Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Melaka bersiap hadapi banjir
- Keluarga bimbang tebing depan rumah runtuh, tiang retak akibat hujan lebat
- Pengedar dadah ditahan cuba lari
Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Oleh FADZLY IZAB MELAKA 4 Dis. - Kerajaan negeri telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan banjir di beberapa kawasan yang sering dilanda bencana itu pada musim tengkujuh ini. Penolong Setiausaha Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mejar Jafri Mohamed berkata, semua agensi yang terlibat kini berada dalam keadaan siap sedia jika banjir melanda mana-mana kawasan di negeri ini. Menurutnya, selain semua agensi bersiap sedia di setiap daerah di negeri ini, pihaknya juga turut menyediakan keperluan bekalan makanan yang mencukupi dan telah mengenal pasti pusat-pusat pemindahan yang akan digunakan nanti. Beliau berkata, beberapa agensi terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan. ''Semua persiapan menghadapi banjir di setiap daerah termasuk anggota yang bertugas dengan semua kelengkapan sudah bersedia menghadapi bencana ini pada bila-bila masa. "Malah, kenderaan seperti trak dan bot bagi memindahkan mangsa-mangsa juga telah disiapkan sebagai persediaan lengkap bagi mengurus perkara tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurut Jafri, terdapat dua kawasan utama yang sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh iaitu di Sungai Rambai, Jasin, Gadek di Alor Gajah serta beberapa kawasan rendah di Melaka Tengah. "Bagaimanapun, risiko berlakunya banjir besar di Melaka Tengah dijangka kurang memandangkan sistem saliran baharu yang telah dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri," ujarnya. Sementara itu katanya, orang ramai yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan supaya dapat mempersiapkan diri dan menyimpan segala dokumen penting di tempat selamat. "Ibu bapa terutamanya perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak bermain di kawasan sungai, lebih-lebih lagi pada musim hujan bagi mengelak risiko kehilangan nyawa. "Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan menjaga harta penting terutamanya kenderaan agar tidak terjejas jika berlakunya banjir tidak lama lagi," tambahnya. |
Keluarga bimbang tebing depan rumah runtuh, tiang retak akibat hujan lebat Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Nor Azli Muzaffar (berdiri dari kanan) berbual dengan Azmi Abdul Rahim (tengah) mengenai kejadian tanah mendap di Taman Wira Jaya, Kuala Pilah, kelmarin. KUALA PILAH 4 Dis. - Sebuah keluarga hidup dalam kebimbangan apabila lantai dan tiang penyokong bumbung hadapan rumah yang didiami mereka di Taman Wira Jaya dekat sini sejak 13 tahun lalu, retak baru-baru ini. Menurut mangsa, Nor Azli Muzaffar, 39, lebih malang apabila tebing hadapan rumah itu pula mendap pada 27 November lalu. Katanya, kejadian mendapan itu disedarinya dan keluarga kira-kira pukul 6 pagi yang dipercayai ekoran hujan lebat melanda kawasan tersebut secara berterusan sejak kebelakangan ini. "Sebelum itu, kami sekeluarga terdengar bunyi kuat di hadapan rumah namun tidak menyangka tebing hadapan runtuh sehinggalah kami keluar pada paginya," katanya di sini hari ini. Nor Azli memberitahu, kejadian itu membimbangkan kerana dikhuatiri hujan lebat kebelakangan ini boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh yang lebih buruk. "Mendapan tanah itu bukan sahaja mengakibatkan lantai simen rumah saya pecah malah lebih membimbangkan turut menyebabkan tiang yang menyokong bumbung hadapan rumah ini retak. "Sebelum ini, beberapa tanda mendapan tanah mula disedari pada awal tahun ini di hadapan rumah selepas melihat kesan rekahan pada jalan tar," ujarnya. Tambah bekiau, isterinya yang merupakan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah (IPD) membuat aduan kepada pihak berkuasa pada 15 Januari lalu, namun tiada jawapan mahupun tindakan diambil. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Azmi Abdul Rahim telah berkunjung ke rumah mangsa bagi melihat sendiri masalah tersebut. Nor Azli memberitahu, Azmi telah mengarahkan dia sekeluarga berpindah ke kuarters IPD Kuala Pilah demi keselamatan selepas melihat keadaan rumah berkenaan yang tidak selamat diduduki. Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Zulkifli Baharan berkata, pihaknya telah menyiasat aduan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya. "Musim hujan yang berterusan ketika ini mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar dan bertambah buruk apabila penutup paip Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bermasalah. "MDKP telah menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kita akan memohon peruntukan khas atau kecemasan untuk membaiki tebing berkenaan "Pihak Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dan Sains telah meninjau kawasan rumah mangsa dan keluarga berkenaan disyor berpindah ke tempat lebih selamat kerana faktor hujan berterusan," katanya. |
Pengedar dadah ditahan cuba lari Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Antara dadah yang berjaya dirampas dalam satu serbuan dekat sebuah rumah di Pasoh,Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. JEMPOL 4 Dis. - Polis menahan seorang pengedar dadah ketika cuba meloloskan diri dengan terjun daripada tingkap belakang rumahnya dalam serbuan dekat Pasoh, kelmarin. Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, suspek berusia 26 tahun bertindak demikian sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di rumahnya, pukul 2.45 petang. "Suspek ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. Polis turut merampas sebuah beg uncang berisi 500 gram dadah jenis heroin bernilai RM10,000 daripada suspek. "Hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau selain positif dadah. Kita yakin dia baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah," katanya ketika ditemui di IPD Jempol hari ini. Hamzah memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Katanya, pihaknya memandang serius masalah dadah di daerah ini dan akan terus menjalankan operasi di masa yang akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |