{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Kesejahteraan warga kota diutama

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2.79 bilion untuk bajet 2014 dengan memberi fokus merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020 yang dapat memenuhi keperluan warga kota.

Bajet 2014 memberi penekanan kepada tujuh fokus utama iaitu Memperkasakan Urus Tadbir DBKL, Mempertingkatkan dan Memperluaskan Kebersihan Bandar, Mempertingkatkan kemudahan jalan raya dan lampu jalan, sistem lalu lintas dan sungai.

Selain itu, Penghijauan serta Penyelenggaraan Taman-taman Rekreasi, Memperbanyakkan Program Kesihatan, Membudayakan Program Penyelenggaraan Harta DBKL dan awam serta Menyediakan Unit Kediaman Mampu Milik.

Daripada RM2.79 bilion itu, sebanyak RM1.499 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan Mengurus dan RM1.290 bilion untuk Pembangunan.

Secara keseluruhan, terdapat peningkatan bajet kali ini iaitu sebanyak 20.6 peratus iaitu RM2.31 bilion berbanding Bajet 2013.

Bajet bertemakan 'Bandaraya Lestari Wargakota Sejahtera' itu dibentangkan Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Ahmad Phesal berkata, sebanyak RM103.3 juta diperuntukkan DBKL di bawah perbelanjaan mengurus bagi kerja-kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di jalan-jalan awam, kawasan perumahan dan lorong sisi atau belakang di Kuala Lumpur sepanjang 2010 kilometer termasuk kerja-kerja membaik pulih jalan dan persimpangan merbahaya serta longkang.

"Peruntukan pembangunan RM268.6 juta pula bertujuan membina dan menaik taraf jalan raya. DBKL merancang untuk melaksanakan 34 projek di mana 27 projek merupakan pembiayaan DBKL dengan anggaran sebanyak RM199.1 juta manakala tujuh projek di bawah pembiayaan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebanyak RM69.5 juta.

"Antaranya meningkatkan Jalan Genting-Klang, membaiki dan memperkukuh cerun-cerun akibat tanah runtuh, membina jambatan Sungai Gombak, meningkatkan Jalan Segambut dari Jalan KTM ke Mont Kiara dan membina persimpangan bertingkat di Jalan Ampang/Jalan Jelatek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan Bajet DBKL 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata, DBKL dijangka menambah hasil cukai taksiran sebanyak RM200 juta setahun.

"Pada awalnya kita menjangka akan berlaku peningkatan sebanyak 36 peratus hasil daripada kutipan cukai taksiran kepada RM1.2 bilion.

"Bagaimana pun menerusi penurunan cukai taksiran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan baru-baru ini dijangka hanya akan bertambah 28 peratus," katanya.

Ahmad Phesal berkata, bagi memastikan warga kota menerima perkhidmatan yang lebih baik tahun depan, melalui Bajet 2014, DBKL akan mengambil beberapa langkah dalam memastikan perkhidmatan yang diberi adalah pada tahap yang memuaskan.

"Antaranya DBKL akan memastikan semua projek pembangunan berasaskan kualiti yang terbaik dan melantik kontraktor yang mempunyai pengalaman yang baik," katanya.

Warga kota dinasihat kurangkan kadar pembuangan sampah

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Ab.Rahim Md. Noor (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada balu Zainuddin Yahya bekas pemandu Alam Flora, Rohana Sulaiman di PPR Pekan Batu, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Warga kota dinasihatkan agar dapat mengurangkan kadar pembuangan sampah sepanjang penutupan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab.Rahim Md. Noor berkata, langkah ini bagi memastikan tidak ada lambakan sampah sepanjang kerja-kerja baik pulih mesin pemampat di stesen dilaksanakan.

"Mungkin pada hari ini kita dapati banyak sampah sarap lambat dikutip dan dibersihkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) ekoran dari masalah tersebut jadi kita berharap orang ramai dapat memahami keadaan ini.

"Stesen berkenaan hanya akan beroperasi sepenuhnya pada 30 Disember ini dan warga kota diminta mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai pengurusan sampah terutama mempraktikkan amalan kitar semula,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai pengurusan sisa pepejal ekoran penutupan operasi stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong di sini.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada balu seorang pekerja Alam Flora, Allahyarham Zainuddin Yahya 51, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menjalankan tugas pada 17 Disember lalu.

Sumbangan diterima oleh balu Allahyarham, Rohana Sulaiman 43, di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, di sini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Zainal Abidin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan.

Dalam pada itu kata Ab. Rahim, PPSPPA berhasrat memenuhi semua standard KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dalam pengurusan sisa pepejal di negara ini menjelang September 2014.

"Selain memajukan penggunaan pelbagai teknologi terkini dalam pengurusan sampah oleh semua syarikat-syarikat konsesi yang ada, iaitu Alam Flora , Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM), turut dirancang kempen mengenai pengurusan sampah kepada rakyat di negara ini.

"Di mana-mana negara besar, kos yang tinggi terpaksa dibelanjakan bagi memastikan persekitaran menjadi bersih dan lestari, namun tanpa kesedaran masyarakat mengenainya usaha tersebut hanya sia-sia,"katanya.

Banjir kilat terburuk di Rawang

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh AZRAI MOHAMMAD
kota@utusangroup.com.my

BANJIR kilat di Jalan Batu Arang, Rawang , Selangor menyebabkan ribuan penduduk Rawang terkandas selepas hujan lebat selama tiga jam di kawasan berkenaan, pagi semalam.

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Bakau, Rawang dekat sini, dengan lebih 20 buah rumah dimasuki air sedalam 0.5 meter ekoran air sungai berdekatan melimpah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, seramai 100 penghuni di kawasan terlibat terjejas selain empat buah kereta turut ditenggelami air.

Kejadian itu juga mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Arang berhampiran Pusat Beli-belah Aeon Rawang terkandas untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7 pagi.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, hujan lebat itu juga mengakibatkan berlaku kejadian tebing runtuh di Bandar Desa Country Homes yang terletak kira-kira 8 kilometer dari lokasi terbabit.

"Tebing setinggi kira-kira tiga meter itu runtuh dan mengakibatkan pokok tumbang lalu menghempap sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

"Bagaimanapun tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian tersebut," ujarnya.

Seorang penduduk, Hazam Shah Ramli, 33, berkata, beliau menyedari air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 6 pagi apabila membuka pintu depan untuk melihat keadaan di luar kerana hujan lebat.

Bot bagi memindahkan barangan penduduk yang sempat dirakamkan oleh salah seorang mangsa banjir kilat, Hazam Shah Ramli di dalam kediamannya di Kampung Sungai Bakau, Rawang, Selangor, pagi semalam.

"Tidak sampai beberapa minit air telah masuk ke dalam rumah hingga ke paras pinggang.

"Saya terus mengejutkan isteri dan anak-anak saya serta menelefon jiran-jiran. Seorang penduduk terpaksa menggunakan sampan bagi menyelamatkan kami yang terperangkap di dalam rumah," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Ismail Harun, 57, berkata, masalah banjir kilat telah dihadapi penduduk sejak kira-kira 10 tahun lalu lagi iaitu sejak beberapa projek perumahan dibina di sekitar kampung tersebut.

Katanya, bagaimanapun kejadian pagi ini adalah yang terburuk dalam tempoh tersebut.

"Sejak projek-projek perumahan yang terletak kira-kira 50 meter di sekeliling kampung ini dibina, penduduk sering mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas air surut kira-kira pukul 11 pagi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat