Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 01 Dec 2013 05:13 AM PST Kelolaan RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM PADA siang hari, Kevin Silva dikenali sebagai pembaik amplifier gitar namun apabila malam tiba, lelaki dari Indianapolis, Amerika Syarikat (AS) berubah menjadi manusia kelawar - adiwira terkenal di layar perak. Peminat tegar watak Batman ini sering menghabiskan masa `bertapa' di dalam bilik bawah tanah di rumahnya yang menyerupai Batcave, tidak ubah seperti dalam filem popular itu. Gua pertapaannya itu dipenuhi pelbagai barangan daripada kostum hingga ke pelbagai gajet. Pemuzik kumpulan Alan Kaye And The Toons ini diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai pemilik koleksi Batman terbesar di dunia iaitu sehingga 2,501 barangan. Kesemua koleksinya itu disimpan di dalam bilik bawah tanah rumahnya itu yang turut menempatkan beberapa patung saiz sebenar watak-watak daripada cerita Batman seperti Robin dan Joker. Gua Batman miliknya mempunyai lapan buah almari peragaan yang tersorok di sebalik rak buku palsu, sama seperti sarang Batman. Menurut Silva, obsesinya terhadap Batman bermula sejak berusia 5 tahun iaitu pada 1966, ketika siri televisyen Batman pertama kali disiarkan menerusi saluran ABC. Beberapa minggu sebelum itu, keluarganya baru saja membeli sebuah televisyen warna bersaiz 19 inci yang pertama dan siri Batman itu membuatkan Silva yang masih kecil terpegun dengan watak adiwira tersebut serta segalanya di dalam siri itu yang mempunyai warna-warna yang menyerlah. Sejak itu, dia menjadi taksub dengan Batman dan mula mengumpul barangannya. Antara koleksi terawal yang masih disimpan Silva, bekas makanan dengan gambar hero kesayangannya itu yang dibawanya ketika ke tadika. Silva menyimpan hampir kesemua versi Batman daripada filem, rancangan bersiri, komik hingga permainan video, tetapi paling banyak di dalam koleksinya adalah siri televisyen 1960-an. Di dalam Batcave miliknya, Silva turut menyimpan telefon Batman berwarna merah di dalam peti kaca khas, sama seperti di dalam pejabat Pesuruhjaya Gordon di dalam siri tersebut. Dia juga memiliki buku telefon Gotham City yang dikatakan barangan sebenar daripada drama bersiri tersebut. Koleksinya itu dianggarkan bernilai puluhan ribu dolar. Setakat ini, Silva tidak bercadang untuk menjualnya koleksi kesayangannya itu. |
Posted: 01 Dec 2013 05:13 AM PST BERAT rasa hati saya untuk bercerita, takut dituduh orang membuka pekung di dada, tetapi semakin saya simpan semakin menyakitkan jiwa. Jadi kepada pembaca ambillah iktibar daripada pengalaman pahit saya ini. Walaupun peristiwa ini hampir empat tahun berlalu, tetapi hati saya terus menderita.'' Itu cerita Noraeleyna dalam e-melnya. ''Bayangkan saudara sendiri sanggup rampas teman lelaki saya untuk jadi suaminya? Kalau anda jadi saya apa anda buat? ''Beza umur saya dengan Salwa tiga tahun, saya lebih tua daripadanya. Dia dua pupu saya. Kami sekampung. Kami mula jadi kawan baik bila emaknya minta izin tumpangkan Salwa duduk rumah saya apabila dia berpindah kerja di KL. Kebetulan bilik di rumah saya kosong, maka saya izinkan. ''Walaupun kami saudara tetapi kami tak rapat. Pertama kerana umur, tak sama sekolah dan kami masuk kolej berbeza. Jadi kami hanya jumpa bila ada kenduri kahwin dan hari raya. ''Tapi bila duduk serumah, kami jadi rapat. Balik kampung sama, masak dan makan malam bersama, pergi shopping sama, jadi hubungan kami pun eratlah. Bila sudah lebih setahun tinggal bersama, maka Salwa tahu siapa kawan baik dan teman lelaki saya. Malah kalau saya lambat jawab telefon, dialah yang akan jawabkan. Pendek kata dia kenal semua kawan saya baik lelaki atau perempuan. Terutama teman pejabat. ''Nak jadikan cerita, dia pernah datang ke pejabat apabila saya dan kawan-kawan merancang untuk pergi makan angin. Oleh kerana dia peramah, dia cepat mesra dengan teman pejabat saya. Dia pernah ikut sama kumpulan kami yang kami panggil Kumpulan Makan Angin (KMA). ''Di sinilah bermula segala-galanya. Saya memang suka makan angin kalau tak balik kampung. Bukan pergi jauh pun setakat dalam negeri saja. Paling tidak setahun dua kali kami berjalan. Tak kiralah sama ada ke Cameron Highland, Genting, PD, paling jauh ke PP, Bukit Merah, Kenyir dan ke Terengganu. ''Nak jadikan cerita semasa makan angin ke Bukit Merah, teman lelaki saya, Khairel ikut serta, saya tumpang keretanya, pastilah Salwa ikut sama selain Ita teman pejabat saya dan Aiezam kawan baik Khairel. Dalam rombongan ini bukan kami sahaja, ada empat buah kereta lain, kawan-kawan pejabat dan kenalan masing-masing. ''Maaf, jangan salah sangka, kami lelaki perempuan tidur berasingan. Cuma kami suka jalan makan angin bersama. Kumpulan kami bukan bujang dan dara sahaja, yang dah berkahwin pun ada. Kalau ke PD ramai ikut serta dengan kereta masing-masing. Yang penting kami dapat eratkan persahabatan. ''Peristiwa Bukit Merah mencetus segala-galanya. Saya tak sangka Salwa tertarik dengan Khairel. Saya memang tak sedar. Bila telefon saya berbunyi, dialah yang berlari menjawab. Terutama jika saya sedang solat ataupun sedang masak. Lepas dia bertanya khabar baru dia serahkan telefon kepada saya. ''Ketika itu saya langsung tak menaruh syak hinggalah satu hari kawan baik saya bertanya khabar Khairel. Selang beberapa hari teman lain pulak bertanyakan khabar Khairel. Saya dengan hairan bertanya balik, mengapa tanya Khairel, tak tanyakan khabar saya ke? Mereka tertawa sambil mengingatkan jangan biarkan Khairel sendirian selalu. ''Satu hari seorang ahli KMA jemput saya ke majlis kenduri kahwin adiknya di Perak. Dia pujuk saya ajak Khairel ikut sama. Sebab saya beritahu mereka Khairel tak ikut kerana nak balik kampung. Puas kawan saya pujuk Khairel tapi dia tolak. ''Rupa-rupanya tanpa saya sedari Khairel sudah berubah hati kepada Salwa. Patutlah Salwa tiba-tiba hendak pindah rumah kawannya. Alasannya rumah baru lebih dekat dengan pejabatnya. Rupa-rupanya mereka ada rancangan lain. Bila rahsia mereka terbongkar, sudah terlewat untuk saya bertindak. ''Khairel tidak nafikan dia baik dengan Salwa. Kerana katanya antara kami belum ada ikatan, maka tidak salah kalau dia pilih Salwa. Tambah menyakitkan hati saya apabila dia kata, saya hanya kawan biasa. Mudahnya lelaki berubah hati, bila bertemu dengan orang lebih muda daripada saya. ''Di luar pengetahuan saya, ramai kawan-kawan KMA tahu akan hubungan mereka tetapi tidak berani beritahu sebab tahu saya dan Salwa bersaudara. Cuma akhirnya barulah seorang kawan bocorkan rahsia tentang hubungan Salwa dan Khairel dan meminta saya bersabar, tetapi semuanya sudah terlambat. Salwa tangkas memikat dan mengikat hati Khairel. ''Nak kata saya dah tua tak patut, sebab saya dan Khairel sebaya, cuma Salwa muda tiga tahun daripada saya. Ketika itu hanya air mata jadi teman setia. Kawan-kawan jadi tempat mencurahkan isi hati. Saya tak sangka Khairel boleh berubah hati dan saya tak fikir Salwa sanggup jadi gunting dalam lipatan selama ini. Dia berpura-pura baik dengan saya semata-mata mahu mengambil kekasih saya. ''Saya masih ingat cerita Salwa antara sebab utama dia minta pindah KL kerana kecewa setelah kekasihnya diambil orang. Dia tak sanggup melihat muka kekasihnya. Malangnya, di KL dia pula yang rampas kekasih saya. Dia pernah bercerita hatinya hancur dengan peristiwa itu, tetapi mengapa kini dia sanggup hancurkan hati saya. Tidakkah dia terfikir bawa dia juga telah mengkhianati saya? ''Peristiwa itu membuat saya rasa malu nak balik kampung. Apa lagi nak mengadu pada emak kerana emak kenal Khairel. ''Tak sampai beberapa bulan berkenalan, Khairel dan Salwa bertunang. Semua adik-beradik dan emak saya tidak dijemput. Emak tertanya-tanya, akhirnya saya terpaksa bercerita. Emak nasihatkan saya supaya berserah kepada Allah, bahawa Khairel bukan jodoh saya. Mungkin Allah akan beri saya yang lebih baik lagi. ''Kini sudah tiga tahun berlalu dan mereka sudah dapat seorang anak, saya masih membujang. Umur semakin lanjut dan jiwa semakin penuh penyesalan. Namun saya tak salahkan Salwa seorang, Khairel juga bersalah. Jika dia setia, pasti dia tidak akan menganiaya saya. Kami sudah berkawan lebih tiga tahun malah dia pernah berjanji akan jadikan saya isterinya. ''Kini saya tidak lagi aktif menyertai KMA terutama jika kawan-kawan Khairel ikut serta. Saya tidak mahu dituduh menyertai kumpulan itu untuk cari suami. Kepada pembaca yang ada teman lelaki, berhati-hatilah. Jangan terlalu percayakan kawan kerana anda tidak dapat membaca hati mereka. Menyesal kemudian macam saya tidak berguna.'' Itu nasihat Noraeleyna mengakhiri ceritanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |