Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Harun Salim Bachik putuskan keluar daripada Seniman Posted: 05 Dec 2013 12:41 AM PST Oleh MOHAMAD ARIFF MOHD YUSOF PETALING JAYA 5 Dis. - Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli persatuan itu. Pelakon dan pelawak yang menerajui persatuan itu pada 2010 hingga 2012 itu berkata, perkara itu akan dibuat selepas kes saman yang membabitkannya serta beberapa ahli lain seperti Zed Zaidi dan Yusof Kelana selesai. "Saya akan bayar saman tersebut dan serta-merta keluar daripada persatuan. Buat apa lagi hendak tunggu, tak mungkin saya akan (dapat) berjasa untuk Seniman lagi. "Jika dahulu, Seniman akan menguruskan setiap masalah para penggiat seni tanah air. Tetapi bila dah jadi begini, pada siapa saya hendak mengadu. Saya rasa tertipu dan teraniaya," katanya yang ditemui ketika sesi pratonton filem Papadom 2 di Damansara, semalam. Tambah Harun, dia reda dan terima dengan setiap keputusan yang telah ditetapkan. "Apa yang saya tahu, saya tidak buat perkara tersebut, biarlah apa orang hendak cakap, yang penting Allah maha mengetahui atas sebarang tindakan saya. "Saya tetap akan meneruskan kerjaya dalam bidang seni, jika tidak apa lagi yang saya hendak buat. Saya harap tiada apa-apa masalah untuk masa akan datang. Orang juga kenal sepanjang perjalanan karier saya memang tiada isu," katanya. Tambahnya, selama berkecimpung dalam bidang industri, beliau hanya berpegang kepada satu prinsip. "Saya percaya, selagi saya tidak menganiaya orang, orang tidak akan buat benda yang sama pada saya. Mungkin ada petunjuk di sebalik kejadian ini," katanya yang turut berlakon dalam filem Ular bersama pelakon Lisa Surihani. Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan mesyuarat agung ke-14 persatuan berkenaan pada 25 Mei 2012 tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang. Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 04 Dec 2013 11:46 PM PST Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI NAS Adila da aliff berduet untuk lagu Aku Sakit Hati "Tentang perkara itu, saya rasa saya tidak mahu beri komen lagi memandangkan semuanya sudah terjawab." Itu kenyataan yang diberikan oleh penyanyi Nas Adila, saat diajukan soalan tentang hubungannya dengan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah. Sebelum ini, gosip mengenai kedua-dua artis ini bertiup kencang apabila ada yang mengatakan Jamal bakal bertunang dengan Nas Adila. Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, Jamal membuat kenyataan bahawa dia terpikat dengan kelembutan wanita berkenaan, namun belum mahu mengesahkan status hubungan tersebut. Nas pula menyambut dengan mengatakan Jamal sebagai lelaki yang matang untuk dijadikan seorang suami. Namun, ketika ditanya perkembangan tentang gosip itu kini, mulut Nas ibarat terkunci, mungkin kerana memikirkan jawapan yang bersesuaian untuk diberikan. "Rasanya tidak perlulah dihebohkan lagi tentang perkara ini. Datuk Jamal sendiri sudah menjawab persoalan ini. Malah, saya sendiri pun tidak pasti bagaimana cerita sebegini boleh keluar," ujarnya. Berborak tentang dirinya dan Jamal, ujar Nas, dia sangat mengagumi Jamal apatah lagi berpeluang berkongsi pentas dalam membuat persembahan. "Keserasian dengan Datuk Jamal sudah ada. Itulah agaknya Datuk jemput saya untuk membuat persembahan bersamanya selama ini. "Rasanya, yang paling terbesar pernah saya lakukan ialah ketika dijemput oleh Datuk untuk menyanyi di Istana Budaya. Itu yang paling saya tidak dapat lupakan," ujarnya teruja. Tambah Nas, mungkin disebabkan sebelum ini mereka banyak berpasangan ketika menyanyi dan dari situ timbul gosip mengatakan dia rapat dengan Jamal. "Sekarang ini memang saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara ini kerana yang penting, saya hanya mahu fokus pada kerjaya sahaja," jelasnya. Ditanya sama ada sudahkah dia bersedia untuk berumah tangga, jelas Nas, dia sudah bersedia untuk bergelar isteri. "Saya memang sudah bersedia untuk berumah tangga ditambah pula bila melihat rakan-rakan lain yang sudah bergelar isteri. "Saya menyerahkan soal jodoh ini kepada takdir. Andai sudah ditetapkan jodoh saya, saya terima dengan hati terbuka," ujarnya. Ditanya mengenai kriteria lelaki yang menjadi idamannya, ujar Nas, dia lebih selesa dijodohkan dengan lelaki beriman, berakhlak dan bertanggungjawab. Selesa bersama bekas kekasih Pada masa sama, ramai yang tidak mengetahui tentang kisah percintaan Nas dan Aliff. Cuma kisah perpisahan mereka sahaja yang menjadi perhatian umum. Namun, status sebagai bekas kekasih itu tidak menghalang untuk kedua-duanya bekerjasama. Malah, ketika sesi pengambaran, pasangan ini nampak tidak kekok. Ditanya mengenai hubungannya bersama Aliff kini, jelas Nas, dia sebenarnya selesa untuk bergelar rakan dengan Aliff dan ia tidak lebih daripada itu. "Saya selesa bekerjasama dengan Aliff. Lagipun saya dah kenal lama dengan dia. Jadi, itu yang memudahkan kerjasama antara dia dan saya," jelasnya. Terbaru, pasangan ini akan bekerjasama menjayakan teater Gelanggang Tok Wali dan juga sedang menyiapkan lagu duet berjudul Aku Sakit Hati. Sudah alang-alang bekerjasama, tidakkah terbuka pintu hatinya untuk menerima Aliff semula sebagai kekasih, jelas Nas, buat masa ini, dia lebih selesa dengan status berkawan sahaja. "Saya putus dengan Ariff pun dah hampir setahun. Sebab kami putus adalah kerana hal yang mungkin terlalu peribadi untuk dikongsikan," ujarnya. Tambah Nas, dia mahu menutup terus tentang kisah percintaan lalu bersama dengan Aliff dan tidak mahu ia timbul semula. "Cerita seperti ini sebenarnya melibatkan ramai pihak termasuk keluarga Aliff. Sebab itu saya tidak mahu memanjangkan perkara yang telah lalu. "Saya selesa dengan hubungan sekarang ini dan rasanya lebih baik kami kekal seperti ini sahaja," jelasnya yang mengenali adik dan kakak Aliff. Lagu duet berjudul Aku Sakit Hati dendangan Nas dan Aliff nampak seperti ada udang di sebalik batu. Masakan tidak, lagu itu dicipta sendiri oleh Aliff dan liriknya oleh Nas sendiri. Namun, nampak seperti kedua-duanya mengambil kesempatan untuk meluahkan tentang isi hati masing-masing dalam lagu. Ketika ditanya kepada Aliff adakah lagu itu berdasarkan kepada kisah cintanya bersama dengan Nas, dia menyangkal dakwaan itu. "Memang lagu itu adalah berdasarkan kepada pengalaman kami tetapi mungkin pengalaman yang berbeza antara saya dan dia. "Kami kenal dah lima tahun dan awal tahun lalu kami berpisah. Mungkin ada sedikit kisah antara saya dan dia terkandung dalam lagu itu. Tetapi mungkin juga ada kisah lain dalam lagu itu," katanya. Jelas Aliff, dia kini lebih selesa untuk menjadi pemerhati sahaja dalam hidup Nas dan ia tidak lebih daripada itu. "Hubungan dengan Nas masih lagi rapat. Malah, kehidupan saya kini lebih positif walaupun kami sudah bergelar rakan. "Saya mengambil semua yang berlaku dalam hubungan kami sebelum ini sebagai satu hikmah. Mungkin sudah tiada jodoh dan kita sebagai manusia tidak boleh menolak ketentuan tuhan," ujarnya. Menyambung bicara mengenai kariernya kini, jelas Aliff, dia kini bekerja di Alliance University di bahagian korporat secara sepenuh masa. Bagi Aliff, dia bersyukur kerana walaupun bekerja sepenuh masa di universiti itu, tetapi majikannya sedikit pun tidak menghalang dia daripada terus terlibat dalam dunia seni. "Saya masih lagi bergelar pelakon dan penyanyi. Alhamdulillah, majikan pun beri saya peluang untuk meneruskan minat saya," jelasnya yang masih solo. " |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |