{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Jadikan situasi Thailand iktibar

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand berarak melalui jalan-jalan utama di Bangkok semasa perhimpunan berterusan pada 19 Disember 2013 lalu dengan tujuan ingin mengajak rakyat negara ini memulaukan pilihan raya umum yang bakal diadakan dan menjatuhkan kerajaan. - AFP

DALAM politik, salah satu taktik untuk meraih sokongan rakyat demi bagi meraih kuasa ialah memainkan sentimen golongan itu.

Pelbagai hujah akan ditampilkan bagi menunjukkan kononnya mereka yang berbuat demikian adalah pembela tulen kepada rakyat.

Begitulah juga apabila ada kelompok di negara ini cuba menggunakan pelbagai isu untuk memastikan rakyat turun ke jalanan menjelang tahun baru 2014 atas alasan kerajaan sedia ada menindas rakyat berikutan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Tidak ada guna bercakap soal fakta kenapa kenaikan atau sesuatu tindakan itu perlu dilakukan kerana mereka tidak akan mempedulikan semua itu kerana bagi mereka apa yang penting ialah meraih sokongan rakyat.

Persoalannya, apakah tindakan turun ke jalanan dengan melakukan demonstrasi yang acap kali terbukti berakhir dengan kekacauan akan menguntungkan rakyat dalam jangka panjang? Apakah demonstrasi dilihat satu-satu cara untuk menyelesaikan masalah sedangkan sudah terbukti perbuatan seumpama itu hanya mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara?

Atas sebab itulah, apa yang berlaku di Thailand sekarang harus dijadikan iktibar kepada rakyat negara ini. Lihat apakah situasi di negera gajah putih itu menguntungkan rakyat negara tersebut atau sebaliknya? Pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan dengan mengheret rakyat turun ke jalanan mengakibatkan negara berkenaan berada dalam huru-hara.

Sebelum ini, kita menyaksikan bagaimana kerajaan di bawah kepimpinan Abhisit Vejjajiva ditumbangkan apabila berlaku demonstrasi jalanan secara besar-besaran pada 2009. Berikutan rakyat Thailand menjulang pula Yingluck Shinawatra dari parti Pheu Thai sebagai Perdana Menteri.

Namun tidak sampai dua tahun, berada di kedudukan ini, Yingluck pula berhadapan dengan demonstrasi - situasi yang sama dialami oleh Abhisit.

Kesudahannya, kestabilan politik Thailand menjadi kacau bilau. Demonstrasi menghiasi negara itu setiap hari sehingga memaksa Yingluck membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari tahun depan.

Tetapi keputusan ini tetap tidak memuaskan hati penentang-penentangnya yang mendesak pula supaya pilihan raya tidak diadakan sehingga mereka sanggup menghalang calon-calon daripada mendaftar untuk bertanding.

Soalnya, apakah selepas ini tidak kira juga apa pun keputusannya, adakah Thailand akan kembali aman dan stabil? Tidak siapa pun mampu memberi jaminan. Tindakan ahli-ahli politik negara itu mencari kuasa politik melalui gelombang demonstrasi jalanan kini mengundang petaka kepada Thailand.

Justeru apakah rakyat negara ini mahu perkara yang sama berlaku di negara ini? Kenapakah proses pemilihan kerajaan melalui perjalanan pilihan raya seolah-olah mahu ditamatkan melalui demonstrasi jalanan?

Kaji dan fikirkanlah, adakah mana-mana negara yang rakyatnya terpengaruh dengan demonstrasi jalanan mampu membawa keamanan kepada negara itu. Sudah pasti tidak, apa yang lebih banyak kita saksikan ialah huru-hara dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

Oleh itu, rakyat negara ini tidak harus terpengaruh dengan dakyah dan ajakan songsang mana-mana pihak turun ke jalanan untuk melakukan bantahan kepada kerajaan.

Memang benar, kebebasan bersuara tidak harus disekat, hasrat untuk melahirkan pendapat tidak harus dihalang dan suara rakyat mesti didengari. Tetapi semua itu harus disalurkan melalui kaedah yang betul dan yang pasti demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaian.

Selama ini, Malaysia dikenali sebuah negara aman dan damai, rakyat negara ini dihormati kerana budaya dan adat resam kehidupan mereka, justeru kenapa perlu semua itu mahu dimusnahkan hanya kerana hendak memenuhi tuntutan politik kelompok tertentu sahaja.

Lebih malang lagi, jika mereka terpengaruh dengan hasutan kelompok tertentu yang entah mewakili siapa supaya turun untuk menggulingkan kerajaan - satu perkara yang cukup ganjil bagi majoriti rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan ketenteraman.

Negara ini bukannya mengamalkan pemerintahan kuku besi yang kerajaannya tidak mempedulikan suara nurani rakyat, sebaliknya, sejak merdeka lagi kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) di mana UMNO menjadi tonggaknya sentiasa membela nasib rakyat.

Pelbagai usaha dilakukan dalam meningkatkan hidup rakyat. Kita tidak menafikan ada sedikit sebanyak kelemahan tetapi mana ada kerajaan yang sempurna seratus peratus.

Apa yang penting ialah sejauh manakah rakyat mahu bersama-sama kerajaan sedia ada membangunkan negara dengan memastikan keluh kesah mereka diambil kira dalam apa juga tindakan.

Tetapi mengambil jalan pintas atau lebih tepat lagi tindakan bodoh dengan turun ke jalanan, tidak akan mampu menyelesaikan masalah mereka. Kita tidak mahu apa yang dikecapi selama ini hancur sekelip mata hanya kerana kegelojohan pihak tertentu mencari kuasa politik atau melampiaskan kemarahan mereka secara membuta-tuli.

Jika berasa hebat sangat dalam berpolitik dan begitu kuat untuk menggerakkan rakyat maka tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang untuk membuat perhitungan. Jangan menggunakan hujah-hujah dangkal dan paling buruk menyembunyikan fakta sebenar dengan tujuan membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Fahamilah, apabila demonstrasi dijadikan jalan pintas bagi menyelesaikan masalah, maka ia bermakna kita sengaja mengundang mala petaka kepada negara ini.

Oleh itu, kepada kelompok yang kononnya mahu menjadi pembela rakyat dan mahu mencetuskan apa yang mereka sifatkan kebangkitan rakyat, fikirkanlah kesannya kepada negara dalam jangka masa.

Namun kita percaya, kelompok seumpama ini sudah dibutakan mata dan hati mereka untuk mengkaji semua itu. Apa yang mereka tahu ialah melampiaskan kemarahan tidak bertempat dan menyebarkan politik kebencian yang sudah terbenak dalam fikiran dan sanubari mereka.

Berilah nasihat apa pun, mereka tidak akan mendengarnya. Tetapi malangnya mereka inilah juga yang kononnya bercakap melakukan sesuatu demi rakyat.

Kalau betullah berjuang untuk rakyat maka setiap permasalahan yang timbul harus dicari jalan penyelesaian melalui cara bertamadun, turun ke jalanan boleh dianggap tidak berada dalam kategori itu kerana keburukannya jauh lebih banyak daripada kebaikan.

Mungkin pihak tertentu akan berasa gembira kerana agenda mereka untuk menghasut minoriti rakyat bersama agak berjaya tetapi bagaimana dengan hak majoriti rakyat yang tidak mahu terlibat dalam perbuatan seumpama itu?

Tidak kiralah apa pun keadaannya yang penting jangan sesekali rakyat negara ini lupa apa yang sedang berlaku di negara jiran iaitu Thailand.

Suatu ketika dahulu Indonesia juga berada dalam gelombang demonstrasi sehingga menjatuhkan pemerintahan Suharto tetapi selepas itu, rakyat negara berkenaan menderita dan mula menyedari tindakan menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi tidak membawa apa-apa faedah.

Apa pun mengadakan demonstrasi adalah tindakan kelompok yang sudah bangkrap modal politik dalam usaha mereka meraih kuasa dan demonstrasi juga adalah 'senjata' kelompok yang semakin buta mata dan hati mereka untuk mensyukuri apa yang dinikmati. Justeru jadikan Thailand sebagai iktibar sebelum nafsu 'mengundang' petaka kepada negara ini.

Pencegahan elak kemalangan ulang alik ke tempat kerja

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

TAN SRI LEE LAM THYE
ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

ISU utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia adalah perkara berkaitan dengan kemalangan yang melibatkan pekerja yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.

Jumlah kemalangan industri secara umumnya menurun, namun bilangan kemalangan ulang-alik dari tempat kerja yang melibatkan pekerja meningkat sebanyak 38% dalam tempoh lima tahun lalu daripada 19,041 kes kemalangan dengan 1,174 kematian pada tahun 2008 kepada 26,262 dengan 983 kematian pada tahun 2012 seperti yang dilaporkan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini, sebanyak 20,225 kes kemalangan ulang-alik kerja telah dilaporkan berbanding dengan 19,344 kes pada tempoh yang sama tahun lepas dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.28 peratus.

Jumlah kes kemalangan maut di Malaysia yang direkodkan amat membimbangkan. Terdapat lebih daripada 6,000 hingga 7,000 kematian setiap tahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini di mana mencatatkan sebanyak 18 - 20 orang terbunuh setiap hari.

Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 60% daripada kes kematian dan kebanyakan mereka masih muda dan baru sahaja memulakan alam pekerjaan.

Di Malaysia, berdasarkan laporan daripada Perkeso, terdapat tiga kes kematian berkaitan aktiviti kerja yang dicatatkan setiap hari pada tahun 2011. Dua daripada tiga kematian itu berpunca daripada kemalangan berulang-alik ke tempat bekerja dan keadaan ini semakin serius di negara ini.

Kesan kemalangan ulang-alik kerja adalah jauh lebih besar berbanding dengan kemalangan industri kerana kemalangan seumpama ini selalunya melibatkan pelbagai jenis kecederaan yang jauh lebih teruk dan mengakibatkan trauma yang berpanjangan berbanding kemalangan di tempat kerja.

Di antara masalah yang berkaitan peningkatan jumlah kemalangan berulang-alik dari tempat kerja adalah kerana kurangnya kesedaran dan pendedahan tentang pemanduan selamat dalam kalangan pekerja, kekurangan kursus dan program latihan yang komprehensif dan disasarkan kepada kemalangan ulang- alik, kurangnya input bagi Pengurusan Keselamatan Ulang-alik Kerja serta kekurangan elemen keselamatan jalan raya di dalam Sistem Pengurusan KKP di tempat kerja.

Berdasarkan kepada statistik Perkeso, kemalangan sering berlaku ketika pekerja di dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu pagi. Ini boleh berlaku kerana pekerja di dalam keadaan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja. Berdasarkan kepada statistik juga, faktor-faktor lain yang mempengaruhi adalah memandu melebihi had yang ditetapkan, memandu dengan melulu, menghantar mesej dan tidak fokus ketika memandu.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terlibat secara aktif dalam usaha menggalakkan pihak majikan untuk memberikan latihan yang sewajarnya seperti Program Keselamatan Bermotosikal. Secara tidak langsung, program ini mampu memperbaiki modul latihan akan datang bagi program pemanduan berhemah dan pemanduan defensif bagi motosikal.

Pihak majikan dan pekerja harus bekerjasama dan sentiasa komited untuk mengamalkan amalan keselamatan dan pencegahan bagi mengelakkan kes kemalangan ulang-alik dari tempat kerja.

Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menguruskan risiko pekerjaan jalan dan juga untuk melaksanakan Kod Amalan Industri (ICOP) berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Majikan mampu melakukan pelbagai cara di dalam usaha untuk mengubah sikap pemanduan dan tingkah laku pekerja mereka. Majikan boleh membantu merangka pelan perjalanan yang selamat, menggunakan kenderaan yang selamat dan menyediakan latihan untuk para pemandu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Majikan juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pekerja-pekerja mereka dan pengguna jalan raya lain dengan mengamalkan pendekatan pengurusan risiko jalan raya bagi mengawal kerugian perniagaan yang berpunca daripada kemalangan jalan raya 'di tempat kerja', termasuk bukan sahaja kos kemalangan secara langsung, tetapi kerugian waktu bekerja, pembayaran premium insurans yang lebih tinggi dan menjejaskan imej syarikat.

Setiap syarikat yang mengambil tindakan proaktif dengan memberi pendedahan dan galakkan tentang aspek keselamatan kakitangan mereka semasa memandu secara tidak langsung akan dapat membantu penjimatan kos yang besar serta meningkatkan imej syarikat dan memberi sumbangan penting di dalam usaha mencapai sasaran bagi aspek keselamatan jalan raya.

Majikan dan pekerja perlu bekerjasama dan sentiasa komited untuk mewujudkan budaya pencegahan kemalangan ulang-alik bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya kita.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat