{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Politik

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Politik


Rafizi sengaja putar belit laporan ekonomi

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung penjualan dan pembelian aset kerajaan dan pensekuritian hutang kerajaan disifatkan sebagai tidak berasas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memberitahu, perkara itu kerana Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut dengan sengaja telah memutarkan isi kandungan laporan tersebut bagi kepentingan politik.

Berikut adalah kenyataan kementerian bagi menjawab segala dakwaan dan tohmahan berhubung perkara berkenaan:

Kenyataan Rafizi mengenai maklumat di atas adalah berdasarkan Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM, December 2013) yang dikeluarkan oleh World Bank (WB) pada 1 Disember 2013.

Untuk makluman, sumber maklumat di dalam penerbitan MEM tersebut diperolehi daripada Laporan Ekonomi 2013/2014 dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Kedua-dua laporan tersebut telahpun dibentang di Parlimen pada 25 Oktober 2013. Oleh itu, cadangan untuk mengadakan satu sidang Parlimen tergempar seperti yang diwar-warkan di dalam media bagi membincangkan isu ini adalah tidak berbangkit.

Pengewangan Aset Kerajaan (Monetization of Assets)

Untuk makluman, penjualan tanah adalah di bawah inisiatif pengewangan aset Kerajaan (monetization of assets) bertujuan bagi memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan sekitarnya.

Inisiatif pengewangan aset Kerajaan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2008. Langkah ini telah merangsang lebih banyak penglibatan agensi-agensi Kerajaan, Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan sektor swasta di dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara.

Aset tersebut dipindah milik pada harga pasaran dengan penilaian dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).

Sebelum sebarang penjualan tanah dilaksanakan, pandangan dan persetujuan daripada agensi pengguna akan diperolehi terlebih dahulu mengenai perancangan penggunaan tanah tersebut. Penjualan tanah ini tidak akan dilaksanakan sekiranya agensi tersebut tidak bersetuju atau mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan tanah tersebut.

Pengewangan aset adalah aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh mana-mana Kerajaan bagi menjana aktiviti ekonomi. Sebagai contoh, tanah Kerajaan UK di Canary Wharf, London yang dijual kepada sektor swasta untuk dibangunkan sebagai hub kewangan antarabangsa. Langkah yang sama juga dilaksanakan oleh Kerajaan Singapura dan Hong Kong.

Pensekuritian Hutang Kerajaan

Pensekuritian hutang Kerajaan dilaksanakan bagi mewujudkan modal pembiayaan tambahan untuk pinjaman perumahan penjawat awam. Hasil pensekuritian hutang Kerajaan bukan merupakan sumber utama hasil Kerajaan Persekutuan kerana ia hanya mencakupi 1.9% daripada jumlah hasil Kerajaan Persekutuan. Pensekuritian hutang adalah satu aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh bank-bank komersil sebagai satu strategi pembiayaan.

Kesimpulan

Dalam RMK-10, Kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit fiskal daripada 5.4% pada tahun 2010 kepada 3.0% pada tahun 2015 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Sasaran ini penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan. Pencapaian sasaran ini bukan bergantung kepada penjualan aset Kerajaan dan pensekuritian hutang Kerajaan, tetapi dirancang menerusi konsolidasi fiskal Kerajaan.

Oleh itu, semua pihak dinasihatkan meneliti laporan yang dibentangkan di Parlimen sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas, demi kebaikan bersama.

Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli adalah tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja telah memutarkan isi kandungan laporan tersebut bagi kepentingan politik.

Tuduh kerajaan jual aset negara dianggap sebagai fitnah murahan

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tuduhan kononnya kerajaan telah menjual aset negara berjumlah RM5.6 bilion dilihat tidak lebih daripada fitnah murahan kerana sehingga kini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli masih belum mengemukakan sebarang bukti berhubung perkara tersebut.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohammad Radzi Salleh berkata, Rafizi sepatutnya tidak membuat tuduhan kosong tanpa bukti, sebaliknya menyertakan senarai lengkap pembeli aset negara yang dijual oleh kerajaan seperti yang didakwa.

Katanya, sebagai seorang pemimpin, Rafizi perlu bertanggungjawab dengan memberikan bukti terhadap setiap tuduhan yang dilemparkan.

"Kalau ada bukti, sila dedahkan kepada umum memandangkan tuduhan itu amat berat. Jika tidak ada, janganlah buat tuduhan bodoh seperti ini.

"Sekiranya, Rafizi mendedahkan bukti lengkap siapa pembeli aset tersebut, saya sendiri akan membantu beliau untuk mendedahkannya kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR dilaporkan mendakwa kerajaan terpaksa menjual aset berjumlah RM5.6 bilion untuk mencapai sasaran mengurangkan hutang negara.

Bagaimanapun, Rafizi tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai aset yang dijual.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Ishak berkata, dakwaan tanpa bukti kukuh tentang sesuatu isu tidak seharusnya dilontarkan oleh seorang wakil rakyat seperti Rafizi.

"Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya bertindak lebih profesional dan tidak menjadikan dakwaan itu batu loncatan dengan mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

"Dalam setiap tuduhan, jika Rafizi tidak mahu menunjukkan bukti, beliau boleh mengeluarkan surat akuan sumpah untuk melindungi kenyataan itu. Yang menghairankan, beliau sehingga kini gagal mengemukakan sebarang bukti yang sahih," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Rafizi dalam portal berita Free Malaysia Today mendakwa kerajaan melakukan urusan penjualan dan pembelian aset negara berjumlah RM5.6 bilion tanpa mengemukakan bukti yang kukuh.

Rahmad turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai muslihat 'tin kosong' pemimpin pakatan pembangkang.

"Mereka ini pandai buka cerita, tetapi tidak pandai untuk tutup apabila sering tidak mengemukakan bukti sahih mengenai sesuatu dakwaan tersebut.

"Ini merupakan tuduhan yang berat kepada kerajaan dan beliau perlu mengemukakan bukti kukuh melalui dokumen yang sahih bagi menjelaskan kenyataan tersebut," jelasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat