Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 8 kedai makan diarah tutup
- Taman Rekreasi Kesang terbiar, kemudahan rosak
- Impian pasangan warga emas miliki rumah selesa tercapai
Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED PENGUAT kuasa Kesihatan Daerah Batu Pahat (kanan) memeriksa peti sejuk sebuah kedai makan di Taman Universiti, Parit Raja, semalam. BATU PAHAT 24 Dis. - Sebanyak lapan kedai makan di sekitar Taman Universiti, Parit Raja di sini diberikan notis tutup selama tujuh hingga 14 hari oleh Pejabat Kesihatan daerah kerana didapati kotor dan membahayakan pengguna. Lapan kedai makan yang didapati kotor di bahagian memasak dan mencuci itu merupakan antara 12 premis yang diperiksa dalam operasi yang turut melibatkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) malam semalam. Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr. Noorhaida Ujang berkata, operasi yang bermula pukul 8.30 malam itu merupakan pemeriksaan berterusan yang dilakukan pihaknya terhadap kedai makan di daerah ini. "Dalam pemeriksaan itu, kita dapati terdapat kedai makanan yang pernah dikompaun sebanyak dua kali sebelum ini, tetapi masih ingkar dan tidak mengamalkan kebersihan khususnya di kawasan dapur dan tempat mencuci pinggan-mangkuk. "Berikutan itu, kedai-kedai makanan yang tidak bersih ini diberikan notis penutupan selama tujuh hingga 14 hari bagi membolehkan pengusaha membersihkan premis mereka sebelum dibuka semula setelah mendapat pemeriksaan balas," katanya di sini. Noorhaida berkata, dalam operasi tersebut sebuah kedai makan turut dikompaun kerana menjual rokok di bawah harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan. "Operasi seperti ini akan dilakukan sepanjang masa di setiap lokasi di daerah ini bagi memastikan para peniaga makanan mengamalkan kebersihan seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. "Tindakan tegas ini penting kerana kekotoran dalam pengendalian makanan merupakan penyebab kepada sebarang jangkitan atau kuman yang boleh memudaratkan kesihatan pelanggan," katanya. |
Taman Rekreasi Kesang terbiar, kemudahan rosak Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST LEDANG 24 Dis. - Taman Rekreasi Kesang, dekat sini yang bersempadan dengan Sungai Rambai, Melaka dan dibina sejak lebih sedekad lalu dengan kos lebih RM1 juta kini terbiar dan tidak terurus sejak beberapa tahun lalu. Kawasan tersebut yang suatu masa dahulu 'hidup' dengan pelbagai aktiviti dan popular kerana menempatkan deretan kedai makan, gelanggang futsal dan replika beca gergasi sekarang ini seakan-akan sudah 'mati'. Lebih menyedihkan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah serta tandasnya tidak boleh digunakan kerana rosak. Seorang peniaga, Kimbong Osman, 60, berkata, sejak lapan tahun lalu dia menjadi peniaga tunggal gerai makanan di situ selepas 10 peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan masing-masing kerana tidak mendapat sambutan. "Dahulu kawasan ini meriah dan ceria dengan kehadiran ramai pengunjung untuk beriadah pada petang hujung minggu dan cuti umum. Banyak kedai diusahakan termasuk kemudahan untuk karaoke. "Namun, situasi itu hanya bertahan selama setahun dan lama kelamaan pusat ini terbiar tidak terurus serta berlaku banyak kerosakan pada kemudahan yang disediakan," katanya ketika ditemui di kedainya di taman tersebut, di sini semalam. Setiap hari dia bersama suami berniaga nasi lemak bermula pukul 2 petang hingga 12 malam dan kebanyakan yang singgah ke gerainya adalah pelanggan tetap terdiri daripada penduduk berhampiran dan remaja yang bermain futsal di taman rekreasi itu. "Saya pun hairan tempat ini susah nak membangun jika dibandingkan dengan medan selera di Sungai Rambai, Melaka yang terletak berhampiran dengan taman rekreasi ini, memang jauh bezanya kerana ramai pengunjung," katanya sambil mengakui sejak adanya gelanggang futsal setahun lalu bilangan pengunjung bertambah terutamanya golongan muda untuk beriadah pada waktu petang. Seorang pengunjung, Mohd. Afiq Jaafar, 21, berkata, dia ke taman rekreasi tersebut setiap petang untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya. "Kawasan ini perlu dibangunkan kerana penduduk sekitar tidak mempunyai tempat sesuai membawa anak-anak beriadah. Ada antara mereka terpaksa ke Taman Rekreasi Tanjung Emas, Muar kerana tiada pilihan lain," katanya. Kakitangan swasta, Fauziah Rashid, 30, mengakui tidak menyangka keadaan Taman Rekreasi Kesang semakin teruk terutama berlaku banyak kerosakan terhadap kemudahan yang disediakan. Justeru, dia berharap pihak yang berkaitan mencari jalan terbaik memajukan semula tempat riadah itu supaya dapat menarik semula kedatangan pengunjung. |
Impian pasangan warga emas miliki rumah selesa tercapai Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST NOOR Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid mengecat dinding bilik air di rumah milik warga emas yang sudah dibaiki di Kampung Semayong, Sedili Besar, Kota Tinggi, kelmarin. KOTA TINGGI 24 Dis. - Impian sepasang suami isteri warga emas di Kampung Semayong, Sedili Besar dekat sini yang hidup dalam serba kekurangan untuk tinggal di rumah lebih selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila Ahli Parlimen Kota Tinggi meluluskan bantuan menerusi Skim Bantuan Mesra Parlimen Kota Tinggi (SBMPKT). Menerusi bantuan itu, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid menghulurkan bantuan untuk membaiki dan membina bilik air serta dapur di rumah yang diduduki pasangan Mokhtaruddin Osman, 63, dan isteri, Kalsom Daud, 63, secara bergotong-royong. "Menerusi peruntukan kira-kira RM4,000 ini, kami membina sebuah bilik air dan dapur secara bergotong-royong dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi memberi keselesaan kepada pasangan tersebut," katanya yang disertai isterinya, Datin Zubaidah Kassim meluangkan masa meninjau kerja-kerja pembinaan itu kelmarin. Noor Ehsanuddin memberitahu, sebanyak 20 buah rumah di kawasan Parlimen itu termasuk Kampung Jeri Luar, Kampung Tuan Sheh, Kampung Mawai, Kampung Seluyut, Kampung Baru Pasak dan Kampung Johor Lama akan dibaiki menerusi skim bantuan berkenaan. Menurutnya, penerima bantuan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan termasuk miskin tegar atau miskin iaitu berpendapatan kurang RM1,000 sebulan. Selain telah disahkan berdaftar di bawah sistem e-Kasih, rumah yang hendak dibaiki adalah milik pemohon berkenaan. "Walaupun SBMPKT tidak merangkumi kes bencana alam, namun membuktikan kerajaan sentiasa telus dalam membantu golongan kurang berkemampuan," ujarnya. Sementara itu, Mokhtaruddin yang tidak mempunyai anak terharu dengan sumbangan tersebut yang disifatkan telah memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka. "Saya dan isteri berterima kasih atas sumbangan yang diberikan dan dengan adanya bilik air dan dapur baharu ini memberikan keselesaan kepada kami. "Bukan saya tidak mahu membaiki rumah ini, namun pendapatan yang diperoleh dengan bekerja kampung hanya mampu menampung perbelanjaan harian kami," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |