{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Suhu panas cairkan salji

Posted:

Suhu panas cairkan salji

Suhu panas cairkan salji

Susunan MOHAMMAD HAFIZ AHMAD
rencana@kosmo.com.my


PERUBAHAN cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur Gunung Everest.


HARAPAN seorang gadis berumur 17 tahun untuk menjadi warga Australia termuda menakluki puncak tertinggi dunia di Gunung Everest, Himalaya terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan berbahaya yang telah meragut 16 nyawa baru-baru ini.

Namun, semangat membara dalam diri Alyssa Azar tidak terus padam, malah terus menyala dan berjanji untuk kembali melunaskan impian pada masa hadapan.

"Terlalu banyak perkara di luar kawalan saya. Isu keselamatan diri dan keadaan pergunungan itu sendiri tidak membenarkan pendaki untuk meneruskan misi," ujarnya menerusi laman sosial, Facebook.

Dia yang telah bersiap siaga menanti giliran mendaki terpaksa menurut aturan alam itu dan mula mengemas barang-barang yang turut diikuti hampir 70 peratus kumpulan ekspedisi dari seluruh negara.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa pada Sabtu lalu, sebanyak 15 kumpulan meninggalkan Kem Induk Everest (EBC) dan selebihnya masih menunggu masa untuk berkemas.

Tahun ini, kerajaan Nepal telah mengeluarkan 334 permit individu untuk 39 kumpulan bagi kebenaran mendaki gunung yang berketinggian 8,850 meter dari paras laut itu.

Detik hitam terburuk dalam sejarah pendakian Everest itu mengorbankan sekumpulan Sherpa yang mengikuti misi ekspedisi pada 18 April lalu. Tiga cedera teruk dan masih dalam rawatan.

Kemalangan itu berlaku akibat runtuhan salji ketika mereka sedang memecahkan ais dan membetulkan tali untuk menuju ke Khumbu Icefall.

Sherpa merupakan suku kaum di pergunungan Himalaya yang tinggal di sempadan Nepal dan Tibet. Kemahiran mendaki gunung membolehkan mereka menjadi pengiring, pemandu arah dan pembawa barang untuk pendaki gunung dari luar negara.

Setakat ini, lebih 200 kes kematian dilaporkan pada ketinggian 8,000 kilometer dan ia tidak termasuk mangsa yang hilang dan tidak ditemui.

Namun begitu, mengikut kenyataan pendaki dan penulis, Alan Arnete, isu keselamatan di pergunungan itu semakin baik menerusi penurunan ratio kematian dari 5.6 peratus pada tahun 1900-an kepada 1.5 peratus pada tahun 2000-an.


AHLI keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi di Gunung Everest menyalakan lampu minyak di dalam kuil di Kathmandu.


Struktur gunung

Mengulas aspek keselamatan dan geografi Gunung Everest, Panel Antarakerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) ada mengeluarkan amaran bulan lalu bahawa perubahan cuaca dunia bakal memberi kesan kepada struktur gunung tersebut.

Menurut kenyataan IPCC, perubahan cuaca yang disebabkan oleh tindakan penduduk dunia telah merombak kondisi cuaca sukar diramal.

Para saintis memberi amaran perubahan itu telah meningkatkan kadar bahaya di kawasan beraltitud tinggi. Ini bermaksud akan berlakunya banyak runtuhan salji yang memberi kesan kepada keadaan batu-batu untuk pendakian dan pencairan glasier.

Suhu global meningkat kepada 1.4 darjah Fahrenheit (tukar Celcius) sejak Revolusi Industri berabad lalu yang menyebabkan suhu di Himalaya memanas tiga kali lebih tinggi.

"Jika suhu berterusan meningkat, perubahan pada glasier akan berlaku yang membawa kepada bencana kepada pendaki," ujar pakar hidrologi dari Universiti Arizona, Jeff Kargel yang melakukan kajian mengenai perubahan glasier di Himalaya.

Sebagai penghormatan kepada rakan-rakan yang terkorban, komuniti Sherpa seramai 600 itu telah melakukan pemboikotan dengan harapan semua misi ekspedisi tahun ini dihentikan.

Kemarahan dan kekecewaan mereka turut dijana daripada tindakan tidak berperikemanusiaan pihak pemerintah Himalaya yang lambat memberikan respons.

Dalam satu pertemuan tergempar antara syarikat ekspedisi, ketua Sherpa dan kerajaan yang berlangsung selama tiga jam telah memutuskan untuk membatalkan semua ekspedisi tahun ini.

Pihak pemerintah juga memberikan pampasan sebanyak RM1,811 kepada keluarga mangsa untuk digunakan untuk acara pengebumian. Selain itu, permit untuk Sherpa dan kumpulan ekspedisi dilanjutkan selama lima tahun.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat diterima oleh ahli keluarga kerana ia tidak setimpal dengan risiko yang dihadapi oleh Sherpa.

Seorang Sherpa tidak hanya menjadi pemandu arah, malah menjadi tukang masak dan menjadi pakar untuk membetulkan tali dan tangga di setiap puncak.

Upah untuk satu musim yang mengambil masa antara dua hingga tiga bulan itu adalah sebanyak RM9,798 hingga RM19,596.

Mereka hanya menerima RM32,659 insurans hayat dan perlindungan perubatan sebanyak RM9,798 yang dikatakan tidak mencukupi untuk menyewa helikopter ke kem induk ketika berlaku kecemasan.


DAWA TASHI masih menerima rawatan di hospital selepas diselamatkan dalam satu tragedi di Gunung Everest pada pertengahan April lalu.


Royalti

Para sherpa sering mempersoalkan royalti yang diterima kerajaan sebanyak RM32,659 untuk satu kumpulan seramai tujuh orang.

Kos keseluruhan bagi seorang pendaki adalah antara RM130,639 hingga RM293,939 bergantung kepada jumlah pemandu arah dan servis tambahan.

Industri pelancongan merupakan salah satu sektor utama ekonomi Nepal. Ia mengumpul RM10.78 juta untuk musim pendakian tahun ini. Namun, negara itu terus berdepan dengan masalah kemiskinan.

Bidang pekerjaan sebagai pemandu arah ke Gunung Everest merupakan dilihat memberi pulangan yang tinggi kepada kebanyakan penduduk di sekitar Himalaya.

Walaupun jumlah upah semakin menurun, mereka masih sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyara kehidupan seisi keluarga.

"Kami datang ke sini adalah disebabkan kerana bayaran. Pembatalan musim pendakian tahun ini pasti memberi kesan yang teruk kepada ekonomi keluarga," ujar sherpa Lam Babu kepada AFP.

Bagi Tenzing Chottar, Sherpa yang pertama kali menyertai ekspedisi Everest, upah tersebut akan disalurkan kepada pendidikan anak ke sekolah swasta.

Dalam perbualannya bersama isteri, Ang Dali Sherpa, dia berpesan supaya Ang Dali menjaga anak-anak mereka sebaik mungkin.

"Dia kata banyak bersabar dengan kelakuan anak perempuan kami yang sangat nakal," ujar ibu kepada dua orang anak itu. Malangnya, Tenzing merupakan antara tiga orang pemandu arah yang cedera teruk.

"Saya mahukan masa depan cerah kepada anak-anak dan tidak sesekali membenarkan mereka menjadi seorang pemandu arah," luah Ang Dali.

Ketika acara pengebumian di Kathmandu, seorang wanita yang suaminya terselamat daripada runtuhan, berkata walaupun berdepan dengan pelbagai risiko, etnik Sherpa tetap tidak akan meninggalkan pekerjaan itu.

"Gunung Everest adalah sumber mata pencarian kami. Tragedi ini sangat menyedihkan tetapi kami tiada pilihan lain," kata Sarkini.

Khumbu IceFall salah satu zon maut

Posted:

Khumbu IceFall salah satu zon maut

Khumbu IceFall salah satu zon maut

AHMAD REDUAN (kiri) bersama Muhammad Muqharabbin berada di puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest setinggi 8,848 meter tepat 8.35 pagi waktu Nepal (10.50 waktu Malaysia) pada 16 Mei 2004.


TRAGEDI terburuk yang menimpa 16 Sherpa April lepas disifatkan sebagai malapetaka terburuk yang pernah berlaku di Gunung Everest. Walaupun kes kematian sering berlaku saban tahun ketika musim pendakian, jumlah mangsa terlibat kali ini merupakan yang terbanyak pernah dicatatkan.

Jumlah tertinggi pernah dicatatkan sebanyak 15 orang mangsa pada tahun 1996 manakala tahun 2006 dicatatkan 12 orang kematian.

Pendaki negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, 32 menyifatkan berita ini adalah berita paling sedih dalam sejarah pendakian ke gunung Everest dan akan menjadi titik hitam dalam sejarah.

"Ramai orang berpendapat bahawa pendakian Everest adalah mudah, tetapi ia tidak semudah yang disangka dan cabarannya sentiasa berbeza mengikut masa," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

Beliau baru sahaja pulang ke tanah air untuk menghantar peserta projek Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Greenland 2014 dalam misi menakluk Pulau Greenland di Denmark.

Menurut Muhamad Muqharabbin, selain perancangan rapi dari segi teknikal dan taktikal, kejayaan seorang pendaki juga terletak pada nasib.

"Ia bergantung kepada keadaan sekeliling yang berlaku pada musim tersebut. Faktor cuaca tidak menentu antara yang perlu diambil perhatian oleh peserta ekspedisi," ujarnya yang pernah menakhluki puncak tertinggi dunia itu ketika mengikuti Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2004 bersama Ahmad Reduan Rozali, 32.

Situasi seperti ribut, salji runtuh, kondisi tubuh yang tidak dapat menerima keadaan ketinggian adalah antara perkara yang tidak dapat dikawal oleh setiap pendaki.

Mengulas mengenai lokasi kejadian di Khumbu Icefall, Muhamad Muqharabbin berkata, ia merupakan salah satu zon maut yang saban tahun meragut nyawa pendaki.

Ketika mengikuti projek KE7B Everest Felda tahun lalu, seorang Dr. Ice Fall yang pakar membuat jalan di Khumbu IceFall dan seorang pendaki berpengalaman dari Rusia turut maut di zon terbabit.

"Ketika itu, kami mengatur strategi dengan bergerak ke Kem Induk Tinggi Pumori dari Kem Induk Everest. Ia dilakukan untuk mengesahkan laluan ke Kem 1 Everest selamat digunakan selepas ramai sherpa dan pendaki melaluinya.

Terdapat lebih daripada 30 anak tangga dan jurang rekahan salji di Khumbu Icefall yang perlu di rentasi oleh setiap pendaki.

"Apapun sebagai seorang Islam, perancangan Allah adalah yang Maha Terbaik," ujarnya optimis.

Sebelum ini, dia berjaya menawan enam puncak tertinggi dunia di enam benua iaitu Gunung Kilimanjaro (benua Afrika); Gunung Vinson Massif (benua Antartika); Gunung Aconcagua (benua Amerika Selatan); Gunung Everest (benua Asia dari Arah Tibet); Gunung Cartzen Pyramid (benua Australasia) dan Gunung Mckinley (benua Amerika Utara).

Misi UTM Everest 2014 ditangguh

Posted:

Misi UTM Everest 2014 ditangguh

Misi UTM Everest 2014 ditangguh


TIGA pendaki UTM melakukan pendakian di Gunung Everest sebelum aktiviti tersebut terpaksa dibatalkan.


KEKECEWAAN hampir 300 pendaki dari seluruh dunia yang tidak dapat melunaskan impian untuk menakluki puncak Everest turut dirasai oleh kumpulan ekspedisi dari Malaysia.

Musim pendakian tahun ini, turut disertai seramai 10 mahasiswa dan kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu di bawah Misi Perdana UTM Everest 2014 (MPUTME 2014).

Namun, peristiwa hitam yang meragut 16 orang Sherpa ketika melalui Khumbu Icefall mengakibatkan semua misi tahun ini terpaksa ditangguhkan. Bagi menghormati mangsa yang terlibat, pasukan MPUTME 2014 turut mengambil keputusan sama.

"Bagaimanapun, kami tetap bersemangat untuk meneruskan misi ini pada tahun depan mengikut tarikh yang akan ditentukan kelak," kongsi Ketua Ekspedisi, Azim Afif Ishak, 24. Mereka berada di sana beberapa minggu lagi bagi mengadakan latihan persediaan pendakian akan datang.

Lima pendaki itu ialah Anis Zulaikha Zabani, 23, Nur Fadzillah Nawawi, 21, Mohammad Syafiq Ab. Rashid, 21, Siti Norizati Azmi, 21, dan Azim Afif manakala bakinya merupakan pasukan sokongan.

Menceritakan peristiwa yang berlaku pada bulan lalu itu, Azim Afif yang dihubungi menerusi e-mel memberitahu, berita kematian tersebut diterima ketika mereka berada di Kem Induk Lobuche dalam persediaan mendaki Puncak Lobuche di ketinggian 6,119 meter dari paras laut.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan dengan jarak antara tiga hingga empat kilometer dari kem UTM di Kem Induk Everest (EBC).

Berlaku situasi tegang antara peserta dan operator kerana terdapat kumpulan yang masih mahu meneruskan ekspedisi berikutan telah melabur jumlah wang yang banyak.

"Tiada rusuhan cuma sekumpulan Sherpa berkumpul bagi mendesak pemberhentian musim mendaki kali ini sebagai menghormati rakan mereka," kata pelajar jurusan Sains Komputer itu lagi.

Kerajaan Nepal memberikan pampasan kepada keluarga mangsa manakala permit pendaki akan dilanjutkan dalam tempoh masa lima tahun seterusnya.

Tambahnya, desakan tersebut tidak berlaku kepada syarikat yang diupah oleh pasukan MPUTME 2014 iaitu Ever Quest Expedition Private Limited kerana jumlah Sherpa mereka seramai 10 orang masih mencukupi.

Ketua Sherpa MPUTME 2014, Jyamchang Bhote merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam selok-belok pendakian Everest dengan rekod pendakian ke puncak tertinggi sebanyak lima kali.

"Tetapi keputusan penangguhan terpaksa diambil atas dasar jumlah Sherpa yang berkurangan secara keseluruhan selain faktor-faktor keselamatan," jelas Azim Afif.


DEPAN (tengah) Azim Afif bersama sembilan peserta lain yang terbabit dalam Misi Perdana UTM Everest 2014.


Implikasi

Penangguhan itu juga memberi implikasi kepada kru NBC News yang bercadang membuat penggambaran bertajuk Everest Flying Man. Ia akan merakamkan detik-detik cemas seorang lelaki membuat penerjunan dari puncak Gunung Everest.

Peralatan penggambaran telah tiba pada 17 April lalu. Selepas menerima arahan penutupan, syarikat produksi dari Amerika Syarikat itu terpaksa membatalkan projek bernilai bilion ringgit tersebut.

Lokasi kejadian di Khumbu Icefall sememangnya diakui sangat berbahaya tetapi ia merupakan satu-satunya laluan yang dipersetujui oleh Sagarmatha Polution Control Community (SPCC) untuk digunakan pendaki.

"Runtuhan di Khumbu Icefalll adalah ketulan ais glasier yang tergantung, bukannya kepulan salji biasa. Disebabkan itu, semua Sherpa dan pendaki dinasihatkan kurang melakukan pergerakan ketika melalui Khumbu Icefall.

"Selain itu, kami juga hanya dibenarkan melaluinya sebanyak dua kali semasa adaptasi ketinggian dan pendakian sebenar ke puncak Everest," jelasnya.

Pada masa sama, dia turut bersetuju dengan peranan yang diberikan oleh Sherpa kerana khidmat mereka amat penting dalam sesuatu misi.

"Khidmat yang diberikan oleh kumpulan Sherpa amat diperlukan bagi membantu kejayaan misi ekspedisi," ujar Azim Afif.

Keberadaan para pendaki MPUTME 2014 di gunung tersebut juga adalah untuk menjalankan beberapa kajian seperti udara dingin yang dikelilingi suasana putih bersalji, penyakit akut ketinggian (AMS) dan penyebab kepada punca penyakit bagi pendaki gunung. - HAFIZ AHMAD

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat