Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Ibu risau teman wanita anak lepak di rumah Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST SETIAP ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya terutama dalam membina kehidupan agar tidak menghadapi masalah di kemudian hari. Sejak kecil hingga dewasa anak-anak dididik untuk menjadi anak yang baik, mendengar kata dan menjaga hukum hakam agama supaya tidak tersilap langkah. Namun ada yang bernasib baik dan ada juga yang berdepan dengan masalah berkaitan anak-anak, seperti mana berlaku kepada Puan Zai (bukan nama sebenar). Kisah Puan Zai sangat menarik, luahan hatinya sebagai ibu yang berdepan dengan sindiran dan gosip jiran-jiran disebabkan perangai anak lelakinya. Kita ikuti kisah Zai seperti yang dikirimkan kepada saya: "Nama saya Zai (bukan nama sebenar ), berusia awal 50-an dan ibu kepada tiga orang anak lelaki. Anak saya yang sulung Hakimi (bukan nama sebenar) sudah bekerja dan yang kedua serta ketiga masih belajar. "Dalam usia yang muda dan masih belajar, anak sulung saya telah mempunyai seorang teman wanita bernama Azura (bukan nama sebenar). "Puas saya nasihat, tetapi dia tetap tidak mengendahkannya. Akhirnya saya tutup mulut sebab tidak mahu dia terasa hati dan malas belajar. "Masalah yang saya hadapi adalah kerana Azura selalu datang ke rumah kami, boleh dikatakan setiap hujung minggu dia akan mengikut Hakimi balik ke rumah. "Suami saya kurang senang dengan kehadirannya tetapi berat mulut untuk menegur, kerana bimbang Hakimi akan terasa hati. Tapi kami tidak mahu membiarkan perkara ini berlarutan. "Jiran-jiran mula bertanya mengenai kehadiran Azura. Kehadiran Azura menyebabkan keluarga kami menjadi perhatian dan bualan jiran-jiran. "Saya seorang yang aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan setiap kali menyertai kumpulan tersebut, pedih telinga saya dengan sindiran dan kata-kata yang kurang menyenangkan. "Sesekali bila difikirkan kembali setiap cemuhan yang diterima itu ada betulnya juga. Tidak manis untuk seorang anak gadis tinggal bersama sebuah keluarga yang belum lagi menerimanya secara sah sebagai ahli keluarga melalui pernikahan yang sah. "Pernah saya menasihati Azura supaya tidak selalu bermalam di rumah kami kerana tidak mahu dijadikan isu oleh jiran-jiran. "Teguran saya akan bertahan selama sebulan sahaja, selepas itu Azura akan kembali dengan perangai lamanya melepak di rumah kami pada hujung minggu. Saya tidak nafikan Azura seorang gadis yang rajin tetapi tindakannya itu tidak kena pada masanya lagi. "Saya juga memaklumkan kepada Hakimi mengenai perkara ini, jawab anak bujang saya Azura seorang gadis yang baik dan tahu baik buruk dalam perhubungan. Dia pandai membawa diri, kata Hakimi. "Yang paling saya risau apabila kami sekeluarga bertandang ke rumah saudara-mara, Azura akan ikut sama. Nak cakap salah, tidak cakap salah, malah jika kami berbohong pun akhirnya akan terbongkar juga siapa Azura dalam keluarga kami. "Saya mula berdepan dengan isu keluarga tidak suka kehadiran Azura sebab tidak kena tempat dan cara. Kata mereka, patut ke anak dara macam itu tinggal bersama keluarga kawan lelaki macam dah suami isteri. "Sakit hati saya tetapi saya terpaksa telan, sebab nak jaga hati Hakimi. Pernah saya bertanya kepada Azura mengenai keluarganya yang belum pernah kami kenali atau berjumpa. "Pandai dia memberi alasan dengan mengatakan keluarganya jauh di Pantai Timur. Nak balik ke sana agak jauh dan memerlukan perbelanjaan yang banyak, jadi dia lebih selesa datang ke rumah kami. "Puas berfikir untuk menyelesaikan masalah yang datang tanpa diduga dan di undang ini akhirnya saya mengambil keputusan bersemuka dengan Hakimi dan bertanyakan perkara yang sebenar. "Saya ingin tahu status hubungannya yang sebenar dengan Azura. Dengan bersahaja Hakimi memberitahu bahawa Azura adalah adik angkatnya. Tetapi kata Hakimi, jodoh itu ketentuan takdir dan dia tidak keberatan untuk menyunting Azura sebagai suri hidupnya jika itu jodoh yang Allah tentukan untuknya. "Sebagai ibu bapa kami meminta Hakimi menasihatkan Azura supaya tidak selalu bertandang dan bermalam lebih dari yang sepatutnya dilakukan oleh tetamu. Tidak manis dan dalam hukum pun tidak boleh kerana masalah mahram yang perlu dijaga. "Betul telahan kami, hanya Hakimi sahaja yang boleh menasihati Azura kerana selepas itu Azura tidak lagi datang ke rumah kami. "Tamat pengajian Hakimi meluahkan hasratnya untuk melamar Azura. Kami tidak menghalang kerana itu pilihannya. Cuma terkadang anak-anak sekarang terlebih berani dalam tindakan mereka. "Semuanya dibuat sendiri. Malah kata Azura tidak payah maklumkan kepada keluarganya. Saya naik angin dengan kata-katanya dan berkeras untuk menemui keluarganya bagi berbincang tentang pernikahan mereka. "Akhirnya Azura mengalah dan memberitahu ibu bapanya. Rupanya Azura anak gadis yang bermasalah dan sudah lama tidak balik ke kampung kerana berselisih faham dengan ibu bapa dan keluarganya. "Ibu bapanya merasa lega kerana kami datang untuk merisik dan melamar anak mereka. Kemudian diikuti dengan majlis bertunang. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan oleh Allah. "Kini Hakimi dan Azura telah bernikah. Sindiran dan kata-kata jiran dan keluarga berhenti di situ. Itu pun masih menjadi bualan orang mengenai Azura kerana dia terlebih dahulu tinggal bersama kami sebelum disatukan sebagai suami isteri dengan Hakimi. "Saya telah melalui perkara ini dengan rasa sedih, serta menanggung malu yang amat sangat kerana perbuatan Hakimi dan Azura. Tetapi saya terima hakikat, anak saya tidak dididik dengan baik. "Saya dan suami mengaku kesilapan kami. Kepada ibu bapa di luar sana saya harap jangan jadi seperti saya. Nasihatkan anak-anak supaya jangan sampai melanggar hukum agama dan budaya kita dalam berkawan. "Sememangnya benar, romantis dalam perhubungan membuatkan ikatan percintaan menjadi bertambah teguh tetapi awas! fitnah itu lebih dahsyat kesannya pada masa yang mendatang. "Sampai sekarang saya masih terasa akan kesan perbuatan anak menantu kepada saya dahulu. Tapi saya reda dengan apa yang berlaku. Syukur kerana mereka telah disatukan dan kini hidup bahagia. "Saya doakan anak-anak saya yang lain tidak akan melalui perkara yang sama. Kita sebagai ibu bapa selalu inginkan yang terbaik tetapi Allah perancang yang paling tepat. Saya anggap itu semua sebagai dugaan Allah untuk saya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan memberkati hidup kami sekeluarga," demikian Zai menamatkan ceritanya. Saya bersimpati dengan apa yang Zai alami. Alhamdulillah, semuanya telah selamat. Hati ibu hanya ibu sahaja yang faham. Sukar untuk anak menilainya kerana mereka tidak akan faham perasaan seorang ibu. Sepatutnya Zai dan suami bertegas dengan Hakimi tentang perkara ini sejak awal. Anak-anak tidak boleh dibiarkan membuat keputusan sendiri, mereka perlu dipantau dan diawasi dalam semua perkara termasuk tentang soal mencari teman hidup. Saya mendoakan agar kehidupan Zai dan keluarganya akan bertambah ceria dan bahagia selepas ini. Lupakan segala apa yang pernah dikatakan oleh jiran dan tetangga serta saudara mara tentang anak menantu anda. Asalkan kita tahu apa yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga kita, lakukanlah. Insya-Allah, Allah akan melindunginya. Menutup kata, pesanan saya, sesetengah orang tidak menangis kala berdepan dengan kesedihan tetapi air matanya akan menitis bila berdepan dengan kejayaan kerana emosi, hati dan perasaan tidak sekata dalam mencari erti tentang kehidupan. Salam. |
Posted: 26 Dec 2013 09:37 PM PST Oleh MERAN ABU BAKAR Persalinan songket hijau dengan potongan moden. JIKA diperhatikan, fesyen pengantin tidak mengalami banyak perubahan antara dahulu dan sekarang. Dua puluh tahun tahun dahulu mungkin songket menjadi pilihan utama pengantin, tetapi perlahan-lahan ia diganti dengan fabrik yang dilihat lebih moden dan nampak mewah seperti renda Perancis, sutera dan sebagainya. Bagaimanapun, fesyen pengantin daripada songket tetap menjadi pilihan sesetengah pengantin yang berbangga dengan warisan tradisional Melayu. Bagi disesuaikan dengan peredaran masa, fabrik tersebut diberi sentuhan lebih moden dan kontemporari terutama dari segi rekaan dan perinciannya. Sebagai contoh, menggabungkan elemen renda, syifon dan fabrik lain dengan perincian manik, labuci serta batu-batu kristal supaya tampak moden. Masih ramai yang mahu menggayakan baju songket ketika bersanding di pelamin atau dipakai pada malam berinai. Kemewahan songket yang hanya dipakai pada hari istimewa masih dapat dirasai. Ini kerana songket bukan pakaian biasa yang dipakai pada hari biasa. Pemilik Seri Mempelai Collection, Nor Azlan Shamsuri dan adiknya, Zairul Kamal Shamsuri berkata, fesyen pengantin daripada songket kembali diminati sekarang. Generasi kini sudah pandai menilai fabrik tradisional ini yang menampakkan keanggunan dan ketampanan pengantin apabila menggayakannya. Justeru itu, Nor Azlan menyediakan beberapa pasang fesyen pengantin daripada songket yang terdiri daripada beberapa warna menarik yang biasanya dipakai oleh pasangan pengantin. "Saya turut menyediakan rekaan moden seperti peplum yang dipakai bersama kain potongan duyung yang dibuat daripada songket. Rekaan seperti ini menonjolkan kemewahan dan pengantin tampil eksklusif dan anggun apatah lagi saya tambahkan dengan jahitan manik dan kristal pada bahagian dada, tangan, bawah baju dan tepi kain. "Rekaan seperti ini amat sesuai untuk persandingan dan gaya raja sehari pasti terserlah. "Selain baju songket, saya juga menyediakan baju-baju lain yang sesuai untuk persandingan dan untuk beberapa acara lagi seperti memotong kek, malam berinai dan bertandang. "Lain orang lain pula permintaannya kerana selain memenuhi permintaan pelanggan yang menyukai baju songket, saya perlu juga menyediakan rekaan lain bagi pelanggan yang tidak mahu memakai songket," kata Nor Azlan. Mempunyai pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk Singapura, tambah Nor Azlan, Seri Mempelai Collection turut menerima tempahan membuat baju pengantin bagi mereka yang ingin memakai baju baru pada hari istimewa mereka itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |