Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Kematian bayi baru lahir masih tinggi Posted: Kematian bayi baru lahir masih tinggiSELEPAS kehilangan dua bayinya akibat penyakit cirit-birit dan disentri, Suman Chandel, 25, terbaring di atas katil di sebuah klinik di kawasan pedalaman Utara India sambil tersenyum kelegaan. Beberapa jam lalu, dia yang telah melahirkan anak keempatnya seberat tiga kilogram dan sangat yakin bayinya itu mempunyai peluang tinggi untuk terus hidup. "Sebelum ini, saya sangat risau kerana mengalami banyak masalah pada setiap kelahiran, tetapi bayi ini nampak sihat dan saya sangat gembira," katanya sambil cuba menyusukan bayinya itu. Chandel berkahwin pada usia 15 tahun dan mengandung anak sulungnya tiga tahun kemudian. Dia sebelum ini berusaha untuk keselamatan bayinya. Kehidupan yang dialami wanita itu sama seperti kebanyakan wanita luar bandar di India lain yang bergelut dengan penularan penyakit, diskriminasi kasta dan ketiadaan kuasa serta kehidupan miskin. Menurut organisasi Save the Children, India mempunyai rekod kadar kematian ekoran penyakit yang boleh dicegah yang tinggi di dunia. Negara itu menyumbang sebanyak 29 peratus kadar kematian global bayi baru lahir iaitu kira-kira 309,000 kehilangan nyawa setiap tahun. Perubahan Bagaimanapun, angka daripada pejabat banci yang dikeluarkan pada Oktober lalu menunjukkan selepas 15 tahun mengalami pertumbuhan ekonomi dan pemodenan yang ketara, India dijangka mengalami perubahan besar. "Perjalanan ini masih jauh dan cara tradisional terus diamalkan. Bagaimanapun, setakat ini, kemajuan dan tindakan yang dilakukan menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan termasuk dari segi pelaburan kerajaan dan badan bukan kerajaan," kata Pengarah Serantau Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Karin Hulshof kepada AFP. SAUDARA-MARA melawat seorang ibu bersalindi sebuah klinikdi Madhya Pradesh. Inisiatif yang dilakukan termasuk memberikan tumpuan kepada isu-isu kesihatan seperti menggalakkan wanita bersalin di hospital, meningkatkan bilangan pusat-pusat kesihatan dan imunisasi. Pendidikan diberi keutamaan dengan mengetengahkan kepentingan susu ibu, pemakanan sihat dan menggunakan air bersih untuk mencuci tangan bagi mengelakkan penyakit cirit-birit. Ketua Padiatrik di All India Institute of Medical Sciences, Paul Vinod berkata, kadar kematian bayi telah menurun daripada 80 kematian dalam setiap 1,000 kelahiran kepada 42 kematian pada tahun 2012. Walaupun menunjukkan peningkatan, laporan bersama oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Bank Dunia tahun ini mendedahkan, India masih menyumbangkan sebanyak 22 peratus kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun dan lebih daripada suku kematian bayi baru lahir di dunia. Dalam pada itu, Vinod yang berpangkalan di New Delhi berkata, perbelanjaan awam untuk kesihatan masih berada pada tahap kurang memberangsangkan, iaitu hanya 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). "Sesetengah negara membangun menghabiskan antara lapan sehingga 10 peratus KDNK mereka. "India perlu sekurang-kurangnya membelanjakan tiga hingga lima peratus. Kurang daripada tiga peratus dianggap teruk," katanya. Peluang hidup Peluang seseorang kanak-kanak itu untuk terus hidup juga bergantung kepada tempat tinggal keluarganya. Menurut perangkaan terbaharu, kadar kematian di selatan Kerala mencatatkan seramai 12 orang bagi setiap 1,000 orang. Namun, angka itu melonjak kepada 56 orang di Madha Pradesh yang menjadi tempat tinggal Chandel. SEORANG ibu mempelajari teknik betul memegang bayi baru lahirnya di sebuah hospital tempatan, di Shivpuri, Madhya Pradesh, India. Pakar-pakar turut menyalahkan kawasan penempatan yang padat dan kekurangan tumpuan oleh kerajaan negeri terhadap kesihatan kanak-kanak. Antara masalah lain termasuk peranan dan kuasa wanita yang lemah dalam masyarakat "Anak-anak gadis tidak dapat membuat keputusan yang wajar untuk merancang kelahiran anak dan kesuburan mereka. "Kami berdepan dengan kesukaran untuk mengubah sikap dan norma masyarakat terhadap golongan remaja, terutamanya wanita," kata Pegawai Kanan dari Kementerian Kesihatan India, Anuradha Gupta. Senario Pucat gara-gara penyakit anemia, Radha Bagnele, 20, terbaring lemah di atas katil Hospital Daerah Shivpuri di Madhya Pradesh sambil mendengar kekecewaan ibu mertua terhadap kelahiran bayi perempuan kembarnya. "Kami mahu bayi lelaki, jadi kami tidak begitu gembira. Tetapi, dia (Radha) akan terus berusaha mendapatkan anak lelaki sehingga berjaya," kata Ramkunar Bagnele. Berkahwin pada usia 13 tahun, Radha sudah mempunyai dua orang anak perempuan dan menyatakan kebimbangan sama ada suaminya, yang bekerja sebagai buruh ladang, dapat menyara keluarga mereka. "Saya risau, tetapi kami memerlukan anak lelaki," katanya perlahan. Terdahulu, hospital tersebut dengan kerjasama UNICEF telah membangunkan satu pusat panggilan 24 jam dan menyediakan perkhidmatan 35 buah ambulans bagi memastikan ibu hamil tiba di hospital atau klinik dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat. Jumlah kematian bayi telah jatuh secara mendadak sejak kemudahan tersebut disediakan, tetapi masalah lain masih wujud. Dalam sebuah bilik bersalin, seorang wanita yang tidak bergerak diselimuti oleh jururawat. Bayinya meninggal dunia selepas dilahirkan dua hari lebih awal di rumah dan dia kemudian pengsan kerana mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi itu. "Ia boleh menjadi pendarahan otak. Dia perlu dibawa ke Gwalior (sebuah bandar berdekatan) kerana kita tidak mempunyai kemudahan yang diperlukan di sini," kata seorang doktor. WANITA-WANITA luar bandar di India bergelut dengan diskriminasi kasta, ketiadaan kuasa dan kehidupan miskin. Di dewan menunggu, Sunil Gautam berlegar melihat keadaan bayi baru lahirnya yang berada di dalam unit penjagaan khas bayi. Perkhidmatan itu juga dibiayai oleh UNICEF. Anak matanya memandang tubuh kurus bayinya yang lahir seberat 600 gram yang sedang berada di dalam sebuah inkubator kerana dilahirkan tidak cukup bulan. Berat bayi itu separuh daripada berat badan minimum sihat bayi baru lahir. "Lapan ratus gram hari ini!," kata pakar kanak-kanak itu. Apabila ditanya mengapa kesemua 17 orang bayi yang berada di unit tersebut dilahirkan kurang berat badan, pramatang atau sakit, dia memberitahu, keadaan itu sebenarnya semakin bertambah baik dalam tempoh lima tahun bekerja di sana. "Kemiskinan, buta huruf, kekurangan makan, perkahwinan awal dan jarak antara kelahiran adalah antara faktornya. "Walaupun semakin baik, namun ia memakan masa," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |