Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Cipta nama wakili negaraSUASANA sekitar pukul 8 pagi di padang A, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelihatan tenang dan sedikit berkabus. Di lokasi yang sama, kelihatan kelibat beberapa atlet lengkap berpakaian sukan sedang melakukan aktiviti regangan secara berkumpulan di tepi padang yang dilengkapi trek balapan berwarna merah itu. Sekali pandang, kesemua atlet dalam kumpulan tersebut kelihatan sempurna anggota tubuh badan mereka kerana berjaya menyudahkan setiap aktiviti regangan tersebut. Namun, siapa sangka, dalam kumpulan tersebut terdapat segelintir atlet elit paralimpik negara yang tergolong dalam Orang Kelainan Upaya (OKU). "Walaupun serba kekurangan, namun kami juga mampu melakukan semua aktiviti yang dilakukan oleh atlet normal lain," ujar Ahmad Rafee Arifin, 30, yang merupakan atlet paralimpik negara bagi acara 400 meter (m), 800m dan 1,500m. Menurut anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan itu, kekurangan yang ada, tidak pernah sesekali menjadi penghalang kepadanya untuk aktif dalam sukan. Rafee tergolong dalam golongan OKU selepas tangan kanannya terpaksa dipotong selepas termasuk ke dalam mesin pemeras tebu milik bapanya ketika berusia 10 tahun. Ceritanya, kejadian tersebut menyebabkan dia berasa sedih dan menganggap dirinya sudah tidak berguna. "Saya merupakan kanak-kanak yang aktif dan periang ketika itu, kejadian tersebut betul-betul merentap kebahagiaan saya. "Masa depan saya seperti sudah gelap kerana anggota badan saya tidak sempurna seperti orang lain," katanya dalam nada sayu. Menurut anak ketiga daripada enam adik-beradik itu, selepas kehilangan sebelah tangannya, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk bergelar atlet apatah lagi seorang atlet paralimpik negara.
Mencuba nasib Ujar Rafee, pada mulanya dia melibatkan diri dalam sukan hanya untuk mengisi masa lapang bersama rakan-rakan. "Saya tidak pernah mengimpikan sehingga ke tahap ini. Saya mula aktif bersukan ketika sedang menuntut di Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan, Bangi, Selangor. "Ketika itu, saya mula aktif bermain badminton bersama rakan. Selepas tamat pengajian saya pulang ke Kelantan dan mencuba nasib dalam pemilihan untuk mewakili kontinjen Kelantan dalam Sukan Paralimpik," katanya. Dalam pemilihan tersebut, dia telah diminta oleh seorang jurulatih untuk berlari. Lariannya itu menambat hati jurulatih tersebut sekali gus kerana melihat potensi beliau dalam acara olahraga jarak jauh. Selepas itu, Rafee telah terpilih mewakili Kelantan dalam Kejohanan Olahraga Zon Timur pada tahun 2005. Setelah berjaya meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan, dia telah terpilih mewakili negara pada tahun 2007 sehingga ke hari ini. Dalam pada itu, dia menasihati golongan OKU di negara ini terutamanya yang meminati bidang sukan supaya tidak menghentikan minat tersebut. "Walaupun kita serba kekurangan, kita juga boleh mencapai kejayaan yang boleh membanggakan keluarga, agama, bangsa dan negara. "Janganlah sesekali menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk kita mencapai kejayaan," katanya yang masih bujang itu. Bersaing Sementara itu, bagi atlet paralimpik negara bagi acara lontar peluru yang mengalami masalah pembelajaran sejak lahir, Ziyad Zokefli, 26, mula aktif bersukan sejak di bangku sekolah. KINI masyarakat sudah mula berminat untuk mengikuti perkembangan atlet-atlet paralimpik negara. Menurut anak kelahiran Gombak, Selangor itu dia merupakan salah seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan ketika mengikuti aliran pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. "Saya sangat aktif bersukan terutamanya dalam acara lontaran seperti merejam lembing dan melontar peluru. "Waktu itu, saya bersaing bersama pelajar-pelajar normal lain kerana menuntut di sekolah harian biasa," katanya yang memperoleh pingat emas acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa di Lyon, Perancis. Menurut anak sulung daripada empat orang beradik itu, kejayaannya kini adalah hasil dorongan ahli keluarganya yang tidak pernah berhenti meniup semangat. Setiap pagi sebaik sahaja bangun daripada tidur, dia sentiasa mengingati kembali pesan yang pernah diberikan oleh keluarganya. "Keluarga selalu berpesan kepada saya, walaupun tidak berjaya dalam bidang akademik tidak bermakna kita tidak boleh berjaya dalam bidang lain. "Kata-kata tersebut menjadi pendorong semangat kepada saya untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya yang sedang dalam persiapan menyertai Sukan Para Asia di Icheon, Korea Selatan pada Oktober ini. Dalam pada itu, Ziyad turut memaklumkan bahawa masyarakat kini sudah mula mengetahui mengenai kewujudan sukan paralimpik. Tambahnya, suatu ketika dahulu sukan paralimpik atau lebih dikenali sebagai sukan orang cacat itu tidak begitu popular dan mendapat perhatian. "Sebelum tahun 2010, tidak ramai yang mengetahui mengenai kejohanan sukan untuk golongan OKU ini. "Namun, selepas penganjuran KL'10 di Kuala Lumpur pada tahun 2010, masyarakat mula berminat untuk mengikuti perkembangan atlet-atlet paralimpik negara," tambahnya lagi. Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran yang dilalui setelah bergelar atlet paralimpik, dia memaklumkan bahawa cabaran sebenarnya datang daripada masyarakat. Menurutnya, masyarakat sering memandang sebelah mata kejayaan atlet-atlet paralimpik negara berbanding atlet normal. "Masyarakat tidak sepatutnya membezakan kejayaan atlet paralimpik dengan atlet lain kerana kami juga melakukan latihan yang sama dengan atlet normal lain. "Masyarakat seharusnya menghargai sumbangan yang telah kami berikan kepada negara sama seperti atlet normal," katanya. Sementara itu, menurut jurulatih lontar peluru atlet paralimpik negara, Mohd. Faizol Harun, jadual latihan yang dijalani oleh atlet-atlet elit paralimpik negara adalah sama dengan atlet normal lain. Tambahnya, segala corak latihan adalah sama kecuali sekiranya atlet tersebut tidak mempunyai keupayaan contohnya seperti berlari, maka pihaknya akan menggantikan dengan latihan lain. "Atlet paralimpik di bawah seliaan saya menjalani latihan yang sama seperti atlet normal. "Namun, jika mereka tidak mampu melakukannya sesuatu bentuk latihan akibat kekurangan yang dialami maka latihan tersebut akan ditukar," katanya yang merupakan bekas atlet lontar peluru negara itu. Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa untuk bergelar atlet paralimpik negara, seseorang itu harus belajar berdikari. Ini kerana, tugas jurulatih bukannya untuk membantu menolak kerusi roda atau memapah mereka bergerak atau sebagainya. "Kami di sini melatih mereka berdikari, mereka harus belajar melakukan semua aktiviti tanpa bantuan jurulatih dan orang lain. "Walaupun kadang-kadang terdetik juga perasaan ingin membantu, namun dek kerana ingin melihat mereka berjaya, saya terpaksa berkeras hati," katanya dengan tegas. | |
Posted: Xiaomi pesaing Samsung, AppleXIAOMI dikatakan mampu mencabar penguasaan Apple dan Samsung dalam segmen telefon pintar. - Gambar hiasan XIAOMI mungkin kurang dikenali di luar China, tetapi ia merupakan pembuat telefon pintar berjenama Asia yang sedang berkembang pesat mencabar dominasi Apple dan Samsung. Bukan itu sahaja, Xiaomi menawarkan spesifikasi tinggi pada harga rendah. Dalam tempoh tiga bulan, Xiaomi berjaya menewaskan Apple dan jenama Asia terkenal yang lain seperti Huawei dan Sony untuk menjadi jenama telefon pintar yang ketiga terbesar dalam pasaran saham China, kata firma penyelidikan pengisian teknologi. Samsung memegang tangga teratas dengan 18 peratus, diikuti oleh jenama tempatan Lenovo, 12 peratus. Teknologi dari Beijing ini mula terjual sebanyak 18.7 juta unit pada 2013, dan menyasarkan jualan sebanyak 60 juta bagi tahun ini dan 100 juta pada 2015. Menawarkan telefon berteknologi tinggi tetapi berkos rendah, Xiaomi berhasrat untuk memasuki pasaran bajet anak muda Asia yang sentiasa mahukan teknologi telefon pintar yang terkini. Firma penyelidikan teknologi, Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) berkata dalam satu laporan pada bulan Februari, telefon pintar murah merupakan pemacu utama kepada perkembangan jualan pasaran kos rendah di luar China. Telefon bajet Kajian menunjukkan, telefon bimbit yang dijual dengan harga kurang dari AS$100 (RM323) merupakan penyumbang kepada hampir separuh daripada jualan telefon dunia, dengan dua per tiga daripadanya berharga kurang dari AS$50 (RM161). INILAH rupa bentuk telefon pintar Xiaomi dari China. "Pasaran Asia telah menggalakkan golongan muda untuk memiliki teknologi telefon pintar terkini tetapi terdapat kekangan belanjawan yang terhad," kata Mykola Golovko, Penganalisis Kanan Pengguna Elektronik di firma penyelidikan Antarabangsa Euromonitor. Data Euromonitor pada 2013 menunjukkan pemacu pasaran yang terdiri daripada individu berusia 15 hingga 34 tahun merupakan di antara 25 peratus dan 40 peratus daripada populasi di negara-negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan China. Tidak seperti pesaing gergasi yang lain, Xiaomi mempunyai pengiklanan yang minimum dan tidak memiliki cawangan runcit yang membantu mengekalkan harga rendah. Jenama tersebut berjaya menarik kelompok pengikutnya sendiri menerusi laman sosial, termasuk Weibo di China. Kebanyakan pengguna digelar 'Peminat Mi' oleh Xiaomi kerana membeli telefon mereka secara langsung menerusi laman web semasa jualan murah. Xiaomi, yang bermaksud bijirin dalam bahasa Mandarin mencari peluang yang lebih luas dengan melamar Hugo Barra, yang pernah berkhidmat dengan Google untuk menerajui pertumbuhan antarabangsanya. Ia telah menunjukkan sedikit perkembangan di Singapura pada bulan Februari apabila mula diterajui secara meluas di bawah pengawasan Barra. Telefon Xiaomi menawarkan pemproses dan reka bentuk yang menarik yang mampu bersaing dengan jenama terkenal Samsung dan menggunakan perisian terbaharu Google untuk Android, yang dijual dengan hanya sebahagian daripada harga sebuah Samsung Galaxy S5 dan iPhone 5s.
Xiaomi tidak bersendirian dan pakar-pakar dalam industri berkata Asia terbuka kepada lebih banyak pengeluar seumpama itu. Cherry Mobile di Filipina, Micromax di India dan Q-Smart di Vietnam berjaya membuat pencabar utama dunia gentar dengan ciri-ciri menarik dan telefon pintar berskrin besar yang dijual serendah AS$30 (RM97) tanpa sebarang subsidi daripada syarikat telekomunikasi. Pesaing Antara lain termasuk Smartfren dan Cyrus di Indonesia, Ninetology di Malaysia, QMobile di Pakistan dan I-Mobile di Thailand. Satu laporan oleh IDC berkata, pengeluar tempatan memegang 39 peratus daripada jumlah pasaran saham di Asia Pasifik tidak termasuk Jepun. Prestasi Xiaomi mungkin baik, tetapi dominasi Samsung di peringkat antarabangsa tetap tidak boleh diragui. Menurut IDC lagi, Samsung telah menjual 313.9 juta telefon pintar pada 2013, berbanding 153.4 juta oleh Apple. Nicole Peng, seorang penganalisis industri mudah alih di firma penyelidikan pasaran Canalys berkata, ramai pengguna telefon pintar jenama seperti Xiaomi di Asia ingin menjadi antara yang terawal memiliki telefon bimbit berkos rendah seperti Xiaomi dan ini menjadi faktor produk itu mampu bersaing dengan jenama terkenal. "Pasaran seumpama ini adalah untuk mereka yang gemarkan teknologi. Mereka hanya mahu merasakan pengalaman menggunakan alat terbaharu yang tidak begitu mahal atau berjenama," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |