Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 18 Dec 2013 09:56 PM PST Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI Iedil dan Faralyna teruja dapat berganding bersama melalui drama Ryujin Juwara. Lima tahun bukan suatu tempoh masa yang lama, namun dalam industri seni, seseorang individu itu sepatutnya mampu membina nama untuk menjadi salah seorang artis popular tanah air dalam jangka waktu tersebut. Tetapi realiti tidak sedemikian, walaupun sudah berlakon dalam beberapa drama dan filem, individu ini masih kurang dikenali sehingga menjadikan mereka kelihatan tenggelam dalam puluhan artis baharu yang meraih populariti tersendiri. Iedil Putra yang mengakui sudah bergiat secara serius sebagai pelakon selama kira-kira lima tahun berkata, bukan mudah sebenarnya bagi seseorang itu membina karier apatah lagi dengan lambakan pendatang baharu yang muncul hampir setiap bulan. "Sejujurnya saya tidak terlalu melihat kepada populariti kerana bagi saya, penglibatan dalam industri ini adalah kerana minat mendalam terhadap bidang seni secara keseluruhan. "Keseluruhan bermaksud penglibatan dalam penulisan skrip, penerbitan dan juga pengarahan dan bukan hanya tertumpu kepada aspek lakonan sahaja. "Disebabkan itu, saya tidak terlalu memikirkan populariti sebagai pelakon kerana bagi saya, bidang seni itu meluas cabangnya dan apa yang penting adalah saya dapat melakukan perkara yang disukai," ujarnya. Iedil ditemui sewaktu majlis pelancaran drama adiwira terbaru hasil kerjasama antara produksi tempatan dan Jepun iaitu Ryujin Juwara. Tambah Iedil yang kini turut mengusahakan sebuah syarikat produksi iaitu Playground Productions, dia merasakan popularitinya tidak berada di tahap kemuncak disebabkan kurangnya peluang yang diperoleh. "Sewaktu saya mula bertapak dalam industri, saya akui peluang untuk mencipta nama itu tidak mudah diperolehi dan ini membuatkan saya dan beberapa rakan menubuhkan syarikat produksi kami sendiri. "Dengan cara ini, kami mempunyai medium untuk terlibat dengan industri seni secara lebih meluas dan bukan hanya di hadapan kamera. "Selain itu juga, melalui penubuhan syarikat produksi sendiri, kami dapat memberi peluang kepada rakan-rakan artis muda untuk lebih terlibat dan bersaing secara sihat dalam memajukan industri," ujarnya lanjut. Jelas Iedil, dia tidak melihat industri hiburan sebagai suatu platform mencipta nama dan meraih kemasyhuran namun sebaliknya ia adalah platform buat dirinya meluahkan bakat seni yang dimiliki selain untuk berkongsi dengan masyarakat umum. Berlakon demi keluarga Setiap individu pastinya mempunyai alasan dan sebab tersendiri mengapa mereka melibatkan diri dengan sesuatu bidang tersebut. Tidak dinafikan aspek paling utama adalah untuk mencari rezeki yang halal. Jelas pelakon muda berusia 22 tahun iaitu Faralyna Idris yang turut membintangi drama Ryujin Juwara, lakonan adalah sebagai punca pendapatan dan bukan meraih populariti. "Tidak dinafikan ramai orang menyertai bidang ini untuk popular. Namun saya melihat ia sebagai suatu peluang mencari rezeki dengan kemampuan yang dimiliki. "Lima tahun lalu saya terlibat sebagai pelakon secara tidak sengaja. Hanya menjadi pengganti buat satu produksi dan bermula dari situ, saya sedar ini peluang untuk saya bekerja dan membantu keluarga. "Bukan tidak menerima tawaran menjadi pelakon utama dalam drama mahupun filem, namun saya terpaksa menolaknya kerana bayaran yang diberi tidak setimpal sedangkan saya punyai tanggungjawab sendiri," ujarnya. Faralyna mengakui jika dia tidak memikul tanggungjawab menyara bapa dan adiknya, mungkin jalan hidupnya berbeza. Namun dia bersyukur dengan peluang dimiliki selain berbakti buat keluarga tercinta. Wanita yang sebelum ini merupakan kekasih kepada Hairul Azreen juga gembira dengan kehidupan dilalui kini. Apatah lagi hatinya yang kosong sebelum ini sudah kembali terisi dengan kehadiran insan yang juga seorang rakannya sebelum ini. "Saya bukanlah seorang yang suka mendedahkan kisah peribadi namun saya juga merupakan seorang yang jujur apabila menjalinkan hubungan. Rasanya ramai peminat sudah ahu saya kini sedang rapat dengan seseorang. "Buat waktu ini saya boleh katakan hubungan antara kami serius. Namun disebabkan usia yang masih muda, kami tidak mahu memberi sebarang tekanan dan membiarkan hubungan ini berjalan secara semula jadi," ujarnya. Iedil Putra semakin dikenali sejak melibatkan diri dengan drama Projek Pop dan filem pendek Pasport Ekspres bersama rakan pelakon, Josiah Hogan. |
Kongsi ilmu dengan orang ramai Posted: 18 Dec 2013 09:56 PM PST Peserta Pencetus Ummah (dari kanan) Thowi, Shahul dan Fakhrul punya misi tersendiri untuk terus kekal. Program realiti terbaharu terbitan Astro iaitu Pencetus Ummah sudahpun bersiaran selama empat minggu dan pastinya, program realiti Islamik ini mempunyai pengikut dan peminat yang tersendiri. Pastinya setiap daripada peserta mempunyai sebab tersendiri untuk meneruskan perjuangan mereka dan menurut Fakhrul atau nama penuhnya Muhammad Fakhrul Islam Md. Zarin, 24, dia mahu menimba ilmu sebanyak mungkin. Ujarnya, bukan mudah untuk seseorang itu belajar secara langsung daripada individu-individu yang terlibat sebagai tenaga pengajar menerusi program ini, jadi ini adalah peluang utama buat dirinya. "Sebelum menyertai program ini, saya memang sudah aktif memberi ceramah dan motivasi keagamaan, tetapi pencarian terhadap ilmu itu perlu diteruskan dan setiap peluang dimiliki harus direbut. "Saya mahu membawa suatu perubahan kepada generasi muda iaitu dengan mengajak individu-individu seusia dengan saya untuk lebih mendalami ilmu agama dan bukan hanya mengejar duniawi, jelasnya yang berasal dari Melaka. Sementara itu, menurut Attanthowi Yusof, 31, atau lebih mesra dengan panggilan Thowi, tugas sebagai seorang pendidik sudah sebati dengan dirinya kerana sebelum ini dia juga merupakan seorang pensyarah. "Banyak ilmu yang telah saya perolehi melalui program ini, antaranya adalah berhubung kemahiran berkomunikasi dan pertuturan secara formal dan tidak formal. "Sebagai seorang pensyarah, mungkin komunikasi saya lebih banyak berbentuk formal namun tugas sebagai pendakwah memerlukan kita mengaplikasi pelbagai cara dan program ini banyak membantu memperbaiki kemahiran tersebut," jelasnya pula. Seorang lagi peserta yang mendapat undian tiga terbawah dan berkemungkinan terkeluar pada minggu kelima program tersebut adalah seorang yang sudah berada dalam bidang dakwah kira-kira 23 tahun lamanya iaitu Shahul Hamid Seeni Mohd., 38. Shahul yang juga merupakan seorang pengetua sebuah Sekolah Agama Maahad di Pulau Pinang menjelaskan bukan sesuatu yang mudah buat dirinya belajar sesuatu yang baharu apabila sudah terbiasa dengan cara-cara tersendiri dalam menyampaikan tugas dakwah. "Antara cabaran utama buat diri saya adalah untuk mempelajari teknik penyampaian dakwah yang berbeza dengan cara yang sudah biasa saya lakukan. "Namun proses pembelajaran adalah sepanjang hayat dan penyertaan dalam program ini membuka peluang saya untuk menyampaikan tugas-tugas dakwah dalam cara yang lebih besar berbanding sebelum ini," jelasnya yang mengimpikan untuk membangunkan sebuah perkampungan Islam di kawasan Pulau Mutiara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |