{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Pengurus pasar raya dijel 4 tahun

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Seorang pengurus pasar raya dihukum penjara empat tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang lebih RM74,000 milik majikannya, minggu lalu.

Hakim Ahmad Bache menjatuhkan hukuman terhadap Dennis anak Langit, 24, yang berasal dari Limbang, Sarawak setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap, 20 Disember lalu.

Lelaki itu yang dilantik oleh majikannya untuk mengutip wang hasil jualan, mengaku melakukan perbuatan tersebut melibatkan wang berjumlah RM74,662.20 di KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., cawangan Pantai Dalam, Brickfields dan Telawi, Bangsar, di sini antara pukul 8 pagi dan 8 malam, pada 14, 16 dan 17 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Datuk Mohd. Noordin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, majikannya mendapati salah seorang pengurus tidak memasukkan wang hasil jualan harian untuk tiga cawangan pasar raya itu justeru memanggil tertuduh yang kemudian mengaku mengambil wang berkenaan untuk kegunaan peribadi.

Sebelum itu, dalam rayuannya tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana terdesak melakukan perbuatan itu untuk membantu keluarganya yang kesempitan wang.

''Pada hari kejadian mata saya dikaburi wang kerana memikirkan keadaan keluarga, ibu yang sering berulang alik ke hospital, adik yang berusia 10 tahun memerlukan wang untuk belanja sekolah dan membayar ganti rugi kerosakan kereta milik orang lain yang dipandu oleh adik saya,'' ujarnya.

Lelaki tersebut yang telah bekerja di syarikat itu selama tiga tahun, memberitahu mahkamah, dia menyesal atas perbuatannya itu.

Namun begitu Noor Svetlana menegaskan, mahkamah perlu mendahului kepentingan awam daripada kepentingan peribadi tertuduh yang telah memusnahkan kepercayaan penuh diberi oleh majikannya.

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan walaupun tiada sebarang tindakan kekerasan berlaku dalam kes ini namun telah mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi syarikat terlibat.

''Bayangkan kalau kejadian pecah amanah ini berleluasa siapa lagi yang boleh kita percaya, oleh itu saya berharap awak tidak melakukan perbuatan ini lagi kerana jika berlaku, saya akan pastikan awak menerima hukuman yang lebih berat,'' katanya.

Justeru kata beliau, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh bagi menunjukkan keseriusan kesalahan itu dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat di negara ini.

Pekerja restoran rogol ibu beranak dua dijel 20 tahun, 16 sebatan

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

PETALING JAYA 24 Dis. - Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 16 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku merogol dan merompak seorang ibu beranak dua, tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Buttu, 42, selepas menerima pengakuan bersalah lelaki itu.

Buttu mengaku merompak sebuah telefon bimbit milik wanita yang berusia 31 tahun itu bersenjatakan sebilah parang di rumah mangsa di Subang dekat sini pada pukul 5.10 pagi, 19 April 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi kesalahan itu, dia dipenjara sembilan tahun dan sebatan enam kali.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) kanun sama kerana merogol mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dipenjara 20 tahun dan sebatan 10 kali.

Kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Oktober lalu.

Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din, tertuduh memasuki rumah mangsa ketika mangsa sedang tidur bersama dua anaknya.

Suami mangsa pada ketika itu tiada di rumah kerana belum pulang dari kerja.

Mangsa ditarik keluar ke ruang tamu dan tertuduh yang mengacukan sebilah parang ke badan mangsa kemudian merogolnya sebelum mengambil telefon bimbit mangsa.

Mangsa kemudian pergi ke rumah ibu mertuanya yang terletak berdekatan rumahnya sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh berjaya ditangkap selepas mangsa mengecam wajah tertuduh dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) darah tertuduh berpadanan dengan DNA sampel cecair yang diambil di kemaluan mangsa.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu dikenakan hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat