Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Bersedia hadapi gelombang kedua
- Jalan alternatif Kasban-Rantau Panjang ditinggikan elak limpahan air Sg. Golok
- Lebih 1,000 mangsa banjir mendapat rawatan
Bersedia hadapi gelombang kedua Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB AHMAD Zubir Abd. Ghani (tiga dari kanan) bergambar dengan keluarga Ab. Hassan Che Harun (tiga dari kiri) yang rumahnya terbakar pada November tahun lalu di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, semalam. Turut hadir, Azmi Osman (empat dari kiri). - UTUSAN/IRWAN MAJID RANTAU PANJANG 8 Dis. - Orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan rendah negeri ini diminta berwaspada dan mengambil langkah berjaga-berjaga menghadapi gelombang kedua banjir kerana ia dijangka lebih serius. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, banjir di Kelantan berlaku sebanyak tiga kali di antara bulan ini sehingga Januari ini. Justeru katanya, penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa peka dan segera berpindah ke pusat pemindahan tanpa perlu menunggu arahan atau bantuan daripada pasukan penyelamat. "Walaupun cuaca semakin baik di negeri ini, namun mereka perlu terus berwaspada terutamanya yang tinggal di kawasan rendah seperti di Rantau Panjang, Tumpat dan lain-lain. "Sekiranya datang gelombang kedua banjir, ia akan berlaku dengan lebih serius," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Kampung Lubok Stol, di sini hari ini. Majlis penyerahan kunci rumah kepada keluarga Ab. Hassan Che Harun yang rumahnya terbakar pada November tahun lalu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Zubir Abd. Ghani. Sementara itu Azmi berkata, pihak bomba akan terus siap-siaga menghadapi banjir gelombang kedua malah bilik gerakan masih dibuka sehingga Januari ini. "Kita sentiasa merujuk kepada Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat berkaitan cuaca selain maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengetahui paras air di beberapa sungai utama di negeri ini. "Sekarang keadaan masih terkawal dengan jumlah mangsa yang dipindahkan semakin berkurangan," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memuji masyarakat di negeri ini yang semakin berfikiran terbuka dan prihatin terhadap bencana banjir apabila mengambil langkah awal dengan berpindah ke pusat pemindahan tanpa perlu menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat. |
Jalan alternatif Kasban-Rantau Panjang ditinggikan elak limpahan air Sg. Golok Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST TUMPAT 8 Dis. - Kerajaan berhasrat meninggikan jalan alternatif Kasban-Rantau Panjang di sini bagi mengelak limpahan air Sungai Golok daripada membanjiri beberapa perkampungan sekitar sempadan Malaysia-Thailand di kawasan berkenaan. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, cadangan tersebut masih lagi dalam peringkat kajian terperinci bagi melihat kesannya. Beliau berkata, kerajaan sedang menyiapkan reka bentuk untuk meninggikan beberapa kawasan di sepanjang jalan tersebut yang dipercayai masih berada di paras rendah bagi mengelak limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh tiba. "Selain bertindak sebagai batas tebatan banjir, jalan yang ditinggikan juga boleh berfungsi sebagai jalan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tujuh kampung yang sering dinaiki air ketika musim banjir, di sini semalam. Antara kampung tersebut adalah Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kubang Sawa, Kampung Kuala Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Simpangan. Sementara itu, jurucakap Angkatan Tentera Malaysia berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 2 Rejimen Sempadan telah ditugaskan untuk membantu pihak berkuasa dalam menguruskan perkara berkaitan banjir. "Kita ada kekuatan yang cukup ditugaskan untuk menjaga, mengurus dan memberi bantuan kepada pihak berkuasa awam untuk jajahan Tumpat sebagai persediaan awal untuk menghadapi banjir ketika ini. "Mengenai kawalan keselamatan pula, kita ada beberapa trup lain yang turut ditugaskan bersama Rejimen Sempadan untuk mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini," katanya. |
Lebih 1,000 mangsa banjir mendapat rawatan Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST KUALA TERENGGANU 8 Dis. - Lebih 1,000 mangsa banjir telah mendapat rawatan perubatan dan kesihatan di hospital, klinik dan pusat perubatan statik yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara terutama di Kemaman sehingga kini. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, bekalan ubat-ubatan di daerah yang terjejas adalah mencukupi dan sekiranya keperluannya terus meningkat dalam keadaan banjir berlarutan, bekalan dapat disalurkan dari hospital-hospital di daerah lain. Katanya, pada masa ini belum ada penyakit bahaya yang dikesan seperti taun dan demam kepialu, tetapi kebanyakan mereka menerima rawatan penyakit ringan seperti sakit mata, batuk, demam, selesema dan gatal. "Sehubungan itu, orang ramai terutama mangsa banjir diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, begitu juga dengan pusat pemindahan terutama di tempat memasak dan bahan yang digunakan untuk memasak serta sampah dilupuskan dengan sempurna," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini hari ini selepas menerima sumbangan bernilai kira-kira RM10,000 daripada Mydin Group untuk kakitangan Hospital Kemaman yang turut menjadi mangsa banjir. Yang turut hadir Timbalan Pengarah (Perubatan), Dr. Mohamad Omar dan Timbalan Pengarah (Kesihatan), Dr. Mohd. Jusoh. Pada masa ini seramai 137 orang termasuk 83 kakitangan Hospital Kemaman di samping anggota keluarga mereka ditempatkan di dewan seminar dan kuarters hospital yang dijadikan pusat pemindahan yang memudahkan kakitangan untuk terus memberi khidmat dalam keadaan yang memerlukan. Mengenai pasukan perubatan dan kesihatan beliau berkata, pihak jabatan telah menubuhkan 45 pasukan perubatan dan 51 pasukan kesihatan yang melibatkan kira-kira 400 pegawai dan kakitangan . Beliau menambah, sehingga kini pihak jabatan belum memohon untuk mendapatkan pasukan perubatan dan kesihatan tambahan dari luar kerana masih mampu menangani keadaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |