Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 18 Apr 2013 02:00 AM PDT Implan kekal apabila dipasang pada usia muda maka kanak-kanak akan lebih berpeluang mendengar dan bertutur lebih cepat. - Gambar hiasan APA yang dialami Nisa bukan sesuatu yang luar biasa atau pelik, malah mana-mana ibu pun pasti akan segera khuatir dan mula memikirkan kebarangkalian anak mengalami masalah pendengaran. Tindakan Nisa segera merujuk pada doktor memang lebih baik daripada terus menafikan kebenaran ini. Tindakan pantas ini juga memberikan bayinya peluang yang lebih baik dalam menguasai pertuturan seperti kanak-kanak normal lain. Pengurus Pusat Pertuturan dan Pendengaran Pusat Perubatan Sunway Berhad, Saravanan Selanduray berkata, masalah pendengaran kongenital (sejak lahir) sebenarnya dialami oleh dua hingga lima kanak-kanak dalam 1,000 kelahiran. Jelasnya lagi di sesetengah negara seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, ujian saringan sudah menjadi kemestian bagi setiap bayi yang lahir di sana. Menurut Saravanan, saringan memang amat penting kerana keupayaan mengesan lebih awal menjadikan kanak-kanak itu lebih mudah bertutur dan boleh menjalani kehidupan seakan orang yang normal pendengarannya. Saringan dijalankan dan seterusnya pakar akan mengenalpasti sejauh mana keseriusan masalah pendengaran, adakah separa atau lebih ringan atau tidak mendengar langsung. Masalah pendengaran ini kalau tidak didiagnos memang tidak akan boleh diatasi. Kalau gagal pada ujian saringan ini, ada beberapa lagi ujian audiometri. Ujian ini dilakukan sebanyak sekali atau dua sebelum ujian koklea dan saraf pendengaran dibuat semasa kanak-kanak itu tidur. Selepas ujian ini dibuat barulah pakar pertuturan dan pendengaran dapat mengesan sejauh mana keseriusan dan punca ia berlaku. Selepas proses saringan ini barulah diajukan terus kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Selepas proses audio terapi, ahli terapi pertuturan akan membantu kanak-kanak menggunakan alat bantu dengar dalam masa seminggu hingga ke dua minggu. Dalam proses ini ibu bapa perlu mengikutinya sekali supaya mereka lebih mahir cara berkomunikasi dengan anak-anak yang menggunakan alat bantuan pendengaran," kata Saravanan. Beliau menambah, anak-anak yang tidak boleh mendengar hanya akan menggunakan pergerakan untuk memberi tahu apa yang mereka mahukan. Sebab itu katanya, latihan penting kepada ibu bapa. Memang agak sukar mendisiplinkan anak kecil dengan alat bantuan pendengaran. Bayi atau kanak-kanak mungkin akan berasa tidak selesa dan alat tersebut ditanggalkan begitu sahaja. Maka sebab itu implan koklea satu penyelesaian mudah kerana melibatkan alat yang lebih kecil mudah dipasang dan ditanggal pada telinga anak," jelasnya lagi. Sementara itu ahli patologi dari Pusat Pertuturan dan Pendengaran Sunway, Chee Zia Wei berkata, untuk memakai implan koklea, komitmen ibu bapa memang penting kerana proses ini akan mengambil masa untuk anak benar-benar dapat menggunakan alat tersebut. Konsepnya begini, jika kita tidak tahu bahasa Jepun maka kita akan meletakkan usaha yang tinggi untuk mempelajarinya, dan skil tersebut akan meningkat cuma ia akan memakan masa yang panjang. Implan kekal ini apabila dipasang pada usia muda maka kanak-kanak akan lebih berpeluang mendengar dan bertutur lebih cepat," katanya sambil memberitahu di Pusat Perubatan Sunway mereka telah memasang alat implan koklea pada pesakit semuda 13 tahun. Implan dilakukan oleh pakar ENT Menurut Pakar Pendengaran, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Sunway Berhad, Dr. Shailendra Sivalingam, bayi yang berisiko mengalami masalah pendengaran ialah mereka yang pernah kena demam kuning yang tinggi, bayi pra-matang, bayi kurang berat, termasuklah bayi yang pernah menggunakan alat bantuan pernafasan dalam wad penjagaan intensif. Pakar akan tetap melakukan beberapa ujian lanjut sebelum melakukan implan. Proses penilaian akan dibuat selama dua hingga tiga bulan untuk menilai tahap keseriusan pendengaran dan biasanya pembedahan dilakukan pada tahap pendengaran teruk ke sangat teruk. Implan koklea boleh dilakukan seawal umur tiga hingga empat tahun. Tetapi di Amerika Syarikat garis panduan perubatan menetapkan pembedahan implan koklea tersebut boleh dilakukan seawal bayi usia lapan bulan. Ia boleh dilakukan pada sebelah telinga sahaja atau kedua-dua belah terus. Pembedahan di bawah bius am dan menggunakan mikroskop dan alat yang membolehkan belakang telinga dibuka hingga ke bahagian koklea. Kemudian satu lubang kecil dibuat untuk tembusi ke koklea, satu elektrob dililit di situ kemudian dijahit dan tutup. Selepas dua minggu luka pulih dan kemudian sejenis alat magnet diletakkan pada saluran telinga untuk ujian frekuensi," jelasnya yang telah mula melakukan implan koklea sejak 2004. Dr. Shailendra menyarankan pada ibu mengandung yang pernah mengalami demam rubella dan campak agar membawa bayi untuk ujian saringan pendengaran. Apabila pendengaran kurang maka pertuturan juga sukar. Sebaiknya anak belajar cakap ikut pendengaran sebelum usia enam tahun," katanya. - Oleh NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 18 Apr 2013 02:00 AM PDT Dari kiri Pengerusi Jawatankuasa Panduan Pengurusan Alergi Protein Susu Lembu dalam Kanak-kanak 2012, Prof Lee Way Seah, Dr. Amir Hamzah dan Dr. Chai Pei Fan melancarkan Kempen Kesedaran Alahan Protein Susu Lembu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. KERESAHAN Rosnah, seorang ibu muda terhadap anaknya, Zamil yang baru berusia enam bulan yang mengalami alahan dan keradangan selepas minum susu formula kini terjawab. Doktor mengesahkan, Zamil mengalami masalah alahan kepada protein susu lembu (CMPA) yang kurang disedari di kalangan ibu bapa berlaku terhadap anak-anak mereka. CMPA adalah alahan makanan paling lazim dalam kalangan bayi, walaupun statistik agak terhad. Susu dipercayai merupakan alahan makanan yang paling lazim dialami oleh bayi di Asia dan Malaysia Namun, ia sering disalah tafsir kerana kesannya merangkumi pelbagai tindak balas alahan. Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr. Amir Hamzah berkata, istilah terkini untuk alahan atau alergi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Alergi Sedunia ialah sebarang tindakbalas hiper sensitif terhadap susu. "Ia boleh dibahagikan kepada CMPA dan tidak toleransi laktosa. Kedua-dua keadaan ini adalah berbeza. "Tidak toleransi laktosa ialah ketidakupayaan untuk menghadam laktosa disebabkan kekurangan enzim laktase, manakala CMPA pula ditakrifkan sebagai tindak balas alahan hiper sensitif terhadap protein susu lembu," katanya. Dr. Amir berkata, berdasarkan kajian CMPA boleh berlaku sejak bayi dilahirkan dan memuncak dalam tahun pertama. Ia biasanya reda dalam jangka masa tiga atau empat tahun. Namun katanya, kajian melibatkan 807 kanak-kanak yang mengalami CMPA mendapati masalah ini boleh berlarutan sehingga ke alam remaja bagi satu pertiga daripada kanak-kanak tersebut, manakala 12 peratus terus mengalami alahan terhadap susu lembu sehingga usia 18 tahun. Sementara itu Pakar Pediatrik dan ahli Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia, Dr. Chai Pei Fan berkata, simptom CMPA di kalangan kanak-kanak boleh berlaku beberapa minit selepas susu diminum. "Ia bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman, keradangan yang teruk dan berlaku kemungkinan tindak balas alahan yang lebih teruk iaitu anafilaksis," katanya. Justeru jelasnya, ibu bapa perlu mengetahui masalah yang dihadapi dan mengambil langkah yang betul untuk menangani CMPA. Sempena Minggu Alergi Sedunia 2013 yang berlangsung dari 8 hingga 14 April lalu, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia baru-baru ini melancarkan Kempen Kesedaran Alahan Protein Susu Lembu. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik ibu bapa tentang CMPA dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai pembuka tirai kepada kempen ini, pada tahun lepas Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan MSAI telah melancarkan risalah Panduan Pengurusan Alergi Protein Susu Lembu dalam Kanak-kanak 2012 di kalangan pakar kesihatan. Panduan ini bertujuan untuk membantu pakar kesihatan mendiagnosis CMPA dengan tepat, membekalkan maklumat khusus dan cara-cara untuk menangani masalah ini dan memastikan kanak-kanak tersebut mendapat nutrisi yang mencukupi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |