Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Pemuda Johor bantu mangsa banjir Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST Oleh MOHAMED SAARI HAHASRIN Hashim (tengah, topi putih) bertanyakan khabar mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Pogoh 2, Segamat, Johor, kelmarin. - BERNAMA SEGAMAT 7 Dis. - Seramai 50 orang sukarelawan Sekretariat Bertindak Bencana Pemuda UMNO Johor turun padang melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah ini semalam sambil menghulurkan sedikit bantuan berupa barangan keperluan harian. Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim berkata, usaha sukarelawan sekretariat yang baru ditubuhkan itu bertujuan membantu meringankan beban serta memberi semangat kepada mangsa yang sedang berdepan dengan musibah. "Secara asasnya, gerakan ini merupakan pertama kali melibatkan setiap ahli Pemuda di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya negeri untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir yang terdapat di pusat pemindahan seperti yang kami lakukan hari ini. "Antara pusat pemindahan banjir yang kami kunjungi hari ini ialah di Balai Raya Gemereh 4, Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Pogoh 2 yang jumlah mangsa banjirnya masih mencatatkan jumlah yang ramai setakat hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia. Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn dan Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Salleheen Mohamad serta beberapa lagi ketua pucuk pimpinan Pemuda UMNO negeri. Menurut Hahasrin, sukarelawan sekretariat itu akan bertindak sebagai satu pasukan untuk memberi bantuan sekiranya terdapat sebarang kejadian bencana di negeri ini selaras dengan usaha Pemuda UMNO Pusat yang menubuhkan Briged Kesatria yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Selain itu sekretariat tersebut juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membantu melaksanakan kerja-kerja sukarelawan. "Harapan kami ialah apa yang kami lakukan ini dapat memberi semangat serta kekuatan kepada mangsa untuk menghadapi musibah yang menimpa dengan penuh kesabaran dan sumbangan yang kami hulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. "Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan wakil pusat pemindahan bagi mengenal pasti barangan yang diperlukan dan seboleh-bolehnya tidak mahu sumbangan yang dihulurkan bertindih atau sama dengan sumbangan daripada agensi lain yang turut menghulurkan bantuan," katanya. |
Unit khas kawal kebakaran bangunan bakal diwajibkan Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST JOHOR BAHRU 7 Dis. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan penubuhan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) di semua bangunan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran yang menyebabkan kerugian besar. Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, pendekatan yang diusulkan tersebut kini diteliti kerana melihat kepentingan unit tersebut dalam tindakan awal memadamkan kebakaran apatah lagi bagi bangunan dalam kawasan perindustrian. "Jika sebelum ini, pemilik hanya menepati syarat bagi mendapatkan sijil menduduki dengan penyediaan alat pemadam api dan salur bantu mula, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu menggunakannya. "Menyedari keadaan itu, penubuhan ERT harus dipandang serius kerana boleh memberi bantuan awal selain dapat mengawal kebakaran sekiranya terjadi dan boleh mengurangkan nilai kerugian," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Latihan Pemantapan ERT di sini semalam. Menurut Ab. Ghani, buat masa ini sebanyak 1,103 kilang telah menyediakan ERT dan 102 di peringkat permohonan serta 36 dalam tindakan kelulusan. Beliau berkata, unit tersebut sekurang-kurangnya terdiri daripada 10 orang yang disarankan agar bertugas mengikut syif selama 24 jam. "Saya juga mencadangkan pekerja yang menyertai ERT diberikan insentif kerana selain menjalankan tugas hakiki sebagai pekerja mereka juga bertindak sebagai anggota penyelamat. "Majikan juga dinasihatkan membeli kelengkapan, kemudahan dan pakaian sesuai bagi pasukan ERT," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |