Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Ong Tee Keat turut rebut jawatan Presiden MCA Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN Liow Tiong Lai (tengah) dan Wee Ka Siong bersama penyokong mereka mengangkat tangan ketika hadir untuk mengemukakan calon Presiden dan Timbalan Presiden MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Ghazali BASRI KUALA LUMPUR 16 Dis. - Perebutan jawatan Presiden dalam pemilihan MCA yang akan diadakan Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan tiga nama besar. Mereka ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Naib Presiden, Gan Ping Sieu dan bekas Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat. Tiong Lai menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 1.30 petang manakala Ping Sieu berbuat demikian 30 minit kemudian diikuti Tee Keat pada pukul 3.40 petang. Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha selepas proses penamaan calon bagi semua jawatankuasa pusat (CC) parti itu tamat pada pukul 5 petang ini. Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan MCA ekoran kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selain memberi laluan kepada generasi baharu menerajui parti. Dalam pada itu, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Naib Presiden, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong. Jawatan Naib Presiden pula menjadi rebutan sembilan calon antaranya, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong; Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng dan ahli jawatankuasa pusat, Lee Chee Leong. Selain itu, Cho Ha dan Timbalannya, Datuk Hou Kok Chung juga akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden. Seramai 58 calon akan bertanding bagi merebut 25 kerusi ahli CC dalam pemilihan kali ini. Pemilihan berkenaan akan berlangsung di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini dan dihadiri kira-kira 2,385 perwakilan serta pemerhati dari seluruh negeri. Tiong Lai yang ditemui pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan berkata, beliau berjanji akan melakukan perubahan menyeluruh bagi memperkasakan parti itu. "Saya yakin perwakilan akan memberi sokongan kuat kepada pasukan transformasi dipimpin oleh saya dalam memastikan MCA pada masa hadapan menjadi sebuah parti yang dinamik dan menyuarakan pandangan masyarakat Cina di negara ini," katanya. |
Satu lawan satu rebut kerusi Pemuda, Wanita MCA Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pemilihan MCA yang akan berlangsung pada hujung minggu ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan tertinggi dalam sayap Pemuda dan Wanita. Ketua Pemuda MCA Batu, Datuk Goh Gaik Meng dan Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon akan merebut jawatan nombor satu sayap berkenaan. Jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula menyaksikan persaingan antara dua calon iaitu Ketua Pemuda Perak, Ting Tai Fook dan Ketua Pemuda MCA Bakri, Chris Lee Ching Yong. Pertarungan bagi jawatan Naib Presiden sayap Pemuda pula menyaksikan lima calon iaitu Tia Hong Guan, Tan Chee Hiong, Leaw Kok Chan, Liew Mun Hon dan Tan Kok Eng. Dalam pada itu, jawatan Ketua Wanita pula akan menyaksikan pertembungan antara Timbalan Ketua Wanita, Datuk Heng Seai Kie dan ahli jawatankuasa Pusat, Tan Cheng Liang. Jawatan Timbalan Ketua Wanita pula dimenangi oleh Datuk Lee Piat Chern. Beliau yang merupakan Ketua Wanita Negeri Sembilan menang tanpa bertanding. Pemilihan bagi jawatankuasa pusat parti berkenaan dijadual berlangsung di Wisma MCA mulai 19 Disember ini dan bakal dihadiri kira-kira 2,385 perwakilan serta pemerhati dari seluruh negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |