Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
Pantau peniaga sambil berjimat Posted: Pantau peniaga sambil berjimatOleh NADIA SHAIFUL BAHARI KECEWA dengan sikap sesetengah peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga barangan membuatkan Nazira Nadhia Azemee, 26, mencari-cari saluran terbaik untuk menyampaikan aduan bagi membela haknya sebagai pengguna. Bukan itu sahaja, dia turut tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kawalan. Dua tahun lalu, wanita yang bekerja di sektor awam itu diperkenalkan dengan program keahlian Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Program tersebut ternyata memberikan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya selama ini. "Banyak kebaikan diperoleh selepas saya mendaftar sebagai ahli SP1M. Semua aduan berkaitan hak pengguna boleh dibuat dengan mudah dan ianya cukup berkesan. "Pihak berkuasa bertindak menyiasat aduan yang diberikan dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada peniaga yang mengambil kesempatan. Selain itu, semua ahli mendapat ganjaran dalam bentuk diskaun atas belian dengan hanya menunjukkan kad SP1M kepada peniaga berdaftar," ujar wanita yang berasal dari Johor Bahru, Johor tersebut. Pengguna bijak Biarpun banyak manfaat yang ditawarkan sekiranya menjadi ahli skuad tersebut, 99 peratus daripada 29.24 juta rakyat negara ini masih belum mengetahui tentang kewujudan program berkenaan. Setakat 22 Januari lalu, jumlah keahlian SP1M di seluruh negara ialah 162,509 orang. Tidak dinafikan keadaan ekonomi semasa di Malaysia semakin mencabar. Kewujudan kad tersebut membolehkan rakyat meringankan sedikit sebanyak kos sara diri dengan menjadi pengguna bijak sebelum keluar berbelanja. JIKA terdapat peniaga yang tidak menunjukkan tanda harga, anda boleh mengadukan perkara tersebut ke talian bebas tol 1800-886-800 atau di laman web e-aduan/kpdnkk.gov.my. Dengan mendaftar sebagai ahli SP1M, pengguna berfungsi sebagai mata dan telinga pihak kerajaan dengan melakukan pemantauan secara sukarela dan melaporkan sebarang aduan tentang hak kepenggunaan secara terus kepada KPDNKK. Kaedah tersebut mengambil pendekatan konsep membeli-belah sambil memantau. Penubuhan skuad pengguna dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara pihak berkuasa dengan rakyat bagi memantapkan usaha pemantauan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia. Pada masa sama, kemahiran dan pengetahuan pengguna mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan di pasaran dapat ditingkatkan. Selain itu, kad tersebut berfungsi sebagai kad kesetiaan dengan pengguna berpeluang menjadi pelanggan setia kepada rakan dagang yang menawarkan diskaun tertentu. Terbela Dalam pada itu, penjawat awam, Ahmad Nazmee Adnan, 27, berkata, dia gembira kerana setiap aduan akan disiasat pihak berkuasa sekiranya terdapat peniaga yang tidak beretika. "Nasib sebagai pengguna akan terbela jika lebih ramai rakyat di negara ini tampil ke depan, memahami peranan dan hak masing-masing. "Selain aduan, pengguna berpeluang mendapat ganjaran dalam bentuk diskaun ketika berbelanja dengan rakan dagang yang tersenarai dalam SP1M," katanya yang sudah mendaftar sebagai ahli sejak lapan bulan lalu. Dia turut berkongsi pengalaman mendapat potongan harga ke atas barangan sukan di premis Mizi Sports dan diskaun harga makanan di restoran Ani Sop Utara. Namun, ahli SP1M tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang atau mengambil tindakan ke atas peniaga bagi pihak KPDNKK. Setiap aduan akan disiasat dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk diselesaikan.
Sebagai contoh, jika anda ke pasar malam dan terlihat mana-mana pemilik premis yang tidak mempamerkan tanda harga secara jelas, boleh mengadu terus ke talian 1800-886-800. Kaedah lain adalah dengan mengisi borang aduan atas talian di e-aduan.kpdnkk.gov.my. Aduan boleh dibuat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang kecuali pada cuti umum. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Mohd. Haziman Ab. Ghani, berkata, keahlian SP1M terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. "Orang awam hanya perlu mendaftar butiran peribadi melalui pautan atas talian di www.1pengguna.com/skuadpengguna, cetak slip dan bawa slip tersebut ke cawangan Bank Rakyat berdekatan bagi mendapatkan kad keahlian. "Bayaran sebanyak RM2 akan dikenakan ke atas keluaran kad tersebut. Pengguna boleh menyemak senarai rakan dagang yang mengambil bahagian di laman web berkenaan," jelasnya ketika ditemui di bangunan KPDNKK, Putrajaya baru-baru ini. Rakan dagang Peniaga yang berminat menjadi rakan dagang juga boleh mendaftarkan butiran perniagaan mereka di laman web tersebut dan menyatakan kadar diskaun yang ingin diberikan kepada pelanggan. Antara manfaat yang bakal diterima rakan dagang adalah pengiklanan percuma di laman web KPDNKK dan akhbar serta berpeluang mengikuti program kepenggunaan anjuran kementerian. PENGGUNA boleh menggunakan kad SP1M di premis yang mempamerkan pelekat yang dikeluarkan oleh KPDNKK. Setakat ini, sebanyak 2,298 syarikat yang melibatkan 3,264 cawangannya mendaftar sebagai rakan dagang di bawah SP1M. Mereka menawarkan diskaun antara dua hingga 50 peratus bergantung kepada terma dan syarat. Rakan dagang terdiri daripada syarikat atau koperasi buku, alat tulis, pakaian, kelengkapan sukan, barang runcit, penginapan, pengangkutan, pelancongan, makanan dan pusat kesihatan. Antara senarai rakan dagang terlibat ialah pasar raya Mydin, Sogo, kedai peralatan sukan Mizi Sports, kedai buku MPH dan syarikat penerbangan Firefly. "Terdapat lapan hak pengguna yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia iaitu hak untuk mendapat keperluan asas, membuat pilihan, mendapatkan maklumat, ganti rugi, pendapat, pendidikan pengguna, perkhidmatan atau barangan dan alam sekitar yang bersih serta selamat. "Bagaimanapun, tidak semua aduan boleh dirujuk kepada KPDNKK. Misalnya, aduan di luar bidang kuasa kami seperti perbankan dan insurans akan disalurkan kepada agensi yang berkenaan," jelasnya. Sebarang pertanyaan dan perkembangan terkini mengenai SP1M boleh dimajukan di akaun Facebook, Skuad Pengguna KPDNKK. | |
Industri hempedu beruang merudum Posted: Industri hempedu beruang merudumKEMPEN antipemeliharaan beruang merupakan usaha kerajaan menamatkan industri tersebut di Korea Selatan. BEBERAPA ekor beruang bergelimpangan di dalam sebuah kandang besi. Di atas lantai kandang itu kelihatan sisa-sisa donut, najis, makanan anjing dan buah-buahan. Sejak dilahirkan haiwan berbulu lebat itu diletakkan di kandang besi yang sempit tersebut. Ia bukan diternak sebagai haiwan peliharaan atau pameran, sebaliknya akan dibunuh dan hempedunya dikeluarkan bagi tujuan perubatan tradisional di beberapa negara Asia. Hempedu beruang digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti bisul, buasir, sawan babi dan sista (ketumbuhan dalam tubuh atau di bawah kulit yang mengandungi cecair). Bagi masyarakat Korea Selatan, organ tersebut mampu merawat semua penyakit dan meningkat stamina individu. Merudum Namun, perubahan masa dan kemunculan perubatan moden menyebabkan permintaan terhadap ubat tradisi itu merudum di Korea Selatan. Pemilik ladang beruang yang terletak di Dangjin, kira-kira 120 kilometer dari selatan Korea, Kim KwangSoo berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, tidak ada seorang pun pelanggan membeli hempedu beruang daripadanya.
Selain masalah pasaran, para peladang juga berdepan beban hutang bagi memelihara dan menjaga kebajikan haiwan tersebut. Situasi itu turut dihadapi KwangSoo yang menanggung hutang tahunan sebanyak 300 juta won (RM930,000) bagi menampung 270 ekor beruangnya. Korea Selatan merupakan antara negara yang membenarkan pemeliharaan beruang untuk tujuan pengekstrakan hempedu bagi perubatan tradisional. Sebanyak 50 ladang dengan kapasiti 1,000 ekor beruang dicatatkan di negara itu yang kebanyakannya dari jenis beruang hitam Asia atau dikenali sebagai beruang bulan. Aktiviti pemeliharaan beruang tersebut di negara berkenaan bermula pada tahun 1980-an dan ia merupakan baka yang diimport dari Malaysia selain beberapa negara Asia Tenggara lain. KwangSoo memberitahu, industri hempedu beruang di negaranya pada suatu ketika pernah menerima tempahan sehingga RM93,000 setahun. Jumlah itu turun mendadak sejak sedekad lalu apabila negara seperti China dan Vietnam menyediakan produk yang jauh lebih murah. Penurunan itu semakin jelas berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Makanan dan Keselamatan Ubat-Ubatan Korea Selatan yang melaporkan negara itu hanya mengeksport organ haiwan tersebut sebanyak 2.8 kilogram antara tahun 2008 hingga 2012. Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Hangil pada tahun 2011 mendapati sebanyak 94 peratus penduduk dipercayai tidak lagi mengambil ubat-ubatan berasaskan organ beruang dan tidak mempunyai minat untuk memperolehnya. PERUBATAN tradisional Asia yang menggunakan hempedu beruang semakin kurang diberi perhatian disebabkan kemunculan perubatan moden. Insentif Dalam usaha menghentikan industri itu, Kementerian Alam Sekitar membelanjakan hampir RM1.9 bilion bagi menjalankan kempen antipembiakan beruang sehingga tahun 2016, tetapi mereka masih belum mengeluarkan sebarang tindakan undang-undang kepada peladang. Kerajaan turut menawarkan insentif kepada peladang seperti pensterilan beruang pada kadar RM4,000 seekor, makanan sebanyak RM1,240 setahun dan penyembelihan beruang tua pada kadar RM4,600 seekor. Namun demikian, peladang-peladang terlibat menuntut kadar yang lebih tinggi. KwangSoo yang juga Setiausaha Agung Persatuan Peladang Beruang memberitahu, ahli-ahli bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang atau mengambil langkah yang lebih drastik seperti mendera haiwan tersebut, jika kerajaan tidak mendengar rintihan mereka. "Masyarakat sering membangkitkan isu kebajikan haiwan-haiwan tetapi menidakkan hak kami," ujar salah seorang peladang, Yun Youngdeok yang mempunyai ladang beruang berdekatan Seoul kepada AP. Sebagai tanda protes awal, mereka telah meletakkan sangkar beruang di pusat bandar Seoul dan berhampiran kompleks kerajaan di bandar Sejong pada November tahun lepas. KwangSoo menambah, persatuan tersebut merancang untuk meletakkan 20 kandang beruang berdekatan kompleks kerajaan dengan harapan perjuangan mereka mendapat perhatian umum. | |
Posted: UPM ceburi inovasi buluhMESIN V-Grooving ini digunakan bagi meratakan buluh selain menghasilkan produk yang lebih berkualiti. BERIKUTAN kejayaan penganjuran Hari Buluh Sedunia Malaysia pada September tahun lalu, Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal mengorak langkah lebih jauh dalam bidang teknologi dan inovasi berkaitan tumbuhan yang tergolong dalam kumpulan monokotilidon dari famili Gramineae dalam keluarga rumput-rampai. Timbalan Dekan (Industri dan Pembangunan), Fakulti Reka Bentuk dan Senibina, UPM, Dr. Mohammad Yazah Mat Raschid berkata, penglibatan secara serius itu akan mengembalikan penggunaan buluh dalam pelbagai bidang seperti perabot, alat muzik dan pembinaan. "Kami ingin meletakkan UPM sebagai peneraju inovasi dan kebangkitan semula buluh yang mudah didapati di negara kita," katanya dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini. Sebagai langkah awal, penyelidik di UPM mencipta mesin pemotongan V-Grooving bagi meratakan buluh untuk dijadikan papan, lantai dan bahan gantian dalam industri berasaskan kayu. Sementara itu, Ketua Penyelidik dari Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Madya Dr. Edi Suhaimi Bakar berkata, inovasi yang pernah mendapat pingat emas pada Pameran Reka cipta, Penyelidikan dan Inovasi 2012 itu akan memberi manfaat besar kepada industri buluh negara. EDI menunjukkan buluh yang diratakan menggunakan mesin V-Grooving. "Kaedah V-Grooving akan menghasilkan alur berbentuk V pada bahagian luar buluh. Ia lebih praktikal dalam proses meratakan buluh berbanding kaedah sedia ada," ujarnya. Dia menambah, setiap alur berukuran satu milimeter bagi mengekalkan segmen buluh dan berfungsi sebagai engsel apabila dileperkan. "Selain menjimatkan kos pengeluaran dan bahan, kaedah ini juga menghasilkan produk akhir yang lebih berkualiti. "Ia boleh dipromosikan kepada para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)," kata beliau. Beberapa negara seperti Korea Selatan, Thailand dan China telah menunjukkan perkembangan positif menerusi janaan pendapatan eksport buluh yang mencapai AS$11 bilion (RM36.6 bilion) pada tahun 2012. Bagaimanapun, Malaysia hanya mencatatkan nilai eksport sebanyak RM220,000. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |