Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Pemilihan PKR dilanda pelbagai masalah Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT Badrul Hisham Shaharin KUALA LUMPUR 1 Mei - Insiden bekalan elektrik terputus, manipulasi undi dan masalah teknikal mencemari pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermula Sabtu lalu. Keputusan pemilihan PKR Cabang Batang Sadong, Sarawak terpaksa dibatalkan berikutan timbul dakwaan berlaku kegiatan memanipulasi undi semasa bekalan elektrik terputus di tempat mengundi. Dakwaan itu ditimbulkan oleh seorang pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin dan lebih menghairankan, insiden serupa dilaporkan pernah berlaku di cabang sama pada pemilihan PKR empat tahun lalu. Badrul Hisham turut mendakwa kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terbabit dalam kegiatan memanipulasi undi itu. Kekecohan turut dilaporkan berlaku pada pemilihan PKR Cabang Kemaman, Terengganu yang menyaksikan pertembungan sengit antara penyandang ketua cabang berkenaan, Rafizi Ramli dan pencabarnya, Mohd. Ramlee Hamzah. Sementara itu, pemilihan PKR Cabang Bukit Katil, Melaka terpaksa ditangguhkan kerana jumlah calon yang bertanding tidak mencukupi. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mengesahkan, masalah teknikal memaksa pemilihan di tujuh cabang PKR termasuk Kemaman dan Bukit Katil ditangguhkan ke 10 Mei ini. Lima lagi cabang PKR yang akan mengadakan pemilihan semula pada 10 Mei adalah Setiu, Kuala Nerus dan Dungun di Terengganu serta Paya Besar dan Jerantut di Pahang. Pemilihan pada 26 dan 27 April lalu melibatkan enam negeri iaitu Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka. Setakat Ahad lalu, Azmin beroleh 5,111 undi mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (2,322 undi) dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2,228 undi) dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti. |
Rakyat bosan cara politik pembangkang Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT DARI KIRI:Sam Ku Kasih, Yusof Abdullah KUALA LUMPUR 1 Mei - Rakyat sudah letih dengan cara berpolitik pembangkang yang kerap menganjurkan perhimpunan sehingga menyusahkan kehidupan mereka. Tinjauan Utusan Malaysia selepas himpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka mendapati ada kalangan warga kota tidak senang dengan penganjuran perhimpunan seumpama itu dan meminta ia dihentikan. Mereka turut bersimpati terhadap nasib kanak-kanak yang diheret bersama oleh ibu bapa masing-masing ke kawasan perhimpunan sekali gus membahayakan keselamatan golongan tersebut. Apa yang menyedihkan, jelas mereka, terdapat bayi yang terkena asap selepas beberapa suar dinyalakan oleh peserta perhimpunan berkenaan. Seorang pesara yang mahu dikenali Abdul Ghaffar memberitahu, rakyat sudah bosan dengan perhimpunan saban tahun yang tidak mendatangkan sebarang manfaat signifikan kepada pembangunan negara. Katanya, budaya mengheret rakyat ke jalanan yang diamalkan oleh pembangkang sudah ketinggalan atau overrated dan politik semikian sudah lama berlalu. "Kita ada Parlimen. Usulkan di Parlimen. Apa guna ahli Parlimen pembangkang dilantik kalau akhirnya rakyat diheret ke perhimpunan-perhimpunan?" soalnya ketika ditemui di sini hari ini. Dalam pada itu, pekerja swasta, Kamal Fareez Mustazar, 27, membantah cara peserta membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut yang dilihat amat memalukan. Dia turut menempelak pihak penganjur kerana gagal menasihatkan peserta untuk tidak berbuat demikian. "Suasana ini menyedihkan apabila kita lihat ada bayi yang terdedah dengan risiko keselamatan. Ada juga yang menyalakan suar," katanya. Seorang penjawat awam, Khairi Akmal Mohd. Nor, 28, berkata, sudah tiba masanya semua pihak mencari kaedah bantahan baharu tanpa melibatkan rakyat diheret ke jalanan. "Mungkin kita perlu memikirkan kaedah seperti mengumpul petisyen untuk menyampaikan bantahan bukan berkumpul seperti hari ini," katanya. Sementara itu, golongan pemandu teksi di ibu negara menyelar penganjuran perhimpunan membantah GST kerana menyebabkan pendapatan mereka terjejas. Sam Ku Kasih, 40, berkata, perhimpunan tanpa permit itu menyebabkan orang ramai tidak keluar walaupun hari ini merupakan cuti umum dan keadaan lalu lintas di sekitar ibu negara turut sesak ekoran tindakan peserta perhimpunan yang berarak di atas jalan raya tanpa mematuhi arahan pihak berkuasa. "Walaupun hari ini cuti umum, orang ramai tidak keluar kerana mereka tahu hari ini ada perhimpunan. Jalan sesak sebab ada perhimpunan tetapi mereka bukan naik teksi jadi tiada hasil tambahan untuk saya," katanya. Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tun Perak sekitar Pudu Sentral dan Dataran Menara Maybank mendapati kesesakan mula berlaku kira-kira pukul 2 petang ekoran tindakan peserta perhimpunan yang berkumpul sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Seorang lagi pemandu teksi, Yusof Abdullah, 53, menyifatkan peserta perhimpunan sebagai rakyat Malaysia yang tidak mencintai keamanan. "Saya tidak faham kenapa perlu ke jalan raya sedangkan perkara macam inilah yang boleh menimbulkan huru-hara. Malaysia sudah aman, apa lagi yang mereka mahu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |