Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: 'Kami berhak tarik diri'Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
"BOLEH tahan (kecederaan) hidung yang dialami pemain saya." Demikian respons pengurus T-Team, Rozi Mamat ketika ditanya mengenai keadaan pemain import Brazil, Elvado Rodrigues yang didakwa dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin. Pada perlawanan tersebut, The Titans mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua ketika menentang JDT yang menyaksikan tuan rumah mendahului 2-1. Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan kerana T-Team menganggap kawalan keselamatan mula tergugat selepas Rodrigues dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan. Mengulas lanjut, Rozi yang juga Exco Belia dan Sukan Terengganu memberitahu, pihaknya berhak untuk tidak meneruskan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan. "Sejujurnya, saya tidak berada di Larkin pada aksi semalam (kelmarin). Saya hanya dimaklumkan oleh pegawai T-Team bahawa berlaku kekecohan di sana (Larkin). "Saya berpendapat, kami berhak untuk tidak meneruskan perlawanan separuh masa kedua itu atas faktor keselamatan pemain. Adalah wajar kami tidak menyambung aksi separuh masa kedua itu. "Mengenai laporan polis, saya rasa tidak perlu kerana kami akan menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). "Cuma, saya sedikit kesal kerana kami sentiasa memberikan layanan dan keselamatan yang terbaik kepada pasukan pelawat ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. "Selain FAM, kami turut menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandangkan T-Team adalah di bawah naungan persatuan negeri. "Sama ada ada tindakan susulan akan berlaku nanti, saya rasa adalah lebih baik soalan ini diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku penasihat kedua-dua pasukan ini sebaik pulang dari Antartika pada Selasa ini," katanya. Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mana-mana pegawai yang didapati bersalah dalam insiden tersebut bakal berdepan dengan tindakan tegas. "Jika ada pegawai atau pemain yang melanggari peraturan pertandingan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," katanya. | |
Calon asing kekal pilihan FAM? Posted: Calon asing kekal pilihan FAM?Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE MISTERI mengenai calon sebenar jurulatih baharu Harimau Malaya masih belum terungkai. Tatkala perbincangan bersama calon pilihan, Phillippe Troussier dilaporkan menemui jalan buntu baru-baru ini, timbul persoalan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan berganjak dengan keputusan memburu khidmat jurulatih asing bagi mengendalikan Harimau Malaya ataupun tidak selepas ini. Sumber memberitahu Kosmo!, FAM masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu selepas dikatakan tidak lagi berminat mendapatkan khidmat Troussier baru-baru ini. "Buat masa ini, tugas mengendalikan Harimau Malaya kekal dikendalikan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina (1 Mac) dan juga Yemen (aksi kelayakan Piala Asia) pada 5 Mac depan. "Justeru, FAM tidak terburu-buru mendapatkan jurulatih lain dalam masa terdekat hanya semata-mata jika gagal mendapatkan khidmat Troussier sebelum berdepan Yemen Mac nanti. "Namun, persoalan mengenai siapa calon lain (sama ada jurulatih asing ataupun tempatan) terletak kepada budi bicara FAM selepas ini," kata sumber itu yang enggan dikenali kepada Kosmo! semalam. Terdahulu, FAM dikatakan tidak lagi berminat meneruskan perbincangan dengan Troussier bagi menyandang 'kerusi panas' itu selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak lagi disambung pada 31 Disember tahun lalu. Ia ekoran Troussier, 58, yang ditawarkan kontrak selama tiga tahun dikatakan banyak 'songeh' ketika mengadakan rundingan bersama FAM baru-baru ini. Selain tidak mahu FAM meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadap beliau, Troussier juga dikatakan mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit. Lebih memeranjatkan, Troussier juga menuntut FAM supaya tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun beliau sendiri yang menamatkan kontrak tersebut lebih awal. Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM. Untuk rekod, mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005. Antara jurulatih asing yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini termasuklah Alan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini juga enggan masuk campur dengan keputusan FAM memburu jurulatih asing bagi mengendalikan skuad kebangsaan biarpun secara peribadinya menganggap ia bukan satu keutamaan buat masa ini berbanding pelaburan mengenal pasti bakat muda. Kim Swee pula enggan berterusan dikaitkan dengan 'kerusi panas itu' namun tetap memberi jaminan bakal memberikan yang terbaik menjelang aksi berdepan Filipina dan Yemen kelak. Dalam pada itu itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberi jaminan bahawa segala-gala persoalan bakal terlerai menerusi satu sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini. "Kesemua persoalan mengenai perkara ini akan terjawab esok (petang ini), jadi saya harap kesemua pihak boleh bersabar," katanya ringkas kepada Kosmo! semalam. | |
Siasat tanpa berat sebelah - Khairy Posted: Siasat tanpa berat sebelah - KhairySEBAHAGIAN pemain JDT sabar menunggu pasukan T-Team keluar daripada bilik persalinan untuk memulakan aksi separuh masa kedua tetapi pasukan lawan bertindak tidak mahu meneruskan permainan pada kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin. MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) mahu insiden kekecohan yang berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru malam kelmarin disiasat tanpa berat sebelah. "Isu ini sangat serius malah ramai yang menyaksikan kejadian itu berlaku. Ia akan disiasat sepenuhnya dengan telus," respons Khairy menerusi laman Twitternya semalam. Perlawanan berkenaan terpaksa ditangguhkan selepas pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dilaporkan dikasari ketika menuju ke bilik persalinan. Menerusi laman Facebook T-Team, kekecohan tersebut didakwa bermula apabila Goncalves ditumbuk pada hidung manakala Stefano ditendang. Keadaan bertambah buruk apabila perlawanan pada babak kedua terpaksa ditangguhkan selepas pemain dan pegawai T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan terus pulang ke Kuala Terengganu kerana didakwa keselamatan diri mereka terancam. Sebelum insiden, JDT sedang mendahului 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-16 dan 21 sementara jaringan The Titans pula dihadiahkan oleh kapten pasukan, Mohd. Marzuki Yusof pada minit ke-27. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |