Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
e-Book tingkat prestasi pelajar Posted: e-Book tingkat prestasi pelajarHASLINAH HUSSIN, 12, bergenang air mata menahan sebak sebaik menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu yang diumum pada 14 November lalu. Tanpa disedari air mata membasahi pipi anak bongsu pengawal keselamatan itu. Pelajar tersebut menangis bukan kerana meraih keputusan cemerlang tetapi tidak dapat menahan kesedihan kerana gagal melakar keputusan yang membanggakan ayahnya, Hussin Ibrahim, 63, yang datang menemaninya. Menjadi calon tercorot sekolah itu dengan memperoleh keputusan 1A, 3B dan 1C, kesedihan jelas terpancar pada raut wajah Haslinah. Abjad-abjad tertera pada slip keputusan dilihat berkali-kali sebelum memberanikan diri untuk ditunjukkan kepada ayahnya yang setia menemaninya sejak pagi lagi. Bagaimanapun, raut wajah Hussin sama sekali tidak menunjukkan sebarang reaksi amarah. Dengan perlahan-lahan, naluri seorang ayah memujuk puteri bongsunya itu supaya tidak tertekan dengan keputusan diperoleh. Lantas membiarkan anaknya bersama rakan lain sambil dia duduk di satu sudut memerhatikan gerak-geri mereka. Peningkatan pelajaran Pengawal keselamatan itu menjelaskan, dia tidak menaruh harapan tinggi terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu yang hanya mencatat keputusan sederhana dalam pelajaran. "Ada A dan semua mata pelajaran lulus sudah sudah memadai. Ini kerana dia hanya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran sejak dua tahun ini. "Anak saya ini perlu diajar berkali-kali sebab dia sukar memahami dan jika dia dapat lulus pun merupakan satu pencapaian yang sangat baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun menyedari anaknya memerlukan usaha berlipat ganda untuk berjaya, dia tetap menghantar puteri bongsunya menimba ilmu di sekolah. Akui Hussin, anaknya itu bukan tergolong dalam pelajar pintar tetapi demi masa depan anaknya dia tetap menghantar ke sekolah. "Dia seorang pelajar yang sederhana tetapi saya tetap ingin dia menuntut ilmu di sekolah setiap hari. Kena ajar banyak kali baru dia boleh faham tapi anak saya ni memang rajin," katanya sambil mengukir senyuman. JURUTEKNIK Top IT Industries menunjukkan komponen e-Book yang digunakan murid sekolah rendah di Terengganu. Jelasnya, dia menyerahkan kepada pihak sekolah memberi ilmu pengetahuan kepada anaknya kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi. Bagaimanapun, dia memberitahu, sejak dua tahun kebelakangan ini, prestasi anaknya semakin baik. "Saya perasan perubahan ini berlaku sebaik sahaja sekolah memberi e-Book (buku elektronik) dan mulakan sekolah maya pada tahun 2011. "Saya tidak begitu memahami penggunaan teknologi itu tetapi apa yang dapat lihat, setiap kali peperiksaan dijalankan, sudah kurang tanda merah pada buku rekodnya. "Ini bermakna perubahan yang dilakukan pihak sekolah membuahkan hasil dalam meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah," ujarnya. Menurut Hussin yang setia menemani anaknya sepanjang peperiksaan berlangsung, ketika menduduki UPSR baru-baru ini, anaknya terkena keracunan makanan dan banyak kali muntah sepanjang hari pertama. "Sepanjang tiga hari peperiksaan berlangsung keadaan anak saya semakin baik tetapi keadaan kesihatan mengganggu tumpuannya ketika menduduki peperiksaan," katanya. Cerita Hussin, anaknya mungkin mendapat markah lebih baik sekiranya keadaan kesihatannya tidak terjejas ketika peperiksaan. "Kesemua mata pelajaran lulus sudah cukup baik kerana kalau tengok dia muntah hampir setiap lima minit sekali ketika menjawab peperiksaan memang kami jangka dia akan gagal. "Alhamdulillah keputusan yang diperoleh tidak begitu mengecewakan," katanya. Pupuk minat Dalam pada itu, Haslinah mengakui bahawa dia bukan seorang pelajar pintar tetapi pengenalan kelas maya dan pemberian e-book membakar semangat untuk belajar. Dia menjelaskan guru-guru di sekolah banyak membantu dengan mempelbagaikan kaedah pembelajaran meningkatkan kefahaman para pelajar. Salah seorang daripada tiga calon SK Paya bunga yang memperoleh keputusan semua A dalam UPSR baru-baru ini, Muhammad Naim Najmi Hazre, 12, berkata, kelas maya dan e-book banyak membantunya. "Saya berasa seronok untuk belajar dan mudah memahami apa yang diajar oleh guru," katanya. Jelasnya, pembelajaran secara interaktif dengan menggunakan imej video dan lagu untuk mata pelajaran tertentu seperti sains menyebabkan mereka lebih mudah faham. DARI kiri: Nurul Fatin Athirah, Muhammad Naim dan Siti Nur Suhaila Sariful Anuar yang mendapat semua A diraikan rakan-rakan di SK Paya Bunga, Kuala Terengganu. Faham pelajaran "Dulu cikgu perlu melukis atau tunjuk imej semasa di dalam kelas. Justeru, kami perlu membayangkan sendiri bagaimana rupa sebenar objek ditunjukkan tetapi sekarang guru hanya perlu tunjuk video dengan imej lebih cantik. "Ia menyebabkan para pelajar lebih mudah memahami pembelajaran di dalam kelas malah tidak membosankan," katanya. Seorang lagi pelajar memperoleh keputusan 5A, Nurul Fatin Athirah Mohd. Fauzy, 12, memberitahu, penggunaan teknologi itu banyak membantunya. "Saya rasa seronok belajar di sekolah ini dan setiap hari saya tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah," ujarnya. Salah seorang guru sekolah berkenaan, Zulkifli Maliki, 53, memberitahu, para pelajarnya mula menunjukkan minat kerana seronok dengan cara pembelajaran baharu yang diguna pakai itu. "Pada masa yang sama mereka lebih fokus dan memberi tindak balas dengan apa yang diajarnya dan pelajar secara tidak langsung tidak banyak bermain dalam kelas," katanya. Pada awal pelaksanaan kelas maya pada 2011, Zulkifli menambah, guru-guru berdepan sedikit masalah dengan sistem digunakan tetapi selepas mengikuti beberapa kursus, mereka mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dalam mendidik pelajar menggunakan teknologi. "Tidak sukar sebenarnya kalau kita pandai menggunakan teknologi malah murid kelihatan lebih seronok belajar. "Pada masa sama, para guru akan menjadi lebih bersemangat untuk mengajar apabila para pelajar menunjukkan minat terhadap pembelajaran," katanya. Sementara itu, Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, 56, memberitahu, sekolah tersebut sangat kecil dan hanya mempunyai 84 orang dengan hanya satu kelas untuk setiap darjah. "Saya datang ke sekolah ini pada tahun 2010 dan sudah dimaklumkan mengenai sekolah ini mempunyai pelajar kurang berdisiplin. "Memang betul apa yang dikata sebab hendak tengok kelas penuh setiap hari memang susah dengan kira-kira 70 peratus pelajar gagal hadir setiap hari," katanya ketika ditemui sempena lawatan beberapa kakitangan Intel ke sekolah tersebut baru-baru ini. Kebanyakan pelajar sekolah tersebut terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Bahkan, ada antara mereka menjadikan sekolah tersebut tempat untuk meninggalkan anak-anak sementara mereka keluar bekerja. SEORANG pelajar ketika sesi pembelajaran dalam kelas maya. Tiada harapan "Ada ibu bapa yang datang dari Gong Badak dan kerja di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mereka hanya hantar anak ke sekolah sebab tidak mahu anak mereka merayau tidak tentu hala," katanya. Jelasnya, apabila pihak sekolah berbincang mengenai prestasi akademik anak mereka yang kurang memberangsangkan, mereka seperti tidak kisah. Menurut Rohaya, ibu bapa pelajar terbabit hanya memberitahu bahawa anak mereka sudah tidak ada harapan untuk jadi pandai tanpa meminta pihak sekolah melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan tersebut. Jelasnya, ada juga ibu bapa yang bawa anak mereka keluar bekerja sehingga pukul 2 atau 3 pagi setiap hari menyebabkan anak mereka gagal hadir ke sekolah. "Kebanyakan ibu bapa pelajar di sini merupakan penjaja dan setiap hari mereka akan bawa anak bersama sehingga awal pagi. "Kesudahannya mereka gagal untuk bangun pagi dan kejutkan anak ke sekolah walaupun rumah mereka hanya di belakang sekolah ini," katanya sambil menunjukkan beberapa buah rumah yang kelihatan usang yang terletak selang beberapa meter dari pagar sekolah tersebut. |
Pakej percutian buat si anak patung Posted: Pakej percutian buat si anak patungAGENSI pelancongan di Jepun menawarkan pakej percutian untuk patung kesayangan pelanggan dan menyertakan gambar kenangan sebagai bukti. PERNAHKAH anda terfikir ada pakej pelancongan disediakan untuk anak patung anda biarpun anda tidak pernah ke negara tersebut? Tiada apa yang mustahil di Jepun kerana negara matahari terbit itu sememangnya menawarkan pakej percutian yang dianggap pelik itu. Berpangkalan di Tokyo, agensi pelancongan Unagi Travel menawarkan pelbagai pakej menarik yang sesuai untuk setiap jenis anak patung kesayangan pelanggan. Sebagai bonus dan bukti pengembaraan, ia juga menyertakan gambar-gambar percutian tersebut. Contohnya, lawatan sehari di sekitar bandar raya Tokyo berkos $45 (RM147). Ia termasuk kos perjalanan, penghantaran dan pemulangan semula anak patung tersebut ke rumah pelanggan melalui pos. Bagi 'pelanggan' yang sukakan cabaran atau mungkin ingin melihat rumah ibadat dan tempat-tempat suci purba di Kyoto boleh membayar pada harga RM311, manakala pakej percutian di tempat mandian air panas berhampiran gunung berapi Jepun pula ditetapkan pada harga RM180. Pengendali pakej pelancongan patung, Sonoe Azuma berkata, sesetengah pelanggan turut menyertai lawatan tersebut kerana ia menyeronokkan tetapi ada juga segelintir pelanggan menghantar anak patung mereka sebagai wakil. "Ia mungkin disebabkan mereka tidak dapat turut serta atas pelbagai alasan seperti berada di hospital, kurang upaya atau terlalu sibuk. "Terdapat seorang pelanggan meminta saya untuk membawa anak patungnya menaiki tangga dan berjalan melalui lorong sempit kerana dia menggunakan kerusi roda. Ada juga pelanggan yang mahu anak patung mereka dibawa bersiar-siar bagi mendapatkan cahaya matahari kerana mereka tidak dapat keluar rumah disebabkan penyakit kulit," katanya. Butiran pemilik Satu borang lampiran dihantar kepada pemilik anak patung berkenaan sebelum lawatan bagi mendapatkan keterangan tentang anak patung mereka. Butiran yang diperlukan adalah seperti nama pemilik anak patung, kenyataan sama ada mereka mabuk ketika menaiki kenderaan darat atau laut dan alahan terhadap makanan tertentu. Pemilik patung digalakkan untuk memaklumkan tentang latar belakang karakter anak patung seperti hobi dan sebab untuk menyertai lawatan tersebut. SEKUMPULAN anak patung disusun seperti sedang menikmati hidangan tradisional Jepun. Dalam pada itu, beberapa patung berbentuk haiwan telah dihantar kepada Azuma dalam satu lawatan di Tokyo baru-baru ini. Ia terdiri daripada seekor harimau dari Osaka, jerung dari Kanahawa, karakter Hello Kitty dari Hyogo dan burung dari Hokkaido. Tugasan membawa patung-patung berkenaan melancong diserahkan kepada pemandu pelancong bernama Unasha. Selepas sesi penerangan dibuat, peserta lawatan disimpan dengan baik dan dibawa ke Kuil Meiji Jingu sebelum bertolak ke Taman Istana Empayar. Walaupun pakej pelik itu dilihat sebagai keterlaluan, wanita yang pernah bekerja di firma perakaunan berkenaan melaksanakan setiap tugasan dengan tekun dan menikmati pengalaman mengambil gambar di destinasi-destinasi terkenal. "Sesiapa saja boleh melakukannya tetapi harus yakin dan teliti sebagaimana anda menjaga anak-anak orang lain," ujarnya. Menulis blog Azuma telah mengendalikan Unagi Travel selama tiga tahun, beliau menulis blog tentang lawatannya dan memuat naik gambar-gambar di akaun Facebook, www.facebook.com/unagitravel dan Twitter, twitter.com/unagitravel. Setiap gambar disertakan kapsyen dengan komen-komen daripada peserta pengembaraan, merangkumi ayat-ayat ringkas seperti "sedap!" ketika mencuba sesuatu hidangan sehingga ke ayat-ayat mendalam seperti "Sentiasa melihat sesuatu daripada perspektif berbeza" sambil mereka berdiri di hadapan sebuah bangunan pencakar langit. Beliau turut menyediakan pakaian yang sesuai dengan lokasi lawatan seperti kimono ketika bermalam di hotel berkonsepkan Jepun bagi pelanggan-pelanggan lembutnya itu. Menurut Azuma, perbuatan tersebut membuatkan si pemilik bertambah teruja untuk mengikuti perkembangan lawatan anak patung kesayangan mereka secara dalam talian. Azuma juga menggunakan gambar-gambar yang diambil sebagai peta perjalanan lawatan dengan setiap latar yang diberikan pemilik. Wanita tersebut pernah menghasilkan gambar lucu iaitu aksi patung arnab membawa patung katak di belakangnya di Tokyo. Ia kelihatan seperti katak tersebut tidak biasa dengan keadaan Tokyo yang bingit itu. Menurut Azuma, pemilik patung berkenaan menghargai tumpuan yang diberikan terhadap anak patungnya dan tidak pernah melihat anak patung arnab itu kelihatan begitu gembira seperti yang dilihat di dalam gambar ketika makan di sebuah restoran bersama rakan-rakan yang lain. – AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |