Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Daerah Mersing semakin pulih
- Jambatan runtuh jejas pekebun kecil Segamat
- JPAM Johor sudah bersedia sejak awal
Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR Sebahagian mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Mersing Kanan mengemas barang mereka selepas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, semalam. MERSING 5 Dis. - Keadaan di daerah ini semakin pulih apabila paras banjir semakin surut dengan kebanyakan mangsa sudah dibenarkan pulang. Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau dan SK Mersing Kanan di sini mendapati kebanyakan penduduk sedang bersiap sedia untuk pulang ke rumah masing-masing. Mangsa banjir, Zalini Zailani, 24, dari Kampung Seri Lumpur berkata, dia ingin segera pulang ke rumahnya bagi melakukan kerja pembersihan. Dalam masa sama, dia melahirkan kesyukuran kerana sepanjang tempoh ditempatkan di pusat penempatan banjir tidak berlaku sebarang masalah seperti kekurangan bekalan makanan kerana bantuan tiba tepat pada waktunya. "Saya ingin segera pulang ke rumah kerana saya dapat tahu rumah saya kini dipenuhi lumpur akibat banjir yang berlaku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SK Mersing Kanan di sini. Sehingga kini, sejumlah 17 pusat pemindahan banjir di daerah ini ditutup dan hanya empat daripada 21 pusat pemindahan yang masih aktif iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau, SK Labong, Sekolah Agama Pangkalan Batu dan Kompleks Taman Negara Endau-Rompin. Sementara itu, kanak-kanak, Mohamad Syahmi Rahmat Sadri, 10, berkata, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas beberapa hari ditempatkan di pusat pemindahan banjir memandangkan baru sahaja berkhatan Ahad lalu, sebelum terpaksa dibawa ke pusat pemindahan SK Bandar Endau. "Rumah di Kampung Bahagia dinaiki air awal pagi sehari selepas saya berkhatan. Seronok apabila dapat tahu saya sudah boleh pulang ke rumah kerana saya memang mahu cepat pulang," katanya. Rakannya, Mohamad Zakri Afnan Zuhaili, 10, juga ingin pulang segera dan berehat di rumah selepas turut berkhatan Ahad lalu. "Memang waktu itu air naik dengan cepat sampai paras pinggang menyebabkan saya bersama keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan. Waktu itu saya memang rasa sakit tetapi saya perlu selamatkan diri," katanya. |
Jambatan runtuh jejas pekebun kecil Segamat Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST Yusuf Abd. Hamid menunjukkan bahagian jambatan di Sungai Hulu Segamat berhampiran Kampung Sekijang yang runtuh pada Isnin lalu kerana hakisan tebing berikutan hujan lebat yang turun beterusan selama tiga hari. SEGAMAT 5 Dis. - Kira-kira 4,000 pekebun kecil di Felda Pemanis, Kampung Sekijang, Felcra Sekijang dan Felda Kemelah terjejas apabila sebuah jambatan di Sungai Hulu Segamat berhampiran Kampung Sekijang runtuh sejak Isnin lalu. Seorang penduduk, Rahmat Jaafar, 81, berkata, kejadian berlaku ketika dia memungut biji getah di kebunnya tidak jauh dari jambatan tersebut sebelum kedengaran tiga bunyi seperti letupan kuat kira-kira pukul 9 pagi Isnin lalu. "Saya pergi menyiasat dan mendapati terdapat rekahan selebar kira-kira 15 sentimeter pada lantai jambatan tersebut lebih kurang tujuh meter dari tebing menghala Felda Pemanis. Dalam masa sama saya lihat kedudukan bahagian hujung jambatan tersebut semakin rendah akibat hakisan tanah pada tebing. "Saya segera beredar kerana bimbang keselamatan sekiranya jambatan tersebut runtuh dan tidak sampai 10 minit kemudian, lantai jambatan terjunam ke dalam sungai walaupun tiada arus air yang kuat ketika itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Rahmat yang tinggal kira-kira 100 meter dari jambatan tersebut berkata, sebelum ini, jambatan yang dibina dengan belanja RM350,000 pada tahun 2002 itu pernah rosak disebabkan hakisan tebing sungai pada tahun 2006 dan dibaik pulih tidak lama kemudian, namun faktor serupa dipercayai menjadi punca. Rakannya, Yusuf Abd. Hamid berkata, runtuhnya jambatan itu memberi kesan besar kerana itu adalah laluan untuk mengeluarkan hasil kebun dan terpaksa melalui jalan lain dengan jarak hampir 45 kilometer meter berbanding laluan tersebut sekitar 15 kilometer. "Pihak berwajib telah pun maklum dengan kejadian tersebut dan tinjauan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin serta pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) kelmarin," katanya. Sementara itu, A. Rahim ketika dihubungi berkata, keadaan struktur tanah yang mudah terhakis terutama pada musim hujan sekarang ini menjadikan usaha baik pulih sia-sia dan pihaknya bercadang membina jambatan sementara dengan peruntukan RM500,000. |
JPAM Johor sudah bersedia sejak awal Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST Ghazali Abd Rahman (kanan), Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Mokhtar Ahmad (kiri) dan Penghulu Kampung Pogoh 2, Hamzah Abu Bakar (dua dari kiri) ketika melawat mangsa banjir yang uzur, Abdul Wahid Akim di Pusat Pemindahan Banjir di Kampung Pogoh 2, Segamat, kelmarin. SEGAMAT 5 Dis. - Sebanyak 85 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negeri ini digerakkan di setiap daerah yang terlibat dengan bencana banjir seperti di Mersing, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Ledang dan Muar. Pengarah JPAM Johor, Kolonel Ghazali Abdul Rahman berkata, latihan menghadapi bencana banjir seperti pengendalian bot dan peralatan menyelamat berada pada paras siap siaga dan telah diperiksa bagi memastikan tidak wujud sebarang masalah. "Di setiap daerah terdapat sebuah ambulans yang dibekalkan untuk setiap pejabat JPAM dan kami akan membantu penduduk atau jabatan yang memerlukan perkhidmatan kami seperti membawa mangsa banjir mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. "Anggota JPAM juga ditempatkan di setiap pusat pemindahan untuk membantu mangsa dan sukarelawan banjir termasuk dari segi gotong-royong seperti memasak dan jumlah anggota akan ditambah jika kawasan berkenaan berada pada tahap bahaya," katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat JPAM Segamat, di sini semalam. Yang turut hadir, Pegawai JPAM Segamat, Mohd. Nazlan Ruslan. Menurut Ghazali, situasi banjir di beberapa daerah di negeri ini agak serius seperti di Mersing yang mencatat jumlah mangsa tertinggi diikuti Segamat. Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada laporan kematian atau kecederaan akibat bencana alam itu dan JPAM berharap rekod itu berkekalan sehingga tamat musim tengkujuh. "Seperti di daerah Segamat, anggota JPAM di sini dilengkapi pelbagai peralatan seperti sebuah lori muatan tiga tan, sebuah ambulans, dua buah bot iaitu bot fiber dan aluminium dan sebuah kenderaan land rover," katanya. Dalam masa sama, Ghazali turut mengingatkan orang ramai yang terlibat dengan risiko banjir memastikan segala dokumen penting diletakkan di tempat selamat selain mematuhi arahan berpindah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |