Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Jenama AS kedua Harmony Fabulous Posted: Jenama AS kedua Harmony FabulousOleh SHAWKATH AZDE SEJURUS sahaja Polaris Industries Inc. (Polaris) memegang tampuk sebagai tauke baharu jenama motosikal Victory pada 2010, penganalisis industri meramalkan satu perang lama antara dua legenda motosikal Amerika Syarikat (AS) itu bakal berulang. Harley-Davidson akan berdepan Victory. Bagi Polaris, kejayaan meminang Victory hanyalah satu strategi untuk mempelbagaikan rangkaian produk kenderaan sedia ada. Polaris terlibat dalam bidang rekaan, kejuruteraan, pengeluar dan pemasaran kenderaan off-road seperti kenderaan semua laluan (ATV) dan snowmobile. Di satu sudut, ada pengkritik beranggapan Polaris mahu menjamah sebahagian daripada kek pasaran milik Harley-Davidson Inc. Dakwaan itu sememangnya selari dengan laporan Forbes baru-baru ini bahawa Polaris meletakkan semula Victory untuk bersaing secara langsung dengan Harley-Davidson. Kembalinya musuh tradisi Isu itu kembali hangat apabila Polaris mengambil alih musuh tradisi Harley-Davidson Inc. iaitu Indian Motorcycle pada April 2011. Menerusi pemilikan dua jenama unggul negara Uncle Sam, Harley-Davidson memberi perhatian serius terhadap Polaris. Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Harley-Davidson, Keith Wandell menerusi portal berita Milwaukee Journal Sentinel ada menyatakan dia memandang semua pesaing syarikat itu dengan serius termasuk Indian Motorcycle dan Victory. "Sejauh mana kami merasakan (Harley-Davidson) baik, usaha (sedia ada) akan digandakan. Kami tidak akan bergantung semata-mata pada warisan sedia ada dan kembali kerja setiap hari kerana persaingan semakin sengit," kata Wandell. VICTORY dijangka muncul sebagai salah sebuah jenama motosikal unggul dalam tempoh tiga tahun lagi di negara ini. Di pasaran AS, Harley-Davidson mendominasi segmen motosikal cruiser dengan pegangan pasaran hampir 60 peratus. Malah kedudukannya cukup utuh sehinggakan mampu menepis saingan pengeluar utama motosikal Jepun seperti Yamaha, Honda dan Kawasaki dengan mudah. Untuk memastikan kedua-dua jenama Polaris tidak bersaing sesama sendiri, syarikat itu menempatkan rangkaian motosikal Victory untuk mereka yang menitikberatkan soal prestasi dan sedikit elemen kemodenan. Sementara itu, Indian Motorcycle pula disasarkan kepada penggemar tegar untuk tunggangan setiap hari dan kepada mereka yang ingin 'menunjuk-nunjuk'. Strategi Polaris itu membantu para pelanggan untuk membezakan kedua-dua jenama itu dan memilih jentera mengikut mengikut kesesuaian masing-masing. Di Malaysia, Victory telah tiba menemui pelanggan tempatan minggu lalu. Pengedar rasmi ialah Harmony Fabulous Sdn. Bhd. (Harmony Fabulous), salah sebuah syarikat subsidiari Kumpulan Naza. Harmony Fabulous juga merupakan entiti yang mengedarkan rangkaian motosikal Indian Motorcycle. Kumpulan Naza merupakan pengimport dan pengedar rasmi produk Harley-Davidson di Malaysia menerusi anak syarikatnya, Naza Prestige Bikes Sdn. Bhd. Ini bermakna ada tiga jenama motosikal cruiser AS menapak di bawah empayar Kumpulan Naza. MODEL Judge dalam segmen cruiser tampil dengan imej rugged. Soalnya sekarang, adakah kehadiran Victory akan menyumbang pada kejatuhan jualan motosikal Harley-Davidson? Bagaimana pula dengan nasib Indian Motorcycle selepas ini? Pada majlis pelancaran Victory di Glenmarie, Shah Alam di Selangor, Naib Presiden Naza Two Wheels Division, Nik Danial Nik Mahmood dengan optimis menyatakan Victory tidak akan menjejaskan jualan Harley-Davidson. Katanya, pasaran Malaysia tidak seperti di AS. Nasib Indian Motorcycle Berhubung nasib Indian Motorcycle selepas ini, tiada sebarang jawapan atau penjelasan diberikan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini. Apa yang dinyatakan ialah Indian Motorcycle akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi. Strategi memasarkan ketiga-tiga jenama itu seolah-olah menjadi rahsia dan enggan didedahkan kepada umum. Mungkin kerana sudah ada kelompok grey importer (pemegang AP) yang memberi tamparan hebat dalam segmen motosikal cruiser tempatan. Jika ada persaingan, maknanya perniagaan semakin sihat. Rangkaian Victory yang diperkenalkan membabitkan sebanyak 12 model yang tergolong dalam tiga kategori iaitu cruiser, bagger dan touring. Koleksi paling besar adalah kelas cruiser yang merangkumi tujuh model. Bagi rangkaian bagger dan touring, masing-masing melibatkan dua dan tiga model motosikal. Kesemua model motosikal dalam tiga kelas itu menggunakan konfigurasi enjin V-twin dengan sistem transmisi enam kelajuan. MODEL touring Victory Cross Country Tour sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti kembara. Untuk melancarkan jualan Victory di Malaysia, Kumpulan Naza telah mendirikan sebuah pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) berukuran 557 meter persegi yang memperagakan beberapa model terbaharu Victory. Selain itu, premis dua tingkat itu juga menjual koleksi pakaian untuk golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak. Tingkat atas pula menawarkan rangkaian produk penjagaan motosikal dan beberapa aksesori motosikal bagi mereka yang mahukan sedikit kelainan. Kos bagi pembukaan pusat itu adalah sebanyak RM5 juta. Motosikal Victory dijual pada harga serendah RM97,800 hingga RM199,800 seunit. Itu harga asas tidak termasuk caj-caj pendaftaran dan insurans. Harmony Fabulous perlu bijak menyusun strategi dan memastikan siapakah sasaran pelanggannya. Jangan sampai bakal pembeli mula celaru untuk memilih produk sesuai untuk mereka. Penerangan yang diberikan perlu jelas dan bantu pembeli ketahui apakah bezanya Harley-Davidson, Victory dan Indian Motorcycle. Semoga berjaya! |
Posted: Mazda CX-9 dipertingkatkanMAZDA CX-9 yang dipertingkatkan ini kelihatan lebih gagah dengan reka bentuk nampak moden. BERMAZ Motor Sdn. Bhd. baru-baru ini melancarkan Mazda CX-9 yang dipertingkatkan. Model paling berprestij dalam Mazda itu mendapat sentuhan rekaan hadapan dan belakang baharu yang lebih segar dengan tema reka bentuk Kodo. Model ini yang dilengkapi enjin bersesaran 3.7 liter V6 itu mampu menghasilkan kuasa 274hp pada 6,250rpm dan tork maksimum 367Nm pada 4,250rpm. Mazda masih mengekalkan sistem transmisi enam kelajuan Activematic seperti yang terdapat sebelum ini. Kuasa dihantar kepada semua roda melalui sistem Active Torque Split AWD yang membahagikan tork antara roda depan dan belakang untuk meningkatkan cengkaman terutama dalam keadaan yang licin. Teknologi terkini sistem suspensi yang ada pada model Mazda ini mampu memberikan maklum balas linear kepada stereng. WALK-IN SLIDE berfungsi untuk memudahkan penumpang untuk masuk di tempat duduk barisan ketiga. Ruang kabin dalaman CX-9 kini juga menggunakan warna hitam dan upholsteri satin-perak. Stereng pula dibalut dengan kulit lembut untuk memberikan genggaman lebih selesa. Sementara panel lain yang menghiasi Mazda CX-9 ini diserikan dengan material Bordeaux Metal untuk kelihatan lebih berkualiti dan canggih. SUV yang diimport sepenuhnya ini turut dilengkapi kerusi pemandu dan penumpang boleh dilaras secara elektrik dengan memori. Model SUV bersaiz penuh ini didatangkan dengan bersama sistem hiburan dengan skrin LCD berserta sistem navigasi TomTom. Apa yang menariknya, CX-9 menggunakan sepuluh speaker premium dari jenama Bose. Model naik taraf ini juga menggunakan rim rekaan menarik dengan saiz 20 inci dan dibalut dengan tayar berukuran 245/50. WALAUPUN tempat duduk ketiga masih digunakan CX-9 ini masih mempunyai 487 liter ruang penyimpanan barang. Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model ini enam beg udara dan Dynamic Stability Control yang merupakan ciri-ciri standard. Pihak Mazda juga turut menawarkan i-Activsense seperti Forward Obstruction Warning, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Sistem High Beam Control yang merupakan ciri-ciri pilihan. Mazda CX-9 didatangkan dengan tujuh warna menarik seperti Dolphin Grey Mica, Zeal Red Mica, Meteor Grey Mica, Aluminium Metallic, Crystal White Pearl Mica dan Brilliant Black. Harga atas jalan termasuk insurans untuk model CX-9 ini bermula dari RM296,166 untuk varian 4X2 dan RM337,206 untuk varian 4X4. |
Posted: Asah skil dengan Ninja 250ROleh SHAWKATH AZDE KAWASAKI Ninja 250R dijual pada harga asas RM22,589 seunit. BAGI motosikal kelas suku liter, Ninja 250R ialah satu-satunya model yang berjaya menambat hati kebanyakan peminat motosikal di negara ini. Jika tidak, mana mungkin model sportsbike itu mendominasi kategori 250cc selama 20 tahun. Biarpun ada beberapa pendatang baharu khususnya Naza Blade 250, Honda CBR 250R dan Megelli 250RR, populariti Ninja 250R masih gagal digugat. Malah model itu sebenarnya adalah antara produk terbaik dan diiktiraf oleh kebanyakan portal permotoran roda dua antarabangsa. Kawasaki Ninja 250R disifatkan sebagai satu-satunya motosikal untuk individu yang mahu melengkapkan diri dengan pendedahan awal sebelum menaik taraf kepada jentera 600cc atau satu liter kemudian hari. Pendek kata, Ninja 250R ialah jentera paling sesuai bagi mereka yang ingin mengasah skil tunggangan. Di Malaysia, motosikal itu dipasang di Shah Alam, Selangor oleh Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) sebelum menemui para pelanggan di bilik pameran di seluruh negara. Ninja 250R edisi 2013 semenangnya tampak impresif. Ia mewarisi beberapa ciri solekan yang ada pada model ZX-6R, ZX-10R dan ZX-14R. Apabila meletakkan punggung atas pelana dan menggenggam hendal, postur badan sedikit ke hadapan sekali gus membolehkan kawalan penuh dinikmati penunggang. Tangki petrol tampak mantap dengan adanya beberapa garis keluk tidak mengganggu bahagian lengan penunggang. Cuma, ia kurang selesa bagi penunggang yang berperut buncit. SAIZ tangki 17 liter mengurangkan kadar kekerapan anda mengunjungi stesen minyak ketika tunggangan. Semua butang kawalan pada hendal mudah dicapai ibu jari. Bahagian kaki pula tidak terasa kebas ketika ditempatkan atas perehat kaki. Pendek kata, kejuruteraan ergonomik Ninja 250R layak diberi kepujian. Respons lancar Pendikit pula memberi respons sederhana ketika memulas dan prestasi penukaran gear lancar tanpa sebarang kesukaran. Lembut dan lancar. Alunan irama ekzos semakin nyaring apabila paras meter pusingan enjin seminit (RPM) melepasi paras 5,000. Apabila mendesak meter RPM ke paras 9,000 hingga 13,000, hamburan kuasa sememangnya menyeronokkan dan jentera semakin ringan. Kelajuan maksimum boleh mencecah sehingga 170 kilometer sejam (km/j). Jangan mengeraskan badan sewaktu mengambil selekoh apatah lagi pada kelajuan 100km/j kerana roda belakang boleh membuang dengan mudah. Tungganglah secara rileks sambil halakan badan mengikut arah ingin membelok. Imbangan badan itu penting. SET ekzos menghasilkan bunyi yang tidak membingitkan telinga. Haba enjin kurang terasa ekoran tindakan saluran keluar angin panas menerusi fairing bersirip. Tamparan angin pula diminimumkan ekoran adanya penghadang angin. Getaran enjin tetap terasa namun ia tidak jejas keselesaan tunggangan. Berhubung soal penggunaan minyak petrol, satu tangki penuh petrol membolehkan penulis mencapai jarak tunggangan sehingga 330km. Catatan itu direkodkan sebelum meter minyak mula berkedip. Ninja 250R nyata satu produk Kawasaki Malaysia yang cukup baik untuk dimiliki bagi mereka yang berhasrat menukar jentera sedia ada. Jika ada penstrukturan semula harga motosikal itu, mungkin lebih ramai pengguna akan membelinya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |