Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Operasi banteras iklan ah long
- Kes denggi di Johor meningkat akibat banjir
- Skuad Penyayang Wanita UMNO ke Labis, Segamat
Operasi banteras iklan ah long Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST Oleh IFQDAR RAHMAN KULAIJAYA 17 Dis. - Iklan-iklan ah long di kawasan awam dilaporkan semakin berkurangan hasil Ops Cantas Khas yang dilancarkan secara berterusan di seluruh daerah ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Supritendan Lyidia Mastura Alias berkata, namun masih terdapat ah long yang keras kepala dengan menaikkan semula iklan perkhidmatan mereka. "Mereka turut mengedarkan risalah atau kad nama di premis perniagaan sama ada menerusi peti pos ataupun diselitkan di pintu premis serta pengelap cermin depan kenderaan. "Operasi hari ini mensasarkan untuk menurun atau menanggalkan sekurang-kurangnya 200 poster di empat lokasi 'panas' di sekitar Taman Putri dan Bandar Putra. "Tindakan seterusnya mengemukakan nombor tertera kepada syarikat telekomunikasi untuk disenaraihitamkan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi membanteras iklan ceti haram, di sini hari ini. Menurut beliau, operasi berkenaan mendapat kerjasama daripada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu). "Operasi selama tujuh jam yang bermula kira-kira pukul 8 pagi berkenaan diadakan di empat lokasi iaitu Taman Putri Fasa 1, 2, 11 dan 12 selain Jalan Kempas serta Jalan Merbau di Bandar Putra," katanya. Tambah Lyidia Mastura, pihaknya telah menahan 10 individu yang melakukan kesalahan terbabit manakala lapan daripadanya telah didakwa di mahkamah sepanjang tahun ini. "Pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang Pindaan 2010 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. "Maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan ini amatlah dialu-alukan. Bagaimanapun, mengenai aduan berhubung poster ah long ini biasanya dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya. |
Kes denggi di Johor meningkat akibat banjir Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST Ayub Rahmat (dua dari kanan) tertarik melihat pokok diperbuat daripada botol plastik yang dikitar semula sambil diperhatikan Onn Jabbar (dua dari kiri) sempena Seminar Alam Sekitar 2013 di Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 17 Dis. - Bencana banjir yang berlaku di negeri ini turut menyebabkan pertambahan jumlah kes denggi terutama di Segamat yang menyaksikan seorang lagi menjadi mangsa penyakit bawaan nyamuk tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah kematian di seluruh negeri kini meningkat kepada sembilan orang akibat korban terbaru itu. "Faktor hujan yang mengakibatkan air bertakung dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat keperluan memusnahkan kawasan takungan air menjadi punca peningkatan kes denggi seperti tin kosong dan kawasan takungan air yang dibiarkan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. "Ini merupakan perkara serius yang memerlukan tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan menyelesaikan masalah ini dari peringkat awal lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar 2013, dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar. Dalam pada itu, Ayub berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri juga sudah bersiap-sedia untuk menghadapi cabaran gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku esok seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi. Beliau bagaimanapun optimis gelombang kedua itu tidak akan memberi kesan yang teruk berdasarkan jumlah taburan hujan yang berlaku di negeri ini setakat ini sudah mendekati purata taburan hujan untuk setahun. "Johor menerima hujan secara purata pada 2,148 milimeter setahun dan setakat ini kita sudah menerima 2,048 milimeter hujan. Baki 100 milimeter lagi yang bakal turun tidak akan menjejaskan atau berlaku banjir besar walaupun turun dalam tempoh sehari, kecuali kawasan rendah yang akan dinaiki air," katanya. |
Skuad Penyayang Wanita UMNO ke Labis, Segamat Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST SEGAMAT 17 Dis. - Program Jom Bantu Mangsa Banjir yang dijalankan oleh Skuad Penyayang Wanita UMNO membuktikan ahlinya bukan setakat turun padang menjelang pilihan raya untuk meraih undi sebaliknya memainkan peranan membantu mangsa bencana banjir. Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Mariany Mohamad Yit berkata, hampir 1,000 bungkusan berupa barangan keperluan harian selain dapur, selimut, bantal, tilam dan wang tunai diagihkan kepada mangsa bencana banjir di Parlimen Segamat dan Labis dalam program tersebut di sini hari ini. "Selain menghulurkan bantuan tersebut, kami juga berusaha mengembalikan semangat mereka yang mungkin berasa kecewa dengan kemusnahan harta benda ketika dilanda banjir selain menilai keperluan mendesak yang dapat kami bantu pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di Kampung Lembah Bakti, Tenang Stesen, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim. Seramai 80 ahli Pergerakan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan dan Negeri Johor bersama wakil beberapa syarikat yang menaja program tersebut seperti Adabi, Media Prima dan CMA CGM Malaysia Sdn. Bhd. terlibat dalam program berkenaan. Selain barangan yang dihulurkan, semua peserta juga mengadakan gotong-royong memasak bersama mangsa banjir di Gemereh bertujuan mewujudkan kemesraan antara peserta dan mangsa banjir di samping melahirkan keceriaan yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban mangsa. Mariany berharap program tersebut akan menjadi titik tolak dan contoh kepada lebih banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta swasta tampil membantu mangsa bencana pada masa akan datang. Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain berkata, program tersebut tidak harus diukur dari sudut nilai kebendaan sebaliknya harus dilihat dari sudut nilai kemanusiaan yang mampu diwujudkan kerana ramai tidak pernah merasai susah payah mangsa banjir. "Melalui program sebegini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai pengalaman baharu yang mampu dijadikan panduan bagi membantu mangsa bencana banjir pada masa depan. Bukan sahaja keperluan ketika kejadian tetapi juga sewaktu pulang ke rumah masing-masing selepas air surut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |