Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik (SPRM) Paul Low menyampaikan sijil penghargaan kepada Shervin Majlessi (kiri) sambil diperhatikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Kuala Lumpur baru-baru ini. ANTARA perkataan yang diturunkan dalam laporan penilaian setebal lebih 500 halaman, yang dikeluarkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), ialah "komitmen Malaysia" yang wajar dihargai dalam usaha memerangi rasuah. Laporan penilaian ini dikeluarkan pertengahan tahun lalu dan dilancarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur 7 Februari lalu. Ketika berucap melancarkan lapiran itu, yang dikenali sebagai Laporan Hasil Penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan (IRG) Ke atas Pematuhan Terhadap Bab III dan IV Konvensyen PBB Pencegahan Rasuah (UNCAC), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, 23 pengiktirafan ke atas kejayaan dan amalan baik Malaysia ini adalah "yang terbanyak diterima oleh mana-mana negara yang dinilai." "Meskipun mekanisme penilaian UNCAC tidak meletakkan ranking di kalangan negara ahli dalam membuat perbandingan dari segi (keseriusan dan kesediaan) menerima pakai peruntukan-peruntukan UNCAC, Laporan Penilaian Negara (yang disediakan) ini menjadi satu mekanisme penilaian serantau dan antarabangsa seperti Indeks Persepsi Rasuah Transparency International," kata beliau yang ketika penilaian dibuat merupakan Presiden TI-Malaysia. Kata beliau, kesediaan Malaysia menerbitkan laporan penilaian ini menunjukkan negara memperlihatkan ketelusan dan tiada apa-apa untuk diselindung. "Justeru, saya menggesa orang ramai dan masyarakat antarabangsa akses kepada laporan penuh dan memberi komen dan cadangan," kata beliau yang mengajak sokongan pelbagai ke atas usaha memerangi rasuah yang dilaksanakan. UNCAC adalah konvensyen antarabangsa di bawah UNODC yang mewajibkan negara-negara ahli melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara luas dan terperinci. Konvensyen ini sah di sisi undang-undang dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. UNCAC telah ditandatangani oleh Malaysia pada 9 Disember 2003 dan diratifikasikan pada 24 September 2008. UNCAC mengandungi lapan Bab dan 71 Artikel yang menyentuh mengenai pencegahan, penjenayahan dan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama antarabangsa, pengesanan aset, bantuan teknikal dan pertukaran maklumat serta mekanisme pelaksanaan konvensyen. Penilaian terhadap pematuhan UNCAC dibuat mengikut pusingan iaitu setiap lima tahun sekali dengan setiap pusingan difokuskan kepada bab-bab tertentu dalam Konvensyen. Penilaian pusingan pertama dilaksanakan pada tahun 2010-2014 dengan fokus terhadap pematuhan Bab III mengenai Penjenayahan dan Penguatkuasaan Undang-Undang serta Bab IV mengenai Kerjasama Antarabangsa. Malaysia merupakan salah satu negara yang berjaya menyelesaikan proses penilaian UNCAC dalam masa setahun seperti mana yang ditetapkan oleh IRG. Penasihat Antirasuah Rantau Asia UNODC, Shervin Majlessi berkata, "Malaysia antara negara yang berjaya menyelesaikan proses penilaian UNCAC dalam tempoh setahun seperti yang ditetapkan dalam laporan hasil penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan." Jelas Majlessi, Malaysia perlu dijadikan contoh kepada negara anggota lain dalam memeterai perjanjian dua hala dan pelbagai hala dalam mewujudkan kerjasama organisasi antarabangsa dan serantau. "Peranan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melatih dan menerima pegawai sandaran dari agensi pencegahan rasuah luar telah memberikan sumbangan terbesar dalam menyumbang pendapat yang bermanfaat. "Program pertukaran kepakaran, penempatan pegawai SPRM di Interpol, pewujudan Cawangan Mutual Legal Assistance di SPRM juga mampu membuat perubahan yang signifikan kepada masa depan ekonomi yang sihat. Ini bermakna perubahan perlu dilakukan dengan kerjasama semua," katanya. Antara kejayaan dan amalan baik diiktiraf UNODC: l Kewujudan Seksyen 25 Akta SPRM iaitu peruntukan berkenaan kewajipan melapor transaksi rasuah atau cubaan rasuah. Kegagalan pematuhan merupakan satu kesalahan jenayah l Tiada had dalam undang-undang bagi kesalahan rasuah dibuat pendakwaan l Peranan Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau SPRM, boleh menyemak semula kes tertangguh atau kes-kes yang Timbalan Pendakwa Raya putuskan tidak boleh didakwa, dan PPO boleh mengemukakan cadangan tanpa mengganggu budi bicara Timbalan Pendakwa Raya l Penubuhan 14 mahkamah khas rasuah manakala hakim perlu mendengar kes dalam masa setahun l Kewujudan SPRM, MACA dan mahkamah khas antirasuah merupakan amalan contoh. Meskipun kebanyakan institusi ini masih baru, tetapi sudah mula memberi sumbangan bagi memperbaiki proses siasatan dan pendakwaan kes rasuah l Kewujudan kerjasama antara agensi di pelbagai peringkat. Sebagai contoh, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang bertanggungjawab bagi membangunkan dasar dan pelan tindakan pencegahan penggubahan wang haram l Pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dengan kerjasama sektor swasta. Banyak syarikat besar melantik pegawai integriti dan mengamalkan dasar tidak beri hadiah (khususnya semasa perayaan) l Malaysia memeterai perjanjian dua hala dan pelbagai hala, dan mewujudkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan serantau l Pihak berkuasa Malaysia mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyedarkan semua pemegang taruh relevan, terutama pegawai-pegawai kehakiman mengenai undang-undang, prosedur dan tempoh masa yang perlu dipatuhi l Amalan Malaysia yang fleksibel dalam aspek 'dual criminality' (jenayah dua hala) membolehkan bantuan yang menyeluruh l Kerajaan mengambil langkah-langkah perlu untuk mempercepatkan prosedur ekstradisi dan memudahkan keperluan keterangan l Malaysia diiktiraf mempunyai tenaga kerja mahir dan ada kepakaran dan aktif bekerjasama dengan agensi penguat kuasa rasuah asing. Program latihan, bina kapasiti dan pertukaran yang baik termasuk yang disediakan menerusi MACA merupakan antara amalan-amalan baik peringkat antarabangsa bagi pertukaran maklumat, kerjasama dan pencegahan rasuah. l Agensi-agensi penguat kuasa undang-undang Malaysia khususnya SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Unit Perisikan Kewangan Bank Negara menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha pencegahan rasuah serta kerjasama di peringkat antarabangsa l Pendekatan siasatan bersama dan kumpulan kerja operasi antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah Brunei Darussalam merupakan contoh kerjasama agensi penguat kuasa dengan negara lain di peringkat dasar dan operasi l Penggunaan kaedah siasatan khas secara meluas dalam mengendalikan kes-kes rasuah di peringkat domestik dan antarabangsa dilihat sebagai contoh yang baik. "Apa yang penting ialah, (pasukan) penilai juga mengetengahkan beberapa kejayaan dan amalan baik dalam aspek di mana undang-undang Malaysia merentasi keperluan perundangan Konvensyen (UNCAC)," kata beliau merujuk kepada kewujudan peruntukan Akta SPRM dan "pencapaian luar biasa" Malaysia khususnya SPRM dalam mematuhi UNCAC. (Fokus esok mengenai syor dan saranan UNODC) |
Biarkan Zaid Ibrahim pertahan Khalid Ibrahim cabar Anwar Ibrahim Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST Hassan Mohd. Noor KETIKA Barisan Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai sama ada bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, tiba-tiba muncul satu nama yang mahu bertanding atas tiket Bebas. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mahu mencabar Anwar Ibrahim bagi memastikan Khalid Ibrahim tidak disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar (MB) Selangor. Dalam erti kata lain, Zaid, bekas anggota PKR dari Kelantan, tidak mahu Anwar, dari Pulau Pinang mengetuai kerajaan negeri. Benar kata Zaid, jika Khalid dari Selangor mahu disingkirkan biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi seperti undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tidak perlulah PKR mencipta PRK yang nyata mengajak pelbagai pihak membazirkan wang. Umpama pada musim kemarau, paip air sengaja dipecahkan. Zaid menyifatkan perbuatan Anwar sebagai 'satu tindakan politik liar yang perlu dihalang dan tidak wajar direstui pengundi-pengundi Kajang'. Adakah pengundi-pengundi Kajang yang sudah tentu majoritinya 'anak Selangor' juga sekata dengan Zaid? Kata bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu lagi, beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa pembangunan ke Kajang atas dasar hubungan baik dengan pemimpin dalam pakatan pembangkang dan BN. Apa pun alasan yang diberi bagi 'melayakkan' dirinya bertanding, Zaid memang berhak bertanding. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya kecuali 'halangan' undang-undang. Jika Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang boleh bertanding kenapa tidak Zaid yang bukan wakil rakyat? Dalam peraturan pilihan raya, tidak ada sekatan mana-mana individu bertanding di luar kawasannya bermastautin atau dilahirkan. Jika ada sekatan yang mengehadkan anak negeri bertanding di negeri berkenaan, sudah tentu ramai yang tidak layak menawarkan diri. Sekadar contoh, Lim Guang Eng dan bapanya Lim Kit Siang dari mana? Berapa tempat atau negeri yang sudah mereka jelajah? Lebih bertuah adalah Guan Eng yang suatu masa dulu menjadi wakil rakyat di Melaka tetapi nasib menyebelahinya di Pulau Pinang apabila dilantik sebagai ketua menteri (KM). Kini giliran Anwar, anak Cherok Tok Kun mencuba nasib di Selangor dengan harapan dapat menjadi MB seperti rekod yang dicipta Guang Eng. Dulu di Pulau Pinang, ramai anak negeri itu yang bertanding sama ada melalui DAP, Gerakan dan MCA tetapi mungkin semuanya tidak layak diangkat sebagai KM. Kenyataan Zaid nampak lebih jelas untuk tidak melihat Anwar sebagai MB berbanding Pas yang masih 'tarik tali' berhubung jawatan tersebut. Ada yang berkata, jawatan MB perkara lain sedangkan hasrat sebenar Anwar sudah diketahui umum. Pas menegaskan bahawa jawatan MB Selangor bukan hak eksklusif PKR sebaliknya ditentukan menerusi kesepakatan. Apakah maksud kesepakatan? Langkah pertama ialah PKR, Pas, DAP (3P) sepakat untuk memastikan kemenangan di Kajang dan kemudian mencari kata sepakat melantik Anwar sebagai MB. Inilah 'pencak silat' yang berlaku. Seperti diselak sebelum ini, 'Pas tetap Pas' dan 'DAP tetap DAP' - Pas akan setuju, DAP akan patuh sebarang langkah Anwar. Penolakan terhadap Anwar sebagai MB hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud ketegasan seperti yang dinyatakan oleh Zaid. Tidak perlu lagi parti politik menggunakan ayat 'berlapik' kononnya untuk memperlihatkan kesepakatan. Persoalannya adakah Zaid secara bersendirian mampu melaksanakan hasratnya itu yang mungkin juga menjadi harapan anggota, penyokong dan pengundi setia Pas? Bersediakah mereka yang mengundi Pas memilih Zaid bagi membuktikan mereka menolak Anwar? Tanpa parti, adalah sukar bagi Zaid untuk mendapatkan sokongan tetapi sejarah Selangor membuktikan calon Bebas berpeluang menjadi ADUN dan popular dalam kalangan rakyat. Cuma itu situasi dulu. Hari ini lain. Mungkinkah Zaid cuba memenangi sokongan daripada pengundi/penyokong Pas, pengundi BN serta pengundi 'atas pagar'? Begitu juga dengan penyokong Khalid yang mahu menyelamatkan MB itu. Mungkin masih ada saki-baki anggota PKR yang menyokong Zaid. Diselak kembali kisah Zaid, beliau adalah calon PKR bagi PRK Hulu Selangor pada 25 April 2010. Ketika itu, Anwar serta Khalid bertungkus-lumus berkempen untuk Zaid bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang kosong berikutan kematian Dr. Zainal Abidin Ahmad. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana Anwar yang ditemani S.Nallakaruppan menari-nari di salah satu pentas kempen. Zaid akhirnya kecundang kepada calon BN. Kali ini, jika Zaid tidak berubah fikiran pada saat akhir, beliau akan berhadapan dengan jentera bekas dua orang panglima kempennya iaitu Anwar dan Khalid. Mampukah Zaid menghadapi jentera yang lebih besar ini? Memang tidak sukar untuk meramalkan nasib Zaid di Kajang kecuali keputusan luar biasa pengundi. Begitu juga jika BN bertanding. Jika BN tidak bertanding, perebutan akan melibatkan calon PKR bersama dua atau tiga calon Bebas. Mungkinkah calon Bebas lain terdiri daripada bekas anggota DAP dan Pas? Mungkin juga seorang dua yang pernah menjadi rakan Anwar sendiri. Tentunya pertandingan ini menarik apabila berlaku 'peperangan' melibatkan bekas anggota 3P serta rakan Anwar. Persoalannya, adakah BN tidak bersedia menawarkan diri seperti yang dilakukan di PRK DUN Penanti? Setakat ini jentera BN sudah mula kelihatan di Kajang. Kemungkinan tidak bertanding tetap ada. Biarkan PKR dengan sandiwara mereka. Selain pembaziran, banyak faktor yang akan mendorong BN, jika tidak meletakkan calon. MCA yang sudah membentuk Kabinet barunya belum pasti menunjukkan keupayaan untuk turun ke gelanggang. Bukan mudah menghadapi Pas dan DAP. Ketika Pas masih bermain 'tarik tali', DAP sudah tentu tidak ambil kisah siapa MB. Apa yang penting ialah pembangkang menguasai Selangor. Selepas Pulau Pinang, DAP mengharapkan Selangor sebagai pangkalan kedua untuk meneruskan langkah ke Putrajaya. Maka dua hari sebelum pengundian, DAP menyusun makan malam meraikan 'Dari Kajang ke Putrajaya' di Sungai Chua. Makan malam berbayar itu mungkin penutup kempen bagi menyokong Anwar sebagai ADUN Kajang seterusnya sebagai MB baharu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |