Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- KMPP kecam pemaju perumahan
- Penduduk rayu baiki jalan rosak
- Pengantin baru mati lemas ketika membelat ikan
Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh AZHARI ZAINOODDIN SEBAHAGIAN pembeli rumah pangsa kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar Desa dan Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang, baru-baru ini. PULAU PINANG 5 Dis. - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) menyelar tindakan pemaju perumahan yang mengenakan bayaran tambahan kepada pembeli rumah pangsa kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau dan menekan rakyat berpendapatan rendah. Presidennya, Rahmad Isahak berkata, pemaju sepatutnya lebih prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan tidak seharusnya mementingkan keuntungan semata-mata. Katanya, apa yang berlaku itu jelas menunjukkan pemaju hanya memberi keutamaan kepada keuntungan semata-mata, tanpa mengambil kira kepentingan golongan pembeli, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. "Siapa yang beri kebenaran kepada pihak pemaju untuk membuat kerja-kerja tambahan ke atas unit-unit rumah berkenaan, sedangkan itu adalah perumahan kos sederhana yang harganya di bawah ketetapan kerajaan negeri? "Adakah pemaju telah mendapatkan kelulusan pelan bangunan tentang kerja-kerja pengubahsuaian tersebut terlebih dahulu? Sekiranya sudah, atas kriteria apa pelan berkenaan diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)?" katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Kelmarin, kira-kira 150 pembeli rumah kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini meluahkan rasa kecewa mereka selepas diminta membuat bayaran tambahan oleh pihak pemaju sebanyak RM59,000 sebagai bayaran kos ubah suai yang telah dilakukan pihak pemaju tanpa pengetahuan mereka. Rahmad berkata, jika pelan pengubahsuaian berkenaan mendapat kelulusan ia adalah sama seperti menggalakkan pihak pemaju mengenakan bayaran atau caj tambahan kepada pembeli. "Cuba bayangkan apabila pembeli yang berpendapatan rendah ini terperangkap dalam keadaan tersebut apabila harga rumah yang dibeli tiba-tiba melambung daripada RM72,500 kepada hampir RM160,000. "Adakah situasi seperti ini benar-benar membantu, khususnya golongan bumiputera untuk memiliki seunit rumah kos rendah mahupun kos sederhana rendah di negeri ini?" soalnya. Katanya, tidak dapat dinafikan jika gejala seperti itu tidak disekat, maka akan ramai pembeli terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk membeli rumah kerana gagal mendapatkan pinjaman bank atau pinjaman daripada kerajaan untuk menampung kos tambahan yang dikenakan. "Oleh itu KMPP mahu Exco Perumahan negeri segera menyiasat aduan pembeli terbabit supaya kepentingan dan hak mereka tidak dinafikan sewenang-wenangnya. "Jika terbukti wujud pelanggaran syarat penjualan unit-unit rumah berkenaan, maka adalah munasabah sekiranya permohonan pemaju terbabit mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) ditangguhkan sehingga masalah penindasan terhadap pembeli terbabit diselesaikan," katanya. |
Penduduk rayu baiki jalan rosak Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST PENDUDUK menunjukkan jalan utama yang rosak dan minta dibaiki semula di Taman Semarak, Jalan Padang Temusu, Sungai Petani, semalam. SUNGAI PETANI 5 Dis. - Penduduk Taman Semarak Padang Temusu di sini merayu pihak berkaitan supaya segera membaiki beberapa jalan yang rosak di kawasan itu. Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di situ, Azmin Mat Noor mendakwa, perkara itu telah diajukan kepada pihak berkenaan tidak lama dulu tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya. "Perkara begini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Penduduk terutama penunggang motosikal sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko jika berlaku kemalangan. "Sejak kami duduk di sini pada 1992, jalan utama dan lorong yang ada tidak pernah diturap semula, kami tidak tahu apa sebabnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Seorang penduduk tempatan, Mohd Romaizi Mohd. Ghazali, 56, berkata, rayuan penduduk perlu diberi keutamaan, termasuk jalan berlopak dan berlubang itu. "Ada beberapa jalan utama depan rumah penduduk tidak pernah diturap langsung, kalau boleh selesaikan masalah ini dengan cepat," katanya. |
Pengantin baru mati lemas ketika membelat ikan Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST Mohd. Radzi Nordin bersama isterinya, Nur Kamisah Omar ketika majlis perkahwinannya Ahad lalu di Kampung Melayu, Teluk Intan, Perak. TELUK INTAN 5 Dis. - Seorang pengantin lelaki yang baru lima hari berkahwin mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai semasa membelat ikan bersama empat rakan dan bapa saudaranya di Sungai Perak di sini petang semalam. Mangsa, Mohd. Radzi Nordin, 30, yang tinggal di Kampung Jalan Melayu di sini pergi membelat ikan di sungai itu pada kira-kira pukul 2 petang. Menurut bapa saudaranya, Ahmad Zizi Said, 46, sebaik sahaja sampai di tebing sungai tersebut, mangsa menolak sampan ke tengah sungai untuk membelat ikan. "Masa itu kami semua pergi ke arah sampan masing-masing. Tiba-tiba saya lihat dia (Mohd. Radzi) jatuh ke dalam sungai. "Dia terus tenggelam tetapi kami berjaya menariknya naik ke atas sampan. Bagaimanapun apabila diperiksa, nadinya telah tiada," katanya ketika ditemui di sini semalam. Ahmad Zizi berkata, mangsa dilihat ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan semasa mereka sama-sama pergi ke sungai itu untuk membelat ikan. "Kami semua masih terkejut dengan apa yang terjadi, sebab dia (Mohd. Radzi) nampak elok sahaja malah ceria semasa majlis perkahwinannya, baru-baru ini" katanya. Sementara itu, isteri mangsa Nur Kamisah Omar, 26, yang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya enggan ditemu bual. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |