Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Hapuskan orang tengah
- Zamri kuasai pertandingan seni khat terbuka
- 820 peserta jayakan JB Heritage Rides
Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST Oleh ZULHISHAM ISAHAK ISMAIL Mohamed (dua, kiri) dan Selahuddeen Abd. Aziz (kiri) menyembur air kepada kanak-kanak pada Program Khatan Perdana Parlimen Pagoh 2013 di Klinik Kesihatan Lenga, di Pagoh, Johor, kelmarin. PAGOH 1 Dis. - Usaha mengurangkan rantaian orang tengah dalam pemasaran hasil pertanian akan dilakukan bagi memastikan petani dapat menjual hasilnya pada harga yang tinggi secara terus tanpa perlu bergantung dengan pihak terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, antara langkah yang akan dilakukan bagi membantu golongan petani ialah menjual hasil pertanian mereka di kedai rakyat atau di pasar tani. "Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu para petani terutama di kawasan kampung atau luar bandar dengan membuka pasar tani supaya hasil pertanian mereka boleh dijual terus tanpa penglibatan orang tengah. "Contohnya di Pagoh kita ada pasar tani di pekan Gombang yang cukup mendapat sambutan dan dapat membantu menjana ekonomi petani dan kita akan buka pasar tani baharu di Kampung Baru, Lenga dan kita harap penduduk tempatan akan sokong kerana setakat ini hanya ada enam penjaja. "Kita harap semua petani hantarkan hasil pertanian mereka ke pasar tani itu dan peniaga juga akan bertambah bagi memastikan pasar tani tersebut mendapat sambutan," katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Pagoh 2013 di Klinik Kesihatan Lenga dekat sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Zaid Abd. Rahman merangkap Pegawai Khas Kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seramai 45 kanak-kanak dari daerah ini dikhatankan melalui program tersebut yang dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh dengan kerjasama Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Pejabat Kesihatan Daerah Muar. Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, sebelum ini orang tengah meraih keuntungan tinggi berbanding petani yang memperoleh hasil jualan sedikit sahaja. Sementara itu, Zaid berkata, Pemuda UMNO Bahagian Pagoh memperuntukkan hampir RM4,000 untuk membiayai kos 45 peserta program khatan itu yang melibatkan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun dalam kawasan berkenaan. |
Zamri kuasai pertandingan seni khat terbuka Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST ZULKURNAIN Kamisan (kiri) menyampaikan cek replika kepada Zamri Amid sempena Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013 di Galeri Seni Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 1 Dis. - Seorang usahawan khat di Muar mengungguli tempat pertama dalam dua kategori karya siap iaitu kategori kanvas dan kategori kayu sempena Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000. Zamri Amid, 38, turut memenangi hadiah tempat ketiga bagi kategori penulisan secara spontan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500. "Sangat bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini yang menjadi pembakar semangat saya untuk terus menghasilkan karya khat lebih bermutu tinggi dan menarik," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di sini semalam. Hadiah pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Zarina Abdul Kadir. Pertandingan Seni Khat kali ke-4 itu mendokumentasikan warisan seni Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang dalam bentuk seni penulisan khat. Penyertaan kali ini sangat menggalakkan bukan sahaja dari Johor malah terdapat peserta dari Terengganu, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dengan 55 penyertaan bagi kategori spontan dan 45 penyertaan bagi kategori karya siap. Menurut Zamri, bagi kategori kanvas, dia menukil keindahan khat menerusi tajuk Kelopak Rasa yang mengetengahkan tiga jenis khat iaitu Thuluth, Nasakh dan Dewani manakala bagi kategori kayu pula, menerusi karya bertajuk Guru Oh Guru, dia memilih tiga jenis khat iaitu Kufi, Thuluth dan Nasakh. |
820 peserta jayakan JB Heritage Rides Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST JOHOR BAHRU 1 Dis. - Seramai 820 peserta menyertai Johor Bahru Heritage Rides 2013 di Dataran Bandaraya di sini hari ini bersempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Program kayuhan basikal itu anjuran Pejabat Daerah Johor Bahru, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru, Gerakan Belia 4B Kawasan Pulai dan Kelab Berbasikal Ronda Riadah Johor Bahru Selatan. Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A. Rahman berkata, program kayuhan sejauh 20 kilometer di sekitar bandar raya itu bertujuan memupuk budaya sihat dan cergas di kalangan masyarakat di negeri ini. "Kita merancang mengadakan program ini sebagai tanda memperingati Hari Keputeraan Sultan Johor dalam usaha menerapkan rasa cinta dan hormat kepada negeri ini selain mahu memupuk budaya yang sihat. "Kita gembira ramai yang menyertai aktiviti ini hari ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian program oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |