Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Cadangan naik kos amah ditentang
- UMNO Kubang Pasu beri bantuan persekolahan kepada 110 murid
- Dua sahabat pecah cermin kereta diberkas
Cadangan naik kos amah ditentang Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST Oleh ABD. RAZAK OSMAN SUNGAI PETANI 27 Dis. - Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan cadangan penetapan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia mengikut harga pasaran iaitu antara RM10,000 hingga RM11,000 seorang. Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Sabrina Abdul Ghani berkata, pihak berkenaan perlu mengkaji semula perkara itu bagi mengelak timbulnya pelbagai andaian seperti hanya mahu memikirkan keuntungan sahaja. "Orang ramai pasti membuat pelbagai prasangka buruk terhadap pihak berkenaan yang membuat cadangan itu. Sepatutnya pihak yang mencadangkan itu mencari kaedah lain untuk menarik minat pembantu rumah bekerja di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) baru-baru ini mahu kos pengambilan pembantu rumah asing dari Indonesia ditentukan oleh pasaran iaitu antara RM10,000 hingga RM11,000 seorang. Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, kos baharu pengambilan pembantu rumah dari negara itu yang ditetapkan pada RM7,800 September lepas masih tidak dapat menarik kehadiran mereka ke negara ini dan merugikan agensi pekerja asing. Menurut Sabrina, sekiranya kos baharu itu dilaksanakan, belum tentu penduduk di negara ini boleh mendapat pembantu rumah dari Indonesia yang mampu berkhidmat dengan baik. Seorang pekerja swasta, Che Saad Noordin, 62, berkata, pihak berkenaan perlu memberi sebab yang munasabah sebelum membangkitkan hal-hal sebegini. "Banyak masalah timbul jika kenaikan itu dilakukan tanpa berhemah, kerajaan sendiri perlu buat pemantauan dan bukan terus menerima permintaan dari pihak-pihak tertentu di negara ini," katanya. Menurutnya, dia sendiri tidak setuju perkara begini terus dilaksanakan berikutan timbul pelbagai isu kenaikan kos ketika ini antaranya kadar tol, tarif elektrik dan harga barang. "Bagi saya cadangan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia sehingga mencecah RM10,000 seorang tidak masuk akal, lagi pun tidak semua penduduk yang mengambil pembantu rumah terdiri daripada golongan kaya sebaliknya majoriti golongan sederhana yang memerlukan khidmat pembantu rumah," katanya lagi. Setiausaha Kehormat Yayasan Komando Malaysia, Othman Ab. Majid pula berkata, perkara begini jika dikuatkuasakan, boleh menyusahkan banyak pihak. "Saya akui banyak pihak tidak berpuas hati dengan cadangan ini. Sebenarnya RM10,000 hingga RM11,000 bagi mendapatkan seorang pembantu rumah adalah kos paling tinggi, itu belum dikira bayaran gaji setiap bulan," katanya. |
UMNO Kubang Pasu beri bantuan persekolahan kepada 110 murid Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST Zulfitri Yaccob (kiri) dan Mohd. Rafiq Naizamohideen (dua dari kanan) mencuba saiz baju untuk murid yang menerima bantuan dalam Program Back To School di Kubang Pasu, Kedah, semalam. KUBANG PASU 27 Dis. - Seramai 110 murid dari daerah ini menerima sumbangan pakaian seragam sekolah daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu bagi meringankan beban keluarga mereka. Sumbangan tersebut disampaikan menerusi Program Back To School yang diadakan di sebuah pasar raya di Changlun hari ini. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian itu, Hasmuni Hassan berkata, kesemua murid tersebut dipilih oleh wakil 46 cawangan UMNO Bahagian Kubang Pasu dan mereka yang terpilih terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan. "Setiap seorang murid menerima sumbangan sehelai pakaian seragam sekolah dan program ini merupakan program pertama yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu. "Pihak kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh waris murid berkenaan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak- anak mereka," katanya ketika ditemui selepas program itu hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO, Mohd. Rafiq Naizamohideen dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zulfitri Yaccob. Menurut Hasmuni, program itu dijangka menjadi acara wajib bagi Pemuda UMNO Kubang Pasu memandangkan maklum balas positif penerima sumbangan tersebut. Dalam pada itu, Mohd. Rafiq berkata, pihaknya mahu Pemuda UMNO di seluruh negara mencontohi program itu kerana ini ia membawa banyak manfaat kepada rakyat. "Saya juga bersedia untuk meneruskan program-program sebegini ke peringkat Pemuda Pusat agar semua pihak mendapat kebaikan. "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu yang kreatif dalam menjalankan program untuk masyarakat," katanya. Sementara itu, seorang waris yang merupakan orang kurang upaya, Ismail Mahmud, 40, berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan pakaian seragam sekolah untuk anaknya yang berusia 11 tahun hari ini. "Saya memang tak mampu bekerja setelah terlibat dalam kemalangan di tempat kerja kira-kira lima tahun lalu. Kami sekeluarga hanya mengharapkan pendapatan daripada isteri saya yang bekerja sebagai pembantu kedai," katanya. |
Dua sahabat pecah cermin kereta diberkas Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST IPOH 27 Dis. - Dua sahabat yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memecah cermin lebih 10 kenderaan untuk menyamun barangan berharga di daerah ini sejak setahun lalu akhirnya diberkas semalam. Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 21 dan 35 tahun dari Kampung Temiang dan Kampung Tersusun Tasek dekat sini diberkas ketika berada dalam sebuah kereta Honda Civic dekat Taman Ipoh di sini, kira-kira pukul 8.55 malam. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pemeriksaan dalam kenderaan tersebut turut menemukan sebilah parang panjang bersarung, sebatang pemutar skru, sebuah telefon bimbit, satu beg silang dan sekeping kad insurans. ''Kad insurans yang ditemui itu milik seorang wanita bersabit laporan polis yang dibuat pada 17 Disember lalu di mana kereta Proton Saga milik mangsa telah dipecah di bahagian penumpang hadapan. ''Dalam kejadian tersebut, pengadu kehilangan beg tangan yang berisi empat bentuk cincin emas, telefon bimbit, kad bank dan beberapa dokumen penting lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini. Chang Keong berkata, hasil ujian air kencing mendapati hanya lelaki yang berusia 21 tahun dan tidak bekerja itu positif dadah. Katanya, suspek yang berusia 35 tahun pula memiliki tiga rekod jenayah lampau bersabit jenayah curi. ''Kedua-duanya kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan didapati terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes pecah kereta dan curi barang di sekitar daerah ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |