Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Malaysia harap karate dipertandingkan Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST Oleh FERZALFIE FAUZI Tunku Imran (lima dari kanan) bersama atlet-atlet kebangsaan yang menerima Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Wahidin Salim KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan harapan kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) supaya memujuk Singapura memasukkan acara karate pada Sukan SEA 2015. Menurut presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, kedua-dua badan sukan kebangsaan dan dunia itu perlu melobi agar acara tersebut dipertandingkan di Singapura yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2015. Acara tersebut tidak berada dalam senarai yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2015, jadi MOM akan mencuba sedaya upaya agar ia dipertandingkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto semalam. Malaysia boleh dianggap sebagai juara keseluruhan dalam acara ini di temasya dwi tahunan tersebut yang baharu ini berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar selepas meraih tujuh daripada 17 pingat emas yang ditawarkan. Jelasnya, sesebuah negara yang menjadi tuan rumah Sukan SEA tidak akan menganjurkan acara yang tidak mampu dikuasai oleh atlet mereka dan Malaysia juga sudah pasti melakukan perkara yang sama. Kita tidak mahu menyalahkan Singapura selaku tuan rumah Sukan SEA 2015 tetapi perkara ini boleh diusahakan oleh MAKAF dan WKF," katanya. Antara acara yang bakal dipertandingkan di Singapura nanti ialah akuatik, olahraga, pelayaran, ping pong, kanu, boling, wusyu, lawan pedang, bola jaring, gimnastik, billiard dan snuker, hoki, sofbol, ski air, golf, bola sepak, menembak, badminton, berbasikal, tenis, pencak silat, sepaktakraw, rugbi, basketball, bot tradisional, memanah, triatlon, judo, taekwondo dan skuasy. Acara karate telah dipertandingkan di Sukan SEA sejak 20 tahun lalu dengan pencapaian terbaik negara untuk acara ini adalah meraih sembilan pingat emas. Pada temasya yang sama di Brunei 1999, Malaysia meraih tujuh emas dan mengulanginya di Nay Pyi Taw baru-baru ini untuk rekod paling cemerlang di luar Kuala Lumpur. MAKAF meletakkan sasaran tiga emas di Nay Pyi Taw, namun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya bahawa atlet acara tersebut mampu meraih lebih daripada itu dengan meletakkan sasaran enam emas, hasilnya mereka berjaya memungut satu emas bonus di bawah sentuhan jurulatih Latvia, Andris Vasiljevs. Lebih menarik acara ini merupakan penyumbang terbesar pingat emas negara daripada 30 acara yang disertai oleh atlet negara dengan lima daripadanya disumbangkan melalui acara kumite dan dua dalam acara kata. Dalam pada itu, Tunku Imran, memuji kecemerlangan Myanmar yang menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2013 yang berakhir Ahad lalu dan mengakui bahawa negara tersebut mempunyai fasiliti bertaraf dunia. Ada sesetengah penganjuran sukan di negara tersebut mencapai taraf Sukan Olimpik dan ada juga yang kurang memuaskan tetapi secara keseluruhan mereka berjaya menganjurkan temasya ini dengan baik sekali. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka selepas sekian lama tidak menjadi tuan rumah, kali terakhir pada 1969 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan SEAP. Saya harap negara ini mempunyai harapan yang cerah dalam acara sukan pada masa akan datang," katanya. |
Jangan lokek melabur - Tunku Imran Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST Oleh FERZALFIE FAUZI KUALA LUMPUR - Persatuan sukan diingatkan agar tidak kedekut berbelanja terutama sekali bagi pembangunan atlet dan persiapan akar umbi jika mahu meraih kejayaan di arena antarabangsa. Perkara itu disuarakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (gambar) yang mengakui bahawa faktor kewangan yang baik mampu untuk memberikan kejayaan kepada atlet dan juga persatuan sukan. "Memang ada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk atlet negara, ia juga perlu digunakan bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Setiap badan sukan harus membelanjakan wang untuk pembangunan dan juga mencungkil bakat dari akar umbi," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto, semalam. Jelasnya, MOM sentiasa mengalu-alukan atlet negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa yang mempunyai persaingan lebih tinggi dan dalam masa yang sama ia juga dapat memberi pendedahan kepada atlet itu sendiri. "Latihan dan beraksi di kejohanan yang besar adalah satu cara untuk atlet tersebut mempertingkatkan prestasi mereka, jadi kayu pengukur untuk seseorang atlet itu berjaya adalah di kejohanan yang bertaraf dunia. "Tahun depan para atlet negara akan berdepan dengan jadual yang sibuk kerana terdapat dua temasya besar Sukan Komanwel 2014 di Glasgow (Scotland) dan Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea Selatan), mereka harus mencapai tahap puncak prestasi dalam tempoh hanya dua bulan, penghujung Julai dan September," katanya. Ujarnya, jurulatih perlu mempunyai strategi yang mampu membuatkan seseorang atlet itu mencapai puncak prestasi pada temasya akan datang kerana kedua-dua temasya besar yang bakal berlangsung tahun depan lebih sengit. "Seperti yang saya jelaskan sebelum ini standard Sukan Komanwel dan Asia lebih tinggi berbanding Sukan SEA kerana mempunyai kuasa besar seperti Korea Selatan, Jepun dan China bagi Sukan Asia, manakala Sukan Komanwel pula sudah pasti dikuasai atlet dari England, Afrika Selatan, New Zealand dan Kanada. "Tahun depan adalah tahun yang mencabar buat semua atlet, bagaimanapun saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA 2013 Myanmar, walaupun ada atlet yang mampu melakukan lebih baik daripada itu," katanya. Tambahnya, atlet muda dan muka baharu yang beraksi di temasya tersebut berjaya menyahut cabaran yang diberikan oleh MOM, seterusnya Sukan SEA akan menjadi batu loncatan buat mereka berjaya pada masa akan datang. Seramai 22 atlet yang berjaya meraih emas di Sukan SEA 2013 Myanmar menerima Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto dengan membawa pulang RM1,000 semalam, mereka termasuk tiga pemenang pingat emas dalam acara terjun Ooi Tze Liang dan pemenang emas berganda seperti Mohd. Jironi Riduan (olahraga), Cheong Jun Hong (terjun), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Sulaiman Muda (ekuestrian). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |