Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD Philippe Troussier KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih dari Perancis, Philippe Omar Troussier merupakan antara calon dari Eropah yang terhampir dipertimbangkan untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya. Beliau mengakui hanya keadaan kewangan semasa FAM yang menghalang pengambilan segera White Witch Doctor berusia 58 tahun itu sekali gus memaksa persatuan meninjau terlebih dulu kalau-kalau terdapat sumber penajaan yang mampu menampung kos pembayaran gaji bulanannya. Buat masa ini Troussier dan dua tiga nama calon (jurulatih skuad kebangsaan Malaysia) dari Eropah. Ada juga faktor lain dan bukan gaji sahaja (pertimbangan untuk melantik Troussier) tetapi kalau mengikut keadaan (kewangan FAM) sekarang, kena cari sumber lain (penaja)," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam. Troussier sebelum ini dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 - angka yang dianggap setimpal dengan pencapaian terbaiknya yang pernah membawa Jepun ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 dan menjulang Piala Asia 2000 selain naib juara Kejohanan Belia Dunia 1999 serta Piala Gabungan FIFA 2001. Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM pada 24 November lalu yang memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk K. Rajagobal sebagai jurulatih negara selepas Selasa ini, turut menyebut tentang pengambilan warga asing sebagai penggantinya selain mengumumkan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya. Tengku Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Exco, Teknikal dan Pembangunan Belia FAM, turut tidak menolak kemungkinan persatuan terpaksa beralih kepada calon alternatif (selain Troussier) sekiranya cuma mempunyai kemampuan belanjawan yang terhad dan sukar ditampung dengan sumber lain. Kami mungkin cari (calon) alternatif. Nama (tiga calon lain) tidak boleh saya dedahkan kerana masih perlu melalui (mesyuarat) Exco terlebih dulu. Tunggulah juga kata putus Presiden (FAM, ayahanda - Sultan Ahmad Shah) dan apabila kami setuju lantik (jurulatih baharu skuad negara), barulah boleh umum," katanya. Laporan terdahulu media menamakan bekas penolong jurulatih Liverpool, Alex Miller dari Scotland, bekas jurulatih India, Bobby Houghton (England) dan Radojko Avramovic (Serbia) selain ketua pasukan juara Piala Dunia Perancis 1998, Marcel Desailly, sebagai antara bakal pengganti Rajagobal di kerusi panas FAM itu. Sebagai rekod, mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary, merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005 dan sebelumnya ialah Alan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy. Namun, Tengku Abdullah turut menganggap seelok-eloknya jurulatih tetap negara dapat dilantik secepat mungkin menjelang pertemuan hidup mati Harimau Malaya pada perlawanan terakhirnya dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 5 Mac ini. Skuad negara wajib menang di gelanggang lawan sambil berharapkan pencapaian keseluruhannya lebih baik daripada pasukan tempat ketiga Kumpulan A, B, C dan E untuk meraih tiket ke pusingan akhir di Australia (kali terakhir layak kejohanan ini pada 1980). |
Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST Oleh ZAZALI JAMIAN Misbun Ramdan PUTRAJAYA - Misbun Ramdan Mohmed Misbun percaya peluangnya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir Maybank pada tahun ini cerah selepas mempamerkan aksi bertenaga menundukkan Mohd. Arif Abdul Latif, 17-21, 21-19, 21-12 untuk ke saingan separuh akhir, hari ini. Pada aksi terakhir Kumpulan D, semalam, pemain muda negara itu, tidak berhadapan banyak kesukaran untuk menewaskan pemenang Cabaran Antarabangsa Malaysia Maybank 2013, Mohd. Arif terutama selepas set pertama di Kompleks Kejiranan Presint 11. Kata Misbun Ramdan yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek, tumpuannya kini adalah untuk mengekalkan prestasi konsisten pada aksi separuh akhir menentang juara Kumpulan B, Tan Chun Seang. "Saya perlu sentiasa bersedia pada aksi separuh akhir esok (hari ini) menentang senior seperti Chun Seang. "Buat masa ini saya tidak fikir lagi strategi untuk menentangnya sebab tidak pernah bertemu denganny a mungkin idea saya akan lebih jelas ketika menentangnya nanti," kata Misbun Ramdan. Pada tahun lalu, Misbun Ramdan muncul juara Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2012 buat kali pertama dalam kariernya selepas menewaskan pemain kebangsaan, Chong Wei Feng pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kedah. Dalam pada itu, Chun Seang mengesahkan slot separuh akhir, hari ini selepas menewaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam satu aksi sengit yang berkesudahan 8-21, 21-16, 21-17. Satu lagi aksi separuh akhir akan mempertemukan juara Kumpulan A, Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli yang muncul sebagai pendahulu Kumpulan C. Sementara itu, ditanya berhubung perancangan Misbun Ramdan berhubung masa depannya untuk menghadapi tahun 2014, pemain tersebut berkata, semuanya terserah kepada jurulatihnya Misbun. "Saya tidak tahu apa kejohanan besar yang akan saya sertai tahun depan kerana semuanya diaturkan oleh jurulatih saya. "Tugas saya sebagai pemain adalah untuk memastikan prestasi saya sentiasa berada di tahap terbaik pada setiap kejohanan yang saya sertai," kata Misbun Ramdan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |