Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 43,226 peniaga daftar P1MPIN
- 1,200 pelajar terpilih sertai program KTB
- Matta Fair Kelantan sasar jualan RM8 juta
Posted: 26 Dec 2013 10:34 AM PST Oleh RADHUAN HUSSAIN KUALA TERENGGANU 26 Dis. - Sebanyak 43,226 orang penjaja dan peniaga kecil di negeri ini telah mendaftar di bawah Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu dalam Bajet 2013. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Sabri Mohd. Noor berkata, menerusi skim itu, kerajaan memperuntukkan RM16 juta setahun untuk bayaran premium skim insurans berkelompok. "Pelaksanaan skim itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan yang amat menitikberatkan kebajikan penjaja dan dan peniaga kecil," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini kelmarin. Dalam pada itu, katanya, sehingga 12 Disember lalu, sebanyak 1,217 permohonan diterima untuk menyertai Skim Pembiayaan Mikro kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi dengan kerjasama Bank Rakyat. Sabri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap menjelaskan, daripada jumlah itu, sebanyak 1,015 permohonan telah diluluskan melibatkan nilai keseluruhan RM4.58 juta. Katanya, skim pembiayaan mikro itu hanya untuk pemohon yang menjalankan perniagaan berkonsep syariah. Bagi perniagaan berkonsepkan bukan syariah pula, kata beliau, kementerian turut memperkenalkan skim pembiayaan mikro secara konvensional yang diuruskan oleh Koperasi Simpanan dan Kredit Bersatu Malaysia Bhd. |
1,200 pelajar terpilih sertai program KTB Posted: 26 Dec 2013 10:34 AM PST Azunaidey Bakar (tengah) bergambar dengan sebahagian pelajar tingkatan dua sehingga empat dari beberapa buah sekolah terpilih yang menyertai program KTB di Dewan Mahligai 7, MRSM, Tumpat, Kelantan, dekat sini baru-baru ini. TUMPAT 26 Dis. - Seramai 1,200 pelajar tingkatan dua sehingga empat dari beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negeri ini telah menyertai Program Kelab Teknologi Bumiputera (KTB) yang dilancarkan oleh GiatMara bersama rakan strategiknya, akhbar, Utusan Malaysia bermula tahun 2012 lalu. Timbalan Pengarah Mara negeri, Azunaidey Bakar berkata, kesemua pelajar di bawah program itu mengikuti sesi latihan di 15 buah pusat GiatMara dalam pelbagai bidang kemahiran sepanjang musim cuti persekolahan ini. Beliau berkata, program tersebut menjadi platform terbaik dalam usaha menarik minat golongan remaja di negeri ini untuk menceburi bidang kemahiran teknikal dan vokasional dengan lebih mendalam sekali gus menjayakan dasar 1Insan 1Kemahiran yang diperkenalkan pihaknya. "Melalui kemahiran yang diperoleh, pelajar dapat menilai bidang mana yang mereka akan pilih di masa akan datang dan mereka tidak lagi memandang bidang kemahiran sebagai pengajian kelas rendah. "Sejak diperkenalkan pada tahun lalu, program ini telah memberikan impak positif dalam memupuk minat dan kecenderungan generasi muda terhadap bidang kemahiran," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil KTB Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Mahligai 7, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, dekat sini kelmarin. Yang turut hadir Pengurus GiatMara negeri, Salmuna @ Ayub Hamat. Dalam perkembangan lain, Azunaidey memberitahu, tiga kursus baharu untuk beliawanis telah diperkenalkan pihaknya iaitu solekan dan terapi kecantikan, kek dan roti serta masakan dan pramusaji. Katanya, GiatMara turut menerapkan budaya keusahawan kepada para pelatihnya untuk membolehkan mereka menjadi usahawan berjaya mengikut bidang yang diceburi. "Sehingga bulan ini seramai 600 usahawan telah dilahirkan oleh GiatMara dan kesemua mereka berdaftar dengan kami. 'Ini tidak termasuk bekas pelatih yang berniaga secara kecil-kecilan," ujarnya. |
Matta Fair Kelantan sasar jualan RM8 juta Posted: 26 Dec 2013 10:34 AM PST KOTA BHARU 26 Dis. — Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kelantan menyasarkan jualan pakej pelancongan berjumlah RM8 juta pada Matta Fair Kelantan selama tiga hari bermula hari ini. Acara sama pada 2012 menyaksikan jualan bernilai RM6 juta. Pengerusi Matta Kelantan, Wan Muhamad Zamri Wan Salleh berkata, kira-kira 10 agensi pelancongan dan syarikat penerbangan menyertai Matta Fair Kelantan tahun ini. "Program ini memainkan peranan penting dalam usaha menarik pelancong domestik dan luar negara sekali gus membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya kepada pemberita selepas perasmian pameran itu hari ini. Ia disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Hassan Mahmood. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Nor Aida Ismail. Wan Muhamad Zamri berkata, pihaknya menjangka kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung pada pameran pelancongan itu. Sementara itu, Hassan berharap projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dapat diluluskan Kerajaan Pusat secepat mungkin untuk menambah bilangan pelancong ke negeri ini. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |