Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Cacat anggota bukan halangan
- 200 murid miskin terima bantuan
- Guan Eng diminta bela juga penjaja Melayu
Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh FAJAR NUR SURIA Pelumba paralimpik yang menggunakan basikal tandem (kiri) tetap memberi saingan kepada peserta normal dalam Kejohanan Berbasikal Terbuka sempena Pesta Pulau Pinang di Georgetown, baru-baru ini. PULAU PINANG 23 Dis. - Status orang kurang upaya (OKU) ternyata bukan penghalang kepada sekumpulan anak muda untuk bergiat aktif dalam sukan berbasikal. Kesungguhan mereka jelas terbukti apabila mereka bersama peserta normal lain menyertai Kejohanan Berbasikal Terbuka Pulau Pinang Ke-45 di sini baru-baru ini. Mereka juga tidak kekok untuk bersaing dengan peserta normal dalam kategori terbuka meskipun penganjurnya, Persatuan Berbasikal Pulau Pinang mewujudkan kategori khas, paracycling. Jurulatih paracycling, Johari Mohd. Nayan berkata, kesemua 15 pelumba itu bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan menghadapi Sukan Paralimpik 2016. Menurutnya, kehadiran mereka dalam kejohanan tersebut adalah kali kedua selepas mencuba nasib kali pertama pada tahun lalu. "Pasukan ini banyak mengambil bahagian dalam kejohanan luar negara kerana perlumbaan basikal di Malaysia tidak memperkenalkan kategori khas untuk mereka. "Atlet yang berada dalam pasukan ini ialah mereka yang mengalami pelbagai kecacatan seperti kudung kaki, kaki lumpuh, cacat tangan dan cacat penglihatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Jelasnya, MSN amat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan acara tersebut kepada orang ramai dan memberi galakan kepada golongan OKU untuk tampil aktif bersukan. Beliau menambah, MSN sedia membantu golongan OKU untuk turut sama terlibat dalam sukan dan akan diberi pendedahan lebih meluas dalam acara yang diminati mereka. "Sebelum menyertai kejohanan ini, kami memperkemaskan latihan bukan sahaja di jalan raya malah persediaan fizikal di gimnasium untuk memberi mereka pendedahan termasuk mampu bersaing dengan pelumba normal. "Saya berharap lebih banyak penganjur mewujudkan kategori khas untuk pelumba paracycling bagi memberi peluang kepada golongan OKU bersama-sama masyarakat dalam sukan," ujarnya. Bagi seorang pelumba OKU, Yusaini Mohd. Yusop, 30, kekurangan penglihatan yang dialaminya tidak menghalang untuk menyertai perlumbaan basikal yang amat diminatinya. Katanya, biarpun bersaing dalam kategori OKU, skil dan kemahiran berlumba yang dimilikinya setanding dengan pelumba lain biarpun terpaksa menggunakan basikal tandem. "Dulu saya ialah insan normal namun kecacatan yang dialami tidak menghalang saya untuk meneruskan minat dalam lumba basikal. "Selain itu, saya sedia bersaing bersama pelumba normal lain biarpun terpaksa berlumba menggunakan basikal tandem yang dibantu seorang rakan," katanya. Pendapat sama diakui rakannya, Mohd. Najib Turano 26, yang cacat di bahagian kaki akibat kemalangan, empat tahun lalu. Menurut beliau, sasarannya dalam lumba basikal adalah mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik 2016 dan membawa pulang pingat. "Penyertaan dalam kejohanan ini membuka ruang kepada saya menajamkan skil dan memperbaiki rentak kayuhan untuk bersaing dengan pelumba asing nanti," katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Mohd. Ibrahim M. B. Merican memberitahu, kejohanan berkenaan merupakan yang tertua di negeri ini sejak diperkenalkan 45 tahun lalu. Jelasnya, penyertaan pada tahun ini mencecah 300 pelumba dari 12 negeri yang turut menarik minat golongan muda. "Pada tahun ini juga kita perkenalkan kategori paracycling yang memberi pendedahan kepada pelumba OKU untuk bersaing bersama pelumba normal lain. "Saya berharap penganjur perlumbaan basikal dapat memberi ruang kepada golongan OKU untuk turut serta sama ada dalam kategori khas atau bersaing bersama pelumba lain," ujarnya. Kejohanan tersebut diadakan di dua lokasi iaitu perlumbaan lebuh raya sejauh 82 kilometer bermula dari Persiaran Gurney dan berakhir di Anjung Indah, Balik Pulau melalui Batu Feringghi, Teluk Bahang dan Balik Pulau selain acara kriterium di Padang Kota Lama sebanyak 40 pusingan. |
200 murid miskin terima bantuan Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh SAYED HESHAM IDRIS KANAK-KANAK sekolah beratur untuk menerima beg sekolah sumbangan Menteri Besar Incorporated dengan kerjasama Pejabat Khidmat Pembangunan Masyarakat Ayer Kuning, Kampar, Perak, semalam. - UTUSAN/ Zulkarnain Mohd. Saidin TAPAH 23 Dis. - Sesi persekolahan 2014 tidak lama lagi lebih bermakna buat 200 murid sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini apabila mereka menerima sumbangan baucar buku dan beg hari ini. Sumbangan itu merupakan bantuan daripada Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) di bawah Program Balik Sekolah dengan kerjasama Pejabat Khidmat Pembangunan DUN Ayer Kuning. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria yang menyampaikan sumbangan tersebut berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka. Menurutnya, menerusi sumbangan itu, murid boleh menukar baucar untuk mendapat buku di koperasi sekolah masing-masing, selain menerima sumbangan beg sekolah. "Program hari ini merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah. "Selain MB Inc., agensi lain di bawah kerajaan negeri turut memberi bantuan yang sama seperti Yayasan Perak menerusi program mereka di tempat lain. "Bantuan dalam bentuk baucar buku ini bertujuan mengelak daripada sumbangan yang diberikan disalah guna untuk membeli barang lain," katanya di sini hari ini. Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik dan Perhubungan MB Inc., Farouq Sahibjan berkata, pelajar yang menerima sumbangan terdiri daripada murid tahun satu hingga enam yang merupakan golongan miskin dan anak-anak yatim dari sekitar kawasan DUN Ayer Kuning. Menurutnya, mereka dikenal pasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang. "Program ini bertujuan memberi bantuan dan berkongsi sebahagian daripada hasil yang kami peroleh melalui aktiviti pembangunan oleh MB Inc. di kawasan ini. "Sumbangan ini diharap dapat membantu murid membuat persiapan untuk kembali ke sekolah," katanya. |
Guan Eng diminta bela juga penjaja Melayu Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST KEPALA BATAS 23 Dis. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta turut peka dengan nasib peniaga dan penjaja kecil Melayu di Pasar Kepala Batas di sini, bukannya membela peniaga daripada satu kaum sahaja. Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini ekoran tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyaman peniaga dan penjaja kecil di pasar tersebut yang dianggap sebagai keterlaluan. Beliau berkata, langkah mengenakan kompaun sehingga RM250 kepada setiap seorang peniaga dan penjaja berkenaan adalah tidak adil kerana pendapatan mereka berniaga di pasar berkenaan bukanlah begitu lumayan. Mereka hanya berniaga di kaki lima pasar dan tidak mengganggu lalu lintas tetapi dikena kompaun yang amat berat. "Ada peniaga disaman lebih 10 kali tetapi terpaksa meneruskan perniagaan kerana mahu menampung kehidupan keluarga," katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah yang dihadapi peniaga di Pasar Kepala Batas di Permatang Manggis di sini hari ini. Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Ismalina Ismail. Reezal Merican berkata, peniaga dan penjaja kecil di sini perlu dibela kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk menjalankan perniagaan selain berniaga di situ sejak beberapa tahun lalu. Guan Eng hendaklah mendengar rintihan rakyat dan bersikap adil dengan memberi peluang kepada peniaga dan penjaja Melayu berniaga di sini, janganlah bela satu kaum sahaja," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap MPSP dapat mempertimbangkan peniaga dan penjaja di pasar ini terbabit dikecuali daripada tindakan kerana kehadiran mereka tidak mengganggu lalu lintas dan bertindak terhadap rungutan orang ramai yang menghadapi masalah kekurangan tempat meletak kereta. Kalau terus mengambil tindakan kompaun, pendapatan mereka sudah pasti akan terjejas teruk," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |