Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 23 Dec 2013 11:02 PM PST Oleh NATASHA FARAH MOHAMAD JOHAR Azmie Rahman menunjukan cara menggosok baju yang telah siap dicetak kepada anaknya Nur Syakirah semasa wawancara dengan pengusaha seni cetak baju dan cawan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menyampaikan nasihat melalui sehelai baju-T. Bunyinya agak pelik dan jarang dibuat orang tetapi itulah yang cuba dilakukan oleh Ahmad Fathulah Suhaimi Abd. Rahman, 56, atau lebih dikenali dengan panggilan Azmie. Ini kerana lakaran atau cetakan pada baju T rekaan beliau sarat dengan nasihat dan mesej-mesej positif yang sedikit sebanyak memberi motivasi serta semangat bagi yang membaca mahupun yang memakainya. Sememangnya, pemilik Aizmietshirt ini tidak lagi asing dalam kalangan mereka yang menggemari baju-T. "Kalau kita lihat permintaan terhadap baju-T sentiasa ada terutama di kalangan anak muda. Malangnya, kebanyakan lakaran pada baju-T di pasaran sekarang lebih kebaratan dan sesetengahnya mengandungi mesej-mesej negatif. "Ini memberika idea kepada saya untuk menggunakan kemahiran dan ilmu yang ada bagi menghasilkan baju-T yang membawa mesej motivasi. "Buat masa sekarang, sasaran tempahan baju-T ini tertumpu kepada pelajar sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sahaja," katanya. Bapa kepada lima anak itu berkata, setiap kata-kata motivasi yang di cetak pada baju-T tersebut adalah hasil idea dan inspirasinya sendiri. "Inspirasi timbul tidak kira masa kadang-kadang ketika saya sedang memandu, tengah makan dan sebagainya. Sebaik dapat inspirasi, saya terus mencatatnya pada buku sebelum melakukan proses seterusnya,'' kata Azmie ketika ditemui di premis perniagannya, di 50-1, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kata-kata nasihat tersebut akan dilakar dengan rekaan yang menarik sebelum dicetak pada baju-T. Bercerita lanjut mengenai kemahiran mencetak baju-T, Azmie yang dulunya seorang pelukis kartun, mengakui sudah berpengalaman selama 24 tahun dalam seni cetakan tersebut. "Saya bermula sebagai kartunis di sebuah majalah kartun tempatan selama sembilan tahun. Saya kemudian membuka kedai cenderamata di Pasar Seni sebelum meluaskan perniagaan ini dengan bantuan daripada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga. "Melalui bakat melukis yang ada sebagai kartunis, saya mengunakan watak-watak kartun untuk cetakan pada mug dan penanda buku. "Selain itu, saya juga membuat cetakan pada topi, bendera, mug, beg serta banyak lagi," katanya. Azmie berkata, minatnya dalam menghasilkan cetakan pada baju-T semakin mendalam apabila turut disokong oleh isteri, Umi Kalthum Mat Zin, serta anak-anaknya. "Semua anak-anak, saya ajar mereka cara-cara mencetak baju-T, malah anak anak perempuan saya, Nor Syakirah, yang baru di Tingkatan Dua sudah pandai mencetak sendiri baju-T, mug dan cenderamata lain. "Dia juga berkebolehan mereka sendiri lakaran atau corak yang hendak dicetak," katanya yang turut mempunyai lapan pekerja. Kongsi Kemahiran Azmie mengakui, tidak semua orang tahu cara membuat baju-T bermula daripada membuat blok sehingga ke peringkat mencetak sebelum boleh dipakai. Namun pengetahuan itu boleh dipelajari jika seseorang itu mempunyai minat dan kemahuan Justeru dia juga tidak keberatan berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada dengan orang ramai melalui penganjuran bengkel serta kelas bagi yang berminat. "Saya sangat suka apabila semakin ramai Bumiputera terutama golongan muda yang berminat dalam seni cetakan ini. "Dalam bengkel ini mereka akan diajar daripada pembuatan blok sehinggalah ke cetakan pada baju-T. Saya juga akan memberi tip dan panduan kepada mereka cara untuk memulakan perniagaan ini. "Alhamdulillah, ramai yang menyertai bengkel ini telah membuka perniagaan sendiri. "Itu sebenarnya yang saya mahukan, iaitu melahirkan ramai usahawan muda bumiputera dalam bidang cetakan, kita boleh bersaing secara sihat jika betul caranya," katanya. |
Posted: 23 Dec 2013 11:02 PM PST Pernahkah anda merasakan yang perkahwinan anda semakin hambar dan tiada penyerinya. Setiap hari sekiranya bangun dari tidur, anda akan merasakan diri sangat malas dan enggan bangun pun dari katil. Sebenarnya tidak salah anda merasai kebosanan itu memandangkan ada hari-hari berkenaan anda pasti akan merasakan kehidupan anda terasa kosong berbanding hari-hari yang berlalu. Apa yang anda perlu lakukan adalah cuba fahami mengapa terasa kebosanan itu terhadap perkahwinan atau hubungan anda dengan pasangan dan seterusnya lakukan sesuatu mengenainya. Perkahwinan hanya akan terasa menjadi semakin hambar apabila anda sendiri tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan rumah tangga anda. Apabila anda memahami faktor-faktor yang menjadikan hubungan anda dan pasangan semakin membosankan, tentunya ada beberapa perkara boleh anda pelajari agar ia tidak berulang lagi. Berikut merupakan antara perkara-perkara yang dilakukan sepanjang perkahwinan yang menjadikan anda bosan. 1 Rutin harian yang sama Rutin kehidupan anda sama setiap hari dengan keadaan yang membosankan. Segala-galanya boleh dijangka setiap saat, minit dan jam apa yang akan dilakukan sepanjang minggu itu. 2 Kurang teruja Ingatkah bila kali terakhir anda berdua melakukan perkara yang mengujakan bersama-sama. Apabila hubungan telah terlalu lama sebenarnya memerlukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan keterujaan kepada hubungan berkenaan. Apa lagi lakukan sesuatu mengenainya. Pergilah bercuti atau keluar makan malam bersama. Lakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan. 3 Hubungan cinta tidak dibina berasaskan sokongan yang kukuh Kadang-kadang apabila hubungan cinta yang dibina terlalu cepat ke jinjang pelamin tanpa mengenal dahulu keadaan seseorang itu menyebabkan pasangan cenderung berlainan pandangan dan selalu berlaku percanggahan pendapat. 4 Suka membandingkan Kehidupan pasangan akan semakin terasa hambar sekiranya anda banyak mendengar cerita mengenai pasangan orang lain lebih baik daripada pasangan anda. 5 Ada hubungan sulit lain Mungkin di tempat kerja anda ada merasakan beberapa kehadiran individu yang lebih rapat dengan anda itu lebih membahagiakan daripada pasangan anda di rumah. 6 Seks yang sama Hubungan seks anda terasa membosankan apabila hanya melakukan dengan keadaan yang sama. Ayuh! tukar posisi anda cara berhadapan dengan seks yang berlainan dari biasa. 7 Kenangan yang istimewa Cipta kenangan yang istimewa berdua atau sama-sama mengingati saat-saat manis anda dan pasangan ketika dahulu. 8 Komunikasi Hanya berkomunikasi sekiranya perlu setelah lama berumah tangga? Usah biarkan keadaan ini berlarutan. Berkomunikasilah dengan pasangan anda sebagaimana waktu bercinta dahulu. 9 Spontan Hidup berumah tangga pasti membosankan sekiranya seharian kehidupan anda ditentukan oleh peraturan dan perancangan. Sekali-sekala kehidupan diceriakan dengan perkara-perkara yang spontan, menimbulkan keadaan yang baharu dalam hidup. 10 Masa bersama berdua Adakan masa anda bersama berdua tanpa diselangi oleh perasaan marah, penat atau bosan. Ciptakan kehidupan anda bersama untuk memupuk kasih sayang biarpun sesibuk mana pun anda dan pasangan. 11 Hubungan dengan rakan Kehidupan juga akan terasa membosankan sekiranya anda tidak mempunyai hubungan langsung dengan rakan-rakan luar sebagaimana sebelum berumah tangga. Kekalkan hubungan persahabatan dan ciri-ciri kekeluargaan lain bagi memberikan rasa keseronokan kepada kehidupan anda, agar anda tidak terasa keseorangan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |