{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Ke manakah ekonomi bumiputera?

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Oleh Rohami Shafie

Orang ramai meninjau model rumah mampu milik dan hartanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, baru-baru ini. - Gambar hiasan

Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berakhir minggu lalu menjadi medan bagi orang Melayu dan kaum bumiputera membahaskan isu-isu orang Melayu dan bumiputera. Antara isu yang paling hangat dibahaskan membabitkan isu ekonomi kaum bumiputera.

Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara berani dan lantang menyuarakan bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera tidak boleh sesekali apologetik apabila ingin mempertahankan hak mereka. Sekian lama kaum ini tidak pernah mendiskriminasikan kaum lain, tidak sebagaimana Dasar Apartheid yang pernah dilaksanakan secara kejam di Afrika Selatan.

Bezanya amat jauh sama sekali, di Malaysia golongan majoriti jauh ketinggalan dari sudut ekonomi berbanding kaum bukan bumiputera meskipun kuasa politik di tangan mereka. Di Afrika Selatan pula suatu ketika dahulu, kaum minoriti yang menguasai tampuk pemerintahan menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk menguasai kekayaan negara.

Di sini adakah perkara yang sama berlaku? Adakah diskriminasi berlaku di sini sebagaimana berlaku di negara Afrika Selatan sebelum era Nelson Mandela sebagai Presiden Afrika Selatan?

Di Malaysia, kaum bukan bumiputera bukan sahaja boleh mencari rezeki dengan mudah, malahan mereka inilah yang menguasai setiap sudut ekonomi Malaysia. Tidak terkecuali dalam urusan kewangan Islam yang sewajarnya dikuasai oleh orang Islam sendiri yang majoritinya adalah kaum Melayu dan bumiputera.

Jadi, usahlah terlalu retorik tanpa merujuk fakta sebenar. Orang Melayu dan kaum bumiputera tidak pernah meminggirkan hak kaum lain. Jika ini berlaku sudah tentu yang menguasai kekayaan Malaysia adalah orang Melayu dan kaum bumiputera.

Hentikan permainan politik berasaskan rasis kerana ia tidak dapat memperkukuhkan perpaduan rakyat. Hanya dengan mengukuhkan ekonomi semua kaum termasuklah mempertingkatkan ekonomi orang Melayu dan kaum bumiputera, perpaduan rakyat dapat dicapai dengan mudah.

Namun demikian, persoalan utamanya bagaimanakah kaedahnya? Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dilaksanakan tidak membuahkan hasil yang diinginkan. Kalau ada pun kejayaan yang diperoleh lebih ke arah meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu dan kaum bumiputera serta berupaya mengeluarkan kaum ini dari kepompong kemiskinan tegar.

Orang Melayu dan kaum bumiputera tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kejayaan kecil DEB, walhal sasaran ekonomi yang lain yang lebih penting gagal dicapai. Justeru, kerajaan bertunjangkan orang Melayu dan kaum bumiputera yang majoritinya menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu memenuhi suara hati kaum majoriti ini.

Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera telah diperkenalkan bulan September yang lalu. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk memastikan orang Melayu dan kaum bumiputera berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama-sama dengan kaum bumiputera dari sudut ekonomi.

Kaedah-kaedah terbaharu sewajarnya dilaksanakan. Kalau mengikut keluh kesah pembahas-pembahas usul ekonomi, mereka menyuarakan mengenai peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membantu ekonomi bumiputera.

Banyak rungutan dibuat oleh orang Melayu dan kaum bumiputera ke atas pihak pengurusan tertinggi GLC. Mereka ini dilihat meminggirkan kepentingan ekonomi orang Melayu dan kaum bumiputera. Tidaklah diketahui hakikat sebenar kenapa perkara ini berlaku. Namun demikian, penyakit sebegini perlu diatasi segera.

Memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) antara yang diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 13. Bagi saya, KPI ini cukup penting dalam memantau prestasi pihak pengurusan tertinggi GLC. Bagaimanapun pemantauan ini banyak terarah terhadap prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berbanding ahli-ahli lembaga pengarah (ALP) GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Adakah prestasi ahli lembaga pengarah GLC tidak memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan penguasaan ekonomi kaum bumiputera? Sebenarnya, keputusan tertinggi GLC bukan sekadar berada di tangan CEO-CEO GLC sahaja tetapi juga melibatkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC.

Mereka ini juga perlu dipantau dari segi KPI. Bahkan, jika prestasi mereka ini tidak memenuhi KPI, maka suatu tindakan pembetulan perlu dilaksanakan. Tidak keterlaluan dikatakan ada di antara ALP berkenaan terlalu lama sebagai ahli lembaga pengarah. Adakah prestasi mereka ini sentiasa dapat dipertingkatkan setelah sekian lama menjadi ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC?

Bukalah peluang kepada orang lain terutamanya generasi baharu yang berkemungkinan besar mempunyai idea-idea yang lebih inovatif dan kreatif dalam memperkukuhkan ekonomi kaum bumiputera. Transformasi perlu dilakukan secara menyeluruh kerana dengan ini tidaklah Agenda Memperkukuhkan Ekonomi Bumiputera tersekat-sekat dek kerana terdapat halangan yang sebenarnya boleh dilalui dengan mudah.

Selain peranan GLC, transformasi sikap kaum bumiputera itu sendiri dalam memperkukuhkan ekonomi mereka adalah tunjang dalam mengubah sosio-ekonomi bumiputera. Sikap dengki mendengki dan pelbagai fitnah dilontarkan hanya kerana orang lain yang sebangsa dengan mereka berjaya dalam perniagaan adalah satu sikap yang benar-benar merencatkan pengukuhan ekonomi bumiputera.

Yang menghairankan, tiada pula perasaan dengki-mendengki ini dipanjangkan kepada kaum bukan bumiputera bagi tujuan untuk memajukan diri sendiri. Inilah sebenarnya antara dilema moden orang Melayu dan kaum bumiputera selain sikap sentiasa inginkan kejayaan tanpa rasa putus asa, rajin berusaha dengan mentransformasikan cara pemikiran dan cara kerja serta sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan di dada.

Orang Melayu dan bumiputera tiada bezanya dengan kaum bukan bumiputera. Mereka juga mampu berjaya. Cuma ia perlu disulami dengan pendekatan yang lebih ampuh berasaskan sasaran, objektif, misi dan visi, berani dalam menceburi keusahawanan, bantu-membantu, tidak angkuh dengan kejayaan serta membina satu rangkaian dan rantaian nilai dalam perniagaan yang melibatkan semua peringkat orang Melayu dan kaum bumiputera.

Tidak kiralah sama ada mereka itu pimpinan atasan atau bawahan, usahawanan baru dan berjaya tetapi juga sewajarnya inklusif melibatkan keseluruhan orang Melayu dan kaum bumiputera yang jumlahnya 67 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Barulah hala tuju ekonomi kaum bumiputera lebih jelas dalam mencapai sasaran yang diinginkan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Rasa terhina tak mampu beli rumah sendiri!

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Pandangan IKIM

BARU-BARU ini Institut Kefahaman Islam (IKIM) telah mengadakan satu Muzakarah Pakar bertajuk: Harga Rumah Melambung: Isu dan Penyelesaian" khas bagi membincangkan isu kenaikan harga rumah yang dikatakan tidak munasabah. Isu ini sudah menjadi isu nasional; yakni isu negara yang menyentuh keseluruhan masyarakat.

Harga rumah yang tinggi pada hari ini memang telah banyak diperkatakan. Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) misalnya telah tampil ke hadapan dengan satu kajian yang mendapati 60 peratus kakitangan awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri. Hakikatnya, harga rumah yang tinggi menyukarkan kebanyakan orang untuk membeli sebuah rumah yang merupakan keperluan asas.

Pada hari ini kita dapati rata-rata golongan belia terutama yang baru memasuki alam pekerjaan tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang meningkat saban waktu. Pendapatan permulaan mereka selalunya hanya sekadar cukup untuk membiayai kos sara hidup seorang diri dan membayar semula pinjaman pendidikan.

Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila mereka mula berkeluarga dengan kos sara hidup yang tinggi maka bertambah jauhlah harapan untuk memiliki kediaman sendiri. Adakah kita ingin melihat ramai warga kita yang duduk di bawah jambatan kerana mereka tidak mampu membeli sebuah rumah? Atau adakah kita ingin melihat warga muda kita menyewa rumah sepanjang hayat mereka?

Perkara ini boleh juga dikaitkan dengan kebahagiaan mental seseorang itu. Adakah seseorang itu boleh dianggap bahagia jika terpaksa duduk di bawah jambatan bersama keluarga kerana tidak mampu untuk memiliki sebuah rumah. Apa akan jadi kepada sebuah negara jika ramai rakyatnya tidak bahagia dalam menjalani kehidupan. Pastinya produktiviti akan berkurangan, negara juga tidak dapat membangun seperti yang sepatutnya.

Justeru isu ini menyentuh psikologi manusia serta kepentingan nasional untuk jangka pendek dan jangka panjang. Ada yang mengatakan masalah harga rumah tinggi yang kita hadapi sekarang berpunca daripada kita yang tidak menguruskan perkara ini dengan betul dari dulu lagi.

Oleh yang demikian kita harus memperbetulkan keadaan ini dari sekarang agar anak cucu kita tidak perlu lagi menghadapi serta membincangkan masalah yang sama di masa hadapan. Masih belum terlambat untuk kita mengambil langkah-langkah yang sepatutnya agar sejarah tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Kita dapati peranan kerajaan adalah sangat penting untuk memantau perkembangan pasaran rumah. Mengambil contoh di Australia, pembeli pertama diberikan subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.

Kita tidak menafikan kerajaan berusaha untuk menangani masalah harga rumah ini seperti melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang membina rumah mampu milik terutama kepada golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan.

Industri perumahan negara begitu rumit kerana ia melibatkan banyak pihak. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan satu pihak sahaja kerana ia adalah tidak adil. Semua pihak harus memainkan peranan agar masalah ini dapat diatasi. Jika puncanya adalah rasuah, maka kita harus terapkan nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia agar tidak berlaku penganiayaan kepada pembeli rumah.

Bagi yang beragama Islam pula, sudah tersedia ada nilai-nilai agama yang perlu diamalkan dan bukan hanya disebut di bibir sahaja. Memang senang untuk memetik ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi, tetapi apa yang lebih penting adalah setakat mana ia diamalkan.

Jika suapan RM20,000 sudah terbentang di depan mata, mungkinkah segala nilai agama yang sering digembar-gemburkan itu akan melayang begitu sahaja. Maka apa yang tinggal hanyalah kata-kata retorik yang tidak memberi apa-apa makna pun.

Jika umat Islam mengamalkan nilai-nilai agama sepenuhnya, mungkin banyak masalah di negara ini akan dapat diselesaikan, termasuklah isu perumahan ini. Kita dapati agama Islam sentiasa mementingkan keadilan sosial serta perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat.

Ini adalah supaya setiap individu dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bahkan memenuhi keperluan asasi hidup manusia merupakan sebahagian daripada maqasid syariah.

Di dalam Surah al-Hasyr: 7, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu". Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus harta kekayaan itu hanya berlegar dalam satu bilangan kecil tanpa kelompok yang lain.

Apatah lagi jika kekayaan tersebut menghindarkan orang lain daripada memenuhi keperluan asasi hidup mereka seperti memiliki sebuah rumah yang selesa. Keadaan yang tidak adil dan seimbang ini akan terus menerus menindas dan menzalimi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki sebuah rumah.

Bahkan lebih malang lagi apabila sebahagian besar rakyat akan rasa terhina apabila tidak mampu untuk membeli rumah di negara sendiri dan hanya melihat rumah-rumah tersebut dimiliki oleh golongan yang tidak sepatutnya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, IKIM.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat