Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Agih hasil cari gali tanpa pertikaian Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST Oleh Borhan Abu Samah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (kiri) menandatangani persefahaman dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Brunei, Pehin Datuk Lim Jock Seng di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Ahad lalu. - BERNAMA MALAYSIA memang tidak boleh memilih jirannya kerana ia memang telah ditakdirkan secara geografi. Tetapi Malaysia beruntung kerana mempunyai negara-negara berjiran yang baik, dan lebih beruntung apabila mempunyai jiran seperti Brunei yang begitu akrab, hingga memboleh pelbagai isu rumit diselesaikan dengan mudah. Media di Brunei pula tidak bersikap provokatif atau memperbesarkan isu remeh hingga boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Membaca akhbar Brunei ketika menikmati sarapan pagi tidak akan menyebabkan tekanan darah naik tiba-tiba. Begitu juga jika menonton televisyen tempatan pada lewat malam juga tidak akan menyebabkan kepala sakit sehingga sukar hendak tidur. Begitu jugalah hubungan Malaysia-Brunei. Bayangkan hasil kerjasama Petronas dengan syarikat petroleum nasional Brunei, PetroleumBRUNEI tidak sampai seminggu lepas berjaya menemui satu kawasan simpanan minyak dan gas di sekitar perairan utara Sarawak, Brunei dan Sabah. Ia dapat diselesaikan dengan segera. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berita baik itu, menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sangat menarik kerana kawasan yang terletak merentasi sempadan maritim Malaysia-Brunei itu diselesaikan dengan segera apabila kedua-dua negara bersetuju dengan pembahagian hasil cari gali tanpa sebarang pertikaian yang berlarutan. Kepantasan penyelesaian isu berbangkit di antara Malaysia dan Brunei ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara secara sosial, ekonomi dan hubungan dua hala, tetapi merupakan satu semangat yang harus dijadikan contoh oleh negara-negara lain. Aktiviti cari gali di kawasan baharu itu sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran minyak Malaysia yang tentunya memberikan pendapatan yang lumayan dan pada masa yang sama dapat memenuhi peningkatan keperluan gas di Brunei. Bayangkan jika isu pembahagian hasil cari gali itu tidak dapat diselesaikan dan berlarutan bertahun-tahun lamanya. Kedua-dua buah negara akan mengalami kerugian kerana sumber asli yang ada tidak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara. Simbolik kepada hubungan akrab itu, Malaysia dan Brunei telah berjaya membina sebuah jambatan diberi nama Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Limbang di Sarawak dan Temburong di Brunei. Kos pembinaan jambatan itu RM21.9 juta dikongsi secara saksama dan kerjasama sedemikian sukar dicapai tanpa hubungan yang akrab. Jika selama ini penduduk kedua-dua buah negara terpaksa menunggu berjam-jam untuk menaiki feri, tetapi kini mereka boleh memandu terus dan pastinya ia menjimatkan masa serta meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan. Bahkan jika sebelum ini penduduk yang mahu melalui kawasan berkenaan perlu menempuhi empat check point dan terpaksa dicop lapan kali pasport, kini mekanisme sedang difikirkan untuk menyelesaikan masalah itu. Jambatan itu juga melengkapkan jaluran Lebuh Raya Pan Borneo. Rundingan tahunan yang ke-17 berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan dan disusuli pertemuan empat mata Najib dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah membuahkan hasil yang cukup luar biasa. Pertemuan yang singkat itu bukan sahaja menyelesaikan pelbagai masalah yang tertunggak, tetapi juga membuka pelbagai peluang baharu yang akan melonjakkan ekonomi kedua-dua buah negara. Dalam semangat kerjasama dua hala lebih erat, pihak berkuasa relevan di kedua-dua negara digesa untuk memuktamadkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan bidang teknologi maklumat dan komunikasi, pertanian, perikanan dan percukaian. Kedua-dua pemimpin melahirkan keyakinan untuk meneruskan langkah itu dan mengulangi komitmen mereka untuk memanfaatkan peluang yang ada untuk menjalin lebih banyak kerjasama di masa depan demi faedah kedua-dua negara. Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menggalakkan pegawai dari kedua-dua negara untuk menerokai peluang ekonomi baharu yang berteraskan komersial, serta meningkatkan usaha menggalakkan penyertaan usahawan muda kedua-dua negara menerusi projek usahasama, penyelidikan, latihan dan kegiatan pembangunan kapasiti. Kedua-dua pemimpin juga melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan cemerlang dalam hubungan dua hala bidang pertahanan, menerusi pertukaran lawatan secara tetap, latihan, kursus dan latihan ketenteraan antara Angkatan Tentera Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Malaysia. Kerjasama institusi pengajian tinggi kedua-dua negara dipertingkat dengan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, latihan kepimpinan, pendidikan teknikal dan vokasional dan lawatan berkala. Beberapa perjanjian ditandatangani dengan pihak berkuasa petroleum Brunei bagi meningkatkan lagi kerjasama saling menguntungkan kedua-dua pihak dalam industri minyak dan gas. PetroleumBRUNEI bersetuju membeli tiga peratus kepentingan dalam anak syarikatnya di Kanada - aset gas asli Progress Energy Canada Ltd yang dibeli Petronas dan kemudahan eksport yang dicadangkan Pacific NorthWest LNG Ltd. PetroleumBRUNEI juga bersetuju membeli tiga peratus pengeluaran Petronas sekurang-kurangnya selama 20 tahun. Perjanjian lain yang dipersetujui ialah Perjanjian Dasar Induk (HOA) antara Petronas dan Sekretariat Unitasi Nasional Brunei Darussalam bagi memuktamadkan persetujuan unitasi untuk medan minyak Kinabalu West NAG Malaysia dan medan Maharajalela North Panel Brunei, yang akan membuka jalan ke arah menyelesaikan beberapa isu berkaitannya. Kedua-dua pihak juga menandatangani satu lagi HOA bertujuan mewujudkan persetujuan bersyarat untuk membangunkan bersama medan minyak Gumusut/Kakap milik Malaysia dan medan minyak Geronggong/Jagus-East milik Brunei berdasarkan persetujuan bersyarat pengeluaran dan perkongsian kos sehingga satu perjanjian susulan dicapai mengenai status medan-medan berkenaan. Syarikat minyak nasional Brunei itu meluluskan dua perjanjian berkongsi pengeluaran untuk dua medan, Blok N dan Blok Q Brunei, kepada Petronas Carigali Brunei Ltd dan Shell Deepwater Borneo Ltd, dengan kepentingan ekuiti seimbang saksama dalam pembahagian hasil cari gali. Satu memorandum persefahaman juga ditandatangani antara Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, sebuah unit anak syarikat Petronas, MISC Bhd, dengan PB Services Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PetroleumBRUNEI, bagi menjalin usaha sama berkemungkinan 30:70 untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi. Tidak pernah berlaku pertemuan begitu singkat dapat menyelesaikan pelbagai isu besar yang tertunggak, bahkan membuka lembaran baharu untuk kerjasama yang lebih luas di antara kedua-dua negara. Jika semangat ini dihayati dan diamalkan oleh seluruh negara ASEAN, inisiatif Komuniti ASEAN akan dapat dicapaikan dengan jayanya sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah. |
Keazaman pelihara Islam, Melayu, perpaduan kaum Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST Oleh AZMAN ANUAR Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan para jemaah solat Jumaat selepas berkenan merasmikan Masjid Kampung Raja Uda dan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Ke-68 di Pelabuhan Klang pada 6 Disember lalu. HARI ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah sempurna 12 tahun menaiki takhta sebagai Sultan dan hari ini juga diadakan sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68. Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan. Dalam bidang agama pula baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar. Gesaan Sultan Selangor agar kaum bukan Islam tidak merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan adalah mesej yang jelas dan terang. Bagi seorang Raja Melayu yang mempunyai hak mutlak ke atas agama Islam (menurut Perlembagaan Persekutuan dan Negeri) berpendirian tegas dalam hal ini. Baginda melihat keadaan kaum bukan Islam masih tegar untuk membincangkan isu kalimah Allah secara terbuka atau peribadi, tanpa mempeduli sensitiviti orang Melayu. Islam digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai 'Agama Persekutuan Malaysia' dan perbuatan mencabar sensitiviti orang Melayu wajar dilihat sebagai menentang peruntukan Perlembagaan. Pendirian baginda konsisten dan komitednya baginda dalam memelihara kesucian agama Islam. Terbaharu, Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013 telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negeri Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam. Baginda turut bertegas bahawa keputusan ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam dengan penganut agama lain serta mengelakkan pertelingkahan kaum yang boleh membawa kemudaratan kepada semua. Sebagai Ketua Agama negeri, Sultan Sharafuddin juga menasihati umat Islam khususnya orang Melayu di Selangor supaya berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah. Baginda turut menyuarakan kekesalan mengenai tindakan segelintir individu yang menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik di negeri itu. "Jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah," titah baginda. Ketika merasmikan Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang pada 6 Disember 2013, baginda amat dukacita dengan kemunculan ekstremis agama yang sanggup membunuh dan melakukan kezaliman terhadap umat seagama dan penganut agama lain. Ektremis-ekstremis ini timbul kerana adanya ajaran-ajaran sesat seperti Syiah, Al-Arqam, Kadiani, Tuhan Harun dan banyak lagi ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam yang diamalkan di negara ini. "Seperkara lagi yang sangat mendukacitakan beta adalah terdapat segelintir golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa Melayu dan agama Islam. "Mereka ini dianggap seperti pepatah Melayu 'membuka pekung di dada' dan menunjukkan betapa mundurnya orang Melayu di zaman globalisasi ini. "Beta berharap rakyat negeri Selangor sekalian janganlah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di negeri ini ke arah yang tidak diredai Allah SWT," titah baginda. Sultan Selangor bertitah, golongan itu seharusnya memberi pendapat atau nasihat yang boleh membawa masyarakat Melayu ke arah perpaduan dan kemajuan, mematuhi undang-undang dan berbudi bahasa serta memelihara adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun. "Mereka yang bijak pandai ini juga sepatutnya memberi keyakinan kepada bangsa Melayu supaya jangan gentar dan sanggup berjuang untuk menaikkan imej dan martabat bangsa Melayu agar turut bersama-sama maju dalam abad ke-21 ini." Keazaman yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor ini kerana baginda telah mengangkat sumpah pada saat dilantik sebagai sultan. "Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. "Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik." |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |