Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Mesti kuasai teknologi, modal
- 100 pelatih SL1M bantu cuci SK Sungai Isap
- 599 masjid dapat surat hak milik tahun depan
Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST Oleh ZAMZURINA AHMAD Dr Jamaluddin Jarjis berucap merasmikan Seminar Isu-Isu Perniagaan Global anjuran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara Pahang di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN 22 Dis. - Usahawan bumiputera disaran meningkatkan perniagaan masing-masing dengan menguasai teknologi dan modal agar mampu bersaing sehingga ke peringkat global. Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis berkata, persaingan dalam dunia perniagaan menuntut para peniaga terutama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk lebih kreatif dan inovasi dalam usaha memasarkan produk masing-masing. "Industri perniagaan masa kini boleh dijadikan sebagai pengukur atau penanda aras agar produk yang dijual bukan sahaja memenuhi permintaan di dalam negara tetapi relevan untuk menembusi pasaran luar. "Oleh yang demikian, kita harus mencari satu mekanisme baharu dalam usaha membantu usahawan bumiputera agar mereka seiring dengan kemajuan dan arus pembangunan serta pengembangan teknologi," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Isu-Isu Perniagaan Global anjuran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di sebuah hotel di sini hari ini. Selain kerajaan katanya, pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat atau agensi berkaitan juga perlu memainkan peranan seperti memberi ruang dan peluang kepada para peniaga terutama usahawan IKS. Sementara itu, Koordinator Komunikasi Korporat UiTM Pahang, Muhammad Azmi Abdul Razak berkata, seminar yang diadakan merupakan salah satu daripada platform pelajar jurusan tersebut untuk mengetahui masalah dalam kalangan usahawan IKS dan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah tersebut. "Seminar ini memberi gambaran jelas kepada pelajar untuk memahami permasalahan pengusaha IKS dan dalam masa yang sama memberi pendapat serta penyelesaian terbaik terhadap isu yang dibangkitkan. "Kita memahami semakin moden sesebuah negara itu, akan timbul isu-isu baru dalam bidang perniagaan dan diharapkan agar pendedahan yang dibuat dapat membantu, akhirnya memberi ruang kepada peniaga IKS mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya. Terdahulu seramai 30 usahawan IKS dari pelbagai sektor perniagaan hadir menyertai seminar yang berlangsung selama sehari itu. |
100 pelatih SL1M bantu cuci SK Sungai Isap Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST Pelatih SLIM-TH membantu warga SK Sungai Isap membersihkan kawasan persekitaran sekolah dan bilik darjah program pembersihan anjuran Lembaga Tabung Haji di Kuantan, kelmarin. KUANTAN 22 Dis. - Sebanyak 100 pelatih Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) Tabung Haji (TH) terlibat bergotong-royong mencuci Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di sini semalam. SK Sungai Isap antara beberapa sekolah di daerah ini yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini awal bulan ini. Penglibatan pelatih SL1M-TH dalam gotong-royong itu merupakan sebahagian daripada program khidmat komuniti yang dilaksanakan di bawah skim latihan berkenaan. Yang turut hadir Pengurus Jabatan Sumber Manusia TH, Mohamad Zaini Hassan. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, ekoran banjir yang buruk baru-baru ini, TH terpanggil menghulurkan tenaga sukarelawan bagi membantu mangsa. "Peluang ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelatih SL1M-TH dengan kerja-kerja kesukarelaan dan TH negeri memilih SK Sungai Isap memandangkan sekolah itu antara yang terjejas teruk," ujarnya. Sementara itu, beliau mempelawa lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih mencari pekerjaan untuk menjalani SL1M-TH bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja. "Kami ingin menjadikan seorang pelatih itu bukan sahaja keluar menjadi profesional tetapi mampu tampil menjadi imam, boleh menguruskan jenazah dan sebagainya," jelasnya. Kata Mohamad Zaini, melalui pelbagai latihan yang dikemas kini TH, pelatih mampu meningkatkan kemahiran mereka untuk mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan serta dilengkapi dengan pengetahuan dalam agama Islam. "TH yakin sebagai sebuah organisasi Islam, kami dapat membentuk seorang profesional yang juga boleh menguruskan hal berkaitan agama dan ini ternyata berbeza dengan mana-mana agensi yang turut menawarkan skim latihan yang sama," jelasnya. |
599 masjid dapat surat hak milik tahun depan Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST MARAN 22 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) bersetuju supaya 599 buah masjid di negeri ini diberi suratan hak milik tahun hadapan. Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, suratan hakmilik atas nama MUIP itu sebagai jaminan tapak masjid itu kekal sebagai rumah ibadat umat Islam untuk selama-selamanya. Menurutnya, tapak masjid sekarang tiada bergeran malah ada yang berstatus tanah wakaf yang boleh dituntut oleh waris yang berhak. "Muip dengan persetujuan Kerajaan Pahang akan memulakan langkah dan prosedur untuk mendapat suratan hak milik dengan premium yang paling minimum. "Muip menjangkakan usaha mendapat geran tanah bagi tapak masjid di setiap daerah di negeri ini tiada masalah kerana Pejabat Tanah dan Daerah komited membantu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian Kursus Peningkatan Profesionalisme Bilal dan Siak masjid kariah negeri Pahang dan majlis penyampaian sagu hati kepada pegawai masjid daerah Chenor di sini baru-baru ini. Tambah beliau, usaha serupa untuk mendapat geran bagi 1,435 tapak surau juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat setelah mendapat persetujuan semua pihak. Katanya, menjadikan tapak masjid milik Muip melalui dokumen rasmi dalam bentuk suratan hakmilik itu akan melancarkan lagi program dakwah Islamiah di negeri ini. "Masjid adalah satu institusi ibadat untuk orang Islam yang perlu dipelihara kesuciannya daripada unsur pecah-belah dan penyebaran fahaman salah dan lain-lain," katanya. Tegas beliau, jawatankuasa masjid yang dilantik berhak menghalang mana-mana kumpulan atau individu mengadakan ceramah tanpa kebenaran Muip di masjid. Beliau turut meminta jawatankuasa masjid memberi fokus terhadap soal menjaga kebersihan dan keceriaan masjid kerana faktor ini mampu mempengaruhi ahli kariah ke masjid. Katanya, masjid yang bersih, indah dan ceria dapat menarik pelbagai golongan khususnya generasi muda untuk ke masjid tanpa paksaan ibu bapa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |