Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Konsert OTM Bersama Bintang di IB Januari depan Posted: 06 Dec 2013 04:02 AM PST KUALA LUMPUR 6 Dis. - Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Bersama Bintang bakal diadakan bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula pada 24 hingga 26 Januari tahun hadapan. Konsert tersebut bakal menampilkan empat penyanyi popular pada era kegemilangan Pop Yeh Yeh iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramli dan A. Halim. Konsert yang diarahkan oleh Lokman Ghani tersebut bakal menyaksikan penonton dihiburkan dengan sejumlah 30 buah lagu popular pada sekitar tahun 1960-an. Tiket berharga RM250, RM200, RM150, RM120, RM100, RM70, RM50 dan RM30 boleh didapati dengan melayari laman web di http://redtix.airasia.com atau hubungi talian 03-87754666 atau 03-40265520. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 05 Dec 2013 10:55 PM PST Oleh GARRET DAWUM PASANGAN Azri Iskandar dan Ellie Suriaty menganggap tolak ansur dan sabar sebagai 'perencah' kebahagian rumah tangga. LAMA sudah tidak mendengar kisah keluarga pasangan pelakon Azri Iskandar dan Ellie Suriaty Omar. Kehidupan bahagia mereka yang kekal sehingga hari ini pasti ingin diketahui oleh ramai orang. Gerbang perkahwinan yang dibina hampir sepuluh tahun itu kukuh sehingga dikurniakan empat orang anak pasti menguatkan lagi tiang seri keluarga Azri dan Ellie. Namun, nasib mereka tidaklah sebagus pasangan selebriti yang lain kerana telah kehilangan dua orang cahaya mata kesayangan. Yang pasti, Azri dan Ellie tidak menjadikan kehilangan itu sebagai bebanan untuk mereka. Jika dilihat, mereka masih bertahan menjadi pelakon hingga ke hari ini. Malah Ellie berani membuka langkah sebagai seorang pengarah. Membuka bicara ketika sesi fotografi yang diatur dalam rangka mempromosikan filem Penanggal arahan Ellie yang ditayangkan sejak 28 November lalu, menitis air mata Ellie berkongsi cerita mengenai kisah kehilangan anak bongsunya, Ahmad Muhammad Iskandar ketika dalam kandungan lima bulan. Kejadian itu benar-benar menikam kalbu, katanya. "Arwah anak saya dikebumikan di Kuala Kangsar. Semangat dia masih bersama dengan saya dan saya tidak mahu kehilangannya menjadi sia-sia. Saya menjadi kuat untuk dia. Syurga Allah itu luas dan syukur Alhamdulillah, anak bongsu kami ditempatkan di syurga. "Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu, ia merupakan satu pengalaman yang cukup manis dan indah," katanya penuh syahdu. Menyeka air mata yang terus mengalir, si suami, Azri Iskandar pula mula membuka topik lain untuk dibicarakan. Bercerita mengenai resipi kebahagian rumah tangga, Azri memberitahu, sikap tolak ansur dan bersabar adalah dua perisa yang terus membuatkan kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak menjadi kuat. "Rumah tangga tidak akan pernah rosak sekiranya kesilapan yang dibuat dibincang bersama. Pasti ada jalan penyelesaian. Begitulah yang diaplikasikan oleh saya dan Ellie. "Ada masalah, pasti kami akan bincang bersama. Kami akan cuba dapatkan nasihat dari orang yang betul," katanya yakin. Tambah Azri, sepanjang bergelar ibu dan ayah, mereka tidak pernah mengambil orang gaji untuk menjaga anak-anak. Hanya ada mengambil untuk membantu membuat kerja di rumah seperti membersih kawasan rumah. "Sebab itu, saya dan Ellie kadang-kadang membawa anak ke lokasi penggambaran. Kami akan menjaga mereka dengan baik," katanya. Seronok mendengar kisah hidup mereka. Ellie teruskan perbualan dengan keistimewaan yang dimiliki anak sulungnya, Azrell Omar Iskandar yang berusia sembilan tahun. Katanya, Azrell kini sudah pandai menulis. "Tidak menyangka anak saya mempunyai kemahiran itu. Dia ada menulis senaskah skrip berjudul Seminggu Ku Menghilang Di Tasik Biru. Memang saya akan membimbing anak saya hingga dia berjaya suatu hari nanti," ujarnya walaupun mempunyai perbezaan pendapat dengan Azri yang tidak mahu anaknya terlibat di dalam bidang seni. Azri banyak membantu Kesibukan juga tidak menghalang Ellie dan Azri terus menjaga anak masing-masing. Sikap saling membantu itu terus ditanam dalam diri mereka. Azri juga mengakui mengorbankan seketika kerjaya lakonannya untuk menjaga anak di rumah. Apatah lagi ketika itu mereka berdepan masalah pembantu rumah yang kritikal. "Pada tahun 2009 saya ada terima tawaran berlakon, manakala tahun 2010 langsung tiada. Bermula dari April 2009 saya mula jaga anak di rumah. Pada 14 September tahun sama, Ellie melahirkan anak kedua. Memandangkan karier dia semakin bagus, saya setuju jaga sendiri anak. "Tak dinafikan perasaan rindu untuk berlakon memang ada masa itu kerana sudah jadi rutin hidup saya tapi terpaksalah sabar seketika kerana memang susah untuk mencari pembantu rumah waktu itu. "Bagaimanapun, itu tak bermakna saya memencilkan diri kerana tetap mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dunia seni. "Maklumlah ia masih lagi jadi kerjaya saya. Kalau tak nak pun, seni sudah menjadi sebahagian hidup saya," katanya sambil mengakui kadangkala tercabar berada di rumah kerana sifat seorang ketua keluarga sepatutnya mencari rezeki. Bercerita mengenai projek filem pertama Ellie iaitu Penanggal, Azri banyak membantu mencari fakta yang diperlukan. "Sambil jaga anak, saya bekerja keras cari fakta untuk watak Yusof dalam filem itu. Saya juga dapatkan info tahun 1930-an yang menjadi latar filem ini. "Kami sama-sama berkongsi idea untuk filem ini agar menimbulkan kesan kepada peminat. "Apatah lagi ia menjadi pertaruhan besar Ellie untuk bergelar pengarah filem," katanya yang berharap masyarakat menyokong filem itu. Menjelaskan perasaannya bekerja di bawah arahan isteri sendiri, Azri berkata ia bukanlah satu masalah besar. Baginya soal perasaan ditolak tepi seketika kerana yang penting ialah kerja mereka berjalan lancar. UNTUK menyiapkan praproduksi filem Penanggal, masa dua tahun telah diambil dan akhirnya naskhah yang diberi judul The Curse of the Malayan Vampire dalam bahasa Inggeris itu menelan belanja bernilai kira-kira RM2.8 juta. Penanggal mula menjalani penggambaran pada bulan Disember 2011 sehingga Januari 2012. "Musim hujan sering terjadi di bulan Disember. Semasa menjalani penggambaran, Alhamdulillah, cuaca sangat baik. Tapi apabila kami selesai, hujan baru hendak mula turun," cerita Ellie tentang filem yang membariskan pelakon-pelakon berbakat seperti Ummi Nazeera, Azri Iskandar, Zul Ariffin, Fasha Sandha dan ramai lagi. Sedikit kekesalan terus diluahkan Ellie yang baru pertama kali mengarah filem apabila terlalu banyak potongan babak terpaksa dilakukan untuk memenuhi klasifikasi P13. Siapa sahaja yang bergelar pengarah, jika ada babak yang dipotong dalam filemnya, mereka pasti akan sedih. Begitu juga dengan Ellie. "Memang sedih apabila babak demi babak terpaksa dipotong untuk memenuhi kehendak P13 yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) selain untuk memenuhi tempoh filem dan produser perlukan klasifikasi tersebut untuk mendapatkan kutipan. "Tetapi saya tidak mahu menyalahkan pada mana-mana pihak. Apabila sesetengah babak dipotong, pastinya jalan cerita akan berubah. Sesungguhnya, soal kepuasan peribadi saya letak ke tepi," ujarnya yang menganggap tiada cabaran untuk menyudahkan filem itu kerana tenaga produksi telah memberikan usaha sebanyak 500 peratus. "Saya tidak boleh berdiri seorang dan filem ini tidak akan berjaya tanpa adanya penerbit, tenaga produksi, barisan pelakon dan semua yang terlibat dalam usaha menjadikan filem ini realiti. Terima kasih saya ucapkan," tutur Ellie sambil menyangkal kenyataan sesetengah pengkritik filem yang menyifatkan Penanggal sebuah karya yang kacau-bilau, bercelaru dan tidak disunting sempurna atas dasar potongan babak. "Ini sebuah filem mistik dan adalah wajar untuk meletakkan unsur semiotik (hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan) dan Penanggal juga sebuah filem konseptual yang tidak bermaksud untuk membuatkan penonton keliru. "Oleh itu, teknik suntingan tertentu perlu dilakukan terhadap sebuah filem konseptual seperti ini," jelasnya. Sementara itu, Ellie turut mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan Penanggal memuatkan terlalu banyak elemen terutama latar masyarakat Melayu, Jawa dan Arab. "Latar masa filem ini adalah di sekitar tahun 1930-an. Orang Arab sudah lama bertapak di sini, begitu juga orang Jawa yang datang ke Tanah Melayu. Menarik untuk saya selami dan meneroka budaya-budaya tersebut dalam filem ini," ulas Ellie. Memandangkan Penanggal sebuah filem seram, tidak salah jika Ellie turut berkongsi pengalaman mistik sepanjang penggambaran. Katanya, kru produksi berdepan detik cemas apabila sebatang pokok berhampiran tempat jurusolek kesan khas melakukan kerja, tumbang sejurus salah seorang pelakon siap ditatarias. "Sudah tentu setiap kali sebelum penggambaran, tenaga produksi akan memastikan aspek keselamatan dan memasang 'pendinding' daripada gangguan makhluk halus terutama ketika berada di hutan," kata Ellie. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |