ini.

Ujar Zainal Abidin, mengusahakan produk makanan lebih mudah berbanding bidang kontraktor kerana aliran wang tunai diperoleh setiap hari. Manakala bayaran bagi bidang kontraktor adalah berdasarkan projek yang dilaksanakan.

Ketika ditanya mengapakah memilih keropok lekor berbanding produk makanan lain, Zainal Abidin menjelaskan, ketika berkursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan, jabatan tersebut lebih menumpukan kepada produk berasaskan ikan.

Setelah menjalani beberapa kursus pembuatan makanan berasaskan ikan, akhirnya Zainal Abidin memilih perusahaan keropok lekor kerana produk tersebut masih kurang diusahakan di sekitar Selangor.

Perusahaan keropok lekor Zainal Abidin terus berkembang, mendorongnya membuat keputusan untuk terjun terus ke bidang tersebut dan terus mengikuti pelbagai lagi kursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Selain kursus, Zainal Abidin turut menerima bantuan peralatan pemprosesan keropok lekor, bantuan pemasaran daripada jabatan dan promosi produk menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kini Zainal Abidin telah berpindah ke lokasi yang lebih baik dan kadar pengeluaran keropok lekornya juga dapat dipertingkatkan antara 45 hingga 55 tan sebulan.

Kebanyakan produk Keropok House & Industry Sdn. Bhd. dipasarkan di pasar malam, kedai makanan sejuk beku, pasar raya, malah turut berjaya menembusi pasaran luar negara seperti ke Brunei dan juga Singapura.

Antara cabaran menghasilkan produk makanan berasaskan ikan seperti keropok lekor pastinya stok bahan mentah atau isi ikan.

Jelas Zainal Abidin, dia mendapatkan stok bahan mentah berupa isi ikan yang dikenali sebagai oto shimi di sekitar Sungai Besar, Selangor dan juga Pantai Remis, Perak.

Selain menghasilkan keropok lekor, Zainal Abidin kini mula mempelbagaikan produk antaranya otak-otak dan bebola ikan bagi mengurangkan persaingan dengan pengusaha keropok lekor yang semakin bertambah di Selangor.

- ASHRIQ FAHMY AHMAD

Mendepani cabaran masa depan

Posted: 01 Dec 2013 11:50 PM PST

ZAINAL Abidin Abu Samah menunjukkan keropok lekor yang dihasilkan oleh kilangnya.

Dalam perniagaan cabaran dan dugaan sentiasa bersilih ganti mewarnai kehidupan para usahawan sebelum diganti dengan ganjaran yang cukup lumayan.

Perkara yang sama turut dilalui oleh pengusaha keropok lekor sejuk beku Zainal Abidin Abu Samah yang sudah lali dengan pelbagai dugaan dan cabaran dunia perniagaan.

Ujarnya, ketika awal penubuhan syarikat Keropok House & Industry Sdn. Bhd. pasaran keropok lekor sangat memberangsangkan dan mereka tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

"Namun permintaan yang tinggi daripada orang ramai terhadap menyebabkan pengusaha keropok lekor sejuk beku tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"Kini, di sekitar Selangor sahaja hampir 17 buah syarikat dikenal pasti mengusahakan produk yang sama," katanya ketika ditemui di kilangnya.

Selain persaingan daripada pengusaha keropok lekor sekitarnya, kos bahan mentah yang meningkat saban hari serta kekurangan pekerja tempatan juga turut memeningkan kepala.

"Kenaikan bahan mentah buat masa kini masih tidak menentu menyebabkan pihak kami terpaksa menyerap segala kos.

"Untuk menaikkan harga produk tidak mudah kerana mungkin kos bahan akan terus meningkat menjadikan kenaikan harga yang berulang-ulang akan berlaku," katanya.

Jika kejadian tersebut berlaku, bukan sahaja pelanggannya akan terasa kenaikan tersebut malah pihaknya juga kemungkinan besar akan menanggung kerugian yang lebih besar.

Oleh yang demikian pihaknya masih bertahan sehingga pertengahan tahun hadapan untuk menentukan kadar harga yang berpatutan sejajar dengan kenaikan kos bahan mentah.

"Kita tidak boleh menaikan harga produk terlalu mendadak dan kerap, justeru kita mesti menilai keadaan semasa (harga bahan mentah), apabila keadaan telah stabil baru keputusan tersebut dibuat (kenaikan harga)," katanya.

Di tanya tentang perancangan masa hadapan, Zainal memberitahu dia ingin membesarkan perniagaanya dan mempelbagaikan jenis produk.

"Jika sekarang kita hanya mengeluarkan keropok lekor dengan perasa asli (ikan) sahaja, mungkin kami akan cuba menambah lain-lain perisa seperti perisa sotong dan udang untuk menarik minat pelanggan.

"Kami pernah mencuba kaedah tersebut (pelbagaikan perisa) namun ia tidak mendapat sambutan, mungkin kaedah promosi yang tidak sesuai atau penerimaan pelanggan yang kurang," katanya.

Biarpun begitu, cabaran tersebut bukan alasan untuk dia berdiam diri tanpa melakukan sesuatu untuk mengembangkan perniagaanya.

Zainal yang juga merupakan pengarah syarikat tersebut turut melakukan pelbagai kajian dan pengembangan (R&D) berkaitan inovasi produk-produknya.

Baginya, cabaran di dalam dunia perniagaan merupakan liku-liku yang perlu dilalui oleh pengusaha bagi memastikan perniagaan mereka dapat terus maju.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat