Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Pekerja balak mati dibaham buaya 'Bujang Pantu' Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST SRI AMAN 21 Dis. - Misteri kehilangan seorang pekerja balak selepas keluar mandi di Sungai Enciap, Pandu dekat sini semalam, terjawab apabila mayatnya ditemui dengan tangan terputus oleh penduduk kampung dipercayai dibaham seekor buaya. Mayat Aladin Shebli, 56, berasal dari Lingga, ditemui pukul 8.25 malam tadi iaitu hanya kira-kira lima meter dari tempat buaya dikenali sebagai 'Bujang Pantu' dilihat muncul sebelum itu. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohammad berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan mandi seorang diri di sungai tersebut dan dilaporkan tidak pulang selepas itu. Menurut beliau, isteri mangsa yang risau suaminya tidak pulang segera mencarinya di sekitar kawasan tebing sungai tersebut namun gagal menemui lelaki berkenaan. "Setelah gagal mencari suaminya, isteri mangsa bergegas pulang ke rumah pekerja kem pembalakan di situ dan memaklumkan kehilangannya. "Pekerja kem segera menjalankan gerakan mencari mangsa tetapi turut gagal lalu sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Mat Jusoh berkata, polis telah telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum dihentikan selepas mayatnya ditemui oleh penduduk kampung. Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan, tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian mangsa. "Mayat mangsa ditemui terapung berdekatan tebing sungai dan tangan kirinya didapati putus dipercayai akibat gigitan buaya," katanya. Ujar Mat Jusoh, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya. |
461 pengawal keselamatan haram ditahan Posted: 21 Dec 2013 10:01 AM PST PUTRAJAYA 21 Dis. - Operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membanteras pengawal keselamatan warga asing yang bekerja secara haram di seluruh negara berjaya menahan seramai 461 orang sehingga 17 Disember lalu. Turut ditahan 35 pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja. Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, dalam tempoh itu, pihaknya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 30 syarikat kawalan keselamatan kerana melanggar peraturan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971. "Antara kesalahan dikesan adalah menggunakan pengawal keselamatan warga asing yang masuk ke negara ini secara haram dan menggunakan kad pengenalan palsu, mengupah pengawal yang tidak mempunyai lesen senjata api dan tidak melakukan tapisan terhadap pengawal keselamatan. "Operasi tersebut dijalankan secara berterusan bagi menangkap pengawal keselamatan warga asing haram dan juga memantau kesalahan yang dilakukan oleh syarikat kawalan keselamatan seluruh negara. "Kementerian juga akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap penggunaan senjata api kepada semua syarikat persendirian dan pengawal keselamatan selain memperketatkan prosedur serta syarat untuk permohonan lesen membawa dan menggunakan senjata api," katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini. Menurut Abdul Rahim, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang melanggar undang-undang dan tindakan tindakan tegas akan diambil. "Sejak 2010 hingga 2013 kementerian telah menggantung dan membatalkan lesen 43 buah syarikat kawalan keselamatan ekoran pelbagai kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971. "Dalam operasi penguatkuasaan bersepadu itu yang turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen itu, kementerian turut melakukan audit secara menyeluruh terhadap semua syarikat kawalan keselamatan yang dilesenkan bagi mengenal pasti syarikat yang bermasalah untuk diambil tindakan lanjut," katanya. Sementara itu, katanya, operasi yang dilakukan turut mendapat maklum balas positif daripada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) dan masyarakat di samping dapat menambah peluang pekerjaan serta menggalakkan syarikat kawalan keselamatan menggunakan tenaga kerja tempatan. "Kementerian juga telah meminta PPKKM untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan bagi memastikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada syarikat kawalan keselamatan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |