Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- MPAG keluarkan 21 kompaun
- SDSI dapat sambutan luar jangkaan cuti hujung minggu
- Masjid digalak tubuh koperasi
Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM PENGUAT KUASA Majlis Perbandaran Alor Gajah mengeluarkan kompaun kepada pemilik kedai runcit ketika mengadakan Operasi Kaki Lima di sekitar daerah Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini. ALOR GAJAH 1 Dis. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan 21 kompaun terhadap peniaga kedai runcit sekitar daerah ini yang dikesan melakukan halangan di siar kaki premis terbabit. Yang Dipertuanya, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, Operasi Kaki Lima yang dilancarkan Jabatan Penguatkuasaan MPAG baru-baru ini telah menggempur beberapa lokasi antaranya di Masjid Tanah, Pulau Sebang dan Lubuk China. Menurutnya, kesemua peniaga yang dikeluarkan notis kompaun itu telah melakukan kesalahan mengikut Akta 131, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. "Peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam kawasan pentadbiran MPAG diingatkan supaya tidak meletakan barang niaga mereka di siar kaki kedai tanpa mempunyai permit daripada MPAG terlebih dahulu. "Kita mahu para peniaga sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan berubah menjadi peniaga yang patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh MPAG," katanya pada sidang media di pejabat MPAG, di sini hari ini. Beliau berkata, tindakan peniaga yang meletakkan barang niaga di siar kaki sesuka hati ini telah menyusahkan orang ramai yang menggunakan laluan siar kaki berkenaan. Abu Bakar berkata, MPAG akan mempergiatkan operasi berkenaan bagi mencapai matlamat kesalahan sifar dalam kawasan pentadbiran MPAG dan menasihatkan peniaga yang diberi kompaun menjelaskannya dengan kadar segera. |
SDSI dapat sambutan luar jangkaan cuti hujung minggu Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST PENGUSAHA songkok, Shahul Hameed Malim (kiri) membersihkan songkok gergasi yang dipamerkan sempena Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka, semalam. MELAKA 1 Dis. - Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2013 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang melabuhkan tirainya hari ini mendapat sambutan luar jangkaan daripada rakyat bukan sahaja dari negeri ini malah dari seluruh negara. Setakat pukul 11 pagi sahaja, hampir 80,000 pengunjung telah direkodkan hadir sepanjang tiga hari program itu berlangsung sejak Jumaat lalu. Rata-rata pengunjung ketika ditemui berkata, mereka mengambil peluang sempena cuti persekolahan dan hujung minggu untuk datang ke SDSI sambil melawat beberapa tempat menarik dan tarikan pelancong di negeri ini. Bagi Mat Daud Dollah, 42, dari Pulau Pinang, dia mengambil kesempatan untuk datang ke SDSI sambil melawat beberapa lokasi pelancongan menarik sekitar Ayer Keroh. "Rugilah kalau tidak datang ke SDSI kerana bukan sahaja dapat merasai beraneka juadah tradisional setiap negeri malah dapat melihat sendiri kesenian dan budaya seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di MITC, Ayer Keroh di sini hari ini. Seorang lagi pengunjung, Laili Majuri, 58, dari Johor berkata, dia melihat penganjuran SDSI bukan sahaja untuk golongan peniaga mempromosikan produk mereka malah merupakan tempat bersantai sesama keluarga. Katanya, selain melihat keunikan budaya dan makanan tradisional setiap negeri yang mengambil bahagian, pelbagai acara menarik dianjurkan seperti pertandingan karaoke, melukis untuk kanak-kanak dan gubahan bunga serta berhibur dengan penampilan maskot Upin dan Ipin. "Sangat gembira dan berbaloi membawa anak-anak datang ke sini kerana ada pelbagai aktiviti untuk semua, bukan sahaja peniaga mendapat manfaatnya tetapi pengunjung juga diraikan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan pertandingan," katanya. Seorang lagi pengunjung, Norizan Abdullah, 51, berkata, melalui SDSI dia dapat belajar untuk mengenali budaya dan adat resam negeri lain secara percuma. "Datang ke SDSI ini macam-macam boleh dapat, tidak perlu berbelanja besar melancong ke setiap negeri untuk melihat budaya negeri berkenaan kerana di SDSI semuanya ada," katanya. SDSI edisi kelapan itu menawarkan lebih 500 ruang pameran dan jualan, klinik usahawan, pameran kerjaya dan sajian juadah istimewa dari seluruh negara. |
Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST SEBAHAGIAN penduduk Kampung Batu Serambai selepas selesai menjalankan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar masjid dalam Program Melestarikan Gerakan Koperasi Parlimen Jelebu dan Sambutan Ma'al Hijrah di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini. JELEBU 1 Dis. - Pihak pengurusan masjid di daerah ini digalakkan menubuhkan koperasi masjid ke arah menjana pendapatan serta faedah yang bakal dimanfaatkan ahli dan penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, setakat ini tiada koperasi masjid di daerah Jelebu ditubuhkan meskipun terdapat 28 buah masjid di daerah itu. ''Namun di peringkat Parlimen, terdapat sebanyak 43 penyertaan dari pelbagai agensi iaitu 13 koperasi di DUN Klawang, sembilan di DUN Pertang, 10 di DUN Chennah dan Sungai Lui sebanyak 11 koperasi", ujarnya. "Sehubungan itu usaha untuk menubuhkan koperasi bagi peringkat masjid amatlah digalakkan bagi menjana pendapatan yang boleh dikongsi selain membolehkan ahli serta penduduk menikmati faedah yang ditawarkan," katanya ketika ditemui sempena Program Melestarikan Gerakan Koperasi Parlimen Jelebu dan Sambutan Ma'al Hijrah di Masjid Kariah Batu Serambai di sini baru-baru ini. Jelasnya, terdapat pelbagai jenis perniagaan melalui penubuhan koperasi misalnya penjualan produk keperluan asas atau barang dapur termasuk perkhidmatan sewa khemah, katering serta peralatan memasak untuk kenduri. ''Bagi DUN Klawang, terdapat empat buah masjid yang kita telah kenalpasti bagi ditubuhkan koperasi ini iaitu Masjid Batu Serambai, Masjid Relai, Masjid Jamek serta Masjid Dulang. ''Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula akan menyalurkan bantuan sebanyak 30,000 bagi setiap koperasi sebagai modal dengan syarat mestilah berdaftar di bawah selain mempunyai 50 ahli yang berumur 18 tahun ke atas," ujarnya. Tambahnya, kesedaran menubuhkan koperasi itu amat penting kerana dari situlah masyarakat dapat menjana pendapatan sekali gus mampu menggunakan dana atau keuntungan untuk menambah baik kemudahan serta infrastruktur masjid. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |