{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


20 tahun terima bantuan kerajaan

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

ADNAN Mohd. Yassin menyampaikan sumbangan kepada Musman Rahmat yang menderita penyakit sendi di rumahnya di Parit Haji Siraj, Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 20 Dis. - Seorang warga emas yang menderita penyakit sendi sehingga tidak mampu berjalan terharu dengan bantuan oleh agensi dan wakil rakyat kepada dirinya sejak 20 tahun lalu.

Musman Rahmat, 65, yang tinggal di Parit Haji Siraj di sini mendakwa hanya menyara diri dengan bantuan kerajaan sejak tidak mampu berjalan selain ihsan ibunya yang merupakan seorang peniaga berusia 84 tahun.

"Sejak menderita penyakit ini saya tidak mampu berbuat apa-apa, ibu yang selalu menemani saya walaupun dia tidak tinggal bersama saya di rumah ini, selain itu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi sumber saraan.

"Rumah yang saya diami ini adalah rumah sementara kerana di rumah ibu, saya tidak mampu menaiki tangga disebabkan itu saya tinggal di sini keseorangan dan dijenguk oleh saudara," katanya ketika menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini baru-baru ini.

Musman berkata, selain JKM dan agensi kerajaan lain, dia turut menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali.

"Walaupun keadaan begini masih ada masyarakat yang prihatin terhadap saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkaitan. Saya juga tidak akan melupakan jasa ibu yang banyak membantu saya menyediakan barangan keperluan asas dan makanan kepada saya," katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Adnan Mohd. Yassin berkata, pihaknya memberi bantuan pesakit terlantar sebanyak RM300 sebulan kepada Musman bagi menyara dirinya selain mendapat ubat dan pemeriksaan di hospital.

"Dia layak menerima bantuan terbabit kerana dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu untuk bekerja," katanya.

RM200,000 baiki sekolah rosak akibat banjir

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

SHAHRUNI Aslam (kiri) menyerahkan beg sekolah kepada Mohd. Nor A. Ghani di pejabat Jabatan Pendidikan Johor, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih sebanyak 15 buah sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir di negeri ini baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, pihaknya telah meminta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang terlibat untuk memastikan kerja-kerja baik pulih tersebut dapat disiapkan sebelum sesi baharu persekolahan bermula tidak lama lagi.

"Dua buah sekolah di Batu Pahat dan Mersing mengalami kerosakan akibat dinaiki air manakala selebihnya menjadi pusat pemindahan bagi mangsa banjir.

"Bagaimanapun, kesemuanya hanya mengalami kerosakan kecil dan kerja-kerja baik pulih yang telah dijalankan dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan sebanyak 1,500 beg sekolah dan alat tulis menerusi Tabung Tijarah Ramadan Yayasan Johor Corporation oleh Pengerusi Jawatankuasa Tabung Tijarah Ramadan, Shahruni Aslam di pejabat Jabatan Pelajaran negeri, di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, susulan pertukaran cuti hujung minggu bagi negeri ini pada hari Jumaat dan Sabtu bermula tahun depan, sesi persekolahan bagi semua sekolah kerajaan di negeri ini akan bermula pada 1 Januari.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan lebih RM121 juta bagi membantu pelajar di negeri ini antaranya menerusi rancangan makanan tambahan, bantuan awal persekolahan dan baucar Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M).

Sementara itu, menurut Shahruni, sumbangan tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan pihaknya bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2005, tabung tersebut yang berjaya mengumpul dana kira-kira RM2.6 juta hasil sumbangan orang ramai, badan korporat termasuk syarikat Kumpulan Johor Corporation telah membelanjakan kira-kira RM2.3 juta bagi membantu golongan yang memerlukan.

Kg. Sedeng bakal dapat surau baharu

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

SEGAMAT 20 Dis. - Kira-kira 300 penduduk Kampung Sedeng, di sini bersyukur kerana impian mereka untuk mendapat surau baharu bernilai RM250,000 bagi menggantikan surau lama yang usang akhirnya tercapai.

Dana sebanyak RM150,000 diberikan menerusi peruntuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, manakala RM100,000 sumbangan Unit Penyelaras dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata, sebelum ini penduduk Kampung Sedeng terpaksa bersembahyang jemaah di surau yang telah usang, namun apabila siapnya surau yang baharu nanti, mereka dapat mengerjakan solat lima waktu dengan lebih selesa.

"Surau baharu ini akan siap sepenuhnya dan boleh digunakan awal tahun depan selepas tiga bulan kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan mulai Oktober lalu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka mendekatkan diri dengan aktiviti surau dan masjid bagi mengimarahkan lagi rumah Allah.

Menurutnya, umat Islam harus menjadikan amalan mengimarahkan surau dan masjid sebagai cara hidup selain untuk mencari ilmu keagamaan serta menyusun program untuk menarik minat golongan remaja mendekati masjid.

Sementara itu, Ketua Kampung Pogoh 6, Kamaruddin Ahmad berkata, dengan adanya surau baharu itu nanti, penduduk kampung dapat menjalankan pelbagai kegiatan untuk manfaat ahli kariah.

"Sebelum ini surau lama hanya menggunakan papan kayu dan selepas ini bangunan surau yang baharu sepenuhnya adalah batu. Bangunan surau lama tidak akan dirobohkan, sebaliknya akan dijadikan balai Islam dengan pelbagai lagi kemudahan lain," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat