{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


700 pelajar terima wang ihsan

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Hanafi Mamat (tengah) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada ibu bapa pelajar bagi kawasan Parlimen Pasir Mas di Pasir Mas, Kelantan, kelmarin.

PASIR MAS 22 Dis. - Sejumlah RM500,000 wang ihsan telah diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi kawasan Parlimen Pasir Mas sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat berkata, agihan wang ihsan itu melibatkan seramai 700 pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma dan ijazah sarjana muda.

"Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, mereka menerima bantuan sebanyak RM300, diploma (RM300) dan ijazah (RM800).

"Agihan wang ihsan ini jelas membuktikan kerajaan begitu cakna dalam membantu golongan pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang politik," katanya pada majlis penyampaian wang ihsan kepada yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT, di sini semalam.

Seramai 176 pelajar dari kawasan Parlimen Pasir Mas menerima agihan tersebut yang berlangsung di Pejabat UMNO bahagian ini.

Hanafi dalam pada itu mengingatkan para penerima supaya memanfaatkan pemberian tersebut dengan sebaik mungkin termasuk menggunakannya untuk membuat persiapan dan membeli keperluan bagi menyambung pengajian mereka.

Sementara itu seorang penerima, Anis Nazihah Rosli, 22, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengakui terharu menerima pemberian tersebut.

Katanya, pemberian tersebut akan digunakan untuk membeli peralatan bagi memudahkan pengajiannya.

A. Ubaidillah juara Sayembara Menulis Cerpen Pantai Timur

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Azmi Ibrahim (barisan belakang, tengah) bersama para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Cerpen sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Seorang penulis berbakat besar, A. Ubaidillah Alias dipilih sebagai pemenang utama kategori terbuka Sayembara Menulis Cerpen Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Pantai Timur.

Melalui karyanya Nihil Sekeping Salju, guru dari Kelantan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala serta sijil.

Tempat kedua disandang oleh Sharifah Aisiah Syed Mahazzar dengan tajuk cerpen Sebilah Cucuk Sanggul dan ketiga Mohd. Syafiq Ghazali dengan cerpen Kisah Jani. Masing-masing menerima wang tunai RM1,200 dan RM800, piala serta sijil.

Penerima hadiah saguhati pula terdiri daripada Ramli Abdul Halim melalui cerpen Serupa; Alias Ismail (Grafiti); Nazri Hussein (Cinta Seorang Pewaris dan Rindu Ini Tiada Hujungnya) dan Mat Salleh Yaacob (Dalang Muda Pengantin Lima)

Kategori sekolah menengah pula dimenangi Nur Akmaliah Alias dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang dengan karya cerpennya Teh Herba Untuk Farid dan menerima wang tunai RM800, piala serta sijil.

Tempat kedua dengan hadiah RM600 disandang oleh Amyrah Aina Mohd. Zamri (SMK Agama Kuala Abang) dengan cerpen bertajuk Jasa dan ketiga Nurfatihah Nabila Kamarulzaman (Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek Kuala Terengganu) dengan cerpen Akhirnya Lembut Jua (RM400).

Lima penerima hadiah saguhati terdiri daripada Wan Areisya Wan Jumerah, Shahiran Aiman Mohd Salleh, Azharuddin Alias, Shaaban Imran Mohd. Salleh dan Hanis Yasreena Zakaria.

Semua hadiah disampaikan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) Azmi Ibrahim dalam satu majlis di sini semalam.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Azmi berkata, program tersebut bertujuan memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu di samping mencungkil bakat pelapis dalam bidang penulisan kreatif.

"Adalah menjadi satu daripada matlamat DBPWT juga untuk memperkasakan persuratan Melayu yang bermutu untuk terus diketengahkan agar tidak ditelan zaman," katanya.

Menurut beliau, persuratan Melayu terdiri daripada dua jenis iaitu penulisan kreatif seperti menghasilkan karya berbentuk cerpen dan puisi manakala penulisan ilmuwan pula berkaitan penulisan karya misalnya tentang perubatan dan undang-undang.

PKINK bantu promosi produk pelancongan

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KOTA BHARU 22 Dis. - Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah mengadakan program berbasikal bagi membantu mempromosikan produk pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Yang Dipertua Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK, Ismail Shauki Ibrahim berkata, melalui program berbasikal itu, pihaknya turut membantu memperkenalkan tempat-tempat pelancongan di negeri ini.

"Dalam program ini, kami akan berkunjung ke beberapa tempat pelancongan seperti di Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan. Selepas itu, kami akan bersama-sama bergotong-royong memulih kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai tempat pelancongan," katanya di sini semalam.

Yang turut hadir pada program itu ialah Ketua Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah.

Pada program berkenaan, seramai 40 ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK serta Photo Cycling menyertai kayuhan yang bermula di pekarangan PKINK di sini.

Ismail Shauki berkata, program ini bukan sahaja dapat membantu mempromosikan produk pelancongan malah ia juga dapat menyihatkan tubuh badan para peserta.

"Menerusi program ini juga, kita dapat memupuk semangat ahli-ahli untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Beriadah menerusi aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkatkan tahap kecergasan dan melahirkan pekerja yang lebih proaktif," katanya.

Beliau berkata, program sebegini akan diteruskan di masa akan datang dengan menarik penglibatan lebih ramai peserta.

"Kami akan meneruskan aktiviti ini dan akan menarik peserta dari Thailand untuk turut sama menyertai program berbasikal," katanya

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat