Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Akar gejala militan dalam Islam Posted: 03 May 2014 11:25 AM PDT Oleh DR. YUSRI MOHAMAD Perang saudara di Syria menarik minat segelintir rakyat Malaysia untuk berjuang bersama kumpulan pemberontak atas nama jihad. - Gambar hiasan Baru-baru ini kita digemparkan dengan penangkapan sejumlah individu yang dikaitkan dengan sebuah gerakan militan baru di negara ini. Pada masa yang sama timbul berita tentang beberapa rakyat Malaysia yang telah bermusafir ke Syria untuk menyertai perjuangan bersenjata menentang kerajaan Bashar Al-Assad. Dalam keadaan Malaysia giat mempromosi pendekatan wasatiyyah dalam menghayati Islam, wajar kita mengkaji kenapakah masih ada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan pendekatan militan. Kemunculan gerakan militan bermotifkan agama ini adalah suatu fenomena yang membimbangkan kerana kelompok ini boleh sampai ke tahap berani mati serta sanggup membunuh. Pertumpahan darah yang berlaku secara batil lazimnya akan mengundang tindak balas yang berdarah juga hingga boleh membawa kepada suasana kacau-bilau yang parah dalam sesebuah negara. Jika kegiatan militan ini meluas ke negara lain, ia akan menimbulkan permusuhan antara negara. Tidak kurang parahnya, kegiatan militan atas nama Islam ini akan turut mencemarkan imej Islam yang boleh menjejaskan syiar Islam dan dakwahnya. Oleh itu memang wajarlah tindakan berkesan diambil untuk mencegah kegiatan ini. Tindakan pencegahan juga perlu ditumpukan terhadap sebab-sebab di sebalik kemunculan aliran militan ini dalam kalangan umat Islam. Jika akar umbi dan sebab-sebab kemunculan kelompok ini difahami maka kita akan mampu menanganinya secara lebih awal dan berkesan. Aliran militan dalam Islam ini sebenarnya adalah satu jelmaan daripada sikap melampau atau ekstrem dalam beragama. Sikap melampau ini berpunca daripada semangat beragama yang tinggi dalam diri seseorang tetapi tidak disertai oleh kefahaman agama yang mencukupi. Akibatnya perilaku dan tindak-tanduk dipandu oleh semangat dan emosi dan bukannya neraca dan acuan agama yang sebenar. Sedangkan Islam ialah agama yang berasaskan ilmu dan datang dengan satu syariat yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Dalam apa keadaan sekalipun, seorang Muslim yang baik harus bertindak menurut panduan agama dan bukannya perasaan atau semangat melulu. Kecenderungan untuk melampau dalam beragama bukanlah perkara baru dalam sejarah Islam. Para sahabat yang dididik langsung oleh Rasulullah SAW pun ada ketikanya terbawa-bawa oleh semangat sehingga terpaksa diperbetulkan semula sikap mereka oleh Rasulullah SAW. Bercanggah Misalnya dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah menjadi begitu murka dengan Usamah bin Zaid RA atas perbuatannya yang tetap membunuh seorang tentera musuh walaupun tentera tersebut telah mengucap dua kalimah syahadah. Usamah menganggap tentera tersebut hanya berpura-pura untuk menyelamatkan nyawanya. Sikap ini bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW yang melarang seseorang yang telah mengucap daripada dibunuh. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah murka dengan keterlanjuran panglima Baginda SAW, Khalid Al-Walid yang turut berlaku dalam situasi perang. Dalam hadis-hadis tersebut, jelas oleh kerana terbawa-bawa dengan semangat dan perasaan maka sahabat-sahabat tersebut telah mengambil sikap yang bercanggah dengan ajaran Nabi SAW. Niat dan tujuan mereka murni tetapi selagi terpesong daripada suluhan sunnah atau syariat ia tetap tertolak dan membawa kesan yang tidak baik sebenarnya. Niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi sahaja tidak memadai dalam Islam. Tindakan dan perbuatan zahir juga harus selari dengan syariat barulah ia akan dihitung sebagai amalan yang sahih dan soleh dalam neraca agama. Jikalau para Sahabat Nabi RA yang hidup bersama dan mendapat bimbingan Baginda SAW sendiri boleh tersalah kerana terlalu bersemangat maka sudah pasti kita yang hidup di zaman ini mungkin lebih terdedah kepada kesilapan yang sama atau lebih parah lagi. Kemunculan aliran dan kumpulan militan dalam kalangan umat Islam hari ini berpunca daripada asas yang sama iaitu dorongan semangat atau emosi yang tinggi tetapi tidak terpandu oleh kefahaman agama yang benar. Tidak dinafikan bahawa hari ini banyak situasi yang menyaksikan umat Islam menjadi mangsa kezaliman dan penindasan yang membakar semangat dan perasaan umat Islam. Memang semangat jihad umat Islam mudah menyala mengenangkan hal ini. Tetapi jihad bersenjata dalam Islam ada fiqh dan garis panduannya yang tersendiri. Pengabaian atau kekeliruan dalam memahami fiqh jihad bersenjata dalam Islam adalah akar kepada tumbuhnya gejala militan dalam masyarakat Islam. Darah dan nyawa manusia sangat suci dan terlarang dalam Islam. Oleh itu Islam telah menggariskan panduan yang ketat dalam hal tersebut. Darah hanya boleh ditumpahkan dalam situasi tertentu yang dikawal ketat oleh syarat-syarat syarak. Misalnya dalam pelaksanaan hukum jenayah Islam seperti Qisas dan Hudud. Perjuangan bersenjata dalam Islam pula hanya boleh digerakkan apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Antara syarat utamanya adalah hanya boleh dilancarkan sesudah mendapat arahan daripada pemimpin rasmi dalam sesebuah pemerintahan Islam. Mana-mana pemimpin selain daripada pimpinan rasmi dalam sesebuah negara Islam tidak berhak dan berkuasa untuk mengisytiharkan jihad bersenjata. Arahan jihad yang sah dalam realiti hari ini tidaklah mudah terhasil melainkan dalam situasi negara umat Islam diserang oleh negara bukan Islam. Adapun dalam suasana pertembungan sesama Islam seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, adalah tidak sesuai hukum jihad perang digunakan dengan bebas dan longgar. Hanya dalam keadaan semua syarat-syarat hukum syarak dalam bab jihad itu terpenuhi barulah seseorang yang terkorban boleh dikatakan telah gugur sebagai syahid. Dalam peperangan jihad yang sah sekalipun, Islam tetap membataskan tingkah laku dalam peperangan termasuk melarang pembunuhan mereka daripada pihak musuh yang tidak menyertai perang. Pendek kata, banyak ruang untuk timbul salah faham dalam bab ini sehinggakan para ulama sendiri boleh terkhilaf dalam menentukan hukum dalam realiti dunia hari ini yang penuh fitnah. Seorang ulama muda kelahiran Malaysia yang bertugas di Universiti Oxford, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, telah terpanggil menulis sebuah fatwa yang sangat bernilai menjelaskan beberapa persoalan sekitar isu ini bertajuk "Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians." Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, tetapi sebahagian kandungan fatwa ini jelas berbeza dengan pandangan beberapa tokoh ulama dunia Arab yang menjadi ikon kebangkitan di Asia Barat. Adalah disyorkan agar fatwa beliau yang mudah dicapai di Internet ini diteliti demi mencapai kefahaman yang lebih murni dalam hukum-hakam jihad bersenjata dalam Islam. Semoga kefahaman umat Islam dalam bab ini dapat dimurnikan agar tidak terlibat dalam kegiatan militan yang tidak menepati ajaran Islam. * PENULIS ialah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). |
Posted: 03 May 2014 11:25 AM PDT POLEMIK mengenai hudud kembali hangat diperkatakan selepas kerajaan Pas Kelantan mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat. Pembentangan itu dijangka seawal-awalnya Jun ini atau selewat-lewatnya Disember 2014 bagi melaksanakan hukum Islam itu di Kelantan pada tahun hadapan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan bahawa kerajaan dan UMNO tidak menolak hudud dan menyokong niat baik Pas untuk melaksanakannya dengan membentang usul tersebut di Dewan Rakyat serta sedia mendengar penjelasan daripada Pas berhubung perkara tersebut. Namun, ketika kebanyakan umat Islam menyokong hasrat Pas itu, kalangan bukan Islam termasuk daripada parti-parti mewakili bukan Islam seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan Gerakan pula menentang pelaksanaan hukum hudud dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan dan bakal menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, PROF. DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL bagi mengupas isu tersebut dengan lebih mendalam. Menurut beliau, walaupun hukuman hudud nampak dahsyat, hanya ada satu kes hukuman kesalahan zina di zaman Rasulullah SAW dan itu pun hanya kerana pelaku datang mengaku, namun dari segi pembuktian tidak ada satu kes pun. Begitu juga, tidak ditemukan satu pun hukuman potong tangan dijatuhkan kepada pencuri di zaman baginda. Ini kerana beban pembuktian amat ketat. MINGGUAN: Boleh Prof. terangkan apakah pengertian hudud? MOHAMED AZAM: Hudud ini adalah satu cabang daripada undang-undang jenayah Islam yang kita panggil jenayah syariah. Jadi, dalam undang-undang jenayah syariah, kita ada hudud, qisas dan takzir. Dalam qisas ada diyat iaitu pampasan hasil daripada pembunuhan atau kecederaan anggota badan. Apabila kita sebut hudud, sebenarnya ia hanya satu bahagian daripada undang-undang jenayah Islam, dan undang-undang jenayah Islam ini pula satu daripada undang-undang Islam. Orang selalu sebut undang-undang hudud tetapi mereka lupa tentang qisas dan takzir sedangkan hudud itu sebenarnya satu komponen daripada undang-undang jenayah syariah. Dalam kesalahan di bawah hukum hudud seperti disebut oleh majoriti fuqaha, ia meliputi enam kesalahan yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah iaitu mencuri (sariqah), merompak (hirabah), persetubuhan haram (zina), menuduh orang baik melakukan persetubuhan haram tanpa mengemukakan empat saksi (qazaf), minum arak (syurub) dan murtad (irtidad). Namun, yang menjadi kesepakatan ulama, al-Quran hanya menyebut empat kesalahan sahaja iaitu mencuri, merompak, zina dan qazaf. Selebihnya itu datang daripada sunnah. Ada sesetengah ulama mengatakan bughah (pemberontakan) termasuk sebagai salah satu kesalahan dalam hudud. Apa sebenarnya yang perlu diperjelaskan melalui perundangan Islam dan apakah ia menjadi keutamaan? MOHAMED AZAM: Sebenarnya dalam aspek undang-undang Islam, kita perlu melihat apa Rasulullah SAW lakukan selama lebih kurang 23 tahun selepas diangkat menjadi Rasul. Baginda telah menekankan tentang pendidikan akhlak serta iman selama lebih kurang 13 tahun di Mekah. Pada masa itu, tidak diturunkan ayat-ayat al-Quran untuk syariat pelaksanaan hukum dalam aspek ibadah, muamalat, jinayat dan sebagainya. Ia hanya berlaku selepas diterapkan pendidikan iman itu yang kuat. Selepas Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah dan tertubuhnya negara Islam, baharulah secara perlahan-lahan hukum itu dilaksanakan dalam aspek ibadah, hubungan antarabangsa, jinayat dan sebagainya. Jadi, dari sudut keutamaan, apakah undang-undang paling penting dilaksanakan? Ibadat itu satu-satunya bahagian yang menjadi kepentingan sebab ia membina diri seperti dalam bab solat dan kehendak-kehendak lain dalam Rukun Islam itu. Selepas suasana manusia sudah mempunyai keimanan yang kuat, baharulah adanya tatacara hukuman dalam aspek sosial. Kalau berlaku satu jenayah, maka diambil tindakan tetapi harus diingat bahawa dalam undang-undang Islam, hukuman berbentuk fizikal adalah jalan terakhir. Contohnya, orang kata apabila laksanakan hudud, habis tangan tidak ada. Ini persepsi yang salah. Kita perlu melihat dalam undang-undang hudud, aspek keterangan atau kesaksian dan tatacara jenayah itu begitu ketat. Kalau keadaan tidak mengizinkan seperti negara berada dalam keadaan miskin dan berlaku kecurian, apakah perlu dilaksanakan hudud pada masa itu? Jawapannya, itu bukan menjadi keutamaan. Kalau negara itu berada dalam kegawatan dan berlaku kecurian kerana orang tidak ada pekerjaan, kalau kita jatuhkan juga hukuman hudud, itu zalim dan tidak menepati keadilan dalam Islam. Seorang mujtahid pada masa ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi berkata, sesuatu hukum itu berubah dari sudut tempat, masa dan keadaan. Apa yang berlaku di negara-negara Islam di Asia Barat seperti Arab Saudi tidak sama dengan apa yang berlaku di Nusantara kerana budaya di sini berbeza. Bercakap tentang Brunei Darussalam, kehendak bagi melaksanakan undang-undang Islam; hudud, qisas dan takzir telah diusahakan lebih 20 tahun lalu apabila Sultan Brunei memanggil anak jati negara itu yang bekerja di Malaysia, almarhum Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman balik ke Brunei untuk mengetuai satu jawatankuasa melihat bagaimana untuk melaksanakan undang-undang Islam ini di Brunei. Kita perlu faham bahawa Brunei mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak iaitu sultan adalah undang-undang tertinggi, manakala negara kita sistem Raja Berpelembagaan yang mana kuasa eksekutif terletak kepada Perdana Menteri dan adanya Parlimen. Jadi, senarionya berbeza. Dalam isu pelaksanaan hudud di negara ini, pada pandangan Prof. perlukah dilaksanakan atau lebih baik menegakkan keadilan sosial daripada hudud itu sendiri? MOHAMED AZAM: Saya ingin menjelaskan, kita perlu melihat kepada dakwah dan pendidikan terlebih dahulu. Bagi saya, kita belum cukup bersedia. Kita perlu mencontohi bagaimana Brunei membuat persediaan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Kita setuju hudud dilaksanakan tetapi kita perlu buat persediaan yang cukup rapi terlebih dahulu. Kalau kerajaan Kelantan sudah buat semua persiapan dan cuma perlu kelulusan oleh Parlimen, silalah dan tidak ada masalah. Cuma, mungkin akan timbul masalah teknikal dalam aspek bukan Islam dan Islam serta pertindihan dengan undang-undang sivil. Jadi bagaimana hendak selesaikan? Saya setuju dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu memanggil cendekiawan dan ilmuwan yang mahir dalam undang-undang sivil dan syariah untuk melihat perspektif ini sama ada kita boleh laksanakan dalam masa terdekat. Kita juga setuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kita setuju hudud dilaksanakan tetapi dalam keadaan yang mengizinkan. Kestabilan dalam negara adalah lebih penting dalam kita hendak melaksanakan hudud. Kita akui hudud boleh menyelesaikan banyak masalah tetapi kita perlu kepada satu pendidikan yang agak agresif bermula dari zaman kecil dan persekitaran yang baik. Namun, kita tidak boleh menafikan kehendak kerajaan Kelantan kerana 90 atau 95 peratus rakyat negeri itu ialah Islam. Adakah adil sekiranya hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam? MOHAMED AZAM: Kalau hendak laksanakan hudud, ia tidak boleh dilaksanakan kepada umat Islam sahaja tetapi mesti dilaksanakan kepada bukan Islam juga. Seperti dicadangkan di Brunei, ia dilaksanakan kepada semua tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Ia tidak boleh dilaksanakan asing-asing sebab ia tidak akan memberikan keadilan. Sebagai contoh, kalau orang Islam mencuri dan kemudian cukup pembuktian di mahkamah, dia dihukum potong tangan. Orang kafir pula, dia juga mencuri tetapi tidak dikenakan hukum hudud tetapi hanya dipenjara. Kita ambil contoh zina pula. Datang satu pasangan, seorang Islam yang sudah berkahwin dan seorang lagi bukan Islam. Katakanlah cukup pembuktian, orang Islam yang sudah berkahwin dan pernah menikmati persetubuhan akan dihukum rejam tetapi bukan Islam pula akan terlepas. Macam yang berlaku di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri sekarang, kalau kesalahan zina melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam, orang Islam didakwa di mahkamah syariah tetapi yang bukan Islam tidak ada masalah sebab di mahkamah sivil, mereka yang berumur 16 tahun ke bawah tidak dikenakan hukuman kalau buat persetubuhan dengan kerelaan. Ini tidak adil. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya hudud hendak dilaksanakan di Kelantan? MOHAMED AZAM: Pada masa sekarang dengan kekangan undang-undang sedia ada, Kelantan tidak boleh laksanakan hudud sebab bidang kuasa ini bukan di bawah bidang kuasa negeri tetapi Pusat, ia terletak di bawah mahkamah sivil, di bawah undang-undang Persekutuan. Apa yang ada di mahkamah syariah sekarang kecil sahaja seperti khalwat, minum arak dan tidak solat Jumaat. Maksimum penalti pun penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan cara Islam. Berdasarkan pembacaan saya, bagi melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan, kerajaan negeri mahu tubuhkan satu mahkamah khas dan mahkamah rayuan khas. Jadi, mahkamah khas ini di bawah bidang kuasa siapa? Kalau di bawah negeri, ia perlu satu peruntukan khas yang perlu diberi oleh Parlimen. Kalau hendak guna mahkamah syariah biasa, memang tidak boleh kerana perlu buat pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) iaitu bagi menaikkan bidang kuasa 356 kepada yang ada qisas dan hudud. Takzir tidak perlu sebab sudah dilaksanakan hari ini. Apa yang ada dalam Kanun Keseksaan dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri ialah takzir manakala sebahagian hukuman qisas sudah ada dalam Kanun Keseksaan. Kenapa dalam soal hudud ini, orang bukan Islam paling lantang menentang termasuk melabelkan undang-undang ini sebagai kuno. Adakah ini berlaku kerana kurang faham atau mahu memburuk-burukkan Islam? MOHAMED AZAM: Hudud, qisas, takzir yang disebut-sebut oleh orang sebagai hudud ini, adakah orang Islam sendiri faham? Kalau orang Islam pun tidak faham, orang bukan Islam lagi tidak faham. Jadi, perlu kepada pendidikan tentang undang-undang jenayah Islam. Kita perlu mulakan dengan ajaran Islam yang asas. Di sekolah rendah dan menengah memang ada diajar tetapi mereka tidak faham, bilakah undang-undang hudud ini boleh dilaksanakan dan bagaimana daripada aspek bahan pembuktian perlu difahamkan kepada bukan Islam. Bagi saya, orang tidak sokong kerana mereka tidak faham keindahan undang-undang jenayah Islam. Undang-undang Kanun Keseksaan yang diamalkan sekarang, 70 peratus sudah mengikut Islam tetapi orang bukan Islam boleh terima sebab undang-undang ini datang dari Barat kerana kita dididik bahawa undang-undang Barat ini bagus. Jadi, tanggungjawab kita untuk didik masyarakat mengenai undang-undang Islam. Walaupun nampak begitu dahsyat hukumannya tetapi beban pembuktian amat tinggi. Cuba tanya ulama berapa banyak tangan pencuri telah dipotong di zaman Rasulullah SAW. Dalam pembacaan saya, tidak jumpa lagi. Aspek itu perlu diberikan perhatian. Hukum hudud ini lebih kepada mendidik pelaku dan masyarakat. Nampaknya, dalam soal hudud ini, kita perlu memberi kefahaman sebenar kepada mereka. Apa yang boleh kita lakukan? MOHAMED AZAM: Sebenarnya, potong tangan ini cuma satu kesalahan daripada hudud. Beban pembuktiannya juga amat besar. Kalau seorang ditangkap mencuri, kita hendak tanya dia waras atau tidak semasa mencuri? Dia kerja apa? Ada punca pendapatan? Isteri dan anak berapa? Kalau tidak ada pekerjaan dan terpaksa mencuri untuk beri anak bini makan, patutkah dia dipotong tangan? Tidak, tetapi dia dihukum takzir. Kita tidak boleh tergesa-gesa laksanakan hudud. Kita perlu didik masyarakat dahulu supaya mereka faham. Baru-baru ini, ada seorang penulis dan penyair dari Arab Saudi, Nimah Nawwab datang beri taklimat di sini. Ada wartawan tanya dia bolehkah hudud dilaksanakan di Malaysia. Dia jawab tidak tahu tentang Malaysia tetapi dia beritahu hukum hudud sudah dilaksanakan di Arab Saudi. Di Arab Saudi, kita boleh tinggalkan sahaja premis perniagaan termasuk kedai emas sekali pun kerana tidak ada sesiapa hendak mencuri. Keadaan menjadi selamat dan ini diakui sendiri oleh penulis dan cendekiawan Barat |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |