Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Ilmu, petua dan langkah sederap
- Caklempong bertakhta di hati
- Pulau Undan bakal diwarta kawasan larangan
Ilmu, petua dan langkah sederap Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL Dr. Mahathir Mohamad dan Mohamad Hasan (dua dari kanan) bersama penuntut kolej selepas beliau berucap dalam Seminar 'Tanah Tumpahnya Darahku' di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA SEREMBAN 15 Mei - Jika seseorang itu ada ilmu tetapi tidak dipakai bersama petua dan langkah betul, ia akan menyaksikan hasil yang pincang. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya jika ilmu, petua dan langkah itu betul, maka dapat dilihat ketrampilan yang bijaksana, minda yang konsisten dan paling utama dapat menyumbang dengan baik pembangunan rakyat dan negara. Atas sebab itulah jika kita berilmu tetapi gagal, jangan cepat mengalah. Ini kerana, kadangkala langkah kita sumbang dan petua yang ada tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Jadi menuntut ilmu ini, bukan hanya di institusi pengajian tinggi semata-mata tetapi ilmu ini datangnya dari persekitaran yang ada, umpamanya ilmu masyarakat, ilmu memimpin atau ilmu menjaga kedaulatan negara," katanya sewaktu berucap pada Seminar Tanah Tumpahnya Darahku di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, dekat sini hari ini. Yang hadir menyampaikan ucaptama pada seminar berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun begitu, Mohamad memberitahu, dalam urusan mendapatkan ilmu itu jangan pula tersilap menuntut kerana ia juga boleh merosakkan agama, bangsa dan tanah air. Jika kita ambil ilmu tetapi hendak hancurkan negara atau negeri dan mahu melelong negara, itu tidak betullah. Benci macam mana negara ini sekali pun, janganlah burukkan negara ini kerana di sinilah kita lahir, dibesarkan. Inilah tanah tumpahnya darahku," katanya. Mengenai seminar yang berlangsung ini yang dihadiri lebih 1,500 belia, Mohamad berkata, mesej yang dibawa oleh penceramah hendaklah dijiwai sepenuhnya. Semangat sayangkan tanah air ini hendaklah terus dibiar membara dalam kalangan belia. Perkukuhkan langkah biar ia sederap dan dapat bersama-sama menyumbang tenaga, pemikiran dan usaha membangunkan negara, apatah lagi baki enam tahun menjelang negara maju 2020, kian dirasai," katanya. Beliau turut mengingatkan belia supaya mengenang keamanan dan kesenangan yang ada pada hari ini serta mensyukurinya. Jangan kelak nikmat yang ada ini ditarik balik oleh Allah SWT kerana sifat kita yang tidak tahu bersyukur," katanya. |
Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim bersama Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz (kiri) menyaksikan Konsert Caklempong Ekstravaganza di Auditorium DSury Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/Abd. Razak Aid SEREMBAN 15 Mei - Caklempong adalah alat muzik tradisional dari keluarga idiofon yang menggunakan skel diatonik. Muzik Caklempong memainkan peranan penting sebagai muzik rakyat dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Caklempong dibawa masuk ke Tanah Melayu (Negeri Sembilan) antara abad ke-14 dan ke-19 oleh orang Minangkabau dari Sumatera Barat yang datang berniaga dan terus bermaustatin di Tanah Melayu ini. Oleh kerana ramai orang Minangkabau bermastautin di Negeri Sembilan, maka permainan muzik caklempong dianggap sebagai muzik tradisional negeri ini selain daripada Bongai. Sehubungan itu, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Sembilan bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Caklempong Ekstravaganza bagi memartabatkan muzik tradisional yang menjadi identiti negeri ini. Pengarah JKKN, Mohd. Radzi Omar berkata, ia selaras dengan usaha pihaknya untuk mengembangkan tradisi muzik agar terus terpelihara serta kesinambungan pemuzik daripada generasi muda hingga generasi berpengalaman selama dua hari berturut-turut. Idea asal untuk pelaksanaan ini sebenarnya bagi melihat bagaimana caklempong diangkat sebagai salah satu alat muzik tradisional lebih universal dan global sekali gus menyaksikan muziknya diadun dalam satu melodi," katanya ketika ditemui di Auditorium D'Sury Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, di sini baru-baru ini. Menurutnya, ia juga memberi ruang kepada masyarakat, khususnya rakyat di Negeri Sembilan untuk mengetahui lebih mendalam mengenai muzik caklempong yang semakin menghilang dalam pemikiran masyarakat dewasa ini. Kesenian muzik tradisional caklempong ini amat unik tetapi masyarakat di negeri ini khususnya generasi muda kurang meminati apatah lagi mendalaminya kerana mereka lebih gemarkan muzik yang rancak dan terkini. Dengan adanya konsert ini, muzik tradisi ini dapat didedahkan dan dikembangkan dengan lebih meluas, sekali gus dapat terus terpelihara agar tidak terus hilang dek arus zaman," katanya. Katanya, Konsert Caklempong Ekstravaganza menggabungkan lagu-lagu moden dan tradisional persembahan antaranya lagu Khayalan, Rindu Bayangan, I Will Survive, Battle, Tak Mengapa dan Apo Kono Eh Jang. Selain itu, antara lagu lain adalah Pa'Cik, Mahsuri, Toccata, Malam Bulan Di Pagar Bintang, Piring Lambung, Pop Corn, My Way, Sealed With A Kiss, Hurricane, Final Countdown, Night Bird, Bumble Bee, Gadis Jolobu dan Visit Malaysia Year. Tambahnya, pemuzik tradisional tersebut berumur dalam lingkungan 8 hingga 60 tahun. Konsert tersebut turut melibatkan beberapa artis terkenal seperti Datuk Hattan, Musli Ramlee, Yantzen, Mus May, Waris dan Asmidar yang mendendangkan lagu seiring dengan muzik caklempong. Menurut Mohd. Radzi, bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, penganjuran konsert ini juga menjadi salah satu usaha dalam membantu kerajaan mempromosikan Negeri Sembilan kepada pelancong terutama dari luar negara. Selain konsert, JKKN turut mengadakan Fiesta Bazar Industri Kreatif yang merangkumi pameran, jualan, bengkel muzik caklempong, bengkel tarian, pertandingan dan senam seni. |
Pulau Undan bakal diwarta kawasan larangan Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Hasan Rahman (lima dari kanan) dan Rosmawati Ghazali (empat dari kanan) bersama media serta pegawai perikanan dalam sesi lawatan ke pulau-pulau pelancongan di Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad MELAKA 15 Mei - Pulau Undan berdekatan Pulau Besar di sini bakal diwartakan bagi mengekalkan ekosistem termasuk kepelbagaian hampir 30 jenis batu karang di kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, usaha mewartakan pulau itu dicadangkan oleh Jabatan Perikanan negeri hasil kajian yang telah dijalankan ke atas kawasan tersebut. Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan kira-kira sebulan lalu mendapati perairan Pulau Undan mempunyai ekosistem yang sesuai serta menarik dengan kewujudan lebih 200 jenis ikan terumbu karang serta hampir 30 jenis batu karang. Justeru, melihat kepada potensi tersebut, kita bercadang untuk mewartakan kawasan seluas satu batu nautika (1.85 kilometer) di perairan pulau ini sebagai kawasan larangan tangkapan ikan bagi memastikan ia terus terpelihara dan tidak dicerobohi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ke pulau tersebut hari ini. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali dan Ketua Unit Perlesenan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan negeri, Robert Leung Fook. Menurut Hasan, batu karang yang terdapat di sekitar pulau itu penting untuk pembiakan ikan kerana ia merupakan tempat terbaik di kawasan perairan di negeri ini lokasi lain seperti Tanjung Tuan dan sebagainya. Kawasan ini juga dilihat paling sesuai memandangkan ia merupakan kawasan pembiakan ikan yang masih asli serta tidak diganggu dengan projek-projek pembangunan ketara seperti tambak laut dan sebagainya," katanya. Katanya, apabila sudah diwartakan tidak lama lagi, kesemua 1,760 nelayan di negeri ini akan dimaklumkan dan diharap akan mematuhi larangan kawasan tersebut bagi tangkapan ikan kerana hasilnya akan terganggu jika dicerobohi. Tambah beliau, terumbu karang itu merupakan sumber tidak ternilai yang perlu dijaga sebaiknya kerana menjadi sumber makanan semulajadi kepada ikan. Jika makanan semulajadi ikan tersebut tidak terjejas, maka pembiakannya akan menjadi lebih baik seterusnya akan memberi hasil lebih tangkapan lebih baik kepada nelayan apabila ikan itu sudah dewasa dan keluar dari kawasan berkenaan," jelasnya. Tambah Hasan, pelancong juga boleh berkunjung ke pulau berkenaan selepas diwartakan untuk menjalankan aktiviti seperti menyelam dan snorkeling dengan syarat tidak boleh menangkap ikan-ikan serta merosakkan batu karang di kawasan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |