Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST Oleh mariatul qatiah zakaria CHEF Ammar dan Zuraini bersama tiga cahaya mata mereka. Masak dengan hati, masak dengan iman.' Tag line yang cukup dekat di hati para penonton saluran TV Al Hijrah khususnya peminat rancangan Hidangan Baraqah Bersama Chef Ammar. Gelagatnya yang begitu bersahaja dengan bahasa Melayu telo Arab ketika mengendalikan rancangan tersebut cukup menghiburkan, apatah lagi setiap perkongsian resipi diselitkan dengan petua-petua mengikut sunah. Itulah Chef Ammar I.H Alali. Walaupun namanya mungkin belum segah chef-chef selebriti yang lain, namun kemunculannya di kaca televisyen tetap dinanti peminatnya. Cekap mengendalikan pelbagai peralatan dapur dan juga bahan-bahan masakan, tentunya ramai juga yang ingin mengetahui latar belakang lelaki berasal dari Palestin ini. Kefasihan beliau bercakap Melayu adalah hasil lebih 17 tahun menetap di Malaysia dan berkahwin dengan seorang wanita tempatan kelahiran Pulau Pinang. Ketika ditemui baru-baru ini di studionya yang terletak di Subang Jaya, ternyata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini cukup bahagia dengan keluarga yang telah dibina sejak 16 tahun lalu. Dilihat begitu romantik pada pandangan isterinya, Zuraini Abu Kassim, Chef Ammar juga merupakan seorang yang cukup mengingati hari-hari penting dalam sejarah hidupnya. Begitu lancar memberikan tarikh kali pertama berjumpa, tarikh bertunang, dan tarikh akad nikah, Chef Ammar mengakui jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya, malah tidak mengambil masa yang begitu lama untuk menyatakan isi hatinya kepada Zuraini. Bercerita lanjut mengenai pertemuan kali pertama dengan isterinya, jelas Chef Ammar, ia berlaku di salah sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang. Ketika itu, dia terpandang Zuraini yang sedang menikmati hidangan tengah hari bersama rakan-rakannya. Tanpa disangka, pandangannya turut dibalas Zuraini lalu bertukar-tukar senyuman. Namun, peristiwa 'sedetik' itu berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang susulan. Ternyata jodoh antara mereka kuat dan sudah tertulis apabila tanpa disengajakan, mereka bertembung semula di luar pusat beli-belah. Dari situlah segala-galanya bermula dan perhubungan tersebut telah menyatukan mereka sebagai pasangan suami isteri yang bahagia. "Terus terang saya katakan, pertemuan tersebut tidak pernah membuatkan saya terfikir untuk mencarinya (Zuraini) tetapi mungkin jodoh antara kami kuat kerana tanpa disangka-sangka kami bersua kembali selepas masing-masing selesai menjamu selera di pusat membeli-belah tersebut. "Saya menegur Zuraini dahulu. Saya menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Paling tidak boleh lupa saya sanggup mengisi penuh minyak kereta semata-mata untuk menghantarnya balik ke rumahnya di Ipoh. "Apa yang pasti, kenangan 16 tahun dahulu tidak akan luput daripada ingatan dan ia satu kenangan yang cukup indah dan manis buat kami berdua," ujarnya ketika diminta bercerita mengenai pertemuan pertama dengan isterinya pada tahun 1996. Apa yang diceritakan oleh Chef Ammar turut diakui isterinya, malah apa yang menarik mengenai kenangan tersebut, Zuraini menambah, sebaik sahaja dia terpandang akan Chef Ammar (ketika itu), dia terus berkata kepada kawannya, "Aku rasa nak kawin la..." Zuraina berkata, dia sendiri tidak tahu mengapa ungkapan tersebut terkeluar dari mulutnya, malah ia berlaku secara spontan. Selepas pertemuan tersebut, mereka saling bertukar nombor telefon dan pada malam itu jugalah, Chef Ammar telah menghubungi Zuraini dan mereka berbual selama tiga jam. Walaupun ketika itu mereka saling berhubung dan berjumpa, bagi Zuraini, dia tidak pernah terfikir bahawa perhubungan tersebut akan berlanjutan kerana tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing. "Selama ini saya tidak pernah 'bercita-cita' untuk mencari pasangan bukan daripada kalangan rakyat tempatan kerana selama ini pun kawan-kawan saya semuanya orang Melayu. "Jadi apabila kenal dengan Chef Ammar, saya tidak pernah terfikir bahawa dia akan melamar dan seterusnya berkahwin dengan saya. "Tetapi apabila Chef Ammar melamar, saya tahu dia adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk saya," tambahnya lagi. Walaupun tidak mengambil masa yang lama untuk bercinta seperti pasangan- pasangan lain, Chef Ammar dan Zuraini bahagia melayari alam perkahwinan mereka dengan begitu baik sekali sehingga ke hari ini. Apabila ditanya apakah rahsia kesejahteraan rumah tangga mereka, kedua-duanya sepakat menyatakan kepercayaan serta tolak ansur merupakan elemen penting yang perlu ada dalam diri masing-masing. Begitupun, kedua-duanya tidak menafikan mereka juga seperti pasangan-pasangan lain yang tidak pernah terlepas daripada selisih faham hingga kadangkala tidak bertegur sapa antara satu sama lain. "Dalam kehidupan berumah tangga, mana ada pasangan yang tidak pernah bergaduh, cuma kami tidaklah pernah bergaduh besar dan paling kurang pun, kami tidak bertegur sapa selama sehari sahaja. "Kemudian kami akan berbaik semula dan inilah rencah kehidupan dalam berumah tangga. "Malah dalam hal ini (bergaduh), saya akui sayalah yang selalu mulakan dahulu kerana saya lihat rumah tangga yang sentiasa aman damai macam ada yang tidak kena," beritahu Chef Ammar sambil ketawa. Chef Ammar turut mendedahkan 'rahsianya' iaitu walau seteruk mana mereka bergaduh, setiap malam sebelum tidur dia akan memastikan ungkapan 'I Love You' diluahkan pada isterinya dan telah diamalkan sejak hari pertama mereka berkahwin lagi. Turut menyifatkan suaminya seorang yang begitu romantik dan penyayang, Zuraini memberitahu hadiah pertama pemberian Chef Ammar kepadanya adalah gincu. Zuraini turut menyatakan bahawa suaminya gemar memberinya bunga tetapi sejak kebelakangan ini amalan tersebut telah dihentikan apabila melihat pemberiannya seolah-olah tidak dihargai. "Bukan saya tidak menghargai pemberiannya (bunga) tetapi pada saya, dia sudah menjadi milik saya, jadi saya tidak memerlukan benda-benda lain. "Lagipun bunga akan kecut dan akhirnya saya akan membuangnya juga. Mungkin bila melihat setiap kali bunga yang dibawa balik hanya akan diletak begitu sahaja, jadi Chef Ammar tidak lagi membeli bunga untuk saya melainkan untuk meraikan hari-hari penting kami," ujarnya menutup bicara. |
Saya dan keluarga dibuang mentua Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST TEMPAT seorang isteri tentunya di sisi suami, ertinya mesti sanggup bersusah senang dengan suami. Ada pasangan suami isteri yang bahagia dengan penderitaan yang ditanggung, ada yang patah di tengah jalan, kesemuanya bergantung pada keadaan dan kesetiaan pasangan masing-masing. Bagaimana pula dengan isteri yang sanggup meninggalkan ibu bapa kerana taat setianya kepada suami? Nak tahu lebih lanjut, kita ikuti kisah yang dikirimkan oleh Amin (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi dengan pembaca. "Saya berusia awal 30-an, bekerja sebagai penjawat awam. Saya berkahwin dengan seorang guru, Aisyah berusia lewat 20-an, sejak lima tahun lalu dan kami dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat tahun. "Hubungan yang dibina atas dasar cinta ini pada mulanya mendapat restu keluarga mentua tetapi kemudian bertukar menjadi benci setelah setahun lebih saya menjadi menantu mereka. "Semuanya kerana saya tidak dapat memberi kemewahan kepada mereka anak-beranak termasuk membawa mereka bercuti setiap tahun. Faham-faham sahajalah gaji sebagai penjawat awam berapa sangat yang dapat, tolak itu tolak ini, cukup untuk belanja kami tiga beranak. "Sayangnya mentua saya mahukan lebih daripada itu. Mujur saya tidak tinggal bersama mereka, jika tidak bertambah parahlah hidup saya. Saya mula nampak sikap mentua yang mata duitan dan tamak harta semasa isteri melahirkan anak pertama kami. "Mentua saya mahu buat majlis cukur jambul secara besar-besaran. Nak jemput kawan-kawan dan jiran tetangga. Saya kata buat ala kadar sudahlah, jemput saudara mara terdekat. "Dia mula naik angin kerana saya melawan cakapnya. Sejak itu, hubungan saya dengan mereka menjadi dingin. Bersabit banyak perkara lain, akhirnya terus retak. "Kemuncaknya tiba apabila saya enggan memberi izin Aisyah membuat pinjaman untuk mereka baiki rumah. Masalahnya kami berdua gaji cukup-cukup makan, tambahan pula masih baru dalam rumah tangga. "Banyak yang perlu kami berjimat. Masa depan kami dan pendidikan anak. Kami juga bercadang untuk membeli rumah yang selesa untuk kami sekeluarga, kalau isteri sudah buat pinjaman, macam mana kami nak buat pinjaman perumahan nanti. "Tapi mereka tak faham. Akhirnya saya dituduh sebagai menantu yang kurang ajar dan tidak menghormati mereka. Di peringkat awal, Aisyah juga termakan dengan hasutan ibu bapanya. "Dia kemudian meminta izin untuk keluar rumah dan tinggal bersama ibu bapanya, anak kami dibawa bersama. Lama juga saya terpisah dengan Aisyah dan anak kami. Saya tidak menghalang dia berbuat demikian dengan harapan keadaan akan kembali jernih. "Saya tidak dibenarkan ke rumah mentua. Berjumpa Aisyah dan anak kami, cuma di luar. Lama juga saya sabar. Enam bulan kemudian apabila keadaan tidak berubah, saya minta tukar ke utara tanah air. "Tindakan saya menyebabkan kemarahan mentua bertambah. Mereka melarang Aisyah mengikut saya. Setahun lebih saya berulang alik ke utara dan Kuala Lumpur untuk bekerja tanpa isteri dan anak. "Sepanjang tempoh itu, macam-macam hal berlaku. Isteri tidak mendengar cakap saya, tidak patuh kepada apa yang saya cakap. Akhirnya saya tidak ada pilihan, saya fail nusyuz kepada Aisyah kerana tidak taat kepada saya. "Keadaan ini menyebabkan mentua saya bertambah berang. Akhirnya Aisyah dipaksa menuntut cerai. Tapi dia enggan berbuat demikian kerana sayangkan saya dan mula terfikir akan muslihat ibu bapanya. "Akhirnya berkat doa dan pertolongan saudara mara yang memahami masalah saya, Aisyah dan anak saya dapat dibawa keluar dari rumah mentua. "Aisyah menyesal dengan perbuatannya dan meminta maaf. Dia mahu mengikut saya. Saya mohon pertukaran Aisyah ke tempat kerja saya yang baru. Masalah yang saya maklumkan kepada pihak berkaitan mempercepatkan pertukaran Aisyah untuk bersama saya. "Alhamdulillah, setelah itu saya merasa aman dan bahagia. Tapi hubungan saya dan mentua terus renggang sampai ke hari ini. Aisyah juga tidak dapat berjumpa ibu bapanya kerana mereka tidak mahu berjumpa dia sebelum dia berpisah dengan saya. "Saya sudah mendapatkan nasihat daripada pejabat agama dan mereka minta saya bertahan dan berdoa agar masalah ini dapat diselesaikan. "Sehingga kini, saya tidak pernah putus berdoa agar keajaiban akan berlaku dalam hubungan saya dengan mentua. Saya inginkan kebahagiaan bersama anak dan isteri saya. "Saya sangat berharap mentua saya akan berubah dan menerima saya sebagai menantu mereka dengan seadanya. Saya tidak nampak kenapa dia amat benci kepada saya sedangkan menantu yang lain bukan hebat mana pun. "Kepada isteri, saya hanya dapat meminta dia bersabar dan berdoa agar satu hari nanti ibu bapanya akan menerima kami semula. Walaupun ibu bapa mentua saya tidak mahu berjumpa kami anak-beranak tetapi ipar-duai saya datang ke rumah kami bila-bila masa. "Hubungan saya dengan ipar-duai sangat baik dan mereka juga meminta saya supaya bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka juga hairan kenapa mentua saya sangat marah kepada saya. "Saya berharap kemelut ini akan berakhir secepat mungkin. Saya minta maaf jika saya ada buat silap kepada mentua saya tetapi seingat saya, tidak ada apa yang saya lakukan sehingga mereka buat saya sampai begitu sekali. "Kepada Allah saya berharap, dalam masa terdekat ini, masalah saya akan selesai kerana saya juga ingin hidup bahagia dengan mentua seperti orang lain, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya," pinta Amin tenang. Hubungan dingin mentua dan menantu menjadi lumrah dalam kehidupan. Kepada Amin, saya nasihatkan supaya bersabar dan berdoa selalu. Hati orang tua, ada kalanya tersinggung dan terasa hati walaupun perkara kecil. Saya pasti segala-galanya akan kembali seperti biasa dalam masa terdekat. Pesan saya, pandai-pandailah mengambil hati mereka, bertanya khabar selalu dan bantu mereka mana perlu. "Jangan putuskan hubungan mentua dengan anak mereka, isteri anda. Sebaliknya pastikan isteri anda sentiasa berhubung dengan ibu bapanya walaupun tidak diterima. "Saya juga berharap ada orang tengah yang rapat dengan mentua yang boleh menjadi pengantara untuk menyelesaikan masalah ini. Jadikan anak anda sebagai umpan meraih simpati dan maaf daripada mereka. Biasanya orang tua akan cair dengan cucu. Semoga segala hajat Amin akan terlaksana satu hari nanti. Jangan putus berdoa dan mohon Allah buka pintu hati mentua untuk menerima anda sekeluarga semula. Menutup kata, sepatah kata buat renungan. Orang yang paling bahagia adalah mereka yang bersabar apabila berada dalam kesulitan dan bersyukur setelah terlepas daripadanya. Salam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |