Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST Pemain Harimau Muda, Mohamad Nasir Basharudin (tengah) dan Ashri Chuchu meraikan kejayaan Malaysia menumpaskan Vietnam 2-1 di Stadium Zeyar Thiri, Nay Pyi Taw, Myanmar semalam, sekali gus melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2013. NAY PYI TAW - Kemenangan 2-1 Harimau Muda ke atas Vietnam bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan SEA Myanmar ke 27 umpama jawapan terbaik terhadap keraguan yang dilemparkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Walaupun tidak mahu membidas terhadap apa yang diperkatakan oleh Khairy, jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan mereka masih berada dalam misi mempertahankan pingat emas. Tambahnya, Harimau Muda masih mampu melakukan yang terbaik di Sukan SEA kali ini biarpun kehilangan ramai pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Syahrul Azwari. ''Kita semua tahu situasi mengenai pasukan saya, bukannya saya mahu memberikan sebarang alasan tetapi kita berada di sini tanpa tujuh tonggak utama. ''Namun, kita berjaya juga mara ke separuh akhir dan dalam masa sama mengharapkan sokongan semua pihak. ''Satu perkara yang saya mahu ingatkan, kita belum tewas di Sukan SEA dalam 14 perlawanan dan kejayaan layak ke separuh akhir membuktikan kita masih berada di atas landasan yang betul untuk memenangi pingat emas, " katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia dan Vietnam, semalam. Khairy dalam Utusan Malaysia semalam meragui peluang pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA kali ini. Semuanya berpunca daripada aksi goyah ketika menentang Singapura yang menyaksikan skuad negara terpaksa bergantung kepada jaringan penyamaan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman pada minit terakhir permainan. Mengulas kemenangan pasukannya, dia berkata, kegagalan Vietnam mengambil kesempatan terhidang memberikan keyakinan kepada para pemainnya untuk cuba mendapatkan kemenangan. ''Sudah tentu apabila Vietnam gagal menjaringkan gol dan banyak percubaan dapat diselamatkan oleh penjaga gol (Mohd. Izham Tarmizi), memberikan satu kesempatan kepada kita. ''Semua pemain saya menunjukkan satu sikap yang cukup positif walaupun kebanyakan pemain saya mula menunjukkan tanda keletihan kerana terpaksa bermain dalam selang satu hari. ''Taktikal saya cukup mudah, saya tahu Vietnam amat memerlukan kemenangan dan kita perlu bermain secara serangan balas. ''Selagi lawan tidak mendapatkan jaringan, itu bermakna peluang kita mendapatkan jaringan cukup tinggi dan Ahsri Chuchu serta D. Saarvindran berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik untuk mendapatkan gol, " katanya. - UTUSAN |
'Cikgu' akhirnya bawa pulang emas Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST Mohd. Jironi Riduan ceria bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara 800 meter di Stadium Utama Wunna Theikdi, semalam. NAY PYI TAW - Selepas kempunan pingat emas dalam tiga penampilan di Sukan SEA, impian Mohd. Jironi Riduan untuk bergelar juara akhirnya menjadi kenyataan apabila muncul pelari pertama melintasi garisan penamat dalam acara 800 meter lelaki di Stadium Wunna Theikdi, semalam. Jironi yang merupakan guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mencatat masa satu minit 50.98 saat, mengenepikan pelari Filipina, Mervin Guarte di tempat kedua 1:51.51s, manakala gangsa milik Van Thai Duong dari Vietnam (1:51.62s). Kejayaan Jironi sedikit sebanyak melegakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang memerlukan tiga lagi pingat emas untuk mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan sebelum ini, tatkala semalam kita gagal meraih sebarang pingat melalui 100m lelaki dan wanita, 400m lari berpagar lelaki dan lompat kijang wanita. Selepas tidak meraih sebarang pingat di Sukan SEA 2007 Korat dan 2011 Palembang, selain meraih perak di Laos 2009, dia puas kerana emas yang dicari selama ini akhirnya menjelma. "Saya puas hati sangat kerana akhirnya dapat pingat emas. Memang saya betul-betul fokus mengikut strategi yang ditetapkan iaitu memecut pada 200m terakhir," katanya. Jironi, 27, yang berasal dari Sarawak menegaskan, masa yang dilakukannya semalam tidak penting walaupun ia adalah catatan peribadi terbaiknya - 1:50.21s. "Dua tahun lalu di Palembang saya memenangi gangsa tetapi ditarik balik kerana didapati menolak pelari lain, sementara di Laos saya meraih dua perak dalam acara 800m dan 1,500m, jadi hari ini (semalam) adalah pencapaian terbaik saya. "Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri menjelang acara 1,500 Khamis ini (esok) tetapi saya cuba untuk menang," katanya yang mengakui agak sukar untuk membahagi masa di antara kerja dan latihan. Tambahnya, dia begitu bergelut untuk mempersiapkan diri bagi temasya ini kerana kerja, selain tidak banyak kejohanan yang boleh disertai. Sementara itu, ketika Sukan SEA hanya tinggal lima hari untuk menutup tirai, Malaysia masih mencari 13 lagi emas untuk melengkapkan sasaran 40 emas. Kedudukan wajar membuatkan kontinjen negara mula menekan butang panik kerana baharu mengumpul 27 emas keseluruhan. Dalam acara 100m lelaki pula Eddie Edward JR yang berjaya menempatkan diri dalam saingan akhir hanya menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 10.75s. Gelaran Raja Pecut Asia Tenggara milik Jirapong Meenapra dari Thailand dengan catatan 10.48s. Dalam saingan 400m berpagar lelaki, dua wakil negara, Mohamed Baihaqi Razlan menduduki tempat keempat (52.96s), manakala Muhammad Firdaus Musa gagal menamatkan perlumbaan akibat kecederaan. Selain Jironi, memanah turut menjadi penyumbang emas negara semalam menerusi acara recurve berpasukan lelaki. Kombinasi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Ka maruddin dan Atiq Bazil Bakri menundukkan Thailand 214-212. Dua perak juga berjaya diraih satu dalam menembak 25 meter sport pistol individu wanita melalui Siti Nur Masitah Muhd. Badrin dan memanah compound berpasukan lelaki. Gangsa diraih acara pelayaran, optimist. Dengan 13 emas lagi perlu dicari, sukan terjun yang mensasarkan lapan emas memulakan kempen hari ini. Pandelela Rinong tidak akan beraksi, namun Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee akan memulakan cabaran dalam acara 3 meter papan anjal wanita dan Muhd. Nazreen Abdullah serta Ooi Tze Ling, 10 meter platform lelaki. Emas yang tidak disangka mungkin boleh hadir melalui Gavin Green Kyle dalam golf individu lelaki. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |