Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Detik cemas masih dalam ingatan
- Lahad Datu kaya tarikan pelancongan
- Pembangunan binasakan 'Little England'
Detik cemas masih dalam ingatan Posted: Detik cemas masih dalam ingatanBERADA di Tanjung Labian membuatkan hati setiap insan bernama manusia terpaku dan terpesona melihat hamparan keindahan alam ciptaan Allah. Lautan biru yang terbentang luas bagaikan memanggil-manggil pencinta alam untuk sama-sama menyelami dasarnya atau berlari-lari anak di pesisir pantai yang memutih. Saat penulis melihat sekeliling, kelihatan sekumpulan kanak-kanak dengan raut wajah ceria menggalas beg sekolah masing-masing sebagai tanda berakhirnya sesi persekolahan hari itu. Dalam keasyikan melihat aksi itu, muncul pasangan suami isteri, Alhandi Jaapar, 40 bersama, Masni Japri, 27 yang kemudiannya mengajak penulis ke teratak kayu milik jirannya, Saudi Yunus. "Jemput makan. Hari ini terasa tenang dengan angin kuat yang membuatkan udara menjadi sejuk. "Ia jauh berbeza dengan apa yang berlaku setahun yang lalu. Saat itu saya masih terbayang kami sekeluarga terpaksa lari meninggalkan rumah. Semuanya angkara kehadiran pengganas Sulu," katanya membuka cerita. Jelas Alhandi, peristiwa itu sesuatu yang sukar dilupakan. Kini, semuanya kembali tenang dengan kehadiran anggota keselamatan yang melakukan rondaan setiap hari di sekitar gugusan Tanjung Labian. Sekali imbas, tragedi hitam yang berlaku pada 12 Februari 2013 lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Pencerobohan yang tidak pernah diduga itu yang menjadikan daerah Lahad Datu dan Semporna sebagai sasaran telah mengubah landskap keselamatan negara selain meninggalkan memori buat setiap insan yang merasainya. Pengganas depan mata Bagi Saudi, dia masih terbayangkan bunyi deruan tiga pesawat F/A-18D Hornet dan lima Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menggugurkan bom di Kampung Tanduo. Katanya, walaupun letupan itu dapat dirasai oleh keluarga dan kebanyakan penduduk Tanjung Labian dan Tanjung Batu, namun ia adalah tindakan ketenteraan yang paling tepat untuk menghapuskan musuh. "Selepas letupan itu, saya berharap pengganas dapat dihapuskan. Namun dalam masa sama, kami bersiap sedia untuk keluar dari kampung kerana bimbang keselamatan kami enam beranak," ujarnya. Berbeza dengan Hamid Dilma, 64, yang mengalami pengalaman ngeri dalam pertemuan empat mata dengan ketua kumpulan pengganas Sulu, Datu Agbimuddin Kiram sewaktu ditahan bersama 30 orang penduduk kampung Labian dan Tanjung Batu. SEORANG anggota tentera berkawal berdekatan serpihan bangkai bot pancung yang digunakan oleh pengganas Sulu. Pengusaha kedai runcit itu memberitahu, kejadian yang berlaku pada pukul 6.30 pagi 5 Mac tahun lalu itu ketika dia baru sahaja membuka pintu kedai runcitnya. Tambahnya, terdapat sekumpulan individu yang memakai pakaian tentera bersenjatakan parang dan senjata api. "Dua daripada mereka meluru ke arah saya lalu meletakkan parang tersebut di tengkuk seolah-olah ingin memancung. "Memang rasa amat takut sangat. Di dalam hati berharap saya tidak gantung atau diapa-apakan oleh mereka berdua. "Tindakan mereka berhenti seketika selepas ditegur Agbimuddin yang kemudian menyatakan ingin membeli barangan keperluan seperti beras, gula, minyak dan makanan lain yang dijual di kedai saya," katanya. Hamid menjelaskan, selepas ditahan, kesemua penduduk kampung dihimpunkan di kawasan lapang berhampiran kedainya dengan diperiksa setiap seorang daripada mereka oleh kumpulan pengganas sulu itu. Tali barut "Pada malam itu juga, saya terpaksa bermalam dengan beberapa pengganas wanita Sulu di sebuah rumah tidak jauh dari kedai milik saya ini. "Memang tidak boleh tidur kerana saya hanya memikirkan bagaimana mahu keluar daripada kawalan pengganas ini, selain tertanya-tanya kenapa keamanan kami diragut oleh kumpulan yang mementingkan diri mereka," jelasnya yang berjaya melarikan diri dengan merangkak di dalam longkang pada malam keesokan harinya. Ekoran krisis pencerobohan itu, segelintir penduduk masih tidak boleh menerima wujudnya tali barut dalam kalangan mereka. Penduduk Kampung Tanjung Batu, Muin Hassin, 63, berkata, hal ini tidak sepatutnya terjadi dalam hidup bermasyarakat memandangkan apa yang lebih ditekankan ialah kemuafakatan dan semangat perpaduan yang utuh demi kemajuan dan keamanan bersama. "Sama ada mereka bersalah atau tidak, undang-undang akan menentukannya. Sebagai penduduk dan warganegara, kami memang tidak boleh menerima tindakan sesetengah pihak yang sanggup menjadi tali barut kepada pengganas," katanya. Ramlee menunjukkan lokasi kejadian serangan hendap pengganas Sulu ke atas pasukan keselamatan pada Mac tahun lalu. Pada awal pencerobohan, Muin sempat melarikan diri bersama 30 penduduk dan terpaksa menempuh perjalanan selama enam jam bermula 9 malam melalui pesisir pantai di kampungnya hingga ke Fajar Harapan bagi mencari perlindungan. Selain perkampungan dalam gugusan Tanjung Labian di Lahad Datu, situasi sama turut dilalui oleh penduduk-penduduk di perkampungan Simunul dalam daerah Semporna. Norbiah Osman, 43 mengakui agak terkilan apabila perkampungan air itu telah digunakan sebagai sarang beberapa orang pengganas sehingga berlakunya serangan hendap ke atas anggota pasukan keselamatan. "Ketika kejadian, saya baru saja selesai mandi sebelum terdengar tembakan bertali-arus hingga menyebabkan saya meniarap bersama anak-anak. "Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bimbangnya hati kami sambil berdoa agar tiada perkara buruk berlaku. "Malah, suami yang baru keluar dari surau tidak jauh dari lokasi kejadian meminta saya tidak keluar rumah," jelasnya yang berpeluang melarikan diri empat jam selepas kejadian tersebut pukul 7 petang itu. Sepanjang pencerobohan pengganas Sulu yang berlarutan hampir dua bulan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia. Mereka ialah Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46 (komando VAT 69) Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52, (Cawangan Khas Bukit Aman), Asisten Supritendan Michael Padel, 36, (Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna), Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau, Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49, (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah), dan Koperal Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau. Rasa sayu Selain itu, dua lagi askar turut gugur melibatkan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja Tawau dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat. Pemergian mereka amat dirasai termasuk Koperal Mohd. Nor Fadzil, 43, yang menyatakan, pergorbanan itu menunjukkan bahawa setiap anggota pasukan keselamatan sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keamanan negara. RUMAH sumbangan kerajaan kepada penduduk Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu yang musnah akibat pencerobohan pengganas Sulu. "Tidak kira anda polis atau tentera apabila mendengar ada anggota terkorban, perasaan sayu itu pasti akan terasa kerana kita berjuang untuk negara," katanya yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. Ditugaskan membuat kawalan bersama enam lagi rakannya di simpang masuk Kampung Tanduo dan Tanjung Batu, perkara yang selalu ditekan adalah keselamatan. Mohd. Nor memberitahu, kerana terdapat laporan pengganas cuba mengubah taktik menjadi masyarakat tempatan selepas kubu mereka di Tanduo digempur pihak keselamatan. "Malah, saya ada suatu ketika saya hampir dilanggar oleh kenderaan pasukan keselamatan dan dipersoalkan kerana menghalang tugas mereka. "Namun saya nyatakan, tugas saya adalah memastikan sesiapa yang melalui kawasan kami adalah mereka yang dibenarkan termasuk kepada anggota keselamatan," ujarnya yang merupakan bekas anggota unit khas bridged Pasukan Gerakan Am Sabah (CUG) Battalion 17. Berlainan situasi dengan Bintara Muda Maritim, Ahmad Zaharudin Baharudin yang merupakan Ketua Bot Pemintas Kilat Maritim Malaysia di Lahad Datu apabila dia diarahkan untuk meninjau kawasan pencerobohan Kampung Tanduo dari laut bersama pasukan tindak khas Maritim, Starteam. Katanya, semasa tugasan di Tanduo, dia telah membawa bot dengan jarak kurang 100 meter dari gigi pantai kampung berkenaan. "Risiko memang tinggi kerana kami ditugaskan mendapatkan maklumat kubu penceroboh melalui gambar-gambar yang diambil. "Saya hanya bertawakal dan berharap tiada provokasi dilakukan pihak penceroboh untuk menyerang selain kami tidak menunjukkan sebarang pergerakan senjata kepada mereka," ulasnya. |
Lahad Datu kaya tarikan pelancongan Posted: Lahad Datu kaya tarikan pelanconganLEMBAH Danum merupakan hutan yang kerap menjadi tumpuan penyelidik di seluruh dunia termasuklah pasangan diraja Britain, Putera William dan isteri, Kate Middleton. SEBELUM tercetusnya insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tandou pada 12 Februari tahun lalu, tidak ramai yang tahu berhubung perkembangan sebuah daerah bernama Lahad Datu. Malah daerah yang mempunyai keluasan kira-kira 6,500 kilometer persegi ini seringkali dilabel sebagai bandar transit yang menghubungkan daerah-daerah di Pantai Barat dan Pantai Timur. Melihat aspek pembangunan dan pelancongan sedia ada, Lahad Datu juga masih ketinggalan jika dibandingkan dengan daerah jirannya seperti Semporna, Tawau dan Sandakan. Bagaimanapun, sejak insiden pencerobohan di Kampung Tanduo yang terletak kira-kira 130km dari pusat bandar, Lahad Datu mula dikenali. Menyusuri sejarah daerah, nama Lahad Datu yang merupakan daerah keempat terbesar di Sabah ini diambil sempena fungsinya sebagai tempat persinggahan golongan Datu-Datu dari Kesultanan Sulu. Lahad berasal dari perkataan suku Suluk bermaksud tempat, manakala Datu pula merupakan keturunan orang-orang kaya dari Kesultanan Sulu. Lahad Datu mempunyai Pusat Luar Lembah Danum (Danum Valley Field Centre-DVFC) iaitu sebuah pusat yang menyediakan kemudahan saintifik yang terkenal di dunia. Di samping itu, Taman Hidupan Liar Tabin yang cukup terkenal bagi melihat tiga mamalia terbesar di Sabah, gajah Asia, badak sumatera dan tembadau selain hamparan keindahan pemandangan laut melalui menara kayangan Gunung Silam yang terletak 880 meter dari aras laut. Bukan pekan koboi Persoalannya, mampukah industri pelancongan Lahad Datu terus bertahan dengan pakej-pakej yang sedia ada? Peristiwa pencerobohan pengganas Sulu seharusnya bukan sahaja harus dilihat sebagai wake-up call kepada negara sebaliknya ia perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak bertanggungjawab dalam mempromosikan daerah tersebut kepada masyarakat secara umumnya di dalam negara dan luar negara. Bagi seorang pekerja hotel, Norbaizura Akop, 24 yang ditemui Kosmo! baru-baru ini menyatakan, dia tidak mahu tempat lahirnya itu terus digelar sebagai pekan koboi oleh segelintir masyarakat. "Lahad Datu telah berkembang dengan pesatnya dan mempunyai beberapa lagi kawasan komersial yang telah dibina termasuk Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC). "Sebagai generasi muda, pastinya kami mahukan Lahad Datu terus berkembang terutama dalam memanfaatkan tempat-tempat baharu seperti di Tanjung Labian yang mempunyai pantai bersih," katanya. Lain pula pandangan Hussin Salleh, 39. Dia berpendapat dengan kehadiran pasukan keselamatan melalui penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah memastikan pengawalan dan penguatkuasaan pihak berkuasa lebih teratur dan berkesan bukan sahaja di Pantai Timur Sabah umumnya tetapi Lahad Datu khususnya. KEADAAN bandar Lahad Datu yang kian membangun. "Kita tidak tahu mungkin dalam masa sedekad atau lebih, Lahad Datu boleh menjadi bandar pelancongan tentera seperti di Port Dikson, Negeri Sembilan. "Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan melalui Esscom yang membantu memulihkan semangat orang ramai selepas kejadian tidak disangka itu," ujarnya ketika ditemui. Sementara itu, seorang pelancong dari Jerman, Domenic Schnoes, 27, memberitahu, dia memperoleh pengalaman menarik sepanjang bercuti di Taman Hidupan Liar Tabin. Malah, dia memuji masyarakat tempatan yang mesra dan suka membantu dengan mempunyai sistem pengangkutan yang baik berbanding negara Kemboja. "Ini merupakan kunjungan saya yang julung-julung kalinya ke Sabah. Semua orang di sini baik dan murah senyuman manis termasuk di barisan hadapan iaitu imigresen sewaktu tiba di negeri ini. "Jika daerah ini mahu berkembang, ia sepatutnya mempunyai lapangan terbang yang lebih besar seperti di Tawau," katanya. Berdasarkan pemerhatian, Lapangan Terbang sedia ada mempunyai lima penerbangan pergi balik setiap hari dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu melalui penerbangan Anak syarikat Malaysia Airlines System Bhd., MASWings Sdn. Bhd. (MASWings). Festival memancing Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Yusuf Apdal berkata, beliau telah mengatur pelbagai perancangan sesuai dengan penubuhan jawatankuasa pelancongan peringkat daerah. Yusuf turut memberitahu, ia bakal dimulakan dengan pembinaan One-Stop Centre Pelancongan di bangunan terbiar pejabat pos lama selain pembinaan lapangan terbang baru dengan skala lebih besar di Silabukan. "Keputusan awal cadangan, Kementerian Pengangkutan telah bersetuju dengan pembinaan tersebut yang melibatkan kawasan lebih 200 hektar. Namun hanya menunggu dana kerana melibatkan peruntukan yang besar kira-kira RM300 juta," katanya. Beliau juga telah mengenalpasti dalam menjadikan Felda Sahabat sebagai lokasi pelancongan terutama di Tanjung Labian. Ujarnya, ia termasuklah penganjuran festival memancing pada setiap bulan selain pembinaan resort sesuai dengan kawasan tersebut yang menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menerima cahaya matahari seawal pukul 5.30 pagi. Yusuf berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti sebuah lagi lokasi pelancongan baharu iaitu Pulau Sakar yang mengambil masa kira-kira 45 minit dari bandar Lahad Datu. "Ia adalah sebuah pulau yang mempunyai keindahan tersendiri. Sehingga kini, pulau ini belum dimanafatkan dalam menjadikannya pulau tersebut sebagai tarikan pelancongan," jelasnya. - MOHD. YUNUS YAKKUB |
Pembangunan binasakan 'Little England' Posted: Pembangunan binasakan 'Little England'LALUAN kereta di lereng-lereng bukit dipenuhi sampah sarap akibat pembangunan haram di Cameron Highlands. DARI puncak sebuah gunung, R. Ramakrishnan mengamati landskap muka bumi berceranggah yang masyhur sewaktu era kolonial dan diibaratkan seumpama udara segar England berada di kawasan tropika. Sebaliknya, apa yang dilihat kini hanya sebahagian daripada kemusnahan alam yang semakin berleluasa. Pemandangan ladang-ladang haram yang dilitupi kepingan plastik di sepanjang cerun curam tanah tinggi Cameron Highlands menyakitkan mata manakala jentolak dengan rakus memusnahkan hutan berhampiran. "Semua orang merebut tanah. Terdapat tanah percuma untuk semua," kata aktivis alam sekitar tempatan itu di sebalik bunyi kuat mesin gergaji. Terletak pada ketinggian lebih 1,000 meter kawasan tengah Semenanjung Malaysia, Cameron Highlands muncul sebagai destinasi pelancongan pertama di negara ini ketika zaman awal pemerintahan British pada abad ke-20. Turut dikenali sebagai 'Little England' oleh sesetengah pihak, kawasan itu disayangi oleh tentera penjajah yang rindukan suasana minum petang atau beberapa botol gin dan tonik di tengah-tengah udara sejuk, taman-taman subur dan pemandangan ladang teh yang menghijau. Seni bina kolonial masih menghiasi kawasan yang merupakan sumber tanaman zon iklim sederhana seperti strawberi dan epal serta menjadi habitat bagi flora dan fauna termasuklah haiwan yang diancam kepupusan, Harimau Malaya. Bagaimanapun, ladang haram yang berleluasa, pembangunan hotel dan kondo menjejaskan kawasan istirehat legenda itu sekali gus meningkatkan kebimbangan untuk keseimbangan ekologi dan tarikan pelancongan. Malah, kerisauan terhadap tahap keselamatan juga semakin tinggi memandangkan banyak berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat. "Kesakitan yang dirasai alam kini semakin dahsyat. Kami kehilangan tanah tinggi," ujar Ramakrishnan sambil memasukkan kacang ke dalam mulut ketika memandu melepasi pokok yang tumbang akibat ditebang dan sampah bertaburan yang menghasilkan aliran keladak daripada hakisan tanah. Tamak Beliau menyalahkan sifat tamak dan rasuah pegawai-pegawai dan kepentingan ladang untuk melanggar undang-undang tanah di kawasan pergunungan negeri Pahang yang ditadbir oleh kerajaan campuran. Pada tahun 1920-an, penanam British membina ladang-ladang teh indah yang memeluk rupa bumi beralun di kawasan tersebut seperti satu selimut hijau yang terbentang luas. Kawasan ini mendapat ukuran mistik apabila kehilangan seorang ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), Jim Thompson pada tahun 1967 yang masih tidak selesai. Terkenal kerana membantu menggerakkan industri sutera dan mempunyai kilang di Thailand, Thompson dilaporkan hilang semasa bersiar-siar di luar penginapannya di Moonlight Cottage, Cameron Highlands. CAMERON HIGHLANDS merupakan salah satu lokasi panas pemusnahan hutan di Malaysia. Kejadian itu sekali gus mencetuskan khabar angin mengenai satu komplot jahat terhadapnya berikutan beliau merupakan bekas anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA). Bagaimanapun, masalah hari ini adalah mikrokosma terhadap kegagalan yang lebih besar negara untuk menyeimbangkan pembangunan dengan kekayaan alam semula jadi di Malaysia. Data yang disiarkan dalam Jurnal Sains di AS pada November lalu menunjukkan Malaysia kehilangan 14.4 peratus hutannya pada tahun 2000 hingga 2012, iaitu kadar paling tinggi di dunia. Para pengkritik sebahagian besarnya menyalahkan ahli politik yang terlibat dalam industri pembalakan dan minyak sawit. Data tersebut menunjukkan Cameron Highlands merupakan lokasi panas untuk pemusnahan hutan. "Terdapat sejumlah pihak yang tidak menghormati undang-undang. Kita sedang membunuh tanah dan hutan sendiri," kata Gurmit Singh dari Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia. Dalam pada itu, para pemimpin tertinggi negara turut melahirkan kebimbangan terhadap Cameron Highlands pada Oktober lalu selepas tiga orang terbunuh dan berpuluh-puluh rumah musnah manakala kenderaan rosak teruk apabila pihak berkuasa mengeluarkan air dari empangan. Pembersihan tanah menyalahi undang-undang itu dipersalahkan kerana memburukkan lagi keadaan banjir sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti penguat kuasa. Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Datuk Ahmad Daud mengakui pembersihan tanah secara haram yang berleluasa, tetapi menafikan dakwaan rasuah dalam kalangan pegawainya. "Kita perlu bersikap realistik. Cameron Highlands memerlukan pembangunan," ujarnya. Menurun Bagaimanapun, kehadiran pengunjung ke pusat peranginan tersebut menurun sehingga 42 peratus pada suku pertama tahun 2013 apabila liputan media di kawasan itu semakin diperhebatkan. Pihak berkuasa pula menyalahkan lebuh raya baharu yang dikatakan menjadikan perjalanan ke Cameron Highlands lebih cepat merupakan punca pengurangan penginapan di sana. Kekurangan pelancong dan pengunjung ini turut dirasai oleh K. Balakrishnan, pengusaha hotel kotej 25 bilik yang dibina pada tahun 1930-an di tengah-tengah taman yang subur. "Selepas 35 tahun, saya mungkin terpaksa menjual hotel saya kepada orang lain," tutur pemilik hotel itu sewaktu menikmati sarapan Inggeris bersama teh, skon, krim dan jem. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel telah memberi amaran kepada khalayak mengenai kesan kemusnahan di Cameron Highlands boleh menjejaskan industri pelancongan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai respons kerajaan apabila ditanya AFP. Sementara itu, cucu kepada saudagar British, John Russell yang mengasaskan ladang teh Boh pada tahun 1920, Caroline turut mengakui perolehan mereka semakin merosot dan menyalahkan perubahan alam sekitar disebabkan pembangunan. "Apa yang berlaku sekarang tidak akan berkekalan," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |