Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 04 May 2014 06:31 AM PDT Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY BUAT waktu ini pastinya ramai yang berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh penyanyi ini. Namanya bukan sahaja semerbak di tanah kelahirannya, Malaysia tetapi juga di China. Bahkah Shila Amzah sudah mencipta fenomena dan mempunyai kelompok peminat fanatiknya yang besar di sana. Umpama sudah punya jenamanya sendiri, Shila bijak memanfaatkan peluang keemasan yang datang. Pertama, sewaktu dia menyertai program realiti Asian Wave 2012 dia membuktikan kehabatannya dan muncul juara. Kedua, sewaktu Shila menyertai pertandingan realiti I Am Singer , program realiti nombor satu di China. Timbul satu kekaguman kerana bukan mudah untuk berjaya seperti yang diraih Shila Amzah sekarang kerana pencapaian yang ditunjukkan adalah luar biasa. Jumlah peminatnya semakin besar dan beban kerja dipikulnya yang semakin banyak. Mungkin ada yang menganggap apabila sudah popular, Shila sudah boleh selesa kerana pada satu tahap dia tidak perlu lagi memikirkan untuk berusaha lantaran sudah pun berada di tangga teratas. Meski dari satu sudut, hal itu dianggap positif dan menguntungkan, tetapi bagi empunya diri, populariti dan kejayaan mendadak mendatangkan kerisauan terutama ketika berdepan dengan perkara-perkara di luar jangkaan. Contoh terdekat dan paling klise tentu sekali pelbagai spekulasi dan kontroversi ciptaan pihak tertentu. "Sebenarnya bukan senang nak mengendalikan populariti. Bunyinya macam sesuatu yang menyeronokkan sebab ramai orang kenal. "Tapi bagi saya itu adalah satu tangungjawab yang berat. Apa pun yang saya buat sekarang - setiap langkah, setiap perbuatan - semuanya sudah tidak lagi privasi. Malah semakin tidak privasi berbanding sebelum ini. "Namun saya tak kata yang saya tak suka keadaan sekarang. Cuma nak perbetulkan tanggapan orang yang mungkin mengandaikan yang saya sudah berangan diva, sombong dan berubah," katanya. Masih Shila yang sama Mengaku bahawa ada segelintir pihak yang cuba melabel dia sudah berubah kata Shila, dia hairan bagaimana hal itu boleh dibangkitkan sedangkan tiada yang berubah meski 'darjatnya' kini di puncak. Tahu bahawa berbanding dahulu, dunia kerjayanya kini lebih besar dan luas, tetapi itu bukan faktor untuk merubah jati dirinya yang masih berpijak di bumi yang nyata. "Yang berubah cuma apabila saya berada di pentas. Shila di pentas dengan Shila pada hari-hari biasa berbeza. Di pentas, ya saya kena jaga kredibiliti sebagai penyanyi. Harus lebih elegan dan karisma. Tapi kalau saya tidak menyanyi, saya biasa sahaja. Saya jadi diri saya sendiri. "Rasanya yang banyak berubah adalah masa. Saya tak cukup masa untuk diri sendiri. Sibuk sangat. Terkejar-kejar dibuatnya. Itu sajalah. Yang lain tak ada. Saya masih Shila yang dulu," jelasnya lagi. Bagaimanapun kata Shila, dia melihat fenomena peminat fanatik di China sebagai satu perubahan yang menarik dan baru buat dirinya. Menganggap mereka adalah peminat paling ekspresif dan sporting menyokong kerjayanya sebagai penyanyi, Shila tidak menyangka sejauh itu dirinya diterima dan disayangi. "Jangan tak tahu peminat di sana, kalau dah suka dengan seseorang artis, mereka akan sokong berhabis-habisan. Segala mengenai diri saya mereka nak tahu, mereka nak gali sampai ke lubang cacing. Kadang-kadang saya rasa yang mereka buat itu sangat kelakar. "Contohnya di laman sosial Instagram. Bayangkan hari-hari saya dipesan supaya memuat naik gambar untuk mereka tatap. Kalau tak masukkan, mereka akan tanya. Kalau gambar yang dimuat naik itu muka tak senyum, mereka bertanya kenapa dan mudah berasa bimbang dengan keadaan itu. "Jadi sekarang ini saya memang tak boleh muat baik gambar yang boleh menimbulkan pertanyaan pelik mereka. Kena letak gambar yang gembira dan senyum sahaja. Kalau tak, habislah saya akan disoal siasat," katanya ketawa. Berkongsi cerita lagi kata Shila, dia juga berasa lucu apabila peminat di sana turut membuat gelaran comel untuk dirinya. Selain Shila, dia juga dipanggil Baby Rabbit atau arnab kerana memiliki gigi depan yang kelihatan seperti haiwan comel itu. "Saya okey saja bahkan rasa lucu . Dek kerana panggilan itu kebelakangan ini, saya kerap menerima hadiah berbentuk arnab, pelbagai bentuk termasuk patung. Hadiah yang saya dapat banyak sangat sampai tak terkira. "Paling kelakar ada juga yang berikan patung berbentuk lobak merah. Tak cukup dengan itu, pernah juga saya diberikan hadiah sekotak sayur tersebut. Iyalah, arnab kan makan lobak merah," katanya. Hello pembenci! Pun begitu di sebalik keseronokannya bergelumang dengan perkara-perkara positif, sebagai seorang selebriti, Shila tentu sekali berdepan dengan pihak yang tidak suka dan akan mencari salah tidak kira kecil atau besar. Contohnya menerusi tragedi MH370. Shila dikatakan telah dikecam teruk oleh segelintir peminat di sana sedangkan hakikatnya kata Shila, mereka melayan dia dengan baik tanpa prejudis. Selain itu isu dia berpakaian seksi pada satu persembahan di sana, Shila yang menganggap isu itu telah selesai dan tidak patut timbul tetap dibahaskan oleh golongan pembencinya. "Ini bukan perkara baru untuk saya. Sebelum ini pun sudah cukup banyak saya berdepan dengan kontroversi. Rasanya apabila berdepan dengan kelompok pembenci, saya sudah semakin matang mengendalikannya. "Saya percaya orang seperti ini tidak akan duduk diam dan akan sentiasa mencari kesalahan, mengecam dan mengkritik. Hairan juga mereka ada masa untuk mencipta isu negatif mengenai saya. "Namun saya berterima kasih juga kerana golongan ini menjadikan saya seorang yang lebih berani untuk bersuara. Ada yang kata saya sudah pandai sarkastik. Saya tak kisah sebab saya mahu menyuarakan apa yang saya rasa benar di pihak saya. "Saya sentiasa percaya kalau nak orang hormat, kita terlebih dahulu kena menghormati orang lain. Saya akui kadangkala terpaksa menjadi sarkastik untuk mengajar orang yang suka bercakap buruk mengenai diri saya atau membuat spekulasi. "Saya boleh bersabar namun saya sedar, saya manusia biasa dan kadangkala tak sempurna. Dalam bab ini, saya puji sikap peminat saya di China. "Bukanlah bermaksud saya tak suka peminat di negara sendiri atau cuba merendah-rendahkan peminat di sini. Tetapi peminat di sana lebih rasional kalau berdepan dengan sesuatu isu berkaitan saya. Mereka tak terus menghukum. "Mungkin kerana orang kita lebih beremosi dan cepat melatah maka kadang-kadang cerita yang tak betul pun kita lekas terasa. Saya sudah berusia 24 tahun, saya percaya saya punya hak untuk menyuarakan apa yang saya tak suka atau suka secara terbuka terutama apabila ada isu yang tidak benar mengenai diri saya. "Tapi rasanya, sarkastik saya masih beralas lagi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |