{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Kemalangan motosikal menurun

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Fadhil Hassan membetulkan topi keledar salah seorang penunggang motosikal sambil diperhatikan Jaafar Yaakob (kiri) semasa Operasi Motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, Melaka, malam semalam.

MELAKA 21 Dis. - Jumlah kemalangan motosikal di negeri ini menurun sebanyak 278 kes setakat November lepas iaitu daripada 602 kes pada tahun lalu kepada 324 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Fadhil Hassan berkata, penurunan itu adalah hasil operasi dijalankan terhadap pengguna motosikal di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu berlaku penurunan terhadap jumlah mereka cedera parah daripada 137 orang tahun lalu kepada 71 orang tahun ini manakala cedera ringan turut menurun daripada 323 orang kepada 142 dalam tempoh berkenaan.

"Bagaimanapun, jumlah kematian yang dicatatkan masih tinggi dengan pengurangan hanya satu kes daripada 142 kematian tahun lalu kepada 141 kes pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan dekat Bukit Piatu, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Jaafar Yaakob; Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Thomas Ong Tai Chu dan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri, Abdullah Kechut.

Dalam operasi bermula dari pukul 8 hingga 11 malam itu, 312 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dengan 65 daripadanya diambil tindakan.

Sebanyak 87 saman turut dikeluarkan merangkumi 96 jenis kesalahan termasuk tiada lesen memandu (17 kes), lesen tamat tempoh (tujuh kes), tiada perlindungan insurans (tujuh kes), cermin gelap (12 kes), lampu HID (sembilan kes), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (13 kes), notis arah periksa PG1 (17 kes) dan notis arah periksa (13 kes) serta sebuah motosikal disita.

Menurut Mohd. Fadhil, operasi itu turut melibatkan seramai 140 anggota pelbagai agensi termasuk polis, MKJR, JKJR, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Puspakom.

Tambahnya, fokus utama JPJ adalah untuk memeriksa motosikal pada operasi kali ini walaupun kenderaan lain turut diperiksa.

''Operasi berterusan ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian disebabkan kemalangan jalan raya selain memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan pengguna jalan raya," katanya.

Sempena program itu, MKJR turut menyumbang sebanyak 20 baju pantul cahaya dan 250 pelekat pantulan bagi penunggang motosikal manakala JKJR menukarkan sebanyak 22 buah topi keledar baharu termasuk empat topi keledar kanak-kanak yang didapati tidak selamat digunakan.

Hospital Pakar Salam akan dibuka di Kuala Terengganu

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

TELOK KEMANG 21 Dis. - Syarikat Hatimuda Sdn. Bhd. yang memiliki Hospital Pakar Salam (Salam) melabur sebanyak RM85 juta untuk membuka sebuah lagi rangkaian hospital itu di Kuala Terengganu pada Februari tahun hadapan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Zainal Bachik berkata, pembukaan premis di Kuala Terengganu nanti merupakan hospital yang ketiga selepas di Shah Alam, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan.

''Hospital Pakar Salam Kuala Terengganu nanti mempunyai enam tingkat dan dilengkapi sehingga 200 katil selain kemudahan perubatan canggih termasuk peralatan pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging)," katanya.

Zainal ditemui pemberita selepas meraikan media dalam majlis anjuran Salam di sebuah hotel dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Hospital Salam, Datin Maslina Ibrahim serta beberapa doktor pakar hospital berkenaan.

Katanya, Salam juga akan membina dua lagi hospital iaitu di Bangi, Selangor dan Alor Setar, Kedah pada tahun hadapan bagi menampung keperluan orang ramai terhadap perkhidmatan hospital swasta itu.

Sementara itu, Maslina memberitahu, Hospital Pakar Salam Kuala Terengganu meletakkan sasaran dalam kalangan pesakitnya dari golongan berpendapatan rendah dan pertengahan dengan pada tahun pertama operasinya sebanyak 60 katil disediakan.

''Kita akan mengawal caj yang dikenakan oleh doktor pakar supaya khidmat perubatan ini turut dapat dinikmati golongan tersebut," ujarnya.

Mengulas prestasi Hospital Pakar Salam Shah Alam dan Senawang, Maslina memberitahu, nisbah keuntungan yang dicapai kedua-duanya sehingga kini pada kadar 10 peratus biarpun sasarannya adalah 15 peratus berikutan komitmen yang tinggi dalam pengurusan dan pelaksanaannya.

''Purata perolehan bulanan adalah pada kadar RM3.4 juta di Senawang manakala RM3 juta di Shah Alam dengan purata jumlah pesakit luar sebulan di Senawang ialah 3,000 hingga 4,000 orang dan mereka yang keluar masuk wad sebulan di hospital sama pada angka 1,000 orang sebulan," katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, Hospital Pakar Salam Senawang akan dikembangkan dengan penambahan sehingga 200 katil berbanding sekarang 103 katil untuk kemudahan rawatan selepas bangunan tambahan diubah suai.

''Perkhidmatan doktor pakar juga akan ditambah di semua hospital Salam. Kami berusaha memberikan keselesaan dengan amalan mesra pesakit selain meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai dalam semua peringkat kehidupan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat